COVER STORY

DATO’ SURAYA YAACOB, FOOTBALL IS NOT JUST A MAN’S GAME

Hampir dua jam temubual kami dengan wanita hebat ini, tidak sedar waktu berlalu begitu pantas. Rasanya baru sahaja bermula namun bagaikan tidak percaya kami terpaksa mengakhirinya. Masing-masing punya tugas seterusnya dan hanya saling mengucapkan yang baik-baik sahaja hingga ditemukan kembali.

Menarik karakternya, sedikit lucu, namun serius kala membicara masa depan negara dan hal-hal persekitaran. Lebih menyeronokkan, sebut apa topik, laju responnya. Walaupun berkejar dan dicemburui masa, kami sempat menyentuh banyak hal daripada politik, sukan, hinggalah hal-hal berkaitan kemasyarakatan yang mana amat dekat dengan jiwa dan kepribadian, and of course we touched the past, the present and future… and laughed a lot.

Paling menarik dan pantas menuntut tumpuan, apabila kami bertanyakan kepada beliau bagaimana boleh berada di kedudukan sekarang memandangkan semua jawatan yang pernah dan masih beliau sandang kini bukanlah calang-calang.

Setiap satunya ternyata dimonopoli kaum lelaki dan pasti membuat ramai tertanya- tanya bagaimana beliau melayakkan diri berada di tengah-tengah kancah dunia lelaki yang mencabar. Apakah senjata wanita besi ini menangkis segala cabaran dan meletakkan diri setara kompetitornya?

Honesty, setiap orang yang mahu menjadi pemimpin mesti berpegang kuat kepada disiplin. Mesti bersikap jujur dan kejujuran mesti sentiasa dipraktikkan dalam setiap kata-kata, kerja dan langkah yang diambil. Apabila kita praktikkan yang satu ini dengan tersendirinya terbit rasa yakin dan percaya, dan setiap kerja menjadi lebih mudah.”

Itulah senjata dan rahsia Dato’ Suraya Yaacob, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan di bahagian Undang- Undang dan Reformasi Institusi kepada Dato’ Sri Azalina Othman Said sejak 2023.

Dato’ Suraya mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Cardiff (1992) serta pernah dinobatkan Tokoh Belia Negara 2007. Bagaikan DNA that runs in the family, mungkin boleh dianggap kemunculan beliau dalam arena politik bukan suatu kebetulan kerana setiap generasi keluarganya ramai yang menyertai politik, memegang jawatan penting dan ahli politik berjaya.

Pendek kata, bapa saudara dan ibu saudara juga pernah menjadi wakil rakyat yang disegani.

“Nak dijadikan cerita, apabila saya berkahwin, keluarga mertua saya juga begitu dekat dengan politik. Pada perkahwinan pertama, bapa mertua adalah seorang penjawat awam dan disepanjang perkahwinan keluarga arwah banyak menyokong dan membantu. Begitu juga dengan keluarga mertua untuk perkahwinan yang kali kedua, disepanjang perkahwinan sehingga ke hari ini walaupun mereka tidak menyandang jawatan dalam politik namun saya tahu mereka banyak menyokong dan membantu parti-parti dan bergiat dalam politik.”

Membesar dalam keterbukaan ideologi berpolitik, secara naturalnya mendedahkan beliau dengan selok belok serta kancah politik Kedah khususnya. Dengan itu tidak menghairankanlah apabila beliau sendiri menunjukkan minat dan menyertai Wanita UMNO pada mulanya dan menjadi generasi pertama Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dengan menyandang jawatan bendahari, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) selama empat penggal dan pada yang sama menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Namun begitu pembabitan beliau tidaklah semudah yang terzahir, malah beliau sendiri turut mengharungi pelbagai cabaran dan beberapa kali menemui jalan buntu dalam membuat keputusan. Apa yang saya tahu, it all comes with hard work and self integrity. Dato’ Sri Azalina adalah seorang ketua yang bagus, lagi tegas, beliau tidak lokek ilmu dan pengalaman. Sentiasa berkongsi tips dan petua yang beliau tahu tentang politik.”

Mengimbau kembali masa mula-mula di zaman awal tiga puluhan. Beliau masih ingat beberapa calon perlu mengikuti latihan dan kursus di kem-kem khas demi memperkuat diri secara fisikal dan mental. “There were about six of us. Kami memang dilatih dan diasak cukup-cukup. Macam seorang prajurit lagak kami.

