
Dunia fesyen sering digambarkan sebagai lambang kemewahan, glamor dan kesempurnaan visual. Namun di sebalik sorotan lampu pentas dan helaian couture yang memukau, tersimpan kisah manusia yang sarat emosi, tekanan dan perjuangan diri. Filem Couture arahan pengarah Perancis terkenal, Alice Winocour, membawa penonton menyelami sisi lain dunia fesyen yang jarang dipertontonkan — lebih intim, rapuh dan penuh kemanusiaan.
Menerusi tayangan eksklusif oleh Golden Screen Cinemas di bawah platform GSC International Screens, filem ini bakal menemui penonton Malaysia bermula 21 Mei 2026 di pawagam terpilih seluruh negara. Lebih istimewa, Couture menampilkan lakonan bintang pemenang Oscar, Angelina Jolie, yang kembali memukau menerusi watak penuh emosi sebagai Maxine.


Berlatarkan kesibukan dan tekanan luar biasa di minggu fesyen Paris, Couture mengikuti perjalanan tiga wanita yang masing-masing sedang bergelut dengan impian, identiti dan cabaran hidup. Maxine, seorang pembikin filem dari Amerika Syarikat yang hadir ke Paris untuk mengarahkan sebuah filem fesyen, berdepan detik paling sukar dalam hidupnya apabila didiagnosis menghidap kanser payudara. Dalam masa yang sama, Ada — model muda dari Sudan Selatan — cuba menyesuaikan diri dalam industri yang keras dan menuntut kesempurnaan, manakala Angèle, seorang jurusolek, berusaha mengejar cita-citanya sebagai penulis.
Gabungan tiga perjalanan berbeza ini menjadikan Couture bukan sekadar filem tentang fesyen, tetapi sebuah naskhah yang menyentuh tentang kekuatan wanita, penerimaan diri dan perjuangan emosi dalam dunia yang terlalu obses terhadap imej sempurna.
Apa yang menjadikan Couture begitu istimewa adalah cara Alice Winocour mengimbangi elemen visual haute couture dengan penceritaan yang cukup mendalam dan manusiawi. Setiap bingkai filem tampil artistik dan elegan, namun dalam masa yang sama sarat dengan rasa sunyi, tekanan dan pencarian makna diri. Tidak hairanlah filem ini menerima perhatian besar di festival filem antarabangsa termasuk tayangan perdana di Toronto International Film Festival serta terpilih di San Sebastián International Film Festival.

Team Majalah WM bertuah apabila menjadi antara yang terawal berpeluang menyaksikan Couture ketika tayangan perdana yang berlangsung baru-baru ini. Apa yang boleh kami katakan, walaupun filem ini mungkin bukanlah karya bertemakan fesyen terbaik yang pernah kami tonton, namun ia tetap hadir dengan kekuatan tersendiri dari sudut penceritaan dan emosi.

Di sebalik visual runway yang elegan dan dunia couture yang penuh glamor, Couture sebenarnya membawa mesej yang cukup dekat dengan realiti kehidupan, tentang tekanan terhadap wanita, penerimaan diri, ketabahan menghadapi ujian serta perjuangan mencari makna dalam dunia yang terlalu mementingkan kesempurnaan luaran. Filem ini mungkin bergerak secara perlahan pada beberapa bahagian, namun emosi yang dibawa terasa jujur dan memberi ruang kepada penonton untuk benar-benar menyelami perjalanan setiap karakter.
Lakonan Angelina Jolie juga berjaya memberikan dimensi emosi yang kuat kepada keseluruhan filem, menjadikan Couture sebuah naskhah yang bukan hanya cantik dari segi visual, tetapi turut meninggalkan rasa dan persoalan yang berpanjangan selepas tirai ditutup.

Menerusi tayangan ini, GSC International Screens terus memperkukuhkan komitmen mereka dalam membawa karya sinema antarabangsa berkualiti kepada penonton tempatan. Platform ini sememangnya terkenal dengan pemilihan filem-filem artistik dan berprestij dari seluruh dunia, sekali gus membuka ruang kepada penonton Malaysia untuk menikmati pengalaman sinematik yang lebih pelbagai dan bermakna.

Bermula 21 Mei 2026, Couture akan ditayangkan di beberapa lokasi terpilih termasuk GSC Mid Valley Megamall, GSC 1 Utama, GSC Gurney Plaza, GSC Paradigm Mall JB, GSC CityOne Kuching dan GSC Imago KK.
Bagi pencinta filem, dunia fesyen mahupun peminat Angelina Jolie, Couture menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang bukan sahaja indah dipandang, tetapi juga menyentuh jiwa.
