11 pemenang Wanita Ikon telah terpilih untuk mewakili negeri masing-masing dan semua pemenang di peringkat negeri ini akan bertanding untuk merebut satu gelaran di peringkat nasional iaitu WANITA IKON MALAYSIA 2024/2025 di Majlis Makan Malam Anugerah Wanita Ikon Malaysia pada pada 22 September 2024 di majlis Anugerah Wanita Ikon Malaysia (AWIM) 2024/25, World Trade Centre, Kuala Lumpur.
Bahang cabaran dan persaingan mula dirasai dan setiap negeri mengharapkan bahawa mereka telah membuat pencalonan wanita yang tepat dan mereka fikir layak untuk memenangi gelaran tersebut. Kini kehangatan semakin terasa apabila penyokong setiap sebelas negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak bekerja keras untuk memastikan ikon yang mereka pilih dinobatkan Wanita Ikon Malaysia 2024/25.
Acara yang dianjurkan oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita JPW dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ini adalah kesinambungan hasil pertandingan yang diilhamkan oleh Majalah Wanita, Utusan Melayu pada tahun 2007 Menurut Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia dan penyandang gelaran Wanita Ikon Malaysia yang pertama, Dato’ Normaziah Sheikh Muhamed, setelah menyandang gelaran tersebut, beliau terpanggil untuk meneruskan pencarian dan penganugerahan bagi mencari pelapis ikon yang boleh menyumbang kepakaran dan ilmu serta menggembling tenaga memandangkan begitu banyak kejayaan yang diraih oleh kaum wanita dalam pelbagai bidang dan harus diberikan pengiktirafan hari ini.
Pengiktirafan ini juga menurut beliau bertujuan meningkatkan lagi semangat dan memotivasi wanita-wanita ikon terpilih untuk menyemarakkan semangat wanita lain dan seterusnya meningkatkan jati diri dan daya saing serta saling bantu-membantu mencapai impian
“Jika usaha ini tidak diteruskan maka rugilah dan sia-sia kepakaran, ilmu serta idea yang ada pada wanita-wanita cemerlang di luar sana dan terbiar begitu sahaja. Tujuan utama AWIM adalah untuk mencungkil tokoh-tokoh wanita yang baru dan memartabatkan mereka agar terus dapat menyambung kepada usaha membangun masyarakat dan negara melalui kepakaran dan bidang mereka.
Atas sebab itu beliau tegas dan berazam untuk berusaha menganjurkan penganugerahan AWIM bersama-sama teman finalis Wanita Ikon Malaysia sejak tahun 2007 hingga sekarang. Dengan terlaksananya pencalonan AWIM kali ini dan menunggu saat penuh debaran tersebut maka bermakna AWIM akan terus dimartabatkan dan menjadi agen penggerak kepada usaha beliau untuk terus mencari wanita hebat tersebut.
WANITA IKON JOHOR 2024/25
FARIDAH BINTI P HAMSA

Wanita hebat, cemerlang dan terbilang adalah mereka yang mempunyai kekuatan luaran dan mental yang teguh. Mereka sentiasa meningkatkan prestasi diri sambil menjadi inspirasi kepada Wanita lain.
Jika wanita fokus dan tegar dengan kemahuannya, apa bidang kerjaya sekalipun boleh diceburi dengan jayanya walaupun lumrahnya bidang tersebut dimonopoli oleh kaum lelaki. Itulah yang telah dibuktikan oleh Faridah Binti P Hamsa. Dikenali juga sebagai Myra Fida dilahirkan di Johor, beliau mahu mengajak wanita keluar dari kepompong mereka dan rebut peluang yang ada.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru agama, tetapi ibu tunggal bersuia 41 tahun ini punya minat mendalam dalam perniagaan hingga menjurusnya menceburi dunia kontraktor dan keusahawanan. Begitupun ramai yang menganggap bidang itu hanya untuk lelaki, namun beliau tekad keluar dari profesion perguruan setelah 15 tahun berkhidmat hanya untuk membuktikan tanggapan mereka salah.
Demi keprihatinannya yang mendalam untuk membantu ramai asnaf-asnaf yang terpinggir dan sukar untuk mendapatkan bantuan, pada tahun 2019 beliau telah menubuhkan NGO nya sendiri iaitu Permata Baiduri Malaysia yang kini mempunyai ahli hampir di setiap negeri di Malaysia. Bantuan-bantuan bukan sahaja disalurkan di dalam negara malah juga ke luar negara termasuk Palestine.
Beliau terkenal dan sangat aktif dalam kegiatan NGO dan program-program keusahawanan. Kerana pembabitannya banyak permasalahan dalam masyarakat setempat berjaya diselesaikan seperti tersiar di dada Akhbar.
Bagi memastikan bantuannya berterusan, persatuannya memberi sumbangan dan keperluan secara tetap setiap bulan. Selain itu, beliau juga telah banyak pencapaian kejayaan cemerlang melalui program kemasyarakatan yang dianjurkannya, hingga ada program keusahawanan beliau mendapat Anugerah Malaysia Books Of Record.


