kesihatan

Hidup dengan Kanser Prostat: Beban Tersembunyi Yang Ditanggung Penjaga Keluarga

Diagnosis kanser prostat bukan memberi kesan kepada satu individu sahaja.

Apabila insan tersayang menghidap kanser prostat, kehidupan seluruh ahli keluarga biasanya menjadi perjalanan yang panjang, penuh emosi dan tanpa disedari ia menjadi cukup melelahkan. Walaupun pemilihan rawatan ditentukan di klinik dan hospital, tetapi realiti penjagaan harian berlaku di rumah, di mana pasangan, anak-anak atau ahli keluarga lain mengambil peranan sebagai penjaga – menjalankan tugas yang tidak pernah terlintas di fikiran.

Hari Kanser Sedunia menjadi peringatan penting bahawa penjagaan kanser bukan sekadar mendapatkan rawatan; ia meresap ke dalam setiap aspek kehidupan.

Ini kisah perjalanan penjagaan pesakit, dari sudut pandang tiga pakar kesihatan mengenai penjagaan harian, dan bagaimana kemajuan terkini dalam onkologi dan perubatan nuklear membantu mengurangkan ketidakpastian perubatan dan tekanan emosi.

Kanser Prostat di Malaysia: Mengapa Keluarga Sangat Penting

Di Malaysia, kanser prostat merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang lelaki. Penyakit ini biasanya dihidapi oleh lelaki berumur 50 tahun ke atas, dengan peningkatan mendadak selepas umur 60, dan sekurang-kurangnya tiga dalam lima lelaki yang menghidap kanser prostat didiagnos pada tahap lanjut. Pada tahap ini, pilihan rawatan menjadi lebih kompleks dan hasil rawatan menjadi kurang memberangsangkan.1, 2

“Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketiadaan saringan kanser secara rutin dan kecenderungan untuk menganggap tanda amaran awal seperti sukar buang air kecil sebagai sebahagian daripada proses penuaan – yang mengakibatkan penyakit ini lambat didiagnos dan dirawat,” kata Dr Ang Soo Fan, Pakar Perunding Onkologi Perubatan. “Apabila lewat didiagnos, kesan penyakit pada tahap lanjut seperti sakit tulang, kesukaran menjalani aktiviti harian dan jangka hayat yang lebih singkat tidak hanya dirasai oleh pesakit, bahkan seluruh keluarga.”

Menurut Dr Ang, keluarga memainkan peranan yang sangat penting sejak awal, dengan menggalakkan saringan awal, menyokong pemilihan rawatan dan membantu pesakit supaya sentiasa bersemangat sepanjang perjalanan rawatan mereka.

“Diagnosis kanser sememangnya sentiasa mencabar, dan kebimbangan setiap orang itu berbeza-beza,” jelasnya. “Sesetengah pesakit bimbang mereka hilang keupayaan untuk berdikari atau menjadi beban kepada insan tersayang. Ada juga pesakit yang menganggap kanser sebagai hukuman mati. Antara peranan kami ialah membantu pesakit dan keluarga mereka memahami bahawa dengan pilihan rawatan terkini, terapi untuk kanser prostat tahap lanjut pun boleh memberi tindak balas yang baik , membolehkan ramai pesakit mengekalkan hidup yang berkualiti.”

Beliau menambah, komunikasi yang terbuka dan berkesan, menetapkan jangkaan yang realistik dan mematuhi pelan rawatan adalah sangat penting – dan penjaga merupakan rakan utama dalam perjalanan ini.

Peranan Penjaga Keluarga: Bukan Sekadar Bantuan Praktikal

Bagi kebanyakan keluarga, penjagaan bermula secara tiba-tiba dan tugas ini semakin berat dengan perkembangan kanser. Anak dewasa dan ahli keluarga lain yang menjaga bapa yang semakin uzur terpaksa mengimbangi kerjaya, tugas sebagai ibu bapa dan tanggungjawab perubatan, selain perlu memberi perhatian kepada tuntutan fizikal dan emosi diri sendiri sebagai penjaga.

