GAYA HIDUP

Evolusi Penerbitan Majalah dan Media Digital

Dewan Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bermandi cahaya. Rakan-rakan di akhbar dan majalah, rakan penggiat industri dan media baru juga tetamu-tetamu yang senang melayan telinga dengan pelbagai ilmu penerbitan; tentang dulu dan kini, dengan kebangkitan AI dan penerbitan akhbar dan majalah dalam dunia digital, pastinya tidak sabar menunggu moderator Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar memulakan bicara untuk satu forum khas bertajuk ‘Evolusi Penerbitan Majalah dan Media Digital di Malaysia’.

Saya sendiri amat teruja kerana buat kali pertamanya menerima jemputan untuk berada di pentas bersama tiga lagi ahli panel; Mantan Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI) YBhg.Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pengarah DBP Dr. Hazami Jahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute, YBrs. Tuan Haji Ainol Amriz Ismail dan saya sebagai Pengasas portal Majalah WM/WM Heart Malaysia. 

Banyak sekali ilmu yang saya sendiri kutip daripada rakan panel, kepada Datuk Chamil yang melahirkan rasa tanggung jawabnya sebagai orang yang banyak sekali pengalaman dalam dunia majalah, ya mahu mengekalkan konsep majalah itu sendiri sekalipun dalam bentuk digital, ‘bukan dua tiga caption story,” katanya. Benar penulisan majalah berbeza dengan tulisan berbentuk berita, maka saya sambung, “jika bunga-bunga bahasa diketepikan sama sekali.. nah tiada lagi indahnya sebuah majalah.” Saya sendiri, bermula beralih daripada majalah cetak ke digital, saya pegang cara tradisi yakni sifatnya seperti majalah mesin cetak, cumanya bertukar ke digital. Gembira pabila Dr, Hazami sendiri sebagai Ketua Pengarah DBP masih mengekal majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa yang sedia ada disamping menjayakan perkembangan teknologi kini yang lebih pantas lagi berkesan sesuai peredaran masa. Dan masa sama melayan perkembangan teknologi digital yang dibangkitkan dalam diskusi itu oleh Tuan Haji Ainol Amriz.

Tamat majlis saya didatangi dua tetamu yang minta saya menulis buku mengenai pengalaman sebagai editor majalah. “Kisah Puan menarik untuk dibukukan. Saya kagum Puan masih rancak bekerjaya seolah tidak jemu melayari arus perkembangan semasa.” Sementara yang seorang lagi mahu saya jangan berani berhenti menulis. Kerana apa? Tanya saya. “Cara tulisan Puan lain, saya tidak jemu malah mengulangi membacanya lagi. Saya percaya kalau dibuku, ia pasti laris. Satu lagi walau baru hari kita bersua muka, tetapi saya rasa macam kenal lama…” Hemm terima kasih.

Antara tetamu yang hadir hari itu termasuk Sasterawan Negara, Datuk Seri Abdul Samad Mohamed Said (A. Samad Said). Abang Samad inilah antara insan yang menjuruskan saya ke dunia penulisan kerana terpikat sangat dengan novel-novelnya, puisi dan sajaknya, dahulunya saya hafal.

“Kita wajar mendaki lagi
kerana puncak yang jauh.
Dalam gelora dan taufan tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan, inti tunggak dan menara kebahagiaan.”

A Samad Said.

Ya, bilakah saya pandai menggunakan bahasa yang seindah diukirkan oleh Abang Samadi.

Terima kasih kepada DBP kerana memberi saya peluang sepentas bersama warga penggiat industri penulisan, dan bertemu dengan mereka yang bijak pandai. Ya, saya bangga dapat meraikan mereka di sana. 

Related posts

Raikan Musim Perayaan Hujung Tahun Penuh Glamor dan Memori di Hilton Petaling Jaya

Afiza Kamarulzaman

Suami Ditinggalkan Kerana Kanser, Menyusahkan Hidup

admin

How AI Transforms Your Creativity With the Galaxy S23 Ultra’s Signature Camera

adminwm

Leave a Comment