Pengalaman beliau membesarkan empat cahaya mata telah mengajar dirinya menjadi tabah dan cekal. Beliau yakin dan percaya selagi ada usaha kejayaan pasti di dalam genggaman. Ikon Wanita kebangsaan adalah pengiktirafan tinggi dan tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan. Insyallah sekiranya ada rezekinya, amanah ini akan digalas sebaik mungkin untuk membangunkan wanita.
Semakin ramai wanita luar biasa dan melakukan banyak perubahan menakjubkan. Antaranya berjaya mengubah stigma menganggap wanita sebagai golongan lemah, menjadi wanita disegani dan dihormati kerana kejayaan yang dicapai. Ini dibantu kekuatan mental dan dalaman yang dimiliki wanita terbabit.






WANITA IKON PULAU PINANG 2024/25
ZAFRINA BINTI ISMAIL

Abaikan saja mereka yang meremehkan usaha kita dan jangan sekali-kali menyerah kalah. Jika berusaha, kejayaan bakal menjadi milik kita.
Lahir dalam keluarga dan masyarakat yang mengangungkan kedudukan lelaki, pendidikan merupakan peluang baginya untuk berdiri sama tinggi dan diiktiraf. Sejujurnya, Zafrina binti Ismail, 45, tidak pernah bersetuju dengan tanggapan sebegitu kerana beliau tahu wanita ada kekuatan dan auranya yang tersendiri. Menyedari hakikat itu telah membuat beliau berazam untuk terus berjuang dan bergelut dengan stigma itu.
Sebagai pegawai di MARA, dan kemudiannya menyandang jawatan Ketua Urusan Pembiayaan Perniagaan MARA, peluang bagi beliau mendekati masyarakat dan membantu mereka sentiasa terbuka. Di sinilah beliau banyak menyumbang dan membantu melahirkan ramai usahawan IKS di Pulau Pinang yang mana secara tidak langsung membantu pembangunan, menaikkan taraf ekonomi serta sosial keluarga dan masyarakat sekitar.



Kini beliau menduduki kerusi Pengerusi dan AJK beberapa NGO Wanita di Pulau Pinang, dengan secara tidak langsung telah membantu beliau meneruskkan usahanya dan mengabdikan diri untuk memperjuangkan kesaksamaan gender dan memperkasa wanita dan keluarga. Zafrina percaya, jika wanita saling menyokong satu sama lain dan bergerak dalam satu gagasan atau Kumpulan, mereka akan menjadi lebih teguh dan akan maju dan berjaya.


Semakin ramai wanita luar biasa dan melakukan banyak perubahan menakjubkan. Antaranya berjaya mengubah stigma menganggap wanita sebagai golongan lemah, menjadi wanita disegani dan dihormati kerana kejayaan yang dicapai. Ini dibantu kekuatan mental dan dalaman yang dimiliki.
Menjadi wanita yang kuat dari segi mental bukan saja diukur berdasarkan penampilan menarik tetapi mengenai keperibadian dimiliki dan cara pemikiran.



WANITA IKON PERAK 2024/25
TINA BINTI TAJUDDIN

Bantulah orang lain mengecapi kebahagian, dan sokong mereka mengejar Impian mereka, kerana kejayaan mereka adalah kejayaan kita juga
Tina Binti Tajuddin adalah graduan undang-undang dari Universiti Leeds, United Kingdom dan memiliki Masters of Business Administration dari UWE England. Belaiu telah ditauliahkan sebagai Peguambela & Peguamcara pada tahun 2000, namun jiwa dan darah tokoh politik yang mengalir di dalam dirinya menjadikan dia berani dan lebih tertumpu kepada membela masa depan anak bangsanya hingga sanggup meninggalkan profesion guamannya.
Tina kemudiannya mengambil alih pengurusan kolej keluarga iaitu Kolej TAJ dan sekaligus menjawat jawatan Pengarah Kolej Matrikulasi termuda pada usia 23 tahun. Lebih dikenali sebagai Ceomentor, beliau adalah anak kedua daripada lima adik-beradik, juga seorang isteri dan Ibu kepada lima orang cahaya mata.



Beliau berpendapat bahawa wanita yang berilmu adalah wanita yang boleh berjaya. Demi perjuangan itu, aktiviti pembangunan remaja dan wanita melalui kerja-kerja CSR menjadi fokusnya, lebih lagi jika program tersebut menjurus kepada memberi dan berkongsi ilmu.
Setelah berusia 49 tahun Tina telah meraih pelbagai kejayaan besar yang melibatkan kerja-kerja kemasyarakatan. Antara usahanya ialah penghantaran pelajar-pelajar IPT ketika wabak covid-19, kes penderaan kanak-kanak di taska Ipoh dan penganjuran Seminar Skor SPM A+ secara percuma yang mana telah menghimpunkan 10 ribu Calon SPM Satu Malaysia selama tiga minggu dengan bantuan kepakaran 12 Cikgu Cemerlang.
Kejayaannya dalam dunia keusahawan juga terbukti apabila terpilih sebagai Ahli Perniagaan Berjaya antara ‘10 Success stories - SME Bank’ yang mempamerkan kejayaan beliau menerajui jawatan CEO setelah enam tahun menjadi suri rumah.
Kisah kejayaan luar biasa beliau menempuh cabaran terpaksa meninggalkan anak yang baru dilahirkan bagi membantu Kolej di Ipoh Perak telah mendapat liputan media massa, termasuklah siaran YOU TUBE “Housewife to CEO” yang telah mendapat puluhan ribu tontonan.


