GAYA HIDUP

HATI YANG BERBOLAK BALIK

Manusia boleh berubah.
Baik jadi jahat,
Kaya jadi miskin,
Bahagia jadi sengsara,
Sihat jadi sakit,
Hidup menjadi mati

Hati berbolak-balik bermaksud sifat hati yang sentiasa berubah-ubah antara kebaikan dan keburukan, keimanan dan kemaksiatan, serta antara sedar dan alpa. Keadaan ini adalah fitrah semulajadi manusia, yang boleh diumpamakan lebih mudah berbolak-balik daripada air yang mendidih atau ditiup angin. Cara terbaik untuk mengatasi dan menstabilkan hati adalah dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT melalui doa, seperti doa “Ya Muqallibal Qulub, Thabbit Qalbi ‘ala Dinik” (Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu).

Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata; bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya.” Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa; “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran untuk kita ialah

  1. Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.
  2. Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara kebaikan atau kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yang ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara.
  3. Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah. Allah memalingkan hati manusia tersebut sesuai dengan kehendak-Nya. Imam Nawawi menyebutkan: Allah membolak-balikkan hati seseorang sekehendak-Nya.
  1. Setiap Muslim dituntut agar sentiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat). Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.

  1. Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.
  2. Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.

Hendaklah setiap kita sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar terus diteguhkan hati dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah hati sifatnya berbolak-balik dan bagaimana cara untuk menetapkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith daripada Ummu Salamah – Asma’ binti Yazid bin Sakan – Rasulullah SAW sering mengucapkan doa: ‘اللَّهُمَّ مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ’ (Ya Allah, Yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu). Aku (Ummu Salamah) pun bertanya: “Hai Rasulullah, apakah hati itu berbolak-balik?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ ، مَا مِنْ خَلْقِ اللهِ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ بَشَرٍ إِلاَّ أَنَّ قَلْبَهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَإِنْ شَاءَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَقَامَهُ ، وَإِنْ شَاءَ أَزَاغَهُ ، فَنَسْأَلُ اللَّهَ رَبَّنَا أَنْ لاَ يُزِيغَ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَانَا ، وَنَسْأَلُهُ أَنْ يَهَبَ لَنَا مِنْ لَدُنْهُ رَحْمَةً ، إِنَّهُ هُوَ الْوَهَّابُ.

Maksudnya: “Ya, tidak seorang pun manusia ciptaan Allah melainkan hatinya berada di dua jari dari jari-jari Allah. Jika Allah menghendaki, Dia boleh meluruskannya. Dan jika Dia menghendaki, Dia boleh menyesatkannya. Maka kita memohon kepada Allah, Tuhan kita agar tidak menyesatkan hati kita setelah Dia memberi petunjuk kepada kita, dan kita memohon kepada-Nya agar mengurniakan kepada kita rahmat dari sisi-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi.”

Riwayat al-Tirmizi (3517) dan Ahmad (301). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id (10/179) menyebut bahawa isnadnya hasan.

Dalam menetapkan hati kita ini, perkara yang utama dan pertama adalah banyakkan berdoa dan munajat kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Surah Ali Imran (8)

Ibn Kathir berkata: Pengertian doa ini adalah: Ya Tuhan kami, janganlah engkau palingkan hati kami daripada petunjuk setelah Engkau berikan kami petunjuk dan Engkau tetapkan kami di atas jalan petunjuk. Dan janganlah jadikan kami seperti orang-orang yang hatinya sesat di mana mereka sengaja mengikuti ayat-ayat mutasyabih dalam al-Quran dengan tujuan mencipta fitnah dan membuat penakwilan yang batil. Tetapkanlah kami pada jalan Engkau yang lurus dan agama-Mu yang kukuh. Kurniakanlah kepada kami dari sisiMu rahmat yang dapat meneguhkan hati kami, menyatukan diri-diri kami dan menambah keimanan dan keyakinan dalam jiwa kami. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/11)

Syeikh al-Maraghi berkata bahawa orang yang dalam ilmunya akan segera memohon kepada Allah SWT agar diri mereka dipelihara dari segala kesesatan setelah mendapat hidayah, diberi sikap teguh untuk mengetahui hakikat sesuatu dan bersikap lurus sewaktu menetapkan kebenaran. Mereka berdoa kerana sedar akan kelemahan manusia, yang mempunyai watak berubah-ubah, lupa dan lemah serta takut jatuh dalam kesalahan. Sedangkan kesalahan itu teman karib kebinasaan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/695)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

oleh
Zulkiflialbakri

Related posts

Ic! Berlin x Studio Sebastian Herkner Capsule

admin

Disney+ To Launch in South Korea, Hong Kong AND Taiwan In November

admin

Resepi Nasi Kabsah (ayam/daging/kambing)

admin

Leave a Comment