Pengertian Korban atau Udhiah adalah menyembelihkan haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang disebut sebagai al-an’am yaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.
Menurut Imam Syafie hukum melakukan ibadah korban ini adalah sunat Muakkadah, yaitu sunah yang dikuatkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, baligh, berakal lagi rasyid serta berkemampuan untuk melakukannya baik sedang mengerjakan haji ataupun tidak, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Makruh meninggalkan ibadah korban ini bagi orang yang mampu melakukannya.
Hukum korban ini menjadikan wajib apabila seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta’yin) untuk melaksanakannya. Misalnya seseorang berkata “lembu ini aku jadikan korban”. Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram. Daging korban wajib (nazar) tidak dibolehkan untuk dimakan oleh yang empunya korban dan tanggungannya.
Hikmah Berkorban
Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim as. yang sanggup menerima perintah Allah untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s
Melahirkan rasa bersyukur kepada Allah swt terhadap nikmat-nikmat yang diberikan Allah.
Menanamkan rasa kasih-sayang antara orang kaya dengan orang miskin.
Syarat Sah Korban
Haiwan yang dikorbankan itu harus dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.
Korban dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah korban.
Ibadah korban harus disertakan dengan niat.
Jenis Haiwan Yang Boleh Dijadikan Korban
Ulama’ bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan korban ialah binatang yang diketegorikan sebagai al-an’am yaitu unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri baik jantan atau betina.
Umur Binatang Korban
Unta – berumur lima tahun masuk ke enam tahun.
Lembu/kerbau/kambing umur dua tahun masuk ke tiga tahun.
Biri-biri/kibas – Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi enam bulan.
Kecacatan Yang Menghalangi Sahnya Korban
Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang terpotong ekornya.
Gila
Berkudis walaupun sedikit.
Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.
Tersangat kurus.
Buta sebelah mata atau kedua-duanya.
Berpenyakit
Tersangat tempang
Tetapi, jika telah bernazar untuk korban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut, wajarlah dia melaksanakannya.
Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya begitu pula haiwan yang terbelah atau bertebuk telinganya.
Keharusan Berkongsi Haiwan Korban
Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang.
Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang saja
Yang paling utama binatang untuk dikorban adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang korban yang berwarna merah bulunya.
Waktu Pelaksanaan Ibadah Korban
Mulai terbit matahari pada Hari Nahr (10 Zulhijjah) setelah melakukan solat id.
Waktu yang yang paling afdhal melakukannya ialah ketika matahari telah naik sekadar tujuh kaki dari ufuk.
Berkekalan waktu korban ini sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
Hukum Korban Bagi pihak Orang Lain
Tidak sah menyembelih kurban bagi pihak orang lain yang hidup tanpa izinnya.
Begitu pula bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
Apabila korban itu dilakukan kerana wasiat si mati maka wajib disedekahkan kesemuanya.
Perkara-perkara Sunat Ketika Menjalani ibadah korban
Membaca Bismillahirrohmanirrahim
Berselawat kepada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Menghadapkan binatang ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
Membaca doa: Maksudnya: “Ini adalah nikmat daripadaMu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya.”
Sebaik-baiknya ibadah korban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.
Hukum Daging Korban
1. Korban Wajib dan Korban Nazar :
Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.
2. Korban Sunat :
Bagi daging korban sunat pula, ialah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
Maksudnya : “….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).
3. Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.
4. Haram memberikan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit (MENURUT MAZHAB AS-SYAFIE).
5. Tidak harus memindahkan daging korban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.
6. Haram ke atas orang yang melaksanakan korban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam : Maksudnya:
“Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya.” (Hadis riwayat al-Hakim)
7. Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan.