GAYA HIDUP

Malam Berinai

Alangkah indah temasya di malam itu Jejarimu diinai satu persatu Memberi tahu dirimu sudah berpunya

Bertunang sudah dan tiba waktunya untuk menyatukan dua insan yang sedang bercinta. Di dalam kesibukan merancang sesebuah majlis perkahwinan itu, adat dan budaya tidak harus diketepikan, seperti kata peribahasa ‘Biar mati anak, jangan mati adat.’ 

Malam Berinai Dalam Islam

Pasti ada di kalangan kita juga akan tertanya-tanya mengenai kewajipan melaksanakan malam berinai ini dari sudut pandangan Islam. Memang benar adat harus dijunjung tetapi agama juga perlulah menjadi keutamaan. Islam tidak mencegah pengamalan tradisi ini sebagai suatu langkah untuk mengekalkan tradisi masyarakat Melayu tempatan semata-mata. Namun begitu, Islam juga tidak mewajibkannya kerana ingin memudahkan urusan sesebuah majlis perkahwinan.

Bakal pengantin di luar sana yang mampu dan ingin merasai sendiri pengalaman perkahwinan cara tradisional dan unik, digalakkan untuk melaksanakannya mengikut tradisi yang betul.

Sejarah Malam Berinai  

Adat malam berinai ini merupakan suatu adat yang menggalakkan penyusunan dan pengurusan sosial hidup masyarakat Melayu. Adat ini mengajar masyarakat setempat supaya mengamalkan nilai-nilai murni seperti kerjasama, saling hormat-menghormati, mempunyai toleransi serta lain lain dan dicapai melalui konsep perkahwinan.

Ini dibuktikan dengan melihat para tetamu yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga terdekat mahupun jauh, sahabat handai, jiran tetangga bukan sahaja hadir untuk memeriahkan majlis semata-mata malahan turut saling membantu di dalam persiapan perkahwinan tersebut. Pihak keluarga pengantin juga dilihat begitu teruja untuk menghidangkan juadah serta menyediakan cenderamata sebagai tanda meraikan tetamu yang hadir. Ini secara tidak langsung, dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama mereka yang telah saling mengenali mahupun bagi mereka yang baru bertemu di dalam majlis tersebut.

Berbeza dengan majlis resepsi, suasana malam berinai dianggap lebih intim dan tertutup. Selain itu, antara elemen terpenting di dalam sebuah majlis malam berinai adalah inai atau turut dikenali sebagai ‘henna’. Antara tujuan malam berinai dilakukan secara tiga hari berturut-turut adalah untuk mendapatkan warna inai yang sempurna pada kedua-dua belah tangan dan kaki pengantin.

  • Pes inai yang dipakai oleh pengantin diperbuat daripada daun inai segar yang direndam dengan air terlebih dahulu sebelum ditumbuk bersama dengan nasi dan dicampurkan dengan sedikit minyak pati dan gambir. Bahan-bahan ini digunakan bertujuan supaya inai tersebut lebih merah dan tahan lama.
  • Tetapi, apabila zaman semakin moden, tradisi berinai juga turut berkembang mengikut peredaran masa. Daun inai kini boleh didapati dalam bentuk serbuk atau pes segera yang kebanyakannya diimport dari India dan negara Timur Tengah kerana budaya berinai ini juga sinonim dengan tradisi mereka.

Selain daripada itu, sudah menjadi trend masa kini, bakal pengantin menggunakan khidmat inai untuk mencorakkan inai kepada pelbagai jenis bentuk bunga dan daun sesuai dengan permintaan pengantin. Apa yang lebih menarik, trend inai pada masa kini bukan sahaja terhad kepada penggunaan inai merah sahaja tetapi inai berwarna putih turut mendapat tempat di hati bakal pengantin.

Tradisi yang semakin popular

Malam berinai antara tradisi perkahwinan masyarakat Melayu yang semakin popular dan seolah-olah dihidupkan semula pengamalannya pada hari ini.  Malam berinai dilakukan satu malam dan sesetengah keluarga mengadakannya majlis selama tiga hari berturut-turut sebelum berlangsungnya akad nikah dan majlis resepsi. Ya, pengantin akan dihiasi dengan inai dan majlis dihadiri oleh kenalan rapat dan ahli keluarga pengantin. Terdapat tiga jenis malam berinai iaitu malam berinai curi, malam berinai kecil dan malam berinai besar.

Malam Berinai Curi

Jarang sekali kita dengar mengenai adat ini bukan? Sebenarnya, jika kita ingin mengetengahkan adat malam berinai mengikut tradisi Melayu yang sebenar, majlis berinai harus dimulakan dengan aturcara ini. Malam berinai curi diadakan pada waktu petang atau pada sebelah malamnya, tiga hari sebelum majlis akad nikah berlangsung.

Pengantin perempuan akan didudukkan di atas pelamin yang telah dihias indah dan dipakaikan inai pada kedua-dua belah tapak tangan dan kaki. Harus diingatkan di sini bahawa majlis ini mengikut adat asalnya, hanyalah untuk tatapan keluarga terdekat sahaja.

Malam Berinai Kecil

Aturcara ini diadakan selepas majlis berinai curi dilaksanakan. Pengantin perempuan akan dipakaikan inai pada kedua-dua belah tangan dan kaki.Pada malam ini juga, pengantin lelaki akan turut dipakaikan inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu sama ada pada sebelah tangan sahaja atau kedua belah tangannya.

Majlis ini lebih terbuka berbanding majlis berinai curi kerana akan dihadiri oleh lebih ramai kenalan rapat, sahabat handai dan semua ahli keluarga.

Malam Berinai Besar

Ini adalah acara kemuncak sebelum berlangsungnya majlis akad nikah pada keesokkan harinya. Namun begitu, terdapat juga tradisi yang melaksanakan majlis berinai besar ini selepas berlangsungnya akad nikah antara kedua-dua mempelai tetapi ianya tidak begitu sinonim di dalam kalangan masyarakat melayu pada masa kini.

Aturcara majlis ini membabitkan lebih ramai tetamu jemputan daripada kedua pihak pengantin lelaki dan perempuan. Pengantin lelaki akan diarakkan ke atas pelamin terlebih dahulu diikuti dengan pengantin perempuan.

Kemudian, istiadat akan dimulakan dengan acara membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri dan kanan pengantin lelaki. Acara diteruskan dengan menggunakan bertih, kemudian diikuti dengan tangkai daun wangi yang dicelupkan dengan air setawar lalu digunakan untuk menyentuh belakang tapak tangan pengantin.

Selain daripada itu, sudah menjadi trend masa kini, bakal pengantin menggunakan khidmat inai untuk mencorakkan inai kepada pelbagai jenis bentuk bunga dan daun sesuai dengan permintaan pengantin. Apa yang lebih menarik, trend inai pada masa kini bukan sahaja terhad kepada penggunaan inai merah sahaja tetapi inai berwarna putih turut mendapat tempat di hati bakal pengantin.

Related posts

Haruman Magikal

adminwm

Just in time for the Christmas and New Year celebrations

admin

Setting new standards for sporting events in Malaysia

admin

Leave a Comment