Memang itu yang mahu diterapkan supaya kami bersedia memikul tugas dan tanggungjawab yang bakal diberikan. Pendek kata, kami dipersiap sediakan dalam segala segi, hingga terpaksa meredah dan menjelajah hutan. Dari situlah kewibawaan dinilai.”

Sebelum itu pun Dato’ Suraya telah banyak menyertai dan menyelenggarakan kerja-kerja sukarela di kawasan sekitar Kedah dan telah biasa turun padang membantu dan membela masyarakat khususnya wanita dalam undang-undang syariah terutama di dalam hak-hak wanita.

“Waktu itu, di peringkat pembuat keputusan secara rambang dimonopoli oleh kaum lelaki, Baik di institusi kerajaan mahupun swasta, termasuklah mahkamah, sebahagian besarnya diterajui oleh kaum lelaki. Ini membuat kami sedar mengapa banyak kes yang dibicarakan tidak berpihak kepada wanita. Wanita dianiaya sedangkan kita tahu hukum hakam dalam syariah amat prihatin terhadap hak-hak dan kebajikan wanita.”

“Kerja kami waktu itu, turun padang. We don’t have much, just be there and stare at the hakim,” ceritanya teruja mengimbas kisah silam, “Kalau ada saja yang tak kena atau hakim cakap perkara yang tidak betul atau keputusan yang kami rasakan tidak adil, kami ramai-ramai akan mencelah. Dan tunjukkan kami tidak setuju, tapi secara aman. Waktu tu hakim memang tidak suka kehadiran kami,” tambahnya dengan lagak yang agak melucukan.

“It was a tough challenge.” Namun di bawah Dato’ Sri Azalina dan cabaran-cabaran yang dilaluinya, saya menimba segala ilmu dan selok belok kancah politik. Begitu banyak belajar dan menimba pengalaman daripada beliau. Dato’ Sri Azalina secara langsung banyak memberi rangsangan dan inspirasi serta tunjuk ajar yang mana ketika itu beliau menyandang jawatan Bendahari Puteri UMNO, kemudian Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pendang. Dato’ Suraya Yaacob juga pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Pendang, Kedah dan juga EXCO Kerajaan Negeri Kedah.

Mempopularkan Bola Sepak Wanita Negara dan Potensi

“Ramai bertanya mengapa saya beria-ia mahu mempopularkan sukan bola sepak wanita negara? Bagi saya jawapannya jelas, kerana potensi. Ia berpotensi untuk berkembang jika diselenggarakan dengan baik. Dan perlu ingat, bola sepak bukan hanya untuk lelaki, malah ia perlu dilihat dari sudut yang lebih besar dan meluas.”

Benar seperti apa yang beliau katakan, bola sepak bukan sahaja membawa semangat kesukanan yang tinggi malah mampu menjana kewangan dan ekonomi jika ditadbir dengan baik.

Bola sepak wanita punyai manfaat meluas buat masyarakat secara umumnya dan selain ada ciri-ciri menarik untuk pelaburan serta tajaan, ia juga dapat membentuk pembangunan individu. Ia juga bukan sekadar baik untuk perkembangan ekonomi mereka yang terbabit tetapi juga baik untuk negara jika diselenggarakan dengan tersusun dan betul.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya berkeyakinan tinggi suatu hari nanti pasukan Bola Sepak Wanita Negara akan menjadi perhatian dunia terutama memandangkan saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim yang kian rancak lagi sengit.

Dengan habuan dan subsidi yang bakal diberikan kepada pasukan, beliau yakin ia sedikit sebanyak mempengaruhi meningkatkan prestasi para pemain dan mereka yang terlibat untuk bekerja dengan lebih keras bagi menjayakan setiap perancangan.

“Saya mahu kita ke peringkat dunia (namun begitu segala usaha perlu ada titik noktah dan logik). Untuk ke tahap itu Malaysia perlu dikenali dan gah di kalangan lawan di Asia terlebih dahulu. Itulah hala tuju yang harus kita fokuskan sekarang ini.”

Jika di Barat sukan ini mempunyai pengaruh besar dan peranannya amat positif terhadap masyarakatnya dan khusus bagi generasi muda, apakah sukan ini bersesuai dengan budaya dan persepsi masyarakat Timur?

“Persepsi itu memang ada. Ia antara cabaran yang kami sedang hadapi kini. Soalnya bagaimana kita mendidik dan dekatkan ia kepada masyarakat. Saya yakin kita boleh mengatasi dengan baik, tetapi dengan kerja keras dan sokongan daripada pelbagai pihak, baik kerajaan, swasta dan khususnya daripada masyarakat sendiri,” jelas beliau, yang pada masa sama tidak menyangkal malah mengakui bahawa tugas itu berat dan besar cabarannya.

