AGAMA

Tiga Amalan Menjadi Syafaat di Akhirat

Amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan yang kita laksanakan juga amat memerlukan syafaat (pertolongan) sewaktu berada di Padang Mahsyar dan semasa melalui Mizan (timbangan amal). Dikhawatiri semua amalan kita di dunia tidak mencukupi untuk memberatkan timbangan semasa di Mizan kerana di samping amal kebaikan terdapat pula amal kejahatan dan d

osa dilakukan. Maka ketika ini syafaat amat diperlukan terutama syafaat daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Terdapat tiga amalan yang boleh menjadi syafaat ketika kita berada di hari akhirat. Amalan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Jauhi pertengkaran, dusta dan perbaiki akhlak

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.”(Hadis Riwayat Abu Daud)

Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah SWT dan RasulNya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.

Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah SAW  di akhirat kelak.

Islam melarang umatnya berdusta kerana perbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.

Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama di mana dengan itu barulah seseorang itu dikatakan layak mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang tersebut di dalam hadis tersebut.

Kedua : Banyakkan berselawat kepada Rasulullah SAW

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis Riwayat Ibn Mas’ud r.a)

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Hadis Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti ada lima jenis  :

1. Syafaat membebaskan umat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar.  

2. Syafaat memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan apa pun.

3. Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumnya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu.

4. Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa, daripada azab neraka.

5. Syafaat menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.

Ketiga : Bacalah al-Quran dan fahami maksudnya

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Ali-Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir).” (Hadis Riwayat Muslim)

Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah SWT menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah SWT. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh memberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya : ”Perumpamaan mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwuduk) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

Al-Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadhilat atau hikmat yang tidak diketahui oleh manusia. Di samping itu al-Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti dan mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Yang penting adalah keyakinan diri kita terhadap kebesaran Allah dan keagungan kalimah-kalimah Allah yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa-kuasa ghaib yang dihantar oleh pengamal ilmu-ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam). Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.

Bermunajat Kepada Allah SWT 

Marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya kita termasuk dikalangan hamba-Nya yang diredhai dan dirahmati-Nya di dunia dan akhirat. Semoga kita terpilih mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dan syafaat amal soleh yang kita lakukan semasa di dunia ini. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa berikut :

“Ya Allah! bantulah kami dalam memperbanyakkan selawat kepada kekasih-Mu Muhammad SAW dan permudahkan bagi kami untuk membaca kalam-Mu yang suci siang dan malam. Semoga dengan rahmatMu kami tergolong dikalangan orang-orang yang beroleh syafaat dan masuk ke syurga tanpa hisab.”

Sumber:  JAIS

Related posts

Kenali KekasihMu..

admin

Al Waqi’ah Surah Untuk Menjadi Kaya

admin

Fadilat Puasa Enam Syawal

admin

Leave a Comment