AGAMA

Menolak Ajakan Suami ke Tempat Tidur, Meminta Cerai… Berikut Tanda-Tanda Isteri Derhaka

Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda, “Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka.. Ketika itu ku lihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang, ”Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata, “Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!” (al-Bukhari)

Huraian

Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikannya hanya kerana satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan, tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku lain isterinya yang menyenangkan. Begitu jua keadaannya bagi seorang isteri terhadap suami.

Tugas seorang isteri di samping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat laksanakan dengan baik, maka syurga baginya. Sabda Rasulullah SAW, “Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga sifat malunya dan taat kepada suami pasti ia masuk syurga melalui berbagai pintu yang dikehendakinya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Sebagai perempuan atau wanita yang bergelar isteri, anda mempunyai satu kewajiban yang besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajiban lain dilaksanakan, kewajiban terhadap suami harus didahulukan. Manakala lelaki pula mempunyai kewajiban yang amat besar terhadap ibunya. Sejauh kemampuannya, ia perlu memenuhi setiap kewajiban terhadap ibunya, kerana itu utama yang mesti dilaksanakan.

Rasulullah SAW bersabda, “Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Taala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaannya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumah tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya hingga ia pulang.”

Tanda Isteri Derhaka

Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha, “Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab, ”Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, ”Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab, ”Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.”” (Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda, bermaksud, “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.” (Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian dikhuatiri termasuk dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut di ketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka;

Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.” Rasullullah SAW ditanya, “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda;

“Kebanyakan ahli neraka terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang dari mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Baginda menjawab, “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” (Riwayat Muslim)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut, “Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, “Aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian darimu,” maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”

Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu di sampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah SAW, “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada di rumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh membenarkan seorang lelaki masuk ke rumahnya tanpa izin suaminya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluar rumah tanpa izin suami

“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain dari jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

Meminta cerai daripada suami

Sabda Rasulallah SAW;

“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Isteri yang tidak menunaikan hajat suami

Sabda Rasulullah SAW;

“Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marah si suami, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di  akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Tiga Amalan Menjadi Syafaat di Akhirat

admin

KELEBIHAN 10 HARI PERTAMA DZULHIJJAH  & AMALAN SUNNAH 

adminwm

QAZAF

adminwm

Leave a Comment