Melihat kemeriahan minggu fesyen yang berlangsung di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu, ternyata ramai pereka dilihat bangkit semula setelah berdepan situasi genting berdepan Covid 19. Pujian harus diberikan kepada selebriti dan influencer yang banyak membantu para pereka dalam mempromosi rekaan yang diperagakan di media sosial. Namun jauh di sudut hati saya sebenarnya menantikan rekaan yang mungkin lebih mengangkat budaya Timur, misalnya dalam helaian ciptaan mereka kerana ternyata kebanyakannya cukup gemar berkiblatkan gaya fesyen Barat.
Tidak dinafikan fesyen hari ini cukup sukar diramal. Terlalu cepat trend berlalu, dan sudah tentu gaya fesyen yang menjadi ikutan generasi muda hari ini lebih ke arah Barat. Misalnya, apa yang Kim Kardashian pakai, peminat juga mahu yang sama dan melalui trend inilah menjadikan pereka kita juga tiada identiti sendiri, seni yang kita ada dipandang sepi oleh pereka kita sendiri.
Apa yang Kim Jones reka di Dior, kita olah semula. Apa yang Demna lakukan di Balenciaga pereka kita juga tidak mahu kalah dalam berkarya. Begitu juga apa yang direka Pierpaolo Piccioli di Valentino kita juga ‘copy and paste’, sama sahaja malangnya hasil seni oleh sebilangan pereka kita.
Tatkala rencana ini ditulis saya sebenarnya melihat Instagram milik seorang wanita Indonesia iaitu Maharani Kemala. Beliau seorang yang berpengaruh dalam bidang perniagaan di Indonesia. Wanita ini hadir ke Malaysia untuk satu majlis korporat di Kuala Lumpur. Apa yang menariknya Maharani Kemala bersama kumpulannya hadir dalam dalam helaian tradisional Indonesia lengkap berkebaya bersama batik parang dan juga mega mendung. Sering kali saya perhatikan terdapat perbezaaan pereka dan selebriti di sana berbanding kita di sini, jati diri mereka sangat kuat sekali dalam memelihara seni dan warisan agar terus terpelihara daripada generasi ke generasi.
Seni yang saya maksudkan adalah fabrik yang kita hasilkan misalnya. Batik sebagai contoh, ia cukup cantik daripada hasil seni tangan dari Pantai Timur. Saya pernah melihat penghasilan bagaimana helaian Dolce & Gabbana Alta Moda dihasilkan yang mana fabrik itu dilukis menggunakan tangan, lantas fikiran saya terus melayang memikirkan karya kita juga tidak kurang hebatnya melalui teknik yang sama. Malangnya ia hanya dipandang enteng oleh pereka kita. Jika ada pereka kita yang mengatakan batik ini sukar dijual, lihat bagaimana Emilio Pucci misalnya kekal dna mereka lantas menjadikan Pucci begitu unik dan tersendiri.
Syukur kerana DYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Haj yang masih memelihara warisan seni tenun songket seperti tenun diraja Pahang khususnya. Maka kita boleh melihat kehebatan fabrik ini masih diwarisi walaupun kebanyakan daripada kita memilih untuk menyarung fabrik indah ini di hari persandingan misalnya. Tahniah sekali lagi kerana tenun Pahang dipamerkan di London baru baru ini.
Teringat dulu-dulu sewaktu Allahyarham Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood masih hidup. Beliau mengangkat seni batik dan songket ke paras tertinggi dalam memelihara adat dan budaya kita. Pernah melancarkan kempen ‘Batik Extravaganza’, kemeriahan fesyen batik ketika itu cukup dirasai. Dan sudah tentu gaya yang saya tidak boleh lupa adalah tatkala Ezurin Khyra hadir ke pertunjukan fesyen Chanel di Paris dalam skirt bercorak batik berpotongan extravaganza hasil ciptaan Dato Tom Abang Saufi. Semua mata tertumpu pada ikon fesyen ini ketika itu.
Apa yang kita harapkan sebenarnya adalah bagaimana kita boleh memelihara seni warisan yang kita ada ini dengan bangganya. Jawapannya, peranan pereka dan selebriti untuk memainkan peranan penting agar budaya yang kita warisi ini tidak lapuk di zaman.
- Gambar ikhsan:
- Biyan
- Anne Avanti
- Piala Seri Endon