Sebagai seorang wanita yang akan memasuki fasa penghujung usia 60-an, saya sering merenung kembali apa erti cantik pada usia matang. Dulu, saya teruja dengan trend, warna dan bentuk, mahu kelihatan muda, mahu menonjol. Tetapi usia mengajar satu perkara penting: cantik yang hakiki bermula daripada ketenangan jiwa dan pengenalan diri.
Memasuki usia 40 tahun ke atas, kita tidak lagi boleh bersikap kanak-kanak. Jangan biarkan emosi atau fesyen menjerumus kita ke perangai kebudakan. Ada yang masih memakai hot pant dan baju spaghetti stap, hem cuba elakkan kerana tekstur kulit dan ketegangannya tidak sama terkala anda remaja. Kenapa mahu mendedahkan kekurangan, bukankah dengan menutupnya dengan pakaian jauh lebih manis kalau pun masih muat dan cantik tetapi usia yang sebegini tidak memerlukan perhatian apalagi yang sudah punya keluarga.

Apa yang penting ialah jati diri, kesederhanaan dan kebijaksanaan—itu yang benar-benar memancarkan aura.
Kulit & Penjagaan Diri
Saya mengamalkan rutin penjagaan kulit yang sederhana tetapi konsisten:
- Bersihkan wajah setiap pagi dan malam
- Toner, pelembap, serum harian
- Mask seminggu sekali
- Facial treatment sebulan sekali (tidak mahal, cukup sederhana)
Bagi saya, kulit sihat lebih utama daripada solekan tebal. Kulit yang bersih dan terjaga memberi aura keyakinan yang tidak ternilai.
“Usia mengajar kita: cantik yang hakiki bukan yang menjerit, tetapi yang menenangkan.”
— Wirda Adnan
Solekan & Pakaian
Solekan saya sentiasa natural, cukup untuk menyempurnakan wajah, bukan menutupnya. Baju pula saya pilih dengan teliti—sesuai dengan bentuk badan, usia, dan peranan sosial. Zaman mencuba-cuba sudah berlalu; kini saya tahu apa yang memuliakan diri dan keluarga. Busana yang dipilih tidak perlu berlebihan, tapi mesti nampak berkualiti dan elegan.

Anda perlu belajar daripada wanita-wanita Islam yang menjadi teladan saya:
- Raja Permaisuri Agong: sederhana, tapi memancarkan kemuliaan
- Raja Permaisuri Selangor: anggun dan tenang, tidak menjerit trend
- Raja Perempuan Pahang: lembut tetapi berwibawa
- Sultanah Terengganu & Toh Puan Hidayah: quiet elegance, kelas tanpa riuh
Mereka mengajar bahawa kelas sebenar bukan ditentukan harga atau jenama, tetapi oleh kesesuaian, adab, dan ketenangan diri.
“Keanggunan tidak pernah meminta perhatian, namun ia sentiasa dikenang.”
— Wirda Adnan
Kekayaan & Kesederhanaan
Walau berkemampuan, saya percaya harta hanyalah amanah. Kekayaan yang dipamerkan tanpa adab hanya meninggalkan riak; sebaliknya, kesederhanaan memancarkan kemuliaan jiwa. Usia matang mengajar saya untuk tidak berlumba dengan orang lain, tetapi berlumba dengan diri sendiri: menjadi lebih bijaksana, lebih tenang, lebih bermanfaat.

