GAYA HIDUP

Musang King dan Malaya Kopitiam A Proud Raub Home Brand

Tahukah anda puluhan ribu pelancong dari tanah besar China datang ke Raub, Pahang setiap tahun hanya untuk membeli ‘Emas Kuning’ yang tidak terdapat di mana-mana negara lain di dunia? Menikmati keenakan seulas durian yang diberi nama Musang King dan harganya yang mahal mencecah ratusan ringgit sekilo menjadikan durian ini yang termahal hingga dianggap sama nilainya bagaikan logam emas kuning.

Musang King ini bukan sahaja mengharumkan nama pekan Raub dan negeri Pahang malah Malaysia sebagai satu destinasi  pelancongan eko penting sejak lebih sedekad lalu.

Selain hanya terdapat di Raub, Musang King ini amat istimewa berbanding mana-mana jenis durian yang terdapat di serata dunia. Aromanya harum menyengat rongga, teksturnya lembut cair di mulut, seratnya halus malah berkrim. Kata mereka yang ‘gila’ Musang King, manis dan aromanya tidak dapat pada mana-mana durian lain. Its no wonder, the mention of Musang King makes your mouth waters and you don’t mind travelling a thousand miles just to get the taste of it.

Apabila saya, Wirda dan teman-teman yang lain dipelawa Datin Zampergi makan angin sambil makan-makan durian di ladang durian teman baik beliau di Raub, pucuk dicita ulam mendatang. Tentulah kami tidak menolaknya. Menurut Kak Zam (nama panggilan kami), ladang durian yang kami akan lawati milik kawan baiknya Dato  Mahendra Ramaiyah itu memang besar dan dipenuhi pokok durian.

“Bila sampai nanti kita boleh makanlah puas-puas… Haaa! tapi yang dalam perut tu aje free ya,”katanya bergurau, “Kalau nak bawa balik, kena belilah.” Sungguh tidak sabar hendak pergi makan durian terus dari ladang, yes hot from the oven.

Pagi yang dijanjikan kami bertujuh konvoi dengan dua kereta, maklumlah semuanya perempuan, jadi kami saling menjaga dan mengawal perjalanan sesama sendiri dengan doa selamat ke destinasi dan pulang kembali ke Kuala Lumpur tanpa halangan atau masalah.

Cuaca hari itu begitu baik, bagai merestui perjalanan, tidak terlalu panas mahupun hujan, malah lebuh raya tidak sesak dan perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam setengah.

Sesampai kami di Raub lebih kurang jam satu tengahari. Dato Mahe sudah pun menunggu kami di restoran miliknya yang kini amat popular bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan tetapi dikenali pelancong juga, biasanya mereka yang datang atas sebab kerja dan singgah ke Raub untuk mengisi perut.

Tiba depan pintu, saya dan yang lain agak terkejut, rupa-rupanya Dato Mahe muda orangnya. Betul lah seperti yang Kak Zam bayang-bayangkan kepada kami, Dato juga peramah dan buat kami rasa macam dah kenal lama.

Dalaman restoran di lantai bawah dan suasana di dapur… chefnya sedang memasak.

Kerana teruja mahu menjamah durian Musang King agaknya, kami berkira-kira akan terus sahaja menuju ke ladang durian. Dan yang penting, kami mahu makan sepuas hati!

Jangkaan kami yang meleset pada mulanya bertukar seronok, Dato Mahe ada program yang lebih baik untuk kami. Sebaik kami diperkenalkan, Dato Mahe berkeras kami berjamu dulu di restorannya sambil dia bercerita tentang Malaya Kopitiam yang dibukanya empat tahun lalu.

Hiasan dalaman yang menawan menambat hati masyarakat tempatan mahupun para pelancong tempatan dan luar.

Mesti Singgah Makan di Restoran Malaya Kopitiam

“Tidak sempurna  lawatan ke Raub kalau tidak makan di restoran Malaya Kopitiam,” katanya bergurau. Bila beliau menyebut hal itu baru kami sedar, asyik sangat nak makan durian hingga terlupa yang kami belum pun makan tengahari. Pelawaan Dato bagaikan kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.

Restoran dua tingkat selain menghimpun sejarah dan merupakan antara bangunan rumah kedai tertua dan pertama terbina di Pekan Raub, ia mempunyai deko dalaman seperti gaya kopitiam yang kebanyakan kita lihat; menggunakan perabot dan hiasan yang menyerlahkan gaya Baba Nyonya. Suasananya sederhana tetapi cukup menawan dan selesa menjamu selera atau menjamu tetamu.

Ceritanya restoran itu dibuka kerana apabila berpindah ke Raub, dia mendapati sukar menjamu selera di tempat yang selesa dan hidangan pelbagai dengan harga berpatutan. Katanya, Raub memerlukan satu tempat makan yang menarik, sederhana tetapi hidangan hebat dan harga berbaloi.

