COVER STORY

Deanna Chee -Di Sebalik Topeng Autistik

Oleh Deanna Chee.

“Saya rasa tadi tak ada kerjasama daripada ustazah masa sesi taaruf mutawif dan client syarikat.” Luah ustaz yang menjadi pasangan saya setelah selesai ‘post mortem’ kursus mutawif.

“Saya terdiam mendengar luahan ustaz itu. Tak ada bantahan dan saya bersetuju seratus peratus. Ketika sesi melakonkan sesi taaruf di antara mutawif dan client, saya tak memandang mata ustaz tersebut dan tergagap-gagap ketika bercakap dengannya.

“Ya. Saya akui bahawa bukan sekali itu orang lain mempertikaikan perihal ‘eye contact’ saya. Sudah banyak kali. Apabila ia kerap disebut oleh rakan dan taulan, pastilah saya rimas dan geram. Biarlah saya tak pandang muka awak. Besar sangatkah dosa tunduk ketika bercakap? Ish!”

“Saya seorang autistik. Sungguh. Di awal penglibatan dalam dunia penulisan buku dan media sosial, saya merahsiakan kepada pembaca tentang ini. Berharap benar setelah ‘join the club’ dengan pemain media sosial dan rakan penulis buku agar ada perubahan besar dalam menonjolkan.

“Sungguh. Cabaran berada dalam kelompok manusia normal itu pasti ada. Semestinya usaha saya untuk membuka topeng autistik menjadi orang normal adalah hampir mustahil.

“Kenapa?

Kerana saya tak pandai nak memulakan berbicara dengan suara. Saya tak tahu bagaimana nak mendongak muka apabila disoal ketika bersoal jawab. Bahkan sering mengelak untuk bersua dengan ‘orang asing’ ataupun kenalan yang mahu berjumpa dengan saya.

“Lukisan Topeng Autistik ini saya dedikasikan untuk diri sendiri dan para autistik di luar sana. Saya mewakilkan diri sebagai autistik dalam lukisan ini untuk meluahkan pesanan buat semua. Warna-warni yang dekat sekali dengan para autistik seperti biru telah saya calitkan di bahagian kaca mata, atas serta tepi bibir dan rahang.”

Mengapa?

Kaca mata dicalit biru itu ialah simbolik para autistik yang kurang atau langsung tiada hubungan mata. Rahang yang ada sedikit warna biru itu ialah tanda para autistik tak suka beramah mesra dan di kawasan bibir itu diwarnakan biru kerana para autistik bersifat ‘lurus’ dan kaku apabila berbicara.”

“Saya teringat baru dua tahun kebelakangan ini berani ‘menonjolkan’ diri dengan memperlihatkan lukisan karya saya. Pada tahun 2018, karya yang disimpan entah berapa lama telah saya kongsikan di Facebook. Saya ingat siapa pembeli lukisan itu. Lukisan yang berharga RM180 itulah titik tolak saya mula memberanikan diri berkongsi setiap karya lukisan. Itulah langkah pertama saya memberitahu bahawa Deanna Chee yang melukis atas kanvas menggunakan pisau ialah seorang autistik.

“Di media sosial, pengikutlah yang banyak memberi sokongan dengan menempah lukisan saya. Setiap lukisan yang saya lukis mempunyai cerita yang berbeza. Serius, ia semua kisah benar sama ada kisah sendiri dan para klien lukisan saya. Saya lebih banyak menulis di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Sedar dan faham bahawa saya hanya lebih selesa menulis berbanding menerima jemputan ‘talk’, maka menulis buku dan di media sosial adalah medium melontarkan idea. Dua medium ini saya tambah lagi dengan menyertakan lukisan agar pembaca lebih suka membaca tulisan tersebut. Saya seronok berkongsi lukisan yang comel sebagai memujuk hati para pengikut akaun media sosial yang mungkin saja sedang berduka. “Apakah harapan saya sebagai penulis yang tetap memakai Topeng autistik? Saya hanya mahu terus menulis dan melukis demi Tuhan walaupun sebagai manusia yang menyorok di sebalik Topeng Autistik.” –  Deanna Chee.

