GAYA HIDUP

Semarakkan Cinta

Februari bulan meraikan cinta. Mahu meraikan pada 14 Februari silakan! It’s a Valentine Day. Atau mahu meraikan pada hari lainnya pun, mengapa tidak? Yang penting ambil lah satu hari di bulan ini untuk meraikan kasih dan sayang dengan mereka yang bersama dan dekat di hati. Percayalah satu masa intimasi ini bersama dengan hidangan istimewa sedikit kelainan daripada hari-hari biasa, akan terpahat ingatan di sanubari setiap ahli keluarga. Di musim PKP tiada alasan tidak menyambut hari-hari bahagia sebegini. Anak-anak saya baru-baru ini meraikan hari jadi ayah mereka, meja dihias cantik dengan hidangan istimewa dan kami bergaya seperti kami berada di restoran mewah. Ya Allah hari itu akan dikenang sampai bila-bila, insha-Allah menjadi amalan di kemudian hari.

Saya juga menunggu Februari untuk berkisah tentang cinta. Subjek yang seronok dibincangkan, yang boleh leka bila dibayangkan, yang kalau pun mengalir air mata, ia air mata gembira bukan derita. Satu perkataan yang dikira keramat, kerana ia membahagia akan empunya diri, kurniaan yang sungguh istimewa bila diri diselubungi cinta.

 ‘Cinta bukan mengajar kita lemah tapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghina diri tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat’- Buya Hamka

Ya, ini antara pengertian cinta. Seyugia, cinta mengajak kepada kedamaian, kemakmuran, keselesaan, keseronokan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Cinta, ia  memanggil manusia untuk berlaku adil, berbagi rezeki, saling bantu membantu, yang susah tidak diabaikan, yang sakit turut dirawat supaya sama-sama merasai nikmat hidup. Suka duka dirasai bersama. Cinta juga memaklumkan kepada orang lain bahawa jangan bersengketa, jauhi fitnah, hasutan, kebencian dan keji-mengeji. Cinta bukan pertualang kepada kejayaan, bukan rasuah, bukan tebuk pintu belakang (sekadar meminjam perkataan yang paling hangat diperkatakan kebelakangan ini). Love speaks out for justice and protest when harm is being done. Love point out the consequences of hurting oneself or others.  Love cares what becomes of you, because love knows that we are interconnected. Love is inherently compassionate and empathic. Love honors the sovereignty of each soul. Love is its law.

Dan cinta yang paling agung adalah cinta kepada Yang Maha Kuasa, kepadaNya kita berserah  ke atas segala rahmatNnya, yang menganugerahi kita nyawa, dan  yang akan mengambilnya 

semula dan menghidupkan kita kembali bila tiba harinya nanti.

Hari ini, sama ada kamu sedari, rata-rata kita hidup dengan sedikit sangat perasaan cinta di dalam diri. Semakin ramainya manusia bijak dan kaya, semakin tinggi sifat tamak haloba. Para cerdik pandai bertebaran di muka bumi ini, mereka dalam pelbagai ilmu duniawi juga ilmu akhirat tetapi ramai juga menggunakan kebijaksaan untuk menindas dan mengambil kesempatan, orang di atas memijak yang di bawah. Usah pergi jauh, di negara kita tiada yang buta huruf lagi, maknanya orang semakin pandai tetapi sayangnya ramai yang menjadi rakus, dan semakin sombong. Semakin tinggi ilmu semakin nipis sifat tidak peduli kepada orang lain. Merompak, menyamun dengan menggunakan kuasa yang ada. Rasa kasih dan cinta sesama rakyat tidak menjadi agenda penting. Cinta sanggup dikorbankan demi kuasa. Derita orang lain itu tanggungan sendiri. Sesetengah, kalau keluarga sendiri pun sanggup dimusuhi apatah lagi yang tiada kaitan darah, tidak sebangsa dan seagama.  Lagi lah tiada rasa cinta. Buka internet, sana sini kutuk mengutuk, menghentam, mencarut, ya sudah tidak boleh dikawal lagi. Netizen, buka mata mencari kesalahan orang, bloggers tiap hari mencipta fitnah, menggadai nama-nama yang tidak berpihak kepadanya dengan tiada rasa takut dan berdosa. Terlalu ramai  kawan ‘membunuh’ kawan, saudara mara bersengketa, semua demi kepentingan peribadi. Di mana hormat, kasih sayang ke laut. Sungguh menyedihkan. 