Bagi saya, kecantikan wanita matang adalah ketenangan yang terpancar daripada jati diri. Ia bukan lagi tentang trend, bukan lagi tentang memuaskan mata orang lain. Ia tentang syukur, kesederhanaan, dan keyakinan yang lahir daripada pengalaman hidup.
“Saya percaya kecantikan yang paling mewah adalah yang tidak meminta perhatian.”
Sebagai seorang wanita yang telah menapaki dunia editorial selama hampir empat dekad—dari Majalah Jelita, Majalah Wanita, sehinggalah menjadi Editor-in-Chief Eh! dan Glam, WW, dan kini WM —saya berpeluang menyaksikan fesyen global dari barisan hadapan: Paris, London, Milan hingga ke New York, bermusim-musim. Dari runway haute couture hingga ready-to-wear, saya belajar banyak tentang gaya, keberanian, dan identiti.
Tetapi hari ini, saya mahu bercakap tentang sesuatu yang lebih dekat dengan hati: gaya Muslimah matang.
Gaya Matang vs. Trend Semata
Dalam dunia fesyen antarabangsa, trend berubah setiap minggu. Tetapi bagi wanita matang—terutamanya yang berusia 40 tahun ke atas—trend hanyalah inspirasi, bukan panduan mutlak.
Pada usia ini, yang paling penting adalah:
- Mengenal diri sendiri
- Mengetahui bentuk badan
- Memahami latar belakang keluarga dan nilai hidup
Baju yang dipilih bukan untuk menonjolkan kekayaan sederhana, tetapi untuk memancarkan kemuliaan dan kelas. Zaman mencuba-cuba sudah berlalu; kini adalah zaman memilih dengan yakin dan bijaksana.
Dari Runway ke Realiti Muslimah
Saya telah duduk di front row, menyaksikan model-model antarabangsa membawa busana dengan penuh dramatik dan keberanian. Tetapi di balik glamour itu, saya sedar sesuatu: gaya Muslimah matang mempunyai bahasa sendiri. Ia bukan tentang mempamerkan trend terbaru, tetapi tentang memilih apa yang memuliakan diri dan orang sekeliling.
Contohnya:
- Potongan baju yang sesuai dengan bentuk badan
- Fabrik berkualiti yang jatuh kemas
- Warna dan siluet yang menenangkan
- Solekan yang cukup menyempurnakan, bukan menutup
Ini bukan sahaja soal fesyen, tetapi soal identiti dan jati diri.
Kekayaan & Kesederhanaan

Walaupun dunia fesyen penuh dengan glamor dan kemewahan, pengalaman saya mengajar satu perkara: kekayaan tidak perlu dipamerkan. Tidak perlu gelang emas sampai ke siku, jauh sekali memakai gelang kaki. Emas yang sarat di leher, jari dan pergelangan tangan bukan tanda kamu kaya tetapi korap. Seutas gold bangles ORO italia daripada Habib Jewel atau cincin Princes Flower bertatah berlian dan batu delima daripada Roberto Coin di jari memadai menampakkan kelas, elegan, berwibawa. Kesederhanaan memancarkan kemuliaan, dan wanita matang yang bijak tidak berlumba dengan orang lain, tetapi berlumba dengan diri sendiri—untuk menjadi lebih elegan, lebih bijak, dan lebih tenang.
Seri yang Tenang dan Bermakna
Bagi saya, kecantikan dan gaya Muslimah matang adalah tentang tenang, bijak, dan bermakna. Ia bukan lagi soal trend, tetapi soal bagaimana kita hadir dalam hidup: memancarkan keyakinan, kesyukuran, dan kemuliaan usia.
Wanita Islam Terkenal Lain Sebagai Rujukan Gaya Matang
Selain tokoh diraja, antara wanita Islam yang sering dijadikan inspirasi gaya matang dan beradab:
- Sheikha Moza bint Nasser (Qatar) – intelektual, fesyen berstruktur, simbol kuasa yang beradab
- Queen Rania of Jordan – minimal, moden, berkelas tanpa berlebih
- Puan Sri Anna Razak – sopan, intelektual, understated elegance
- Erra Fazira dan Zaina Zain – sofisikated, berani dan penuh pesona
- Dr. Zeti Akhtar Aziz – gaya ringkas, kemas, mencerminkan kebijaksanaan dan integrity
Kesemua mereka berkongsi satu persamaan: kecantikan yang lahir daripada kewarasan, bukan keterujaan.