Beliau turut menyangkal persepsi sesetengah masyarakat yang memandang remeh dan menyatakan bahawa sukan ini akan membuat wanita yang menyertainya menjadi kurang feminin dan kasar sifatnya.

“Kekasaran mungkin terlihat di atas padang namun secara peribadi mereka seperti wanita lain dianugerahkan kelembutan dan dilahirkan dengan fitrah sebagai wanita. Ramai yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Bayangkanlah bagaimana kita mahu menuju sasaran dan hala tuju, jika masyarakat kita sendiri tidak memahami dan tidak yakin. Bukan sahaja hal-hal feminiti yang dipersoalkan, malah pakaian para pemain juga turut mendapat komen negatif dan sering dijadikan topik dan komen yang melemahkan.”

Penghargaan terhadap semua pemain bola sepak

Pada pelancaran baru-baru ini, katanya, dengan hasil yang diterima oleh pasukan Sabah selaku juara bertahan yang mendapat peluang untuk membuat penampilan di AFC Women Champions League 2024 pasti akan menyuntik lagi semangat para pemain dalam liga ini nanti.

Beliau turut menzahirkan penghargaannya terhadap semua pemain bola sepak wanita yang bersungguh-sungguh menjalani latihan demi mendapatkan tempat di dalam skuad Malayan Tigress B-17. “Saya amat berharap masyarakat bersikap terbuka dan terus menyokong sukan yang sihat dan bermanfaat ini,” katanya.

Kempen dan Kesedaran

Pelantikan ketua jurulatih, Soleen Al-Zoubi dari Jordan yang berpengalaman, adalah antara usaha gigih dan membuktikan bahawa beliau dan pihak yang berkait mempunyai aspirasi tinggi dan benar-benar mahu menjadikan sukan ini sesuatu yang boleh dihargai.  Selain memberi manfaat kepada masyarakat secara spiritual, jika dirancang dengan baik, ia boleh menjana sudut ekonomi baru.

Yang pasti, di bawah penyelenggaraannya, Malaysia dilihat semakin serius dalam mengejar kemajuan yang berjaya dicapai oleh negara serantau yang lain dari segi pembangunan bola sepak wanita.

Kehidupan, Keluarga dan Prisnsip

To start with, my family is a huge tree,” kata beliau memulakan kisah keluarganya, kami semua akan berkumpul pada hari kedua Raya Aidilfitri setiap tahun, di mana lebih empat ratus ahli keluarga akan hadir dan meraikan bersama.

“Saya bercerita hal ini kerana hidup berkeluarga perlu penuh harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain adalah penting. Bagaimana kita boleh menyatukan masyarakat jika di dalam keluarga sendiri berantakan. Bagi saya kita bertanggung jawab mengharmoni keluarga, buang sifat dengki mendengki, iri, benci, sebaliknya sulami dengan kasih sayang. Bagi saya lagi ramai lagi meriah. Bayangkan bila bertemu, seronoknya tidak terkira.”

Kemasyarakatan dan Kerja Amal

“Satu yang saya perhatikan, women don’t support women, ini amat menyedihkan dan mindset yang mencemburui kejayaan atau menyangkal kewibawaan sesama wanita perlu dikikis kerana ia menjatuhkan martabat kaum wanita sendiri.

“Tetapi saya percaya sesulit apapun masalah yang kita hadapi saat ini, ia bukan sesuatu yang harus dihindari, tetapi wajib diselesaikan. Saya senang dengan kerja kemasyarakatan ini, selagi mampu kami akan turun padang membantu mereka yang diperlukan. Saat kita masih diberikan kesempatan bangun di pagi hari, itu bererti Tuhan masih memberi kesempatan kepada kita untuk melakukan pekerjaan yang harus kita lakukan.”

Apa yang menggalakkan Dato’ untuk bangun pagi keluar bekerja?

“Seperti yang saya katakan, kita bertanggung jawab ke atas diri dan kerjaya. Apabila amanah dan tugas telah diberikan, menjadi tanggungjawab untuk kita melaksanakan sebaik mungkin. Tiada sebab untuk bermalas-malasan dan segala kerja serta tugasan wajib diselesaikan, walau apapun yang terjadi dan halangan yang menimpa.