“Beban penjagaan ini melibatkan kedua-dua aspek fizikal dan emosi. Contohnya, mereka membantu menguruskan temujanji, perubatan dan penjagaan harian, dan pada masa sama turut memberi sokongan emosi kepada pesakit. Ia boleh jadi sangat membebankan,” kata Jururawat Berdaftar Quah Sui Jing, yang dilatih untuk memberi kaunseling kepada pesakit dan penjaga mengenai penyesuaian yang perlu dilakukan dalam rutin harian dan penjagaan pesakit.

Dalam banyak keadaan, Jururawat Quah dan rakan sejawatnya menawarkan sokongan yang tidak terkira kepada penjaga, menjadi penghubung antara pesakit dan pasukan perawat.  Selain penjagaan harian, mereka juga turut serta dalam sesi konsultasi, membantu pesakit memahami maklumat perubatan dan memastikan pelan rawatan dipatuhi.

Pengurusan Kanser Prostat: Pendekatan Berpasukan

Oleh kerana penjagaan kanser prostat boleh menjadi rumit, maka pesakit akan mendapat manfaat terbaik daripada pendekatan bersepadu yang menggabungkan pelbagai bidang membabitkan pakar onkologi, urologi, perubatan nuklear dan jururawat khusus.

“Pendekatan bersepadu ini memastikan pilihan rawatan disesuaikan untuk setiap pesakit dan dibuat dengan maklumat yang lengkap,” kata Dr Ang. “Ia juga membolehkan keluarga untuk terlibat sejak awal, terutama apabila keputusan bersama diperlukan.”

Ketika sesi konsultasi, ahli keluarga digalakkan untuk bertanya sebarang soalan yang dapat membantu mencapai hasil rawatan yang lebih baik untuk insan tersayang.

Bagaimana Kemajuan Diagnosis dan Rawatan Boleh Meringankan Beban Penjaga

Bagi kebanyakan keluarga, ketidakpastian mengenai perkembangan penyakit merupakan salah satu aspek yang paling mencabar. Di sinilah perubatan nuklear memainkan peranan penting.

“Bagi kebanyakan pesakit pula, perjalanan bermula dengan penentuan tahap penyakit, untuk mengetahui di mana dan sejauh mana kanser telah merebak,” kata  Dr Alex Khoo Cheen Hoe, Pakar Perunding Perubatan Nuklear. “Untuk tujuan ini, kami menggunakan imbasan yang dikenali sebagai pengimejan PSMA, iaitu antigen membran khusus prostat. Banyak kajian  menunjukkan bahawa pengimejan PSMA jauh lebih sensitif berbanding imbasan konvensional, membolehkan doktor untuk mengesan kanser prostat dengan lebih tepat, walaupun ketika tumor masih kecil atau sukar dilihat. Ini membolehkan pengesanan yang lebih awal dan tepat untuk menentukan lokasi dan tahap penyebaran kanser, terutama dalam populasi seperti di Malaysia, di mana ramai pesakit didiagnos pada peringkat lanjut.”

“Bagi kebanyakan pesakit, perjalanan rawatan bermula dengan penentuan tahap penyakit, iaitu untuk memahami di mana kanser berada dan sejauh mana ia telah merebak,” kata Dr Alex Khoo Cheen Hoe, Pakar Perunding Perubatan Nuklear. “Salah satu pendekatan yang digunakan ialah teknik pengimejan yang mengesan sel kanser prostat yang mengekspresikan PSMA (antigen membran khusus prostat). Ia ini dikenali sebagai pengimejan PSMA PET. Pengimejan PSMA PET ini telah terbukti dalam banyak kajian sebagai jauh lebih sensitif berbanding imbasan konvensional, membolehkan doktor mengesan kanser prostat dengan lebih tepat, walaupun ketika tumor masih kecil atau sukar dikesan. Ini membolehkan pengesanan yang lebih awal dan tepat untuk menentukan lokasi dan tahap penyebaran kanser, terutama dalam populasi seperti di Malaysia, di mana ramai pesakit didiagnos pada peringkat lanjut.”

