EX BIBIK

Curi Coli Isteri Menteri Beli Susu Baby

Tahun kedua aku sebagai pelajar di sebuah universiti di Utara. Tahun yang sama aku melahirkan anak, anak yang tidak berbapa, yang tidak sah taraf. Anak ini yang nanti akan menyoal aku, siapa bapanya? Mengapa dibinti tidak sama dengan adik-adik dan, ya mengapa?

Tahun kedua, terlalu banyak cerita. Cerita pertama, aku jatuh cinta. Belum pernah aku rasa indahnya cinta. Semenjak mak dan ayah bercerai, aku dibela oleh nenek yang tua, yang hidup papa kedana, dan di waktu kecilnya hidupnya sungguh sengsara. Kerana itu aku terpaksa mencari kayu api, bukan sangat untuk memasak tetapi demi sesuap nasi. Nenek akan meletakkan di tepi jalan, dan siapa yang meminta untuk mendapatkannya, membeli dan wang itulah untuk kami hidup berdua.

Betul aku sudah jatuh cinta tapi tiada aku tahu yang dia punya isteri dan beranak dua. Namun perkara itu hanya aku sedari setelah aku menyerahkan diri pada dia. Mengapa begitu mudah aku mempercayainya? Dan sanggup melakukan perbuatan yang keji ini? Kerana aku ingat kalau cinta, perlu apa aku takut untuk berkongsi apa sahaja.

Betul dalam aku pandai sehingga sampai ke universiti, tetapi aku bodoh sebenarnya, mempercayai dia. Mendengar kata-katanya tetapi entahlah mungkin aku silap, aku ingat apa yang dia beri itu adalah kerana dia cinta.

Tamat tingkatan lima, belum keputusan keluar aku sudah meninggalkan ibu kota. Mencari kerja, kerana tidak sanggup lagi hidup sengsara. Aku bekerja di sebuah restoran dan malamnya aku mencari wang sebagai pelayan.

Keputusan keluar, tidak aku sangka aku beroleh keputusan yang melayakkan aku ke universiti, untuk pengajian diploma. Maknanya aku terpaksa melepaskan kerjaku, tetapi bila aku kesesakan wang, aku curi-curi waktu untuk menjadi pelayan di kelab malam. Tahun pertama, walaupun aku tidak berapa belajar sangat, aku lulus untuk masuk ke tahun kedua.

Cerita aku belum tamat dan di awal semesta aku berjumpa dia. Perkenalan yang melucukan juga… sedang aku melayannya di kelab malam, tiba-tiba dia berbisik di telingaku… “Skirt you di belakang merah, ada darah.” Masya Allah aku sungguh malu dan aku terus tidak lagi melayan sehingga beberapa hari.

Pendekkan cerita, tiga minggu kemudian dia datang lagi. Terus aku mahu melayannya. “Boleh saya offer you a glass of wine?” “Aku tidak minum,” jawabnya. “Tidak minum dan ke sini?” “Hemm salah ke, aku hanya minum coke.” “Lagi.. itu sahaja?” “You…“  “Hem malu sekali aku hari itu?” “Tak mengapa, sebab kalau I tidak beritahu, you pula yang diketawakan terus.” “Ya… terima kasih.”

Bekerja part time, dan siang aku belajar. Aku hanya mahu menamatkan kuliah, mencari kerja kerana tanpa wang aku rasa tidak tenang. Aku sudah mula menyenangi kemewahan, tidak mahu lagi tinggal dengan kawan-kawan sebilik empat lima orang. Aku lemas. Aku juga mahu tinggal di kondo yang selesa, lapang dada dan mudah untuk aku belajar.

Kekerapan dia ke kelab tempat aku kerja itu, membuatkan kami menjadi teman. Tidak pernah aku beritahu dia aku pelajar dan bila ditanya lebih lanjut, aku sering menukar cerita. Dan aku rasa aku sendiri pun tidak pernah bertanya siapa dia. Aku barangkali kerana tidak mahu dia tahu, siapa aku, lantas aku juga tidak bertanya siapa dia.

Dua tiga kali aku dibawanya pulang ke kondonya. Sepulangannya aku, diberikannya wang. Banyak juga. Seringkali juga dia menghadiahkan aku bermacam-macam, dan aku jadi muak, tidak dibeli, aku merajuk dan bila merajuk aku dapat lagi wang atau hadiah. Paling mahal dibelikannya rantai dan loket berlian dan tas-tas  tangan yang berjenama juga.

Aku tahu kondo itu hanya dia yang tinggal di situ. Membuat aku tidak perlu menyoal lebih, dia bujang pastinya. Dan aku juga membawanya singgah ke rumah. Begitu awal-awalnya kami sekadar bercerita hal-hal biasa tetapi akhirnya nafsu mengajak kami ke kamar dan menjadikan seks sebagai pemuasnya.

