FESYEN

Fesyen dan Irama Bersatu di Pentas PVRTM

Seandainya anda peminat  penyanyi hebat tanah air seperti Anuar Zain, Ning Baizura, Noreen Aziz dan Alyah, inilah peluang menyaksikan mereka beraksi di satu pentas. Jadi jangan ketinggalan kerana semua persembahan ini akan anda tonton di The Cloth Concert (TCC) anjuran Persatuan Veteran RTM (PVRTM) di IOI Mall Putrajaya pada 22 Oktober depan.

Bukan itu sahaja, ada sesuatu yang istimewa menanti anda, persembahan mereka akan diiringi peragaan fesyen oleh pereka terkemuka negara seperti Zang Toi, Tom Abang Saufi, Sharifah Kirana, Rizman Ruzaini, Salikin Sidek, Carven Ong, Calvin Thoo, J Khan dan Yani Bakhtiar. Dijangkakan lebih 30 pereka akan turut serta memeriahkan pertunjukan malam tersebut.

Antara pereka hebat lain yang bakal menyertai mereka ialah Huda Hassan Kuala Lumpur dan Nina B Nina. Pereka dan juga Presiden, Malaysia Bumiputera Designer Association (MBDA) Rasta Rashid dan pereka terkenal Bon Zainal yang juga Penasihat MBDA bersama tujuh pereka di bawah naungan persatuan pereka tersebut iaitu Maswira Majid, Kalima, Bujins Batik, JayK, Hasfitri, Ash Majid  akan menyertai pentas malam TCC.

Konsert ini juga bakal diiringi oleh orkestra RTM dan disemarakkan lagi dengan persembahan istimewa pemain saksofon JARI serta beberapa artis terkemuka lain seperti Stacy dan Azlina Aziz termasuk beberapa artis baru dan terkenal masa kini seperti Mimifly.

Kehadiran Mimifly pada majlis siding akhbar menyemarakkan semangat tetamu. Mimi mendendangkan lagu sambil peragawati menggayakan batik ciptaan Yani Bakhtiar.

Menurut Presidennya Puan Zohara Gany Mhd. Batusha pada sidang media, konsert yang dinaungi oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor ini dinamakan demikian kerana ia bermula dengan idea untuk menganjurkan satu konsert bagi mengisi tabung kebajikan ahli PVRTM yang amat memerlukan dana yang kemudiannya dikembangkan menjadi satu persembahan yang menyatukan muzik dan fesyen.

“Tuanku Permaisuri memang peminat tegar tekstil tradisional tempatan. Jika kita perhatikan saban kali muncul di khalayak, Tuanku selalunya memakai baju atau busana tradisional yang diperbuat daripada tenun, songket juga batik. Penampilan Tuanku yang sentiasa rapi dan menawan ini jugalah antara sebab yang mencetus idea untuk kami mengutarakan pertunjukan fesyen menggunakan tekstil tradisional tempatan,” tambah Zohara.

Begitupun pertunjukan fesyen sering mempunyai tarikannya yang tersendiri, gabungan penyanyi terkenal negara pasti saja akan menyemarakkan lagi persembahan. Gabungan penyanyi terkenal dan pereka tersohor negara akan melonjakkan jualan tiket dan meningkatkan kutipan tabung. Itulah impian dan hasil yang diharapkan.

Puan Zohara Gany Mhd. Batusha

Zohara… Sehari selembar benang lama-lama menjadi kain, lalu terciptalah busana indah ilham si pereka.

“Mengapa The Cloth?” Kata Zohara sehelai pakaian bermula dengan sehelai kain, kain putih yang diwarnai dan dicorakkan iaitu cloth dalam bahasa Inggerisnya… sedap pula bunyinya, maka jadilah The Cloth Concert.

Dari sudut fesyennya, Zohara mengharapkan acara tersebut akan membantu mengetengahkan kain atau tekstil tradisional tempatan seperti songket, tenun, batik,  Pua Kumbu dan banyak lagi kepada masyarakat mengenai keunikan tekstil tradisional tempatan serta mengembalikan kegemilangan tekstil tradisional sebagai busana kebangsaan turun-temurun.

Walaupun ini bukan kali pertama fesyen dan irama bersatu pada satu pentas namun TCC merupakan acara julung-julung kalinya persembahan yang turut menampilkan sebegitu ramai pereka fesyen veteran dan baharu serta penyanyi tersohor dan yang sedang meningkat naik nama mereka di persada seni masing-masing di satu pentas secara besar-besaran.