Kerana cerita kejayaan menariknya itu mendapat sambutan cukup menggalakkan, beliau dijemput sebagai kolumnis “Suri Rumah ke CEO” Sinar Harian pada tahun 2016. Sejak itu beliau telah mengilhamkan banyak program termasuk ‘Fastrack Housewife to CEO’ dengan menumpukan peningkatan ilmu keusahawanan di kalangan wanita khususnya suri rumah.
Pengorbanannya terhadap anak bangsa sering diterjemahkannya dalam Pelbagai bentuk dan Inisiatif. Pendeknya usaha dan sumbangan yang beliau tabur tanpa henti dan tanpa jemu.
Sepanjang waktu tersebut, beliau telah membantu anak yatim, anak golongan miskin di seluruh Malaysia dengan pengambilan pelajar di bawah Program TIC Apprentice yang membantu pelajar luar bandar mendapatkan pengalaman Industri.
Selaras usaha Pembangunan Modal Insan Negara beliau memperkenalkan pelbagai program, antaranya Program Siri Jelajah Kesedaran Bersama 12 Ahli Parlimen iaitu siri Jelajah 2U2i , termasuk yang terkini iaitu Program TVET Profesional,TVET Anak Yatim, TVET Tahfiz , TVET Athlete dan TVET Wanita.
Di samping itu beliau banyak melaksanakan inisiatif dan aktiviti bersepadu dengan kolaborasi 10 NGO Wanita di Perak dan 35 Persatuan NGO Belia Perak termasuk Pelbagai Usaha Melantik Rakan Strategik di semua sektor termasuk sekolah-sekolah, Universiti dan Industri yang berkepentingan.


Beliau juga turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk MAIPK bagi tujuan program pendidikan awal kanak-kanak bagi kumpulan sasaran pelajar miskin dan wanita asnaf bagi tujuan peningkatan ekonomi dan Ilmu. Di bawah program ini ramai wanita asnaf berjaya mendapat peningkatan gaji selaras dengan peningkatan kelayakan dan kemahiran.
Sukankan kanak-kanak, Tina juga adalah aktivis kanak-kanak dan isu keselamatan kanak-kanak adalah keutamaannya. Tina banyak terlibat dalam program yang melibatkan kesejahteraan kanak-kanak seperti ‘MY Child Safety’ yang telah melibatkan peranan Persatuan Tadika dan Taska.
WANITA IKON TERENGGANU 2024/25
DR. SH MARZETY ADIBAH BT AL SAYED MOHAMAD

Deretan anugerah yang dimiliki tidak bermakna jika kehebatan kita hanya untuk diri sendiri. Seorang Wanita ikon harus mampu menggalas tanggungjawab yang lebih besar.
Kecemerlangan meletakkan Dr. Sh Marzety Adibah Al Sayed Mohamad, sebaris tokoh-tokoh usahawan dan mereka yang berjaya di Malaysia di mana nama dan profilnya telah disenaraikan ke dalam ensiklopedia biografi Britishpedia’s Successful People in Malaysia.
Menariknya, di sebalik segala kejayaan dan komitmen itu, naluri wanita dan keibuan Dr. Zety Roses sering diperkatakan. Beliau terkenal sebagai isteri dan ibu yang penyayang kepada tujuh orang cahaya mata, yang sentiasa menggabungkan peranan sebagai usahawan berjaya dan ibu yang dedikasi.
Beliau berkelulusan sarjana muda dan memperoleh ijazah dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling di UPM, Terengganu pada tahun 2002. Dr Zety kemudian menyambung dan memperoleh ijazah sarjana dalam Sains Sosial pada tahun 2006 dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Tidak berhenti di situ, Dr. Zety melanjutkan perjuangan akademiknya dengan memperoleh PhD dalam bidang Kaunseling dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 2011 dan menyambung pengkhususan dalam Expressive Art Theraphy di Philips Island, Melbourne Australia pada 2016.



Beliau, dilahirkan di Kg. Padang Air Deras, Bukit Payong, Terengganu dan memperoleh Certificate in Expressive Therapies With Children And Adolescent dari Expressive Therapies Institute of Australia pada tahun 2014, menjadi Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia pada tahun yang sama. Beliau juga memiliki kelayakan dalam bidang seni terapi dan kaunseling.
Dr Zety menjawat beberapa jawatan penting di dalam Universiti pada ketika itu antaranya Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Komuniti), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT, dan Pengerusi Program, Penyelidikan Komuniti Pesisiran, Pusat Pembangunan Sosio ekonomi, Institut Penyelidikan Kenyir, Universiti Malaysia Terengganu. Antara pencapaian terbaik Dr Zety adalah membangunkan Modul Cendekiawan Islam yang digunakan untuk melahirkan saintis islam di kalangan pelajar sekolah di Negeri Terengganu.