“Dengan pengimejan PSMA PET, kami melihat apa yang kami rawat, dan kami merawat apa yang kami lihat – ini membantu kami membuat pilihan rawatan dan membolehkan kami merancang terapi yang paling sesuai serta memantau keberkesanan rawatan. Semua in sangat melegakan pesakit dan penjaga, kerana mereka boleh melihat dengan jelas apa yang berlaku sepanjang rawatan, sekali gus membantu mengurangkan kebimbangan serta memberi dorongan untuk pesakit meneruskan rawatan,” jelas Dr Khoo.

Dalam kes kanser tahap lanjut di mana rawatan standard tidak lagi sesuai atau berkesan, terapi radioligand (RLT) boleh dipertimbangkan. Pengimejan PSMA PET juga memainkan peranan dengan  “menyuluh” sel kanser prostat secara tepat, seperti sebuah dron memantau sasaran. Ini membolehkan RLT menyerang tumor dengan tepat dan jitu, sambil meminimumkan kesan terhadap tisu sihat di sekelilingnya. Bagi pesakit, kaedah ini memberi kesan sampingan yang lebih ringan dan mereka boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik sepanjang tempoh rawatan.3

“Sesetengah pesakit dapat kembali bekerja dan meneruskan aktiviti harian. Rawatan juga memberi mereka peluang menikmati detik yang bermakna untuk menghadiri acara penting dan merancang masa hadapan,” tambah Dr Khoo. “Namun, kami juga sangat realistik, khususnya dengan pesakit kanser prostat peringkat lanjut, bahawa penyakit ini boleh berulang walaupun selepas rawatan yang berjaya. Pesakit perlu faham bahawa walaupun terapi boleh membantu memanjangkan jangka hayat, tetapi imbasan dan pemantauan secara berkala tetap penting supaya kita dapat mengesan sebarang perulangan lebih awal.”

Panduan Praktikal Penjagaan Harian

Ketika menerima rawatan perubatan nuklear, pesakit perlu membuat penyesuaian terhadap gaya hidup dan tabiat harian mereka, dengan sokongan pasukan perawat bersepadu dan penjaga.

Berdasarkan kepakaran bersama, Jururawat Quah dan Dr Khoo memberi nasihat praktikal untuk membantu penjaga melaksanakan tanggungjawab harian dan menyokong pesakit sepanjang tempoh rawatan, antaranya:

  • Kekal teratur: Gunakan jadual ubat, bekas penyusun pil dan peringatan untuk temujanji. Pesakit yang menjalani rawatan RLT lazimnya memerlukan ujian darah berkala (biasanya setiap dua hingga empat minggu) dan kitaran rawatan pula dijarakkan beberapa minggu (sekitar enam hingga lapan minggu).
  • Menyokong pesakit untuk berdikari: Beri bantuan apabila diperlukan, tetapi biarkan pesakit berdikari jika keadaan mengizinkan. Sekiranya pesakit lemah atau uzur, belajarlah cara untuk membantu mereka melakukan rutin harian seperti mandi, menjaga kebersihan diri dan bergerak dengan selamat di dalam rumah. Pertimbangkan penggunaan botol kencing atau lampin dewasa untuk kemudahan.
  • Memantau gejala: Galakkan komunikasi terbuka. Sesetengah pesakit mungkin menyembunyikan kesakitan, keletihan atau tekanan emosi kerana tidak mahu membimbangkan keluarga. Walaupun gejala ringan boleh diuruskan di rumah atau dengan bantuan doktor keluarga, sebaiknya rujuk juga pasukan perawat. Untuk gejala yang lebih serius seperti sesak nafas atau muntah, segera hubungi pasukan perawat atau bawa pesakit ke Jabatan Kecemasan.
  • Galakkan tabiat yang sihat: Aktiviti ringan, pemakanan seimbang dan pengambilan air yang secukupnya membantu pesakit kekal kuat untuk meneruskan rawatan.
  • Persediaan penjagaan selepas rawatan bagi apa juga bentuk perubatan nuklear seperti terapi radioligand (RLT). Pesakit perlu:
    • Berehat jika penat, atau hanya melakukan aktiviti ringan.
    • Mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1-meter daripada orang lain selama 2 hari; wanita hamil dan kanak-kanak perlu menjarakkan diri mereka dari pesakit selama 7 hari untuk mengelakkan pendedahan. Penjaga juga boleh membuat persediaan awal dengan meletakkan barangan keperluan seperti minuman dan snek pada jarak yang boleh dicapai, selain mengatur waktu menghantar makanan.
    • Minum lebih banyak air untuk mengurangkan masalah mulut kering (antara kesan sampingan yang boleh berlaku), mencegah dehidrasi dan membantu menyingkirkan radiasi melalui air kencing.
    • Duduk semasa buang air kecil untuk mengelakkan pencemaran ke kawasan sekeliling, dan mengepam air tandas sebanyak dua kali. Jika pesakit perlu menggunakan botol kencing atau bekas penampung najis, penjaga perlu memakai sarung tangan semasa mengendalikan dan membersihkannya.
Menjaga Kesihatan Emosi – Termasuk  Emosi Diri Sendiri

