Barangkali kerana sudah lama tidak mengadakan pertunjukan fesyen di sini membuatkan ramai yang terlupa bahawa kita ada pereka fesyen kelahiran Malaysia yang memiliki nama besar di kota New York.
Datuk Zang Toi sudah berkelana di New York hampir tiga dekad lamanya. Bermula 1989, Datuk Zang membuka atelier yang pertama di New York dan setahun selepas itu, Anna Wintour, Ketua Pengarang Vogue Amerika memilih rekaannya untuk disiarkan dalam isu Mac majalah tersebut.
Bermula dari situ jenama Zang Toi tersenarai dalam peta fesyen dan menaikkan statusnya sebagai couturier yang disegani. Busana-busana mewah Zang menjadi pilihan warga Amerika dari kalangan berpendapatan top satu peratus (miliki pendapatan tahunan sebanyak $744,426) hingga ke golongan billionaire seperti Melinda Gates dan keluarga Donald Trump, selain barisan selebriti ternama.
Bercakap tentang suku sakat Donald Trump, mereka antara klien besar Zang. Daripada bekas isterinya Ivanka membawa ke anak mereka Ivana, Donald Trump Jr. dan Eric Frederick juga Tiffany Ariana Trump (anak Trump bersama Marla Maples) kesemuanya biasa menyarung rekaan Zang. Terbaru, anak-anak Trump (kecuali Ivana) menyarung rekaan Zang ketika menghadiri acara perlumbaan Royal Ascot di Buckingham Palace. Isteri Donald Trump, Melania juga antara klien Zang, begitu juga kekasih Donald Trump Jr. Kimberly Guilfoyle.
Selain sebagai klien, kaum kerabat Presiden Amerika ini juga antara tetamu tetap ke pertunjukan fesyen Zang. Trump sendiri pernah menghadiri pertunjukan fesyen Zang antaranya pada Februari 1999, manakala ketika di usia remaja, Ivanka mendapatkan duit poket dengan bekerja untuk Zang sebagai model pertunjukan fesyennya.
Hingga kini, Zang masih bergembira menikmati kerjaya gemilang di kota metropolitan itu. Dan dua tahun lalu dia menaikkan lagi stok jenamanya dengan membuka butik bersaiz 800 kaki persegi di Lexington Avenue, berdekatan 75th Street. Hem.. bukan main hebat orang Kelantan.
Dari tempat asalnya nun di Kuala Krai, kini kita kenali Datuk Zang Toi sebagai ‘the kampung boy who made it big in New York!’