Dari dunia akademik, ke sektor pertanian, Dr Zety membangunkan syarikat Zety Roses Legacy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menguruskan taman ros terbesar di Malaysia, iaitu Zety Roses Garden & Farm yang bertanggungjawab menghasilkan produk-produk penjagaan tanaman seperti baja, tanah, semburan khas tanaman serta produk makanan yang berasaskan bunga mawar. Di sini juga terdapat sebuah kafe iaitu Zety Roses Garden Cafe berkonsepkan kafe dalam taman dan menyediakan menu-menu istimewa yang berasaskan ros.
Selain itu, Dr Zety juga mengasaskan Zety Roses Natural Life, sebuah syarikat yang menghasilkan produk kecantikan berasaskan ros, Zety Roses Umrah & Tour yang merupakan sebuah syarikat pelancongan menawarkan pakej umrah serta pelancongan di luar negara dan Zety Roses Golden Diamond, sebuah syarikat yang khusus dalam penjualan barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas dan berlian.
Kemahirannya dalam bidang kaunseling juga menjadi aset penting dalam aktiviti tanggungjawab sosial yang beliau jalankan. Melalui pelbagai program pemindahan ilmu seperti Jejak Remaja Hebat, Personaliti Diri Unggul, dan Rebuilders: I’m Possible dan Program Ibubapa Hebat Keluarga Berkat. Usaha beliau dalam membantu komuniti setempat adalah cerminan kepedulian dan tanggungjawab sosial yang beliau pegang.



beliau telah membantu ramai individu, terutamanya golongan muda dan ibu bapa, dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran interpersonal, dan mengatasi pelbagai cabaran kehidupan.
Dr. Zety menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan nasional, yang mana pada tahun 2023, beliau dinobatkan sebagai No 1 Asean Entrepreneur Women Winner oleh Indonesian Award Magazine. Beliau juga adalah penerima anugerah Brand Prestigious Women CEO di World Muslimpreneur Award Malaysia 2022 dan Rising Star CEO dalam 100 Top CEO 2022 serta tercalon Tokoh Usahawan Terengganu. Pencapaian ini menunjukkan bahawa usaha dan dedikasi beliau diiktiraf di peringkat tertinggi.
WANITA IKON NEGERI SEMBILAN 2024/25
NORAINI BINTI HANIPAH

Tidak pernah menjadikan pendidikan setakat sekolah menengah sebagai alasan tidak mahu atau malu untuk bersaing, apatah lagi mengalah dalam mengejar Impian.
Noraini binti Hanipah 41 tahun mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah LKTP Nitar Mersing dan menyambung pengajiannya ke peringkat menengah di sekolah Menengah Nitar Mersing dari tingkatan satu sehingga tingkatan tiga dan kemudian ke Sekolah Menengah Vokasional ERT Azizah Johor Bahru ketika di tingkatan empat dan lima.
Setelah menamatkan pengajian di peringkat menengah SPM beliau telah berhijrah ke Seremban, Negeri Sembilan untuk berkerja. Berasal dari keluarga yang menjalani kehidupan sederhana di mana ayah beliau merupakan seorang peneroka dan dalam masa yang sama kedua ibu dan ayah beliau berniaga di kedai makan demi membesarkan mereka.
Beliau yang berasal dari Batu Pahat, Johor adalah puteri yang ke tiga dari 5 orang adik beradik kepada pasangan suami isteri En Hanipah bin Saidi dan Hasnah binti Bani.berkahwin dan telah berkahwin dengan seorang jejaka yang sangat penyayang dan sentiasa menyokong kerjayanya serta menjadi tulang belakang utama beliau iaitu Tuan Mohd Shazrin bin Yahya. Telah dikurniakan 2 cahaya mata perempuan bernama Syasya Aqilah yang berumur 17 tahun dan Alesya Afiqah yang berumur 13 tahun.


Pada tahun 2001 hingga 2002, Puan Noraini pernah bekerja sebagai jurujual di pasaraya The Store dan kedai kasut BATA yang terletak di bandar Seremban. Kemudiannya pada 2003, beliau memulakan kerjaya pertama dalam industri pembangunan dimana beliau menjadi kerani kontraktor di Wisma Negeri Sembilan.
Dan pada 2006 beliau mengorak langkah memegang lesen sebagai kontraktor kelas F.
Pada 2014 dengan bermodalkan RM4000 yang dikongsi beliau dan adiknya, Puan Norafizah, telah membeli 100 pasang kain kapas dari pembekal di Kuala Lumpur dan menjual kain-kain tersebut secara online di platform Facebook. Sambutan secara online tidak mendapat sambutan yang baik seperti yang diharapkan. Namun beliau dan adiknya tidak berputus asa, maka mereka bertekad mencuba nasib menjual di Uptown Senawang, Negeri Sembilan.
Setelah perniagaan semakin berkembang secara online, Pn. Noraini, suami dan adiknya mengambil keputusan menyewa di bangunan MARA, Seremban. Puan Noraini telah menyertai RichWorks untuk mendapat bimbingan dari segi pemasaran, operasi, kewangan, pengurusan pekerja dan meningkatkan lagi kemahiran kempimpinan beliau. Niat Puan Noraini untuk membantu keluarga membuahkan hasil setelah beliau menceburkan diri dalam dunia perniagaan bersama-sama suaminya, adik serta adik iparnya.