“Saya tidur dan bangun awal kerana sebelum jam lima pagi saya sudah bersedia untuk menunaikan tanggung jawab pada Allah, dan sementara menunggu subuh saya sudah mula merangka semua kerja yang harus dilakukan pada hari tersebut. Dato’ Sri Azalina juga memulakan tugas dan mula mengirimkan message seawal jam lima pagi.

 “Selepas solat, Saya memulakan pagi saya dengan berjalan dan beriadah di kawasan sekitar. Bagi saya badan yang cergas, minda dan otak yang cerdas sangat penting sebelum ke pejabat.”

Where do you see yourself 10 years from now?

“Sepuluh tahun dari sekarang, saya percaya jika diizinkan kesihatan, saya masih bekerja, dan menyumbangkan usaha saya kepada kerja-kerja politik dan kebajikan, di samping gardening. Saya minat bercucuk tanam dan mempunyai sebuah ladang kecil yang memerlukan saya untuk mengeluarkan peluh. Sambil bekerja, saya mahu berbakti kepada tanah.”

Di PRU akan datang Dato’ mahu terus bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri?

“Oh tidak, pengalaman yang indah sebagai wakil rakyat akan terus diabadikan, dan saya percaya jasa saya akan masih dikenang oleh orang sekeliling walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat.”

Tetapi kalau Dato’ boleh diberikan kehidupan semula (I mean If you had to live your life over again}, what one thing would you change?

“Ehemm…. (lama dia terdiam) mungkin saya akan menetap di luar negara selepas tamat pengajian. Saya rasa orang di sana amat menghormati wanita, they are kinder.. ha ha. Mereka lebih rajin, kerja mereka lebih teliti, kemas dan ramai yang cemerlang.”

Dato’ senang hati kalau anak Dato’ di kancah politik?

“Saya berikan mereka kebebasan untuk memilih kerjaya yang disukai. Saya tidak memaksa, dan saya melihat anak kedua saya lebih cenderung dan menunjukkan minat kepada seni. Walau apapun yang mereka pilih, perlu melakukan dengan cemerlang. Andai memilih untuk berlakon sekalipun saya galakkan, dengan syarat, jadikan ia kerjaya bukan untuk raih populariti atau glamor semata.”

Orang bertanya, bagaimana saya ‘determine or evaluate success’?

“Bila kita ‘happy’ dengan apa yang kita lakukan, itulah kejayaan. Itu sebab saya tidak mahu memaksa anak-anak misalnya, mereka boleh buat benda yang menyenangkan dan sumbangkan sesuatu kepada masyarakat, dan itulah success. Saat ini saya terkenang arwah suami (Syed Al-Fandi Syed Mansor Barakbah), saya melihat dia seorang yang simple, hidupnya serba ringkas. Seorang yang tidak langsung ada sifat show off . He was so happy with his life dan saya banyak belajar daripada dia.”

“Bersama dengan suami sekarang, Datuk Zulkifli Ishak, dia seorang yang simple but i must say he is an alpha person, he is strong and powerful and likes to be in charge. Ya kerana dia seorang ahli perniagaan. He is a good leader and passionate about his work, and maybe dia lebih suka saya tidak mengalahkan dia, ha ha.”

“Saya akui saya a good wife. Saya isteri dan ibu dan wanita bekerja, lantaran itu saya harus buat yang terbaik untuk ketiga-tiganya. Saya melihat kehidupan anak lelaki saya yang baru sahaja berkahwin, dia membantu isterinya membuat kerja- kerja rumah seperti membasuh baju… hem saya rasa bangga kerana saya mengajar dia menjadi suami yang bertanggung jawab. Mungkin kalau ibu saya melihatnya, dia tidak berapa senang apabila seorang suami/lelaki membuat kerja- kerja rumah, tetapi mana mungkin semua hal rumah tangga diletakkan ke bahu isteri semata? Isteri juga keluar mencari nafkah, patut urusan rumah tangga dikongsi bersama.”

Perkara penting tentang kekeluargaan yang Dato’ tekankan dalam keluarga sendiri?

“Jangan jual nama keluarga. Contoh, kawan-kawan anak-anak saya (Syed Afiq dan Syed Aiman) langsung tidak tahu saya Ahli Majlis Undangan Negeri. Malah anak saya sendiri sewaktu kecil pun tidak diberitahu. Mereka tahu ibu mereka keluar bekerja seperti orang lain. Apapun kerja mesti halal dan dianggap ia satu kerja yang Allah redhai. Setiap kerja ada waktu yang ditetapkan.Ikut jadual kerja supaya kita boleh pulang ke rumah dengan tugas sebagai isteri dan ibu. Kerana itu saya tidak pernah rasa saya mengabaikan anak-anak demi kerjaya.”

