DESPERADO

Sahabat Ajaklah Aku Ke Jannah

Rencana ini kiriman seorang insan yang bakal menerima menantu hujung tahun ini. Dalam kegembiraan kerana anaknya akan menjalani hidup baru sebagai suami, jiwanya koyak. Mengapa? Teruskan membaca.

Hujung tahun anak sulung aku akan ke jinjang pelamin. Sebagai ibu dalam kesedihan ‘melepaskan’ anak, aku rasa seronok kerana dia sudah bertemu dengan pasangan hidupnya, dan jika diberikan rezeki akan melahirkan zuriat-zuriatnya nanti. Ya dia bakal menjadi ketua keluarga dalam rumah tangganya sendiri. Seorang ibu yang sayangkan anaknya wajib menggalakkan anaknya bila cukup usia, sihat zahir batin dan sudah berdikari maka wajib dia membenarkan anaknya berkahwin. Bukan apa, ramai di kalangan wanita termasuk kawan-kawan aku sendiri yang tidak mahu anak lelaki, khasya, berkahwin alasan nanti kasih sayang anak berpindah kepada orang lain. Ya Rabbi orang begini amatlah jahil dan selfish.

Dua tahun anak aku berkawan, sesekali kekasih datang ke rumah. Gadisnya sederhana sahaja orangnya, pada aku siapapun pilihan hati anak, aku terima dia sebagai menantu, asalkan dia orang yang beragama, yang tahu hukum hakam dan yang paling penting perempuannya bersolat. Dia belum lagi bertudung, tidak mengapa, mungkin mak ayahnya tidak menyuruh dia bertudung dan nanti bila berkahwin inshaAllah anak aku akan menyuruh dia bertudung. Aku tahu aurat itu wajib tetapi belum lagi tanggungjawab sebagai mak untuk menyuruhnya dan anak aku juga bukan isterinya untuk memintanya bertudung.

Bila anak berkawan, sudah tentulah kita mahu berkenal-kenalan dengan orang tuanya. Takkan tidak kenal mengenali sebelum mereka bertunang, dan berkahwin, elok juga diketahui latar belakang mereka sebelum meneruskan pertalian seumur hidup ini. aku senang memberitahu yang kami ini hidup bersederhana. aku ibu tunggal jadi rumah pun masih terus menyewa, terus terang kami tidak berharta pun.

Aku juga sudah tentu menanya kepada anak bagaimana latar belakang mereka. Dibandingkan dengan kami, sudah tentu dia orang lebih berada. Aku tidak kisah sangat tentang hal harta tu, cuma aku takut kalau mereka orang kayangan sangat, anak aku sukar menyesuaikan diri dengan mereka pula. Sebab aku ingat satu peristiwa, menantu anak kawan sering memberitahu keluarganya, dia rasa tidak selesa sangat dengan keluarga mertuanya. Dia mengambil masa bertahun-tahun untuk menyesuaikan diri, malah ceritanya pada maknya kadang-kadang dia rasa tidak terpikul dengan keadaan mereka. Sebab mertuanya selalu komplain dia begini begitu. Sebab dia orang kampung biasa dengan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bila berkahwin, dia terkejut monyet, banyak hal yang tidak boleh diterima olehnya. Ceritanya mereka makan pun dengan sudu garpu, jadi boleh bayangkan kehidupan mereka. Anaknya tidak pandai melayan tetamu dengan cium pipi kiri cium pipi kanan, dan bergaul dengan ipar duai dan sepupu macam adik beradik. Senang cakap tiada batas dalam pergaulan. Hal muhrim tidak timbul dalam keluarga mereka ini. Kerana dia tidak beberapa selesa dalam hal ini, selalu menjauhkan diri atau menolak untuk hadir bila ada majlis-majlis famili yang dia tahu, dia tidak akan gembira bersama mereka. Dan itu menjadi kemarahan keluarga mertua, mujur jodoh masih panjang.

Okay berbalik kepada kisah besan aku ini,  anaknya seorang sahaja perempuan dan tiga lagi abang-abang. Satu hal anak aku selamat tentang aurat di dalam rumah mereka. Oh ya, hendak sikit aku cerita latar belakang aku, andai 15 tahun lalu punya cerita saya tidak berkisah sangat tentang agama. Aku pun ‘koyak’ hal-hal keagamaan dan ketika itu masih jahil, hal agama menjadi begitu remeh tetapi tiba satu waktu umur  50 tahun, aku kembali mendekati Allah. Sayangnya cuma tahu yang basic-basic sahaja, mengaji pun tidak berapa pandai, solat pun surah lazim yang sama itulah yang diulang-ulang, sebab surah lain masih merangkak rangkak. Anak-anak pun begitu, tapi kerana aku agak strict kali ini, mahu tidak mahu aku paksa juga mereka bersolat. Aku bawa ustazah mengajar mereka, aku pun turut serta.  Aku bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada aku untuk bertaubat dan melorongkan aku anak beranak ke jalan yang diredhainya. Syukur alhamdulillah.

