Seorang isteri yang diceraikan dan apakah pantang larang dalam edah?
Edah, idah atau dalam bahasa Arabnya ‘iddah‘ bermaksud tempoh menunggu di mana ianya adalah tempoh masa yang akan dilalui oleh perempuan selepas perceraian atau kematian suami. Hukum iddah menurut syara adalah wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami.Firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَنْ يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِنْ كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa `iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Tempoh iddah mengikut situasi
Tempoh ‘iddah wanita yang bercerai ialah tiga kali suci. Jika wanita tersebut ditalaq semasa dalam keadaan yang suci, tempoh ‘iddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga. Jika ditalaq sewaktu dalam keadaan yang haid, ‘iddahnya tamat apabila datang haid yang keempat.
Jika wanita itu ditalaq ketika mengandung, tempoh ‘iddahnya sehingga dia bersalin atau kandungannya gugur.
Bagi wanita yang ada masalah haid seperti putus haid ataupun haid yang tidak teratur, tempoh ‘iddahnya selama tiga bulan.
Situasi Bercerai | Tempoh Iddah |
Bercerai ketika suci | 3 kali suci haid |
Bercerai ketika haid | 4 kali suci haid |
Putus haid / menopause | 3 bulan |
Haid yang tidak teratur | 3 bulan |
Mengandung | Sehingga kelahiran / keguguran |
Firman Allah:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِنْ نِسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ ۚ وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Dan barang -siapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.
Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah di mana Rasulullah SAW memerintahkan Barirah untuk ber’iddah dengan tiga kali haid. Wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah mempunyai batasan hukum yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam tempoh tersebut. Antara perkara yang perlu dipatuhi ialah:
- Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
- Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
- Tidak dibenarkan keluar rumah dalam edah kecuali dengan keizinan suami.
- Tidak dibenarkan berkabung. Malah mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.
- Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam keadaan yang diperlukan sahaja seperti bekerja dan mendapatkan rawatan perubatan. Termasuk dalam larangan juga ialah keluar bermusafir walaupun untuk menunaikan ibadah Haji.
- Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya) dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ) kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata“
Dapat difahami di sini bahawa wanita yang masih dalam edah, mereka masih boleh duduk dan tinggal sekali bersama suaminya.
Malah suaminya wajib membayar nafkah kepada isterinya selama dalam tempoh ‘iddah. Tujuan dan hikmahnya agar suami dan isteri dapat berfikir dan menilai semula tindakan mereka, seterusnya dapat mengelakkan perceraian yang mungkin berlaku.
Bolehkah Isteri Berkahwin Semula Dengan Bekas Suami Walaupun Telah Habis Tempoh Iddah?
Menurut pandangan Mazhab Syafie, suami tidak boleh tinggal sekali bersama isterinya dalam tempoh ‘iddah, kecuali mereka tinggal bersama mahram seperti ibu bapa atau adik-beradiknya.
Jika suami tetap berterusan tinggal bersama isterinya tanpa mahram, dibimbangi berlakunya berkara yang melanggar syarak, kerana hubungan suami isteri menjadi haram dan berdosa besar kerana gugurnya talak.
Sekiranya terdapat mahram di dalam rumah, harus hukumnya bagi suami masuk atau tinggal bersama di dalam bilik yang berasingan.
Manakala menurut mazhab Hanafi pula, rujuk boleh dengan ucapan dan boleh juga dengan perbuatan sama ada menyetubuhi, mencium, menyentuh, melihat dan sebagainya.
Wallahualam.
Berapa lamakah tempoh iddah wanita yang bercerai/kematian suami?
Tempoh ‘iddah bagi wanita yang bercerai atau kematian suami adalah tiga kali suci. Bagi yang menopause tiga (3) bulan. Manakala wanita yang mengandung, adalah sehingga dia bersalin atau kandungannya gugur.
Bolehkah suami tinggal bersama isteri dalam tempoh iddah?
Boleh sepertimana firman Allah SWT dalam Surah At-Talaq, ayat 1. Tapi dalam Mazhab Syafie, suami tidak boleh tinggal sekali bersama isterinya dalam tempoh ‘iddah, kecuali ada mahram seperti ibu bapa atau adik-beradiknya.
Adakah suami wajib memberikan nafkah isteri semasa iddah?
