Di satu pertunjukan Fesyen Tom Ford dan Alexender Wang, saya melihat Cardi B duduk sama baris dengan Anna Wintour, manakala di Milan, paparazi kecoh apabila Niki Minaj hadir di barisan hadapan pertunjukan fesyen Versace dan Fendi. Tidak terhenti di situ penyanyi rap ini juga menghiasi kempen iklan dan juga kalobrasi bersama Fendi.
Sementara Asap Rocky juga dilihat menghiasai iklan buat Calvin Klien, manakala Pharrell Williams pula menjadi muse buat rumah fesyen Chanel sejak dari Karl Lagerfeld menjadi pengarah kreatif lagi. Ternyata penyanyi hip hop dan rap menjadi pilihan buat golongan anak muda hari ini sebagai ikon buat mereka berfesyen.
Budaya ini tidak hanya di Amerika, di Malaysia juga trendnya sudah mula tular apabila saya melihat golongan millenial di Malaysia menjadikan penyanyi hip hop dan rap tempatan sebagai rujukan untuk mereka bergaya. Tidak keterlaluan sekiranya saya menjadikan Azira Shafinaz kini boleh dinobatkan sebagai ‘next fashion darling’. Begitu juga saya melihat Joe Flizzow yang baru-baru diterbangkan oleh Coach Malaysia bersama Fazura bagi menghadiri pertunjukan fesyen Coach SS2020 di New York. Oh sudah tentu saya tidak lupa pada MK K-Clique yang kini mencipta fenomenanya sendiri, bukan saja dengan tujahan rap yang menjadi siulan, bahkan gayanya juga menjadi ikutan.
Ternyata pengaruh penyanyi hip-hop dan rap masa kini sebenarnya menjadi lubuk emas buat banyak jenama besar untuk melonjakkan lagi jualan rumah fesyen masing-masing. Buat pereka tempatan ambillah budaya ini untuk anda berkarya, menjadikan penyanyi hip hop dan rap sebagai muse adalah peluang untuk anda memasarkan jenama anda dengan lebih luas lagi asalkan gaya itu dapat diterima untuk golongan masyarakat muda di Malaysia kerana golongan millenial hari ini ternyata menjadi pembeli terpenting untuk ekonomi khususnya dalam bidang fesyen.