Aku sedar sangat banyak kesilapan aku dalam mendidik mereka sewaktu mereka kecil, kerana itu kalau boleh aku tidak mahu anak-anak mengikut jejak, dan mendidik anak-anak mereka cara aku mendidik mereka dahulu. Betul aku tidak mahu cucu-cicit aku terumbang ambing. Aku tidak mahu nama sahaja Islam tapi pengetahuan agama cetek dan solat pun tidak reti atau tunggang langgang bacaan.

Aku selalu pesan pada anak-anak, kalau mencari teman hidup biarlah orang yang beragama sebab aku kata, “kamu orang boleh tumpang pandai daripada mereka.” Kerana aku tahu anak-anak aku pun tidak pandai untuk membimbing, jadinya kalau di sana tahu, bolehkah lebih mudah sedikit? Dan bayangkan kalau di sana tunggang langgang, dan di sini pula tak pandai untuk menolong bagaimana? Walaupun aku kata aku tidak kisah siapa pilihan mereka tapi aku minta mereka janganlah kalau boleh berkahwin dengan yang bukan Islam. Mengapa? Sebab aku kata, kawan-kawan aku yang kahwin dengan orang asing, akhirnya mereka yang terikut-ikut cara mat saleh malah ada yang lebih daripada mat saleh. Ada yang bawa anjing tidur sekali dengan mereka. Ada yang mabuk lebih daripada mat saleh, bukan mereka yang nak mengajak pasangan jadi Islam, tetapi mereka yang lebih kafir daripada yang kafir. Aku tengok sendiri, tidak lama lagi Krismas, aduh adalah yang lebih daripada orang Kristian, hiasan pokok Krismas mereka lebih hebat daripada orang Kristian.

Mengapa aku bawa cerita-cerita ini, sebab banyak sangat yang terjadi di kalangan masyarakat kita, dan aku takut, anak cucu aku jadi begini.

Okay cerita balik hal bakal besan, aku melihat mereka relaks bila tiba waktu solat. Pernah aku buat makan-makan di rumah dan mereka sudah berada di rumah aku sejak jam 12 dan sampai jam 5 petang. Aku beritahu kalau hendak solat masuklah ke bilik, aku sudah sediakan telekong dan kain pelikat kalau selesa berkain. Tak seorang pun aku lihat bangun bersolat. Dan pernah sekali mereka mengajak aku sekeluarga untuk makan malam di restoran. “Mengapa kena be there at 7pm, walhal sudah hendak dekat maghrib. Mengapa tidak tunggu maghrib aje, kemudian baru keluar? Hati ini bertanya juga, tak nak solat dulu ke? Atau mereka akan bersolat di restoran? Tapi bagaimana kalau tempat itu tidak menyediakan bilik solat? Jadi aku kata pada anak, kalau dia orang nak gi jam 6.30 ibu tak mahu ikut serta, sebab ibu nak solat dulu. Dan kamu tu, nak solat di mana nanti?”

Betul telahan aku. Satu hari aku dan bakal besan keluar bersama lagi, sebab kami merancang untuk buat majlis bersama, kongsi 50, 50. Dua belah pihak setuju. Yalah dari pagi kami keluar dan bayangkan sehingga kedai-kedai hampir ditutup. Dan dari zohor ke asar, aku sibuk cari tempat untuk solat tapi dia relaks aje. Adui besan aku ini tak nak solat ke, bila tanya jawabnya, “akak gi dulu.”

Setelah beberapa kali aku perhatikan (maka pada satu hari yang lain), aku pun keraskan hati untuk bertanya. Biarlah dia nak kecil hati, marah atau sebagainya, tapi aku hendak tahu sama ada dia ni orang yang solat atau tidak? 

Satu petang kami berdua lagi di sebuah restoran yang agak mewah. Aku memang pilih restoran itu sebab tahu bilik solatnya agak luas dan bersih.

Di meja makan, sambil menunggu dessert kuberanikan diri untuk bertanya… soalannya sudah aku hafal dan ulang (dalam hati) berkali-kali supaya tidak mengecilkan hatinya. 

Susah juga kalau belum apa-apa sudah bermasam muka dan bergaduh. 

Pernah tak anda dengar besan sama besan bergaduh? Oh ramai, selalunya bila anak bergaduh, ibu cuba menyokong anaknya. Ramai ibu yang begitu, walhal dia tahu sendiri perangai anaknya yang begini begitu, tapi sebab mereka bergaduh, walaupun dia tahu anaknya yang salah, tetap dia menyokong tidak tanduk anaknya, dan akhir bergaduh dan mak sama mak atau ayah sama ayah bermasam muka (tetapi lelaki kurang sikit). Sekarang belum kahwin sudah bergaduh, bagaimana?