Carven Ong, Dato Adilah Shekh Omar, Mimifly, penulis selebriti Dato Kee Hua Chee, Dato Adriana Low daripada IOI Putrajaya, Yani, Rasta, Zohara, Hajah Sabariah Abas (Timbalan Pengerusi Koperasi PVRTM dan Keluarga Berhad), Huda, Nina, Mahani Awang dan Wirda Adnan daripada Majalah WM dan To’ Puan Nora Muhamad (Ketua Bahagian Kreatif dan Promosi Majalah WM).

Apa yang diinginkan, ekoran daripada konsert ini ialah mengubah persepsi masyarakat terhadap penghasilan tekstil tradisi tempatan dan melihat lebih banyak rekaan fesyen tempatan daripada tekstil tradisional ke pasaran global. Selain berhasrat memartabatkan industri fesyen dan tekstil tempatan, konsert ini secara tidak langsung juga ingin mengembalikan semula dunia seni muzik tempatan yang baru saja mula mendapat tempat di hati masyarakat selepas pandemik.

Selain mengumpul dana untuk membantu yang memerlukan, usaha ini turut menghargai hasil kreatif seni daripada pelbagai bidang seperti pereka fesyen, pereka dan penghasil tekstil dan juga industri fesyen tempatan yang suram akibat pandemic.

Kerjasama Banyak Pihak

The Cloth Concert turut mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia dan Majalah WM, sebuah majalah gaya hidup yang kini popular turut menjadi rakan media untuk projek tersebut. Mengulas lanjut, Zohara berkata beliau yakin konsert ini akan menjadi satu platform istimewa malah berjaya mencapai sasaran untuk mengumpul dana mencukupi bagi mengisi tabung kebajikan persatuan yang turut dianggotai bekas kakitangan kontrak dan sambilan.

Para pereka, model dan mereka yang berusaha di balik tabir daripada PVRTM dan Majalah WM.

PVRTM yang didaftarkan pada 1996 kini mempunyai lebih 1200 ahli termasuk bersekutu daripada semua bidang termasuk penerbitan, teknikal dan perkhidmatan sokongan. Ramai antara mereka ini tidak mempunyai pencen dan ada yang tiada akaun KWSP kerana mereka bekerja sebagai kaki tangan kontrak dan sambilan.

“Ada antara mereka ini boleh kita panggil homeless, tiada punca pencarian untuk menyara dan membiayai yuran anak yang sudah pun mencapai tahap kolej dan amat menyedihkan ramai yang mengalami pelbagai penyakit kronik yang memerlukan perbelanjaan besar. Itulah sebabnya kami ikhlas berusaha mengisi tabung.”

Ditanya jumlah sasaran kutipan yang beliau harapkan, Zohara berkata, semahunya dan sebanyak yang boleh. Walaupun mereka berhasrat menyasarkan satu juta ringgit Malaysia namun mereka merasakan dalam waktu semua pihak berhati-hati dalam perbelanjaan, beliau akan cukup gembira sekira tercapai walaupun separuh daripada jumlah tersebut.

“Itu sebabnya kami berkolaborasi dengan beberpa pihak dan projek dan masih lagi mencari penaja utama untuk sama-sama menjayakan The Cloth Concert. Bagi pihak swasta dan juga individu yang berminat menjadi penaja dalam apa jua bentuk baik dalam wang ringgit mahupun produk, kami sentiasa mengalu-alukannya.”

“Banyak return of investment yang kami sediakan dan kita cuma perlu berjumpa dan berbincang. Kami juga punya rancangan untuk merekod dan menyiarkan konsert dua jam ini pada tarikh yang akan ditetap kelak untuk ditonton oleh rakyat Malaysia. Jadi saya menyeru dan mengalu-alukan penyertaan untuk menjadi penaja bagi tujuan ini. 

Untuk makluman, tiket dan meja yang dijual beserta makan malam hidangan barat sudah mula dijual dan sambutan cukup menggalakkan. Harga tiket bermula daripada RM300, RM500, RM1,000 dan untuk meja korporat daripada RM30,000 dan RM50,000, RM100.000, RM200,000 dan RM500,000. Malah tidak terhad jumlahnya  kepada para dermawan untuk terus menyambung demi kelangsung hidup mereka yang ditimpa bencana. Jangan berlengah dan rebut peluang untuk memilih tempat duduk dan meja yang terbaik untuk tiket dan meja anda!

Penjualan tiket/pembelian meja boleh hubungi +012 5746875 atau email [email protected]

Kredit:
Sidang akhbar The Cloth Concert telah diadakan di dewan serba indah, di B’york KL, G Village, Desa Pandan, KL.

Related posts

Where To Splurge?

admin

ic! berlin x Mercedes-Benz

admin

Beraya Dengan Poh Kong

admin

Leave a Comment