Tekanan emosi adalah perkara biasa bagi pesakit dan penjaga, terutama dalam kanser prostat peringkat lanjut.

“Pesakit mungkin mengalami perubahan emosi, berasa marah atau kecewa,” kata Jururawat Quah. “Walaupun dalam keadaan sukar, penjaga perlu kekal tenang dan sentiasa memberi sokongan kepada pesakit, di samping mengetahui had diri sendiri.”

Beliau menegaskan, penjagaan diri bukan satu pilihan tetapi satu keperluan. Berkongsi tanggungjawab dengan ahli keluarga lain, mendapatkan sokongan emosi dan berhubung dengan kumpulan sokongan penjaga atau pesakit dapat membantu mencegah kelesuan  melampau.

“Anda tidak mungkin dapat menjaga orang lain jika anda sendiri sudah terlalu lesu,”

Melangkah Ke Hadapan, Bersama-sama

Hidup dengan kanser prostat adalah satu perjalanan yang melibatkan seluruh keluarga. Berbekalkan maklumat, sokongan dan panduan perubatan yang betul, penjaga boleh memainkan peranan besar dalam membantu insan tersayang mengharungi rawatan dan menjalani kehidupan seharian dengan bermaruah dan yakin.

“Ambil satu langkah pada satu masa,” kata Dr Ang. “Tanya soalan, teruskan penglibatan, dan ingatlah bahawa dalam perjalanan ini anda tidak bersendirian.”

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penjagaan kanser prostat dan sokongan penjaga, berbincanglah dengan doktor atau jururawat anda, atau layari aplikasi ICanCare untuk sumber dan panduan tambahan.

# # #

Rujukan:
  1. Summary of The Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021. https://nci.moh.gov.my/images/pdf_folder/SUMMARY-OF-MALAYSIA-NATIONAL-CANCER-REGISTRY-REPORT-2017-2021.pdf
  2. Lim J et al. Prostate cancer in multi-ethnic Asian men: Real-world experience in the Malaysia Prostate Cancer (M-CaP) Study. Cancer Med. 2021;10(22):8020–8028. doi:10.1002/cam4.4319.
  3. American Journal of Managed Care. Will the Coming Radiopharmaceutical Wave Reach More Patients with Cancer? April 2025, Volume31, Issue 04 (SP181-SP183). https://www.ajmc.com/view/will-the-coming-radiopharmaceutical-wave-reach-more-patients-with-cancer-

Related posts

Adab Makan & Makanan Sunnah Saranan Rasulullah SAW

adminwm

Makanan Ultra-Proses: Memahami Kerumitannya

adminwm

LEMPOYANG DAN KHASIATNYA

adminwm

Leave a Comment