“Kadang-kadang ada kenalan atau rakan niaga yang datang dari luar seperti Kuala Lumpur misalnya, saya tidak tahu di mana nak bawa mereka makan tengah hari atau malam,” katanya menceritakan bagaimana dia terangsang membuka restoran, “Saya sendiri suka makan semua jenis makanan Melayu, Cina mahu pun India dan Barat, jadi saya konsepkan ia kedai makan kopitiam. Semua ada.

Sambil rancak bercerita Mahe menjemput kami naik ke tingkat atas. Melewati anak tangga, perut yang berkeroncong membuat hidung kami cepat menghidu bau enak yang memang buat air liur kami cair. Dalam hati tertanya-tanya juga, mana Durian Musang King? Saya pasti di kepala yang lain juga memikirkan hal yang sama. Mata menyelinap mencari kalau-kalau ada ternampak longgokan atau sebiji dua di situ.

You all have’nt had lunch right, kalau nak makan durian kena makan nasi dulu. Perut kosong nanti sakit pula.”  Setelah mengambil tempat duduk masing-masing, beliau mencadangkan beberapa menu hangat Malaya Kopitiam. Bermacam-macam mahu kami cuba. Daripada menu signatur yang menjadi bualan dan coretan hangat pengunjung dalam facebook dan IG mereka, seperti sup tulang dan sup ekor Malaya. Paling istimewa tentulah Patin Masak Tempoyak dan Asam Pedas Ekor.

Menu Eksklusif Malaya Kopitiam

“Ini lauk asli turun temurun  kebanggaan orang Pahang dan sekarang terkenal di serata Malaysia,” katanya bangga menunjukkan semangkuk lauk ikan yang nampak menyelerakan. Istimewanya ia hanya terdapat di Malaya Kopitiam saja kerana pelanggan dapat merasa tempoyaknya yang manis dan lemak yang diperbuat daripada durian Musang King.

“Kalau orang luar berkunjung ke sini mesti cuba lauk ni. Yalah macam orang kata kalau dan sampai Raub tak makan Musang King dan Patin Masak Lemak Tempoyak, samalah macam orang tak pernah datang pun.”

Malunya kami tak terhingga, dalam pada tolak menolak, malu-malu kucing rupa-rupanya semua yang terhidang licin kami jamu. Cuma yang tinggal satu dua lauk pauk, itu pun ada mengecek supaya dibungkus untuk dibawa pulang.

Selain hidangan signatur yang menjadi tumpuan pengunjung, beliau turut menjamu kami dengan hidangan goreng-goreng seperti kueyteow dan mi goreng. Begitu pun yang paling saya suka ialah Rendang Daging Malaya.

Rupanya kehitaman seperti Rendang Tok yang menjadi menu tradisi orang Perak pada sambutan Hari Raya cuma bezanya rendang ini basah sedikit dan rempah ratusnya memang membuat rendang ini cukup enak lagi istimewa. Menariknya di sini terdapat juga beberapa hidangan lauk pauk masyarakat Cina, Thai, India  menu hidangan Barat.

Sebaik meja pinggan mangkuk diangkat pergi dan meja dibersihkan, beberapa pelayan membawa dulang-dulang berisi durian yang sudah dibuka kulitnya. Inilah masa yang ditunggu-tunggu.

“Kita lawat ladang lepas ni,” jelas Dato, “Di sini lebih selesa dan semua jenis ada saya bawakan untuk dirasa,” tambahnya sambil menghulurkan dulang-dulang tersebut yang berisi durian. Masha-Allah memang sedap semua durian yang dihidangkannya.

Betul lah seperti yang dikatakan Dato, durian tersebut semuanya dipilih daripada gred terbaik. Beberapa jenis durian Musang King gred A, D24 dan beberapa jenis lagi siap dibuka dibawa masuk oleh pelayan-pelayannya. Baunya memang harum.

Tidak cukup yang di atas meja, sebelum beredar tiba-tiba beberapa pelayan berbimbit bag plastik. Rupa-rupanya Dato bungkuskan pula Nasi Briyani Malaya untuk dibawa pulang.

Dengan perut yang tegang dan sesungguhnya puas, kami menyusuri tangga ke tingkat bawah untuk bergambar dan mengikuti atur cara seterusnya melawat ladang dan ke tempat pengumpulan durian untuk kami membeli.

Puan Emma Shan, Puan Zubaidah Zainuddin, Dato Mahe, Datin Zam Zaicnuddin, Chef Malaya Kopitiam, Datin Khairiah, Puan Fauziah, Wirda Adnan dan Mahani Awang.

‘Emas’ Menguning Di Raub

Raub adalah salah satu destinasi rekreasi dan pelancongan yang menarik  di negeri Pahang dan diwarta rasmi kan sebagai “Pekan Durian Musang King”.  Sebelum terkenal, Raub adalah sebuah kawasan perkelahan air terjun yang penuh dengan keindahan alam semulajadi.