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” image=”13303″]
[thb_gap height=”40″]
Siapa Deanna Chee?

“Nama sebenar saya ialah Deanna Chee Siew Mee binti Abdullah. Saya lahir pada 20 Julai 1989 di Queensland, Australia. Saya berbangsa Sino Kadazan dan menetap di Kota Kinabalu Sabah. Anak terakhir dalam keluarga daripada tiga bersaudara. Ayah seorang ahli perniagaan dan ibu,  seorang peguam di firma guaman persendirian bersama abangnya sebelum bersara.

“Saya berpendidikan Ijazah Sarjana dalam Bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak dan pernah menjadi guru pra sekolah di sekolah rendah di Sabah. Setelah meletak jawatan, saya menjalankan perniagaan dalam bidang servis pembersihan sekolah dan menyediakan makanan RMT ke sekolah. Selain itu saya ialah penulis dan pelukis sepenuh masa. Ketika ini, saya giat menyelesaikan manuskrip buku ketiga.

“Ya. Saya seorang mild autism ( Asperger Syndrome ) dan mengakui agak sukar menghadapi dunia luar. Seperti yang diketahui, autistik amat sukar menyesuaikan diri dan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dua hala. Masalah ‘eye contact’ dan bercakap dengan orang secara semuka adalah kesukaran yang paling tak suka saya hadapi. Namun, saya ubah masalah kesukaran bercakap secara semuka itu dengan menulis dan melukis untuk meluahkan suara hati. Kesukaran lain yang sering yang saya hadapi ialah sukar menerima arahan luar kotak. Autistik, imaginasinya terbatas. Pengikut akaun Facebook Deanna Chee tahu bahawa lukisan dan karyanya punyai cerita atau kisah tersendiri. Kadangkala ada insiden di mana saya tak faham arahan klien untuk meluahkan ‘cerita’ mereka ke dalam lukisan. Apabila berdepan masalah itu, maka kakak yang akan berusaha menerangkan kepada saya.

“Deanna Chee bukan seorang yang sombong kerana tidak mahu bertemu dengan pembaca buku dan klien lukisannya. Dia adalah seorang yang sungguh pemalu dan masih tegar memakai Topeng Autistik yang sukar ditanggalkannya. Bertanya lah apa saja melalui tulisan, maka akan dijawab. Berbual lah melalui telefon, akan disahut.

“Sebenarnya ketika kecil saya adalah kanak-kanak speech delay. Ibu saya pernah tertekan kerana saya tak boleh bercakap dengan normal sekiranya mahukan sesuatu. Saya tak boleh nak luahkan kehendak. Maka ibu saya membiasakan saya untuk melukis apa sahaja hasrat hati. Sejak itulah ia menjadi bakat yang saya gilap apabila sudah semakin dewasa.

“Teguran Dari Langit yang merupakan buku pertama. Alhamdulillah, buku ini menjadi best seller dan sudah dua kali terbit. Saya anggap buku pertama ini adalah sesi perkenalan antara Deanna Chee dan pembaca. Kesemua kisah dalam buku ini adalah adaptasi kisah benar diri sendiri dan pengalaman bersama orang lain. Banyak yang dialami dan pengalaman itu membuat saya banyak berfikir tentang Tuhan.

“Buku pertama ini, Ya Allah… ujiannya hebat. Menyiapkan manuskrip selama 22 hari dalam keadaan saya kurang sihat adalah pengalaman yang tidak mudah untuk dilupakan. Pernah merayu kepada doktor agar memberikan saya ubat yang berdos tinggi kerana tidak tahan sakit demi nak siapkan manuskrip buku ini. Saya masih ingat lagi peristiwa berbaring sambil meletak laptop di atas bantal. Saya rasakan semangat sungguh tinggi untuk buku ini sehingga mampu menghasilkan lima hingga tujuh bab dalam sehari. Benar, Allah Maha Penolong. Jika diingat-ingat, pastilah air mata mudah mengalir.