Ya. Suami wajib menanggung seluruh nafkah si isteri termasuk nafkah tempat tinggal semasa dalam tempoh iddah.
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedangkan mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut (yang diluluskan oleh Syarak), dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui apa jua yang kamu lakukan.”
5. Dalam firman di atas, Allah tidak menjelaskan kenapa mesti 4 bulan 10 hari. Kenapa tidak hanya empat (4) bulan sahaja atau (5) bulan sahaja. Kenapa mesti empat (4) bulan dan 10 hari. Berkaitan dengan hikmah tempoh iddah ini, beberapa pandangan yang diberikan ulama untuk menyokongnya adalah seperti berikut:
5.1. Sa’id ibnul Musayyab dan Abul Aliyah menyatakan bahawa hikmah penentuan ‘iddah bagi wanita yang kematian suaminya selama 4 bulan 10 hari ialah kerana kemungkinan rahimnya telah terisi dengan kandungan dalam tempoh tersebut. Untuk itu, apabila wanita yang berkenaan menunggu dalam ‘iddahnya selama tempoh itu, kandungannya yang berisi sudah tentu dapat dilihat.
5.2. Di dalam hadis riwayat Ibnu Mas’ud yang terdapat dalam kitab Shahihain dan kitab lainnya disebutkan seperti berikut;
“Sesungguhnya penciptaan seseorang di antara kamu dihimpun dalam perut ibunya selama 40 hari berupa nutfah, lalu menjadi ‘alaqah dalam masa yang sama (40 hari), kemudian beralih menjadi segumpal daging (mudghah) dalam masa yang sama, kemudian diutus padanya malaikat, lalu malaikat itu meniupkan roh ke dalam badannya.”
5.3. Ketiga-tiga 40 hari (40 hari x 3 = 120 hari) ini sama bilangannya dengan 4 bulan. Adapun 10 hari yang selepasnya merupakan masa cadangan kerana adakalanya bilangan sebahagian bulan itu ada yang tidak genap. Selepas roh ditiupkan ke dalam janin, maka janin mulai bergerak yang menandakan bermulanya penghidupan seorang manusia dalam rahim ibunya.
5.4. Sa’id ibnu Abu Arubah meriwayatkan dari Qatadah yang pernah bertanya kepada Sa’id ibnul Musayyab, “Untuk apakah yang 10 hari itu?”. Sa’id ibnul Musayyab menjawab, “Di masa itu dilakukan tiupan roh ke dalam tubuh janin.”
5.5. Ar-Rabi’ ibnu Anas pernah mengatakan, “Aku pernah bertanya kepada Abul Aliyah, “Mengapa 10 hari ini ditambahkan kepada 4 bulan?” Abul Aliyah menjawab, “Kerana digunakan untuk masa peniupan roh ke dalam tubuh janin.” Kedua-dua atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Jarir. [Imam Ibnu Katsir – Tafsir Ibnu Katsir, surah Al-Baqarah, ayat 234].
6. Tempoh iddah ditetapkan dalam Islam bertujuan untuk memastikan benih suami terdahulu tidak ada dalam rahim si balu. Ia bertujuan untuk mengelakkan pencampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang mungkin baru dikawininya selepas kematian suaminya. Begitulah betapa cermatnya Islam menjaga keturunan/baka manusia agar zuriat seseorang itu sahih siapa bapanya.
7. Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh iddah juga ialah tempoh berkabung bagi menghormati arwah si suami. Dalam tempoh iddah ini wanita dilarang memakai pakaian berwarna yang menarik perhatian seperti merah dan kuning, memakai wangi-wangian atau haruman walaupun pada waktu malam sama ada pada pakaian atau tubuh badan, menghias diri seperti berinai, bercelak mata atau mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta mata yang berwarna dan berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat dari emas atau perak, permata dan sebagainya. Wanita juga dilarang keluar dari rumah melainkan untuk urusan sangat penting seperti keluar bekerja mencari nafkah ataupun urusan untuk berubat.
8. Walau bagaimanapun, seorang wanita yang sedang hamil dan suaminya meninggal, tempoh iddahnya bukan empat bulan 10 hari tetapi sampai dia melahirkan anak (tak kira berapa lamanya).
9. Begitulah maha bijaksananya Allah SWT yang mencipta manusia menetapkan hukum dan peraturannya kepada manusia.
Sumber Majlis Agama Islam