Semangat Puan Noraini dalam membangunkan perniagaan menjadi inspirasi kepada ramai orang diluar sana yang mempunyai minat dalam industri yang sama. Penganugerahan sebagai Wanita Ikon Negeri Sembilan 2024/2025 adalah salah satu tanggungjawab yang besar yang perlu digalas untuk memperkasakan wanita-wanita di luar sana dimana beliau akan berusaha untuk membantu dan membawa wanita untuk keluar dari kehidupan yang biasa kepada yang luar biasa.


WANITA IKON SELANGOR 2024/25
SITI MURNI ABDUL AZIZ

“Saya percaya, kemiskinan itu bukan sesuatu yang diwarisi. Namun boleh diubah dengan keinginan yang tinggi.”
Sebagai anak bungsu tujuh beradik, kehidupan Siti Murni Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai ”Madame Uni”, tidaklah semanja yang ramai sangkakan. Beliau dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan bukan datang daripada keluarga senang, dan mempunyai ibu OKU akibat terbakar tahap empat.
Namun, kesukaran dalam kehidupan itu baginya satu anugerah daripada Allah yang membuatkan beliau bangkit merubah kehidupan. Walaupun dilahirkan di Kelantan Siti Murni menetap lebih 15 tahun di Selangor untuk mencari peluang dan rezki. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi adalah bekas Penyampai Berita Nasional TV1 dan wartawan meja politik dan Parlimen TV1.



Sifat juang yang tinggi dan merupakan seorang yang sentiasa mencari peluang dan berani mencuba perkara baru, beliau memilih untuk meninggalkan kemuncak kerjayanya dan masuk ke dalam dunia perniagaan. Siapa menyangka “Hijrah SITIMURNI” membuahkan hasil yang lumayan.
Beliau membina perniagaan yang berasaskan tudung, telekung dan inner. Bermulakan modal RM1000 tanpa sebarang dana bantuan atau pinjaman. Menggunakan kepakaran beliau dalam bidang komunikasi jenama SITIMURNI berjaya membuat jualan mencecah ke RM30 juta ringgit.
Menerusi medium LIVE di media sosial jenama ini berjaya menembusi bukan sahaja pasaran Malaysia, malah memasuki Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Uniknya jenama SITIMURNI ia berkembang dan dikenali dengan mengekalkan prinsip ‘Clean Marketing’ berbeza dengan dunia perniagaan masa kini yang lebih menjurus kepada kontroversi ‘Bad Marketing’. Beliau berpegang teguh dengan prinsip sukses halal. Menjaga agama, maruah keluarga dan maruah diri sebagai wanita.

Kejayaan beliau dalam bidang perniagaan menjadikan beliau seorang entrepreneur dan pengasas produk yang disegani hingga beliau menerima lebih 20 anugerah dari dalam dan luar negera. Lebih bermakna, Siti Murni, 38, sentiasa mahu hasil kejayaan beliau turut di kongsi bersama masyarakat. Hasrat itu mendorongnhya untuk sentaisa menyampaikan bantuan kepada orang kurang berkemampuan, khususnya yang melibatkan OKU kerana mengenangkan ibunya, rumah anak yatim dan asnaf.
Semangat dan kepakaran yang ada pada beliau juga sentiasa di kongsikan kepada wanita di seluruh Malaysia menerusi seminar yang dianjurkan kerana beliau mempunyai impian yang besar untuk memoticasikan Masyarakat, kaum wanita khususnya agar bangkit merubah kehidupan dan nasib mereka serta keluarga.



WANITA IKON WILAYAH PERSEKUTUAN
NORRIZA BINTI MOHAMAD YUSOF

Setiap kali sesorang wanita membela dirinya sendiri, dia membela semua wanita yang lainnya.
Kehidupan di FELDA di zaman awal 80-an tanpa bekalan air & elektrik amat meninggalkan kesan pada dirinya. Menjual nasi lemak dan ais krim Malaysia, mengutip cendawan di kebun kelapa sawit untuk di jual dari rumah ke rumah, mengikut ayah ke kebun untuk memetik kelapa sawit itulah dunia kehidupan kecil beliau.
Pada usia 20 beliau sudah membuat pelbagai perniagaan bermodal rendah seperti Multi Level Marketing (MLM), menjual tudung, ejen insuran, menjual telefon bimbit & macam-macam lagi untuk menambah pendapatan dengan harapan untuk menjadi jutawan pertama dalam keluarga & dapat mengubah ekonomi keluarga.
Memiliki diploma akaun dari UTM dan ijazah sarjana dan Master islamic finance & banking (current), beliau pernah menerima beberapa pengikirafan dan anugerah seperti Tokoh Wanita 2013 dan “Champion Of Breakthrough 2015 Great Eastern Malaysia Assurance Berhad, Top 100 Young CEO 2019, “Britishpedia Successful People In Malaysia” Edisi 21.



