Rasa sakit adalah bagian daripada kehidupan, dan siapa saja yang tidak pernah sakit dia belum mengetahui makna kehidupan.
Saat ini saya di katil hospital. “Puan perlu rehat, berkali-kali jururawat mengingatkan tetapi setelah tiga malam berbaringan menghadap siling, dan fikiran mula melayang yang bukan-bukan, saya paksa Imtiaz menghantar laptop. ”Ma, please, why do you need to work, restlah mummy.” Tapi ibu kan ada kuasa veto, esok pagi-pagi lagi dia terpaksa menghantarnya. Saya tahu dengan berkarya separuh daripada sakit dapat diubati, lagipun saya tidak biasa duduk baring sebegini, tidur siang amat jarang dan pada saya tidur tidak perlu pun sampai lapan jam, malah lima enam jam pun sudah begitu baik kalau nyenyak. Dan sebenarnya pun, seminggu sudah berlalu bulan Julai, ruang ini wajib diisi dan tiada orang lain dapat mengisinya kecuali saya.
Tiga puluh tahun lalu, itulah kali terakhir saya di katil hospital. Itu pun kerana melahirkan anak, kali pertamanya Ihtisham (1992, dituruti Imtiaz 1994). Ya di hospital yang sama. Mengingatkannya, syukur sangat, ujian yang Allah campakkan kepada saya terlalu kecil berbanding arwah suami dan berbanding arwah mak yang menderita sakit lebih 20 tahun.
“Sakit adalah ujian, dan sabarlah, kerana dalam kesabaran terdapat keajaiban kesembuhan. Tanda Allah sayang pada kita diberikan kesakitan,kerana dengan kesakitan kita akan sentiasa memohon kesembuhan daripadaNya. Diberikan kesusahan kerana dengan kesusahan itu kita akan lebih redha, diberikan penderitaan, kerana dengannya jiwa yang menderita akan selalu dekat denganNya.
“Aku tidak akan mengeluh atas sakit yang sedang aku derita kerana mengeluh tidak akan mampu mengubah apa yang sedang aku rasakan menjadi lebih baik dan dalam keadaan apa pun yang sedang aku alami, aku yakin aku bisa melewatinya ujian ini.”
Sering ini yang saya ingatkan pada arwah suami.
Mungkin kerana itu saya tidak ingat dia mengeluh mahupun mengadu sakit tetapi saya tahu dia amat menderita memandangkan berat badannya turun mendadak, perutnya yang besar menjadi terlalu kempis dan wajahnya teramat cengkung. Dan langsung tidak berselera makan.
Sebaliknya di sini, saya masih berselera terutama dengan menu-menu menarik; lasagna, pizza, grilled chicken with black pepper sauce and broccoli, nasi berempah dengan ayam percik dan bermacam-macam lagi. Enam hari, dan saya mencuba hampir ke semua menunya. Tisham dan Imtiaz pun hairan, “you can really eat mom?”
Terima kasih Fatimah Ujang yang baik hati menghadiahkan stokin Aulora, dipakaikan malah meluangkan masa membuat massage kaki dan lutut yang sakit, dengan stokin ini, terus boleh sujud dengan selesa. (Fully recommend pada anda semua kerana dengan seluar dan stokin Aulora ini, ia membantu mempercepatkan kesembuhan.) Yang datang menziarah, yang menghantar buah-buahan, coklat dan segala macam biskut semoga Allah menambahkan rezeki dan diberikan kesihatan semua. Tidak lupa pada abang, kakak, adik-adik dan anak-anak saudara yang setiap hari membacakan surah yasin untuk kesembuhan. Inilah yang istimewanya keluarga Adnan, bersatu dalam apa jua keadaan. Hanya Allah yang tahu betapa bersyukurnya saya dilahirkan di dalam keluarga ini. Alhamdulillah.
”Sungguh saya amat bersyukur, Allah tidak tarik deria rasa saya. Saya dibenarkan makan apa sahaja cuma saya tahu dengan keadaan saya yang batuk tanpa henti, membawa kepada pneumonia, bronchitis, bersama tekanan darah yang teramat tinggi, saya perlu juga berpantang.
Betul Allah sayang saya, Dia tidak menutup hati saya untuk tidak mahu berjumpa dengan sesiapapun. Saya senang melayan tetamu yang datang, sekadar memberitahu mereka yang saya di sini, dilayan baik, dan keadaan saya stabil, tidak perlu hendak bersusah payah menziarahi, tetapi jika mahu datang saya tiada halangan. Allah berikan saya kelapangan hati bersembang, bercerita, justeru menjadikan suasana lebih ceria, membuat saya terlupa akan sakit dialami.