Pandangan Dato’ pula tentang ‘house husband’?

Terus terang saya katakan saya tidak beberapa berkenan. Suami harus keluar mencari nafkah sekalipun yang dibawa pulang itu tidak seberapa.”

Andai anak-anak menjadi halangan seperti tiada pengasuh?

Saya masih percaya ada jalan yang terbaik, banyak yang boleh dilakukan untuk meraih pendapatan.”

Pandangan Dato’ pula tentang isteri yang berkelayakan, sebaliknya mereka memilih menjadi suri rumah?

“Ini pun saya tidak beberapa setuju kerana mereka yang berpendidikan tinggi, yang bijak pandai, wajib menaburkan ilmu untuk kepentingan masyarakat. Negara memerlukan lebih ramai wanita bijak pandai menaburkan bakti dalam usaha memajukan ekonomi negara misalnya.”

Apa kata Datuk Azlina dalam hal ini?

Saya percaya beliau pun tak beberapa setuju, Dato’ Sri Azalina mahu wanita lebih berperanan dan menyumbang terhadap perkembangan ekonomi dan politik negara khasnya, bukan setakat duduk di rumah menjaga hal keluarga.”

What is your philosophy of life?

“Hidup ini jangan disusahkan sangat. Life is simple. Bagi saya dengan perancangan yang baik, keputusannya akan baik. Kita rentang dulu jambatan untuk mengetahui kisah selanjutnya tetapi sebelum itu perlu dilengkapkan diri dengan ilmu.”

Kekuatan Dato’? What do you consider to be your greatest strength?

“Saya tidak akan melarikan diri untuk menutup masalah. Saya hadapi sekalipun amat berat dan terlalu sukar. Saya pegang pada janji dan percaya Allah akan menyelesaikan semua masalah jika kita di pihak yang benar.”

Tentang managing styles Dato’?

“Oh saya delegate and I trust them. Ada kerja boleh dilakukan sendirian tetapi banyak kerja perlukan pasukan. Kejayaan pula jangan diraikan sendirian, ingat kerja-kerja yang di’delegate’ itu, mereka juga menyumbangkan tenaga dan usaha dan wajib diraikan bersama. Saya banyak melatih orang bawahan untuk memajukan diri. Dan kalau orang bawahan pula satu hari menjadi ketua saya, saya percaya itu rezekinya malah saya berbangga orang yang saya asuh dan latih mencapai kejayaan lebih daripada saya.”

Tentang isu keganasan rumah tangga? Dato’ sendiri terlibat malah amat prihatin dalam isu rumah tangga, khasnya dalam usaha membanteras keganasan terhadap wanita dan anak-anak/ tentang perlakuan sumbang mahram yang jumlahnya kian menakutkan. Komen?

“Perlu bantuan segera, gerak kerja yang tangkas serta pendedahan disebarkan demi menjamin keselamatan mangsa. Ramai sekali wanita yang kurang berpengetahuan dan pendedahan, dan tidak tahu tentang hak masing-masing. Terlalu banyak kes penderaan, dan kejadian yang tidak masuk akal berlaku, inces misalnya. Dipendekkan cerita lebih banyak kes didedah, lebih banyak lagi kes-kes mendatang. Kerajaan mengambil langkah berani lagi tegas dalam membanteras hal ini, yang bersalah wajib dihukum malah yang bersubahat juga wajib diambil tindakan.”

“Satu yang menarik kini telah diadakan ‘mahkamah on wheel’, ia telah dilancar di Sabah dan Sarawak khasnya di kawasan pedalaman, demi memudahkan urusan dan mencepatkan proses perundangan yang membabitkan urusan keganasan rumah tangga dan hal-hal yang bersangkutan dengan isu ini seperti perceraian, hak penjagaan anak, nafkah dan sebagainya. Wallahualam.”

Oleh: Mahani Awang
Solekan: Rosa
Pakistan: Azrena: @batekbyrastarashidofficial, Fazley @bonzainalofficial
Aksesor: Kediaman Dato’ Suraya Yaacob
Penulis:  Wirda Adnan/Mahani Awang

Related posts

OVEREXPOSED! Datin Sri Nur Shahida Spoke Straight From Her Heart – With An Honesty So Rare…

admin

Dorothy Ng – Beauty With Brain

admin

Sharon Jasmin – Queen of Hearts

admin

Leave a Comment