Penghujung tahun aku sedar-sedar sudah tidak lagi datang bulan, dan bila aku bercerita kepadanya mengajak dia bertanggung jawab, mengajak dia mengambil aku sebagai isteri, dari situlah aku merasakan dia menjadi orang lain. Dia tidak lagi seceria lelaki yang aku kenali, dan tidak pernah peduli atau bertanya apa pun mengenai kandunganku yang semakin membesar. Dan yang paling menyedihkan dia menyuruh aku menggugurkan kandungan. Saat itu, barulah aku tersedar daripada mimpi ngeriku, dan sesungguhnya dia mengkianati cintaku.

Mahu tidak mahu aku terpaksa melepaskan pengajian di ketika perutku semakin menampakkan isi. Aku tidak mahu ada satu manusia pun tahu, yang aku mengandung tanpa bernikah. Sungguh aku terlalu malu dengan perbuatanku.

Anak lahir dan aku harus bekerja membayar sewa dan membeli susu anak. Namun aku sudah berjanji, tidak lagi bekerja di tempat keji, bertemu manusia yang seperti dia, mungkin punya PhD, tetapi setakat itu sahaja. Ada isteri, ada anak tetapi bersembunyi identiti, ya untuk selamatkan diri, terus menjauhi daripada aku.

Aku pun tidak ingin lelaki PhD yang tiada maruah. Baik aku cari rezeki untuk aku meneruskan hidup ini.

Begitulah al kisahnya aku yang akhirnya menjadi bibik di sebuah ‘istana’ seorang menteri. Jangan ditanya menteri apa, dan di mana kerana aku tidak mahu bercerita hal itu.

Bekerja sebagai bibik tetapi tidak tinggal di istananya. Aku datang tiga atau empat kali seminggu. Awal dulu aku membuat semua kerja-kerja yang disuruhnya, tetapi satu kerja yang aku suka sekali ialah melipat kain dan menggosok baju. Aku tidak berapa pandai mengemas rumah besar-besar mahupun memasak, barangkali juga sebab aku tidak dibesarkan dengan rumah yang jubinnya berkilat-kilat dan memasak yang sedap-sedap sebab aku dulu-dulu, kadang-kadang makan nasi dengan sebiji telur ayam dan gulai pucuk ubi atau gulai nangka muda yang dijadikan gulai lemak. Kadang telur pun tidak mampu dibeli. Mana mungkin aku boleh memasak steak, atau crispy seaweed atau sweet and sour chicken kegemaran keluarga itu.

Lalu aku minta dikhaskan untuk mencuci, melipat kain, menggosok dan menyimpannya di dalam almari. Awalnya aku tidak pun diberi kebenaran untuk masuk ke bilik pakaian pasangan ini, tetapi barangkali lama-lama mereka sudah selesa, lalu aku dibenarkan mengemas almari baju di bilik yang lebih besar daripada rumah aku di kampung. Mula aku datang pagi balik petang, enam kali seminggu tetapi kemudian Datin sendiri memberitahu aku cuma diperlukan tiga kali seminggu sahaja. Di waktu aku bekerja anak dijaga oleh jiran yang mengenakan bayaran amat minima. Aku pun tidak begitu berkira, saat aku pulang ke rumah, yang pertama aku lakukan adalah mengambil Alia.

Hidup kian tertekan apabila sewa dinaikkan dan tarif api naik melambung. Kerana kadang-kadang aku tidak sempat mengambil bas untuk ke ‘istana’ tempat aku bekerja, aku terpaksa mengambil teksi, dan sudah tentu aku berbelanja lebih.

Aku berjanji tidak lagi membuat kerja-kerja yang boleh mendatangkan dosa, tetapi kekadang aku terpaksa berbuat begitu kerana kesempitan. Betul aku tidak lagi jujur dalam pekerjaan aku di rumah sang menteri.

Bekerja menjadi tukang cuci, tukang sterika, tukang mengemas pakaian… membuat aku cemburu melihat baju-bajunya, beg-beg tangannya, kasut-kasutnya, malah seluar dalam dan coli-colinya. Aku tahu harga colinya sahaja melebih gaji aku sebulan. Dia pula agaknya penggemar coli dan ya lingerie… dipakai sekali dua dan kemudian disimpan dalam almari, kemudian dibeli lagi dan lagi. Aku pun hairan kenapa pembaziran sampai sebegini, untuk apa pun dibeli banyak sekali. Tetapi aku percaya dia sendiri tidak ingat apa yang dia ada.

Sekali dua bila keadaan terdesak aku curi coli, aku curi pantiesnya. Tentulah aku ada kaki yang membeli, siapa lagi kalau bukan seorang dua kawan lamaku. Yang berjenama yang kadang-kadang masih belum bertanggal harganya, kalau aku beri diskaun 40 hingga 50 peratus sudah tentu ada yang mahu membelinya. Ya, aku curi masa aku tengah terdesak, bila wang langsung tidak mencukupi dan bila aku rasa duit curi jual coli tadi boleh dimanfaatkan kepada anak kecil yang perlukan susu. Aku rasa tidak berdosa.