Sebagai CEO & Founder kepada 2 syarikat iaitu Ieza Yusof Consultancy Sdn Bhd dan AL Aqyas Group Sdn Bhd, Norriza yang kini berusia 45 tahun menguruskan syarikat latihan dan konsultansi yang telah membina lebih 550 “protege” dalam bidang pengurusan kewangan & risiko. Beliau juga masih menyambung pelajaran dalam “Master Islamic Finance & Banking” di Universiti Utara Malaysia cawangan Kuala Lumpur.
Beliau menghasilkan produk-produk literasi kewangan seperti buku fizikal,buku digital & aplikasi kewangan digital. Tiga buku fizikal beliau “Jerat Kewangan & Hartanah”, “Formula Urus Gaji”, dan “Kalkulator Dari Langit” telah terjual lebih 10,000 naskah. Produk aplikasi digital kewangan “My Financial Blueprint” dibangunkan sejak 2018 dan mempunyai lebih 7,500 pengguna.
Peluang beliau bekerjasama dengan pihak Pusat Pengutan Zakat MAWIP & Waqaf An Nur Corporation memberi peluang kepada beliau terus mendidik ilmu pengurusan cukai untuk misi meningkatkan jumlah zakat individu dan perniagaan sehingga dapat membuat perancangan Wakalah. Perancangan cukai, zakat dan wakalah memberi peluang individu terutamanya yang menjalankan perniagaan dapat menyumbang lebih banyak dana untuk projek-projek amal.

Hasil daripada dana wakalah melalui perancangan kewangan tersebut beliau dapat mengadakan program-program amal secara konsisten melalui Program MISI JANNAH dan membangunkan sebuah Madrasah MABUS Al Akyas di Rawang Selangor yang menempatkan pelajar hufaz Al Quran seramai 35 orang bersama sahabat baik beliau iaitu Puan Hajah Zarina Mohamad Shariff.
Perjuangan ini boleh di gerakkan ke seluruh negeri sehingga mencapai misi beliau iaitu supaya lebih ramai usahawan yang berjaya dalam kewangan maka akan lebih ramai yang akan dapat menyumbang kepada ummah seterusnya dapat berwakaf & berinfaq.
Misinya kini ialah untuk setiap keluarga dalam kalangan rakyat Malaysia mempunyai aplikasi urus kewangan secara digital sehingga mereka boleh mencapai level urus kewangan secara “Do It Yourself"( DIY ).



WANITA IKON SARAWAK
HJH FITRIAH BINTI HJ RAHBI

Jangan cuba meminta maaf kerana hanya menjadi seorang wanita yang hebat. kuat dan berwawasan.
Kisah inspiratif ini bermula dari kecil. Daripada menjual kuih di kampung hingga mengeksport produk ke Amerika Syarikat, perjalanan ini bukan hanya tentang pertumbuhan sebuah syarikat, tetapi juga mengenai transformasi seorang anak kampung menjadi seorang usahawan global.
Begitulah beliau membukjtikan,kombinasi antara kerja keras, keberanian untuk bermimpi besar, dan kegigihan dalam menghadapi tentangan dapat membawa seseorang mencapai kejayaan luar biasa. Malah Fitriah adalah contoh, bagaimana seorang usahawan kecil dan hanya mempunyai pendidikan sekadar STPM mampu bersaing dalam dunia perniagaan global.


Pada usia 34 tahun, dengan bekal pengalaman dan modal yang dikumpulkan selama bekerja di perusahaan swasta, dia memutuskan untuk melangkah ke arena yang lebih besar dengan membuka syarikat perkapalan pada tahun 2008. Bekerja keras menstabilkan syarikat perkapalan tersebut, beliau kemudian mengorak langkah selanjutnya, diversifikasi untuk mencuba cabang perniagaan lain.
Pada 2010, beliau meluaskan sayapnya ke industri makanan dengan mendirikan syarikat RFM. Hanya bermula dengan menjadi ejen Jeruk Ali Penang pertama di Sabah Sarawak, RFM kemudian mengambil langkah berani dengan memulai produksi produk sendiri. Pada 2017, dia mendirikan kilang kecil di belakang rumah, RFM memulai produksi jeruk buah-buahan, dan tidak lama kemudian, pada 2018, mempelajari dan memulai produksi makanan berasaskan buah terung asam.

Kini RFM mengeksport produk halwa terung asam ke Amerika Syarikat, khususnya di New Jersey. Beliau telah membuktikan urusan yang penuh dedikasi, inovasi, dan keberanian dalam perniagaan pasati menghasilkan perkembangan yang positif.