“Buku kedua yang bertajuk Aku Mahu Pulang terbit awal tahun lalu. Agak tertangguh beberapa minggu untuk menghantar karya ini kerana terlalu sibuk jalani rawatan di hospital. Ini bukanlah sekuel kepada buku pertama tetapi sejujurnya masih tetap menulis adaptasi kisah benar. Saya tak boleh nak menulis buku fixi.

“Dalam buku Teguran Dari Langit saya ada menceritakan ringkas kisah bagaimana hijrah hidup itu dijalani. Ia lebih seperti pepatah ‘pukul anak sindir menantu’ apabila ketika itu saya marahkan seseorang sehingga memarahi Tuhan orang Islam, Nauzubillahi min zalik.

“Ini adalah kisah seorang anak gadis Roman Katolik yang bercinta dengan lelaki Muslim yang dikenali hanya melalui kawan. Bercinta jarak jauh dan dirahsiakan pula daripada keluarga. Setelah dikecewakan kerana lelaki itu sebenarnya sudah bertunang, maka pastilah hati hancur dan marah. Ibu saya ialah insan yang bertanggung jawab merawat dan membuat saya bangkit berdamai dengan kekecewaan tersebut.

“Saya benar-benar marah dan hilang pertimbangan. Saya marahkan Tuhan orang Islam dan menganggap bahawa berbohong itu juga adalah ajaran Tuhan mereka. Gigih benar saya mencari tafsir dan fakta ataupun isu yang menunjukkan bahawa Tuhan orang Islam membenarkan berbohong. Saya hampa. Saya tidak berjumpa satu peristiwa pun yang menceritakan Tuhan orang Islam suka umat Islam menipu.

“Ketika itu saya berada di Institut Pendidikan Guru dan rapat pula dengan seorang kakak beragama Islam. Rupanya dia memerhatikan saya membaca tafsir Quran itu dari jauh. Sehinggalah suatu hari dia berkata, sekiranya saya berminat dengan agama Islam maka terima lah hidayah Allah. Pastilah saya terkejut kerana ketika itu memang sudah jatuh cinta dengan Allah, cuma memikirkan keluarga yang kuat dengan pegangan agama maka saya ragu. Namun berfikir bahawa manusia ialah hak Tuhan, maka saya tekad menyambar hidayah hadiah Allah itu, dan peluk Islam.”

 

‘Aku yang dahulu bukanlah aku yang sekarang. 

Tidak pernah aku terlintas untuk berhijrah daripada jahil menjadi tahu. 

Daripada membenci ajaran agama, menjadi pemuja nombor satu. 

Tapi kini aku sudah kembali, kembali kepada fitrah. 

Namun jalannya bukan mudah. 

Dicaci, dihina, dipulau, dibuang.

Sampaikan aku jatuh terduduk di titik paling bawah. 

Noktah.

Sehingga aku ‘ditegur’ sesuatu.

Kerana teguran’ itu, aku bingkas bangkit.

Kerana ‘teguran’ itu, aku terus berlari dan tidak berpaling lagi.’

 

“Ya. Ibu saya sungguh bersedih. Setelah kakak memeluk Islam kerana berkahwin dengan lelaki Melayu, sudah pastilah dia berharap saya tidak mengikuti jejak itu namun sebaliknya. Saya berhijrah iman kerana menemui kebenaran. Cabarannya hebat, kekangan untuk menerangkan bahawa bertukar agama bukanlah pengakhiran hubungan antara ibu dan anak adalah sesuatu yang amat Sukar dilakukan. Banyak keistimewaan yang ditarik. Saya juga disaman mengikut adat sebanyak RM160.000 daripada ibu. Ketika itu abang sayalah tempat meminta bantuan. Bayaran itu saya lunaskan.