Itulah cerita aku, dan sehingga aku meninggalkan istana itu, dia, isteri pak menteri tidak pernah pun mengesyaki apa-apa, atau mungkin tertanya-tanya ke mana perginya coli-colinya. Itu sahaja mungkin.

Dan mengapa pula aku tidak mahu lagi bekerja di situ? Kerana dunia ini sebenarnya terlalu kecil… bapa kepada Alia adalah adik isteri Menteri. Apakah aku boleh bekerja di situ lagi, mengetahui dia yang aku paling benci mungkin satu hari kami akan terserempak. Sungguh itulah yang aku mahu elakkan. Biar aku merana namun tidak sama sekali aku mahu menemuinya.

Kawan-kawan ku pernah juga bertanya, tetapi mereka ingat aku kaya, pakai sekali dua, jemu dan buang. Tambah yang baru, senang sahaja aku beritahu, aku beli dan tidak berkenan pula, daripada terperuk di almari, baik aku jual.

Kisah coli pun sudah tinggal kenangan. Selepas meninggalkan istana itu, aku mendapat idea baru… sehingga kini walaupun aku tidak menjual coli curi, tetapi aku terkenal dengan kawan-kawan sebagai penjual coli. Kalau dulu, aku jual coli Victoria’s Secret, Wonderbra, Aubade, tetapi tidak lagi. Itu terlalu mahal untuk orang seperti kawan-kawanku hari ini. Betul aku rajin mencarinya di Lazada dan syarikat online lain dan aku menjualnya secara online. Memang menguntungkan.

Inilah kerja aku  setelah aku meninggalkan istana sebagai bibik cuci kain mereka. Namun apa pun ceritanya, aku belajar mengenai hidup dari situ juga. Orang kaya walaupun kita nampak senang, nampak happy dan enjoy dengan wang yang berjuta tetapi oh dear… mereka sebenarnya ‘meraung’ dan terseksa dalam diam. Seperti isteri sang menteri, sesekali dulu bila aku tengah menggosok atau menggantungkan bajunya, atau membantunya memakai baju (ya sesekali dimintanya juga aku untuk menyiapkan dia). Pernah aku berlawak minta dia mengambil aku sebagai stylistnya, aku rasa kalau aku betul-betul serius barangkali aku di’hire’nya juga aku tetapi tengah berkira-kira begitu, aku ternampak ‘ayah’ si Alia di ruang tamu. Ceritanya mati di situ.

Dari situ aku ‘merisik’ dan diberitahu hubungan kekeluargaan yang terjalin. Terus aku tidak berminat bekerja di situ lagi.

Sesekali bila aku susah, aku teringat dan cemburu dengan kehidupan mereka yang penuh kemewahan. Ya lah kan aku kata colinya sahaja gaji aku sebulan, dan sesetengah lebih daripada itu. Hati jahatku menyebut juga, cantik badan, seksi dengan coli yang boleh membuat pasangan tergoda, tetapi tidak juga. Si bini menteri sesekali meluahkan rasa kecewa, duka dan sengsara. Kekadang aku bertanya dalam hati, mengapa pada aku kamu bercerita, dan aku jawab sendiri pertanyaan aku, “Terpaksa kerana jika tidak diluahkan, sakit dada.” Biarlah dia bercerita dan aku mendengar tanpa aku bersuara. Mungkin sebab itu dia suka melepaskan perasaannya kepada aku.

Mengenai diri aku kini, aku sudah pun punya ijazah, kerana sewaktu aku terpaksa meninggalkan asrama dan akhirnya tidak pun menamatkan pengajian, aku ada berjanji pada diri, apa-apa pun aku akan ‘settle’ hidup aku. Aku akan pegang ijazah sebelum aku mati.

Aku kotakan janji itu setelah nasibku berubah, menjalani perniagaan online… (ingat aku cerita aku jual lingerie juga).

Dan satu lagi, Alia sudah pun punya dua adik. Aku amat berharap Alia tidak bertanya akan siapa ayahnya, kerana yang aku cerita kepadanya, ayahnya sudah lama tiada. Andai satu hari dia bertanya juga, dan kalau dia boleh mendengarnya, aku akan beritahu kisah sebenarnya.

Atau biarlah ia menjadi rahsia. Tentang nanti siapa yang akan menjadi walinya, kalau dia tahu siapa ayahnya, jantan itu pun tidak boleh menjadikan dirinya wali. Lalu untuk apa pun aku bercakap benar, yang akan memusnah hidupnya. Lalu doa aku panjatkan supaya Allah mengampunkan dosa-dosaku selama ini.

Ya… satu cerita peribadi yang boleh buat aku tersenyum, boleh tu, aku curi coli isteri menteri untuk beli susu baby.

Hemm Alia, Alia, what a colorful life your mom went through.

 

 

Penulis: Alia’s Mom 🙂

Related posts

Bibiknya, Anaknya Sendiri

admin

Manusia Apakah Kamu?

admin

Suami Paksa Bibik Melakukan Hubungan Seks

admin

Leave a Comment