Seperti yang dijanjikan Dato membawa kami melawat ke ladang duriannya. Tapi kami tidak lama di situ memandangkan waktu terhad dan kami tidak mahu pulang bila hari sudah gelap. Apa pun termakbul juga hasrat melihat-lihat bagaimana penanaman durian Musang King yang diusahakan secara komersial.

Dalam perjalanan pulang sekali lagi Dato Mahe mengotakan janjinya untuk membawa kami ke pusat pengumpulan hasil tanaman durian untuk membeli pada harga borong tetapi terjamin mutunya. Sebut saja daripada Musang King, hinggalah D24 semuanya ada di sini.

Ketika menulis rencana ini saya menghubungi Dato Mahe untuk bertanyakan sesuatu dan kami sempat berbual panjang. “Kalau you datang nanti you akan lihat dalaman restoran dah bertukar, dan sekarang lebih menarik,” katanya seronok sambil mempelawa untuk datang lagi, “Saya baru buat ubah suai dalaman untuk keselesaan pelanggan.” Usaha itu memang sudah lama beliau impikan dan sementelah PKP, beliau mengambil kesempatan membuat ubah suai.

Info Menarik Tentang Raub

Raub merupakan salah satu dari 11 daerah di PahangMalaysia.  Raub mempunyai keluasan 2,271 kilometer persegi, yang terletak antara Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benom. Raub berada 110 km dari Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, dan 265 km dari Kuantan, ibu negeri Pahang. Terdapat 37  kampung tradisional dan sembilan kampung baru Cina dalam daerah Raub, Pahang.

Ada banyak tempat menarik di Raub yang belum diketahui ramai. Jika anda sukakan alam semulajadi, tempat menarik di Raub seperti gunung Benom Resort yang terletak di kaki Gunung Benom. Anda pastinya terpesona dengan keindahan alam semulajadi yang belum tercemar dan cuacanya yang sejuk, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi.

Terdapat juga chalet yang diperbuat daripada buluh. Bermalam di chalet buluh mampu memberikan satu pengalaman baru dan pengusaha chalet di Lata Jarum boleh menguruskan percutian lebih bermakna terutama jika ingin mengadakan aktiviti ‘jungle trekking’.

Tiada siapa tahu bagaimana Lata Jarum mendapat namanya, tetapi ada yang beranggapan besar kemungkinan daripada kesejukan airnya yang hingga terasa mencucuk ke tulang. Ramai pelancong gemar ke sini kerana keindahan alam semula jadinya yang mana kawasan sungai di sini berbatu-batan dan aliran airnya agak deras.

Begitupun terdapat juga kawasan-kawasan yang airnya tenang dan tepi sungai yang berpasir. Keadaan ini sesuai bersantai dan bermain air. Di sini, disediakan kemudahan seperti tandas awam, bilik menyalin pakaian, surau, ruang untuk khemah, bangku-bangku yang dipayungi rimbunan pokok hutan, dewan dan kafeteria.

Biasanya pengunjung akan bermalam di sini dan anda mempunyai dua pilihan tempat tinggal, bermalam di dalam khemah kanvas atau bermalam di dalam  chaletnya.

Lata Jarum salah satu lagi destinasi pelancongan yang menarik berada di daerah Raub. Ini kerana ia sebuah kawasan perkelahan air terjun yang penuh dengan keindahan alam semulajadi. Terletak hanya dua kilometer dari kawasan perkelahan Pulau Chekas, perjalanan menaiki kenderaan menyusuri jalan berturap hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.

Setiap hujung minggu, biasanya Lata Jarum menjadi tumpuan ramai untuk, bermandi-manda, dan berbabeku. Selain Lata Jarum, Lata Lembik juga kawasan perkelahan yang terkenal di Raub. Air terjun yang terletak di dalam kawasan perkampungan orang asli Ulu Sungai ini bukan sahaja cantik dan menyegarkan, malah menjadi tumpuan untuk bermandi-manda.

Selain durian, terdapat pokok buah-buahan tempatan yang lain seperti rambutan, langsat, manggis, pisang, dan duku. Kalau anda suka memancing, di sini juga anda boleh memancing. Menarik kan? Destinasi percutian eko-perlancongan yang terdapat di Raub.

Di sini anda akan bermalam di tengah-tengah dusun durian yang lengkap dengan spa. Terbaik anda datang semasa musim buah-buahan di mana anda boleh makan durian dan buah-buahan tempatan yang lain sepuas-puasnya.

Selain itu terdapat juga kawasan yang airnya agak tenang dan mempunyai kawasan tepi sungai yang berpasir, sesuai untuk bersantai dan bermain  dan kemudahan tandas awam, bilik menyalin pakaian, surau, ruang berkhemah, bangku-bangku yang dipayungi rimbunan pokok hutan, dewan dan kafeteria.

Related posts

PERSATUAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK ISTIMEWA SELANGOR (ORKIDS)

adminwm

Meriah Dan Gembira, Marhaban Ya Ramadan

admin

UPGRADING SAMSUNG FOOD

adminwm

Leave a Comment