AGAMA

Fadilat Bersahur

Sahur (Arab:سحور cahaya subuh), juga di sebut Sehri, Sahari dan Suhoor, ialah terma yang digunakan umat islam bagi merujuk kepada makan di waktu pagi sebelum berpuasa di siang harinya pada bulan Ramadan. Ia di lakukan sebelum masukkan waktu Solat Subuh, lebih tepat lagi sebelum azan subuh mula berkumandang. Sahur ialah makan di waktu awal pagi (sebelum azan subuh), manakala iftar ialah makan di waktu petang (sewaktu bermulanya azan maghrib) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Dalil

Sahur itu adalah sunnah muakkat iaitu perbuatan yang tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan untuk dilaksanakan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur Muslim dan sahur Yahudi. Sabda Nabi S.A.W:

“Pembezaan antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).

Allah jadikan keberkatan dalam bersahur. Sabda Nabi S.A.W :

“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan dan minuman yang halal. Sabda Nabi S.A.W:

“Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” (Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).

Berdasarkan hadis, Muslim digalakkan bersahur dengan kurma (tamar). Nabi s.a.w bersabda: “Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah kurma (tamar)”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah:“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17). Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi Muhammad S.A.W Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi S.A.W menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi S.A.W yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Aisyah r.a menyebut:

“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda: “Makan dan minum lah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi S.A.W ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Makkah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi S.A.W yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi S.A.W mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.

Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan (maksudnya):

“Makan dan minum lah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh, seperti yang diperkirakan dalam waktu imsak. Dalam riwayat Muslim, Nabi S.A.W bersabda:“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”. (Hadis riwayat Muslim).

Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.

Bersahur Buat Badan Cergas

Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar. Dalam hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.

Terdapat juga beberapa dalil Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad S.A.W berkenaan dengan batas bersahur pada waktu subuh iaitu: “Jika salah seorang dari kamu mendengar azan sedangkan ia masih memegang piring (makanan), maka janganlah ia meletakkannya hingga ia menyelesaikan hajatnya (makannya). (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Hakim, disahihkan oleh Adz Zahabi)

“Ibnu Umar berkata, “Alqamah Bin Alatsah Pernah Bersama Rasulullah, kemudian datang Bilal akan mengumandangkan azan, kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Tunggu sebentar wahai Bilal..!, Alqamah sedang makan sahur”. (Hadis ini dihasankan oleh Syaikh Al Albani). “Dan makan dan minumlah kamu hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam iaitu fajar”. (Surah Al Baqarah 2 : 187)

Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka?  Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur.  Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda.  Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah: Menuruti sunnah;

·        Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;

·        Menambah kekuatan untuk beribadat;

·        Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;

·        Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan

·        Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.

Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar.  Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW:  Sebaik-baik makanan sahur bagi

orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut. Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh.  Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

Related posts

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

adminwm

Seks Dalam Islam dan Adab Berasmara

admin

Hukum Menukar Jantina Menurut Islam

admin

Leave a Comment