“Apa yang dilakukan menghadapi ujian halangan tersebut ialah tak melawan apa saja provokasi daripada ibu. Pukul lah, saya hanya menangis. Tampar lah, saya cuma bertahan. Saya tidak pernah menengking ibu kerana faham dia bertindak begitu kerana sayangkan anaknya. Apabila dia meminta saya makan tanpa sebut Bismillah, saya iyakan. Ketika dia memohon saya membuka aurat, saya ikutkan. Namun, apabila dia mendesak kembali kepada agama, saya diam. Sehinggalah ibu jatuh sakit dan meninggal dunia kerana serangan stroke. Dan  itulah klimaks ujian kerana keluarganya menyalahkan saya. Itulah yang paling berat.

“Saya berhadapan dengan konflik diri. Apakah saya ini anak derhaka? Soalan itu sering bermain sehingga dua tiga tahun lamanya, sehinggalah saya benar-benar yakin bahawa anak yang baik adalah anak yang tidak akan mengalah mendoakan ibunya dan taat pada Allah. Itulah pujukan hati.”

“Saya tak pandai berdakwah dengan menggunakan lisan. Cuma apabila kawan- kawan yang bukan beragama Islam keluar bersama ke mana-mana, saya cuba perlihatkan apa yang Allah dan Rasulullah suruh. Masuk waktu solat saya akan meminta diri untuk bersolat. Sebelum makan saya baca doa dalam bahasa Melayu agar mereka faham apa maksud doa itu. Saya banyak berdakwah melalui tulisan sama ada melalui media sosial dan buku motivasi Islamik yang saya tulis. Pembaca buku saya bukan semuanya orang Islam, yang bukan Islam juga ada.”

“Kakak saya juga Islam.  Dia berkahwin dengan lelaki Melayu yang baik dan soleh. Juga arwah abang saya Muhammad Luqman Hakim bin Abdullah. Dia meninggal dunia beberapa jam sejurus memeluk Islam akibat kemalangan jalan raya.”

Tentang pemakaian purdah?

“Memakainya membuat saya yakin diri. Autistik seperti saya memang payah hendak yakin diri terutama bila berhadapan dengan orang lain dan dipandang atas bawah.  Saya rasa purdah dan niqab menyelamatkan saya jika keluar ke tempat yang ramai dengan manusia asing. Siapa kata berniqab tidak nampak berfesyen, bergaya? Bagi saya, saya sering memakai seluar denim dengan baju labuh, palazzo dan baju yang sesuai. Jubah juga saya sering pakai. Warna kegemaran saya ialah biru, namun untuk pakaian saya suka yang berwarna gelap dan tidak terlalu terang. Tudung ataupun shawl di bawah jenama sendiri The Deanna Scarf adalah pilihan saya.

“Baru-baru ini saya melihat Neelefo berniqab. MasyaAllah, saya seronok sekali melihatnya. Bagi saya itu adalah pencapaiannya.

“Saya gembira kerana Allah hadirkan saya kawan-kawan yang sering menyokong. Happiness  is not going back to things or people that upset us over and over again.

“Saya sering up and down to Kuala Lumpur untuk melukis tempahan para klien di sebelah Semenanjung tetapi apabila tidak boleh terbang lagi disebabkan pandemik, Covid 19 ini,  saya sukar membuat perancangan masa hadapan yang lebih jauh namun mahu memiliki galeri lukisan sendiri sebelum berusia 40 tahun. Inilah impian saya.”

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” image=”13304″][thb_gap height=”40″]

Related posts

Segalanya Bermula Di Sini

admin

Rahman & Rafiza ‘Our Heart Speaks The Same Language’

admin

Suriani Saaroni, “Saya Teringin Berlakon.”

admin

Leave a Comment