Apapun aku mahu dengar sendiri dari mulut bakal besan aku ini. Selepas menyusun ayatnya dengan begitu cantik, dia menjawab, “Maaf kak, kami ni tidak pandai solat. Saya ingat-ingat lupa masa kecil dulu adalah diajar tapi bila dewasa, bekerja dan dapat pula suami yang…”

Dia berhenti di situ. Air mata mengalir. “Kak bawalah kami ke Jannah, kak bawalah sahabat akak ini ke sana, ya.”

Aku tergamam, kemudian dia menyambung lagi, “kak suami baca fatihah pun tidak tahu.”

Hah, aku terkejut besar, lemah kepala lutut dibuatnya. Tak solat satu, tapi bila baca fatihah pun langsung tidak tahu, macam mana ni? Umur dekat 60 tapi…. Ya Allah, mujur aku sudah makan, kalau tidak boleh tercekik. Aku tahu ramai orang kita tak solat, tapi tahu solat, cuma malas saja. 

“Bagaimana dengan puasa?” Aku memberanikan diri bertanya lagi.

“Saya puasa sebab niatnya senang nak hafal lagi pun saya suka puasa boleh kurus badan, tapi suami, selalunya tidak puasa. Anak-anak? Dia diam dan saya faham. Jadi, bakal menantu aku tidak tahu solat, tak puasa? Allahu Akbar, aku mengucap panjang. “Ya Allah mereka hendak bernikah beberapa hari lagi,” kata aku dalam hati.

Aku teringat mendengar syarahan agama mengenai orang yang langsung tidak solat, maka tidak boleh menikahkan anak sendiri, kerana ada yang menyebutnya orang ini fasiq. Aku terdiam, tapi sama ada point aku tadi betul atau tidak masih diragui. 

Apa dia wali yang fasiq? Jawapannya, Wali yang tidak adil. Maksud adil ialah tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak mencemarkan maruah diri. Wali yang fasiq iaitu tidak adil, tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman, maka hak perwalian berpindah kepada wali adil yang seterusnya mengikut urutan. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda. Maksudnya, “Tidak sah nikah melainkan oleh wali yang mursyid.” Imam Syafi’i Rahimahullah berkata, maksud mursyid dalam hadis tersebut adalah adil. Hal ini adalah kerana fasiq merupakan kekurangan yang merosakkan persaksian dan ia menghalang pewalian dalam perkahwinan. Satu perkara bukankah, tidak solat, dan tidak puasa itu adalah dosa besar?

Sungguh aku berasa amat sedih. Tiba-tiba hilang mood untuk membuat persediaan. Aku hiba sangat. Aku buntu, aku takut, perasaan aku bercelaru. Patutkah aku menangguhkan perkahwinan mereka, dan suruh pasangan emak ayahnya belajar agama dan taubat? Patutkah aku suruh anak aku bawa ustazah dulu ajar bakal isterinya bersolat dan sebagai? Kalau betul asal-asalnya kafir mudah sikit kot. Ini, nama saja Islam, tapi hidup jauh melencong. Itu aku tidak tanya hal lain. 

“Kak (dan kadang dia membahasakan aku kawan), “Janganlah sebab ini hendak dibatalkan semuanya. Tolonglah ya, kesianlah pada anak-anak kita.” 

Dan di petang itu aku tidak menjawab satupun lagi pertanyaannya sebab aku sendiri macam dituang air panas ke badan; sakit, pedih yang amat, menggeletar, hiba, sedih.

Allahu Akbar, kesian anak aku nanti, beratnya tanggung jawab dia untuk ‘meislamkan’ seluruh ahli keluarga isterinya. Itu pun kalau mereka mahu, kalau tidak mahu belajar bagaimana? Aku bimbang sangat anak aku pula yang terikut mereka.

Yang aku pelik si ayah itu, mengapa sampai sudah tua, tidak ambil inisiatif untuk belajar, kubur sudah kata mari, penyakit pun aku diberitahu banyak. Ubatnya sebakul tapi tidak sedikit pun teringin nak belajar mengenal Allah, sampai Al Fatihah sendiri tidak boleh baca.. Betul aku rasa otak aku beku dan tak boleh terima kenyataan ini.

Di sebelah sana, “kak ajaklah kami ke jannah. Betul kah atau hanya untuk menyedapkan hati aku, dan entah-entah cuma drama kerana tidak mahu aku membatalkan perkahwinan. 

Memang aku mati akal…

Related posts

Isteri Curang, Diceraikan Suami Di Hadapan Anak-Anak

adminwm

“Abah, Kami Yang Berdosa…

admin

Dua Kali Menjanda Dengan Orang Sama

admin

Leave a Comment