WANITA IKON PAHANG
HASLINDA BINTI MOHD FAUZI

Wanita hebat adalah mereka yang mampu memotivasikan wanita lain lantas memberikan impak yang besar kepada masyarakatnya dan adalah pemangkin pembangunan negara.
Anda apalah yang anda makan, dan makanan yang berkhasiat baginya adalah begitu penting. Oleh kerana itu Haslinda Mohd Fauzi mempunyai minat mendalam terhadap bidang makanan dan minuman berkhasiat. Atas keprihatinan itu, menjadikan beliau begitu komited dengan perkara yang dilaksanakannya khususnya yang berkaitan pemakan.
Bermula pada tahun 2014, beliau telah memulakan perniagaan franchise yang pertama di bawah Syarikat miliknya iaitu Nutrafood Resources Sdn,Bhd. Membawa jenama tempatan terkemuka, The Manhatan Fish Market bertempat di East Coast Mall, Kuantan, Pahang.
Haslina dilahirkan di Jerantut, Pahang kini berusia 43 tahun, merupakan ibu kepada dua orang anak dan anak sulung kepada 4 orang adik beradik. Beliau yang Berkelulusan Sarjana Muda dalam Pengurusan Perniagaan (Business Administration (Hons) Marketing) di Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Dungun dan kini menetap di Kuantan, Pahang.
Beliau seorang yang berkeyakinan tinggi dan sentiasa positif dalam segala perkara dan bidang yang diceburi. Berusaha keras dan fokus demi mencapai sasaran dan objektif kerjaya dan keluarga.
Dengan kesungguhan dan pencapaian prestasi yang cemerlang, Nutra Food Resources Sdn Bhd telah dianugerahkan dengan ‘Winner For The Emerging Homegrown Franchisee of The Year 2016 by Malaysia Franchise Association (MFA), dan The Emerging Franchisee of The Year 2016 oleh The Manhattan Fish Market.


Maju selangkah lagi, pada tahun yang sama 2016, Nutrafood Resources Sdn Bhd telah meluaskan perniagaan keluar negara dengan membawa jenama Malaysia The Manhattan Fish Market ke Negara Brunei Darul Salam sebagai Master Franchisee.
Selain dari kerjayanya sebagai seorang usahawan, beliau juga suka dan berminat dengan melakukan kerja-kerja amal dan aktiviti kemasyarakatan seperti memberi bantuan-bantuan keperluan asas dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah Kuantan khasnya dan di negeri Pahang amnya. Menyantuni anak-anak yatim dan sekolah-sekolah tahfiz adalah acara yang wajib dilakukan setiap tahun.
Dunia perniagaan tidak semesti untung selalu, dugaan dan cabaran perniagaan, mengujinya dengan kehadiran COVID-19. Beliau terpaksa menutup kedua-dua cawangan The Manhattan Fish Market, Kuantan dan Brunei.
Namun bagi wanita tabah ini dan berbekalkan ilmu serta pengetahuan yang dimiliki, bermula pada tahun 2020 beliau telah Kembali bangkit memulakan semula perniagaan.
Kini beliau telah berjaya memiliki 4 buah restoran yang masing-masingnya mempunyai rekabentuk dan konsep tersendiri lagi unik. Sentiasa yakin, positif, inovatif dan bersungguh-sungguh adalah kunci kepada kejayaan sesuatu usaha.

WANITA IKON SABAH
MARDIANA BINTI MADE

Sebagai pengasas produk kecantikan wanita, saya yakin penamilan luaran dan first impression adalah amat penting untuk diberi fokus oleh setiap wanita, namun kecantikan seseorang wanita secara total perlu bercirikan keperibadian yang tinggi, akhlak yang mulia dan berilmu.
Sebagai pengasas DS Rich Manufacturing Sdn Bhd, sebuah kilang OEM tempatan, beliau membuktikan bahawa tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada empat orang anak tidak menghalangnya untuk berjaya sebagai pemimpin syarikat. Malah komitmennya terhadap tanggungjawab sebagai usahawan dan pemimpin sentiasa diutamakan sama rata.
Puan Mardiana binti Made, atau lebih dikenali sebagai Dyan Made, adalah seorang usahawan wanita yang telah berjaya mencipta nama dalam industri kecantikan di Malaysia.


Minat Dyan Made dalam perniagaan dan kecantikan mendorong beliau untuk memulakan perniagaan dalam industri kecantikan dengan penuh dedikasi dan menghasilkan produk kesihatannya sendiri.
Pada tahun 2020, dengan sokongan keluarga dan tekad yang kuat, beliau menubuhkan DS Rich Manufacturing Sdn Bhd. Di bawah kepimpinannya yang berwawasan dan komitmen terhadap inovasi dan kualiti, syarikat ini berkembang pesat dan kini menjadi salah satu pemain utama dalam industri OEM, khususnya dalam pembuatan produk kosmetik, penjagaan kulit, dan badan.
Dyan Made sentiasa menekankan pentingnya inovasi dan kualiti dalam setiap aspek operasi syarikat. Kejayaan syarikat ini diukur bukan sahaja dari segi keuntungan tetapi juga melalui impak positif kepada masyarakat dan ekonomi negara. Beliau turut membantu para usahawan wanita dalam industri perniagaan kosmetik dan membuka peluang pekerjaan untuk komuniti setempat.
Dengan berpegang kepada slogan “Keanggunan wanita dalam kepimpinan & keunggulan dalam kejayaan,” Dyan Made percaya bahawa Ikon Wanita Kebangsaan bukan sahaja satu pengiktirafan kepada perjuangan wanita dan kecemerlangan wanita namun ia hadir penuh dengan tanggunjawab yang harus dilaksanakan penuh iklas.