Lebih saya pilu dan terkedu, melihat Ebit Liew tunduk sayu. Dia dikecam, dituduh mencari publisiti murahan dan dihalang menghulur bantuan. Mengapa bila ada insan sebegini luhur dan sanggup membantu, bukan sedikit, sebaliknya mengelilingi satu Malaysia mencari rakyat-rakyat yang daif, (anda bayangkan sebuah keluarga 13 orang tinggal dalam pondok lantai papan yang rapuh kadang-kadang ada ular masuk, atap berlubang), di situlah tempat tidur mereka, tempat makan, membaca, menulis dan di sebelah tepinya tandas yang airnya mengalir entah ke mana). Allahuakbar, kalau keluarga seperti ini tidak dibantu, dibiarkan mereka tinggal sebegini, dan sudah lebih 35 tahun di situ menderita, dan datanglah seorang hamba Allah bernama Ebiet Liew membantu membina kan hidup baru dengan menyewakan rumah untuk mereka, mengasing bilik anak remaja lelaki, anak gadis, ibu dan ayah, (dan bukan satu keluarga sahaja tetapi sudah beratus-ratus keluarga seperti ini diselamatkan daripada sengsara dunia), tidak cukup pada manusia dia ke Zoo Negara, harimau dan singa juga diberikan makanan, Allahu, mengapa dia dikecam? Tolong jawab! Malah bila ada pihak yang mahu menyumbatnya di penjara kalau tidak mengikut prosedur (hendak bantu pun kini kena ikut prosedur), masha-Allah tidak boleh ‘brain’ (bahasa anak muda sekarang) sungguh busuknya hati orang sedemikian. Berapa orang seperti Ebiet yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, harta benda dan entah apa lagi, hanya untuk membebaskan mereka yang menderita. 

Alihmaalu yaqtulul hubba, wan nisyaanu yadfinuhu – ertinya ketidak pedulian membunuh cinta, dan ketidak ingatan yang menguburkanya.

Ebiet lakukan hanya kerana kasih dan sayangnya kepada insan-insan yang tidak bernasib baik, tidak seperti saya dan kamu yang dikurniakanNya serba cukup. Ebiet satu hamba Allah sebagai satu contoh, yang tinggi sifat cintanya. Katanya, “Apa yang akan saya jawab kepada Allah nanti, saya yang berkemampuan tetapi membiarkan dan membenarkan ‘keluarga-keluarga saya ini’ menderita?”

Cinta adalah pemberian terbaik, cinta juga adalah penghargaan terbesar untuk yang menerimanya.

Sahabat, belajar lah menjadi seorang pencinta; cinta kepada keamanan, kesejahteraan semua, cinta kepada kestabilan politik negara, cinta kepada ahli keluarga semestinya, sahabat dan mereka yang bernyawa. Apa akan jadi kalau asyik bersengketa. Bermuafakat lah, carilah satu titik harmoni supaya negara ini menjadi aman, dan ekonomi kembali mantap. Saat ini, kita 

rata-rata hidup dalam kebimbangan, bimbang dijangkiti covid19, bimbang tiada sumber pendapatan, takut kelaparan, bimbang anak-anak tidak bersekolah, bimbang orang tua di kampung sudah tidak dijengok berbulan-bulan, bimbang mereka pergi buat selama-lamanya dan tidak boleh mengiringi ke pusara. Andai kita cintakan negara ini, kita semua wajib menadah tangan memohon kepadaNya diberikan pemimpin yang mendahului kebajikan rakyatnya, diangkat wabak yang membunuh ini, dan kembalikan alam yang permai ini tempat yang gembira untuk didiami 

Sahabat, hidup kan cinta bukan setakat sesama manusia, tetapi makhluk Allah yang lain. Saya paling bangga punya kawan yang sanggup setiap malam keluar ke lorong-lorong kedai di kawasan perumahannya di Bangi dan memberikan makan kucing-kucing di situ. Hendak dibawa ke rumah, katanya sudah tidak ada ruang kerana kucing-kucing peliharaan sudah cukup banyak, tetapi demi cinta kepada binatang yang satu ini, dia sanggup berhabis malah ribu ringgit. Ada kata dia bodoh, rumahnya hancing kencing kucing dan busuk, entah lah, katanya…’sedangkan seorang penzina diangkat Allah ke syurga hanya kerana memberi makan anjing yang kelaparan, apakah kasih sayang aku ini tidak menerima habuan yang sama. InshaAllah dan ini sahaja yang aku mampu lakukan.”

Noraini Sulung, aku tabik hormat kepada kamu, love you so much.

Jom kita semarakkan cinta, cinta kepada alam yang menghijau, di lautan yang membiru, khazanah dunia untuk manusia menikmatinya, kerana Allah melebihi cintaNya kepada kita semua, aamiin. 

Rencana ini disiarkan di dalam https://www.getaran.my/artikel/kolum/774/semarakkan-cinta

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button