Saya amat maklum dalam beberapa hal, tidak digalakkan sembarangan tetamu di sebelah katil pesakit, faham sangat mengenai jangkitan yang boleh memudaratkan pesakit. Faham sangat tentang restriction for those patients who are, or who have been critically ill. Keselamatan mereka paling utama malah keselamatan para pelawat juga terutama jika pesakit di dalam bilik operasi atau di bilik recovery, di mana sterile di lokasi, along with all the germs and bacteria ia berisiko tinggi, pada pesakit juga pelawat. Pelawat juga kena tahu keadaan diri, dan dengan langkah berjaga-jaga, antaranya mencuci tangan dan mengenakan mask serta elak bersentuhan secara direct.
Ya, kita pun kena tahu adab menziarahi orang sakit antara lainnya, jangan pula kamu di situ dan membicarakan hal yang dibenci pesakit, jauh sekali menakut-nakutkannya mahupun menuduh yang bukan-bukan seperti memberitahunya itulah bala kerana Allah murka. Melawat orang sakit pun tidak boleh lama, tetapi dalam waktu yang singkat itu sepatutnya dihabiskan berdoa.
Teringat kisah seorang ustaz. Berbulan-bulan di hospital, faham bila anak-anak tidak membenarkan seorang pun pelawat tetapi setelah dibenarkan pulang maka ramailah berhajat untuk menemuinya. Al maklum kerana sudah lama tidak mendengar kuliahnya. Begitupun yang datang dari Utara, dari Selatan, dari Pantai Timur dengan tujuan murni menjenguk tok guru mereka pun masih tidak dibenarkan masuk ke rumah. Sampai begitu sekali, sedangkan bil hospital yang ratusan ribu itu dibayai oleh anak-anak murid. Entahlah, saya ‘no comment’.
Sedih, kini begitu ramai orang yang sakit sebenarnya benci didatangi tetamu, menghindar malah mengasingkan diri daripada bertemu sesiapa pun waima adik beradik dan anak beranak sendiri walhal malaikat akan turut hadir pada waktu kita menziarahi, dan akan mengamini setiap yang kita ucapkan (riwayat Muslim (919). Rasulullah menjanjikan kemuliaan berupa didoakan oleh 70 ribu malaikat yang ditugaskan khusus bagi mereka yang menjenguk orang sakit serta pahala lain termasuk balasan syurga di akhirat kelak.
Rasulullah bersabda, barangsiapa menjenguk orang sakit, maka (malaikat) dari langit memanggil, “Berbahagialah kamu dan sungguh baik langkahmu dan engkau menempati sebuah rumah di syurga (HR Ibnu Majah).” Kerana itu digalakkan yang menziarah mendoakan yang baik-baik kepada sakit. Diriwayatkan daripada Thawban r.a beliau berkata, bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya, orang yang menziarahi pesakit akan berada di kebun buah-buahan syurga sehingga dia pulang (daripada ziarah).
“Di saat aku jatuh sakit, mungkin Tuhan rindu akan kehadiranku, rindu ingin melihatku menangis di hadapanNya dan berdoa meminta denganNya.”
Saya bersyukur amat kerana Allah memberikan kekuatan kepada saya melawan hasutan syaitan melekakan diri daripada mengingatiNya. Allah bangunkan saya untuk bertahajud. Ya Allah, saat tubuhku yang lemah tidak bermaya malah sukar melelapkan mata Kau terus mengingatkan aku untuk membanyakkan zikir dan meminta keampunan, malah dikuatkan tubuh ini untuk bangun bersolat. Allahu Akbar, Kau tidak lalaikan aku menunaikan perintahMu.
Allahumma rabban nasi, adzhinil ba’sa. Isyfi. Antas syafi. La syafiya illa anta syifa’an la yughadiru saqaman. Ya Allah Tuhanku, Tuhan seluruh manusia, hilangkan segala penyakit yang hinggap di tubuhku. Berikan kesembuhan kerana Kau adalah satu-satunya penyembuh. Tidak ada yang mampu menyembuhkan segala penyakit selain Engkau. Dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa nyeri.
“Ya Allah, kuyakin bahwa takdirMu lebih baik dari semua yang aku inginkan, beri aku kekuatan untuk memahami ini sebagai anugerah dari-Mu. Ya Allah, hidupkan aku apabila itu lebih baik bagiku. Dan matikan aku apabila kematian itu lebih baik bagiku.