Dyan sedar setiap wanita mempunyai keanggunan tersendiri yang terpancar dalam kepimpinan mereka dan keunggulan dalam setiap kejayaan yang dicapai. Keanggunan bukan hanya terletak pada penampilan, tetapi dalam cara berfikir, bertindak, dan memberi inspirasi kepada orang lain.
InsyaAllah, jika amanah ini diberikan kepadanya, Dyan Made, 38 berazam akan menggalas tanggungjawab sebagai Ikon Wanita dengan penuh Ikhlas dan dedikasi. Beliau berhasrat untuk berkongsi ilmu yang ada dan memberi inspirasi kepada wanita dan generasi akan datang agar menjadi wanita luar biasa, penuh semangat, berkeyakinan, dan saling memberi inspirasi antara satu sama lain.
Antara pencapaian beliau dalam kerja-kerja CSR ialah Pengerusi UPTS, Usahawan Cemerlang 2023, The Best Research & Development Brand Award dan amat aktif dalam kegiatan sosial dan keusahawanan Sumbangan kepada pusat tahfiz, sumbangan bakul makanan pada bulan puasa kepada golongan asnaf termasuklah sumbangan kepada Wad Bersalin Hospital, menganugerahkan pakej mengerjakan umrah kepada pekerja.



WANITA IKON MELAKA 2024/25
SUZANA BINTI ABU TALIB

Aset wanita bukan hanya terlihat daripada kecantikan dan peribadinya tetapi juga kesihatan tubuh badan. Wanita yang cantik, bijak, sihat dan cerdas adalah kunci kesejahteraan kehidupannya.
Berasal daripada keluarga bukan orang senang, Suzana Abu Talib faham benar apa erti kemiskinan. Pengalaman beliau, yang pernah menolak tawaran untuk sambung belajar demi membantu kedua orang tuanya menyara keluarga, dalam senyap sering menjadi pembakar semangat dalam dirinya untuk bangkit dan membela nasib dirinya juga keluarga.
Sepanjang waktu itu beliau tidak pernah mempersoalkan mahupun mengungkit kerana beliau sedar sebagai anak sulung, itu tanggungjawabnya juga. Sekarang, anak jati Negeri Melaka ini merupakan seorang usahawan yang berjaya dan disegani.
Dugaan dan cabaran tidak pernah mematahkan semangat dan impiannya untuk berjaya. Sambil membantu bekerja di warung keluarga, beliau tekun membuat kerja sambilan di premis pusat kecantikan. Di situlah beliau terus mencari peluang menimba ilmu dan pengalaman sehinggalah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Terapi SPA.


Pada Tahun 2007, Suzana telah mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta Fazri Efendi dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. Baginya sokongan suami telah menjadi pemangkin dan tulang belakang dalam memberi semangat untuk beliau menceburi perniagaan dalam bidang penjagaan.
Memiliki sebuah pusat SPA dan terapi wanita, akademi latihan dan produk penjagaan keluaran syarikat beliau sendiri, cukup untuk membuktikan kejayaan Suzana. Beliau merupakan seorang Pengamal Perubatan Tradisional Melayu (PTM) yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Suzana juga mempunyai persijilan SKM, DKM dan VTO dari Jabatan Pembangunan Kemahiran dan merupakan seorang tenaga pengajar bertauliah. Beliau juga sering bergiat aktif di dalam program pembangunan modal insan di sekitar Melaka melalui kursus dan latihan kemahiran dalam bidang Terapi SPA, PTM dan Keusahawanan.

Hari ini, beliau puas kerana minatnya dalam kecantikan yang dari awal mendapat cabaran dan kekangan hebat kehidupan, telah berkembang pesat, malah dapat membantu wanita lain mencari rezki dan menambah pendapatan keluarga.
Keprihatinannya terhadap Masyarakat, kerja dan aktiviti amal sentiasa membara. Sambil bekerja Suzana sering menghulurkan bantuan dan mencurah ilmu mengikut kapasitinya hingga beliau dilantik sebagai kaunselor penyusuan bayi bertauliah di bawah NGO Kumpulan Sokongan Penyusuan Ibu Hospital Melaka.
Beliau sering kali bergerak aktif bersama rakan-rakan pengamal membantu para ibu untuk memberikan penyusuan ibu yang terbaik kepada bayi mereka. Pengalaman beliau yang luas dalam industri penjagaan diri, kesihatan dan aktiviti kemasyarakatan telah membuatkan beliau dipilih sebagai rakan industri Kolej Komuniti Kota Melaka dan MITC Hotel Sdn Bhd.

