Mengapa alim ulama berwasiat dikebumikan di tempat mereka menghembuskan nafas terakhir?
Ini jawapannya;
روى الإمام أحمد والنسائي وابن ماجه من عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قال :
مات رجل بالمدينة ممن وُلِد بها ، فصلى عليه رسول الله صلى الله عليه وسلم ، ثم قال : يا ليته مات بغير مولده قالوا : ولم ذاك يا رسول الله ؟ قال : إن الرجل إذا مات بغير مولده قيس له من مولده إلى منقطع أثره في الجنة .
Imam Ahmad, an-Nasa’i dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr Radhiyallahu ‘Anhuma telah berkata, “Seorang lelaki kelahiran kota Madinah meninggal dunia di Madinah. maka Rasulullah SAW telah menyembahyangi jenazahnya.
Baginda kemudiannya bersabda,
“Alangkah baiknya andai kata beliau meninggal dunia bukan pada tempat kelahirannya.”
Para sahabat bertanya,
“Kenapa begitu ya Rasulullah?”
Baginda bersabda, “Sesungguhnya apabila seorang lelaki meninggal dunia bukan pada tempat kelahirannya, akan dihitungkan (ganjaran pahala seluas) jarak antara tempat kelahirannya hingga ke tempatnya di syurga.”
(HR. Ahmad, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Dalam Islam, di mana kita meninggal maka di situlah pusara kita. Kita ditegah mengangkut mayat tersebut untuk dibawa ke tempat lain. Banyak antara kita berbuat begini. Mayat diterbangkan beribu batu, sebelum diterbangkan, mayat itu akan tersimpan lama di rumah mayat.
Ini menyiksakan mayat. Sebagai contoh, jika orang Kelantan yang meninggal di Kuala Lumpur dan kemudiannya diangkut untuk dikebumikan di Kota Bharu, itu pun sudah tidak tertanggung siksa pada si mayat. Sebenarnya kalau kasih kita padanya ialah dengan mengkebumikan dia di tempat dia meninggal. Itulah kasih sebenarnya, mayat itu kalau boleh bercakap dia akan beritahu warisnya supaya jangan bawa dia pulang. Sebab Allah SWT menyuruh dia dikuburkan di tempat dia meninggal.
Pada saat kematian pun mayat itu ‘dipaksa’ melanggar perintah Allah. Menyegerakan pengkebumian adalah perintah Allah dan dikuburkan ditempat kematian juga adalah perintah Allah. Mengapakah mesti kita bawa dia (mayat) pulang, dia bukan milik kita, dia adalah milik Allah dalam erti yang sebenarnya, maka semestinya kita yang hidup kena faham dan kasihan padanya supaya jangan melanggar perintah Allah.
Bila nak bawa balik ke kampung, maka azab pada mayat yang belum dikebumikan semakin bertambah, sebagai contoh seperti yang terdapat dalam dasar kerajaan Amerika iaitu apabila mayat itu nak diterbangkan. Peraturan penerbangan Amerika ialah sebelum mayat dibawa menaiki pesawat, maka segala cecair dalam tubuh mayat termasuk otaknya akan disedut bagi memastikan mayat itu betul-betul kering (on medical ground). Selepas itu dikeluarkan sijil kelulusan untuk naik pesawat. Tidakkah ini satu seksa pada mayat orang yang kita kasihi? Cecair dalam tubuhnya itu adalah sebahagian dari anggotanya yang menangis-nangis mahu dikebumikan bersama jasad, tetapi telah disedut dan jasad pula dikimiakan. Alangkah malangnya. Ini semua kerana gara-gara dan kehendak waris yang mahu mayat itu dibawa pulang.
Kalau ini disebabkan kita, maka kita akan ditanya nanti. Perkara ini perlu difahami dengan bersungguh. Kalau melanggar ketetapan Allah, maka beginilah jadinya dan akibatnya pasti ada waris yang berkata, ”Kalau arwah meninggal di Makkah, tidak mengapalah dia ditanam di Makkah, tetapi ini di Amerika!”
Kita kena faham, kemuliaan, mayat atau kubur itu tidak bergantung di mana kubur itu terletak. Kemuliaan dan keselamatan mayat di alam kubur adalah bergantung kepada ketakwaannya kepada Allah semasa hayatnya. Kubur di Makkah sekalipun kalau hidup menentang Allah, maka itu tetap tidak boleh dijadikan pelindung. Kita kena ingat walau mati di mana sekalipun, kubur yang akan menjadi salah satu daripada taman-taman syurga atau salah satu daripada lubang-lubang neraka, adalah bergantung kepada sejauh mana kita (ketika hidup) mengikut hukum dan perintah Allah. Orang Islam yang faham, dia sanggup mati dan ditanamkan di mana sahaja sebab bumi ini semuanya hak mutlak Allah Taala, dan di mana sahaja dia boleh beristirehat setelah dia hidup sebagai seorang hamba yang bertaqwa, insya’Allah. Marilah kita bersama mengambil iktibar. Wallahua’lam bissawwab.