Datuk Zunaidah Idris ialah seorang tokoh Investment Banker dan kepimpinan wanita dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam industri pelaburan, strategi dan pembangunan bakat. Beliau pernah berkhidmat sebagai Senior Vice President di Hong Leong Investment Bank (HLIB), Institutional Business di mana beliau memacu segmen pelaburan korporat dan
institusi sehingga HLIB meraih pengiktirafan sebagai Tier One Broker. Beliau adalah mantan Pengerusi IMPAC , Agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi,.
Datuk Zunaidah pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Persatuan Gas Malaysia (MGA).
Dalam bidang akademik dan pembangunan modal insan, Datuk Zunaidah aktif sebagai Adjunct Professor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Penasihat Industri Asia Pacific University (APU), serta seorang jurulatih bertauliah HRDC dalam bidang kepimpinan. Kini, beliau menggalas peranan sebagai Naib Pengerusi Women Leadership Foundation (WLF), mengetuai inisiatif seperti Leadership Pillar dan SMART Mentoring yang melahirkan barisan wanita pemimpin berwibawa.
Dikenali dengan falsafah kepimpinan berteraskan nilai, integriti dan empati, Datuk Zunaidah terus menjadi suara yang konsisten memperjuangkan kepelbagaian, tadbir urus dan pemberdayaan wanita di Malaysia dan rantau ini.
Sebagai pengarah dan penasihat dalam pelbagai organisasi serta pengasas WLF, apakah momen penting yang menonjol dalam memupuk kepimpinan peribadi Datuk sendiri?
Saya sentiasa percaya bahawa kekuatan kepimpinan bermula daripada nilai dan matlamat yang jelas. Nilai-nilai seperti integriti, perkongsian, kerja berpasukan, keberanian untuk memperkasakan orang lain dan minda yang sentiasa berkembang, menjadi panduan sepanjang perjalanan saya. Antara momen yang paling membekas dalam diri saya adalah ketika saya memberi peluang kepada pasukan untuk benar-benar mengambil alih tanggungjawab, membina rasa amanah, belajar berinovasi, menghormati antara satu sama lain dan akhirnya memimpin ke arah kejayaan. Kejayaan ini membawa Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) diiktiraf sebagai Tier One Broker dalam industri. Namun bagi saya, yang lebih bermakna ialah apabila dua pengganti saya berjaya muncul sebagai pemimpin berkaliber. Itulah puncak kepimpinan sebenar; apabila kita mampu melahirkan lebih ramai pemimpin yang luar biasa selepas kita.


Dalam WLF, Datuk adalah Naib Pengerusi. bagaimana Datuk melihat peranan kepimpinan sebagai satu bentuk servis, bukan dominasi dan apakah pendekatan yang Datuk gunakan untuk memimpin dengan empati?
Kepimpinan, bagi saya, bukanlah soal kuasa atau dominasi. Ia tentang memahami nilai diri, matlamat pasukan dan membina hubungan yang berasaskan kepercayaan. Seorang pemimpin tidak boleh hanya mengharapkan penghormatan kerana jawatan, sebaliknya penghormatan itu mesti diperoleh melalui sikap dan tindakan. Saya memimpin dengan pendekatan empati. Saya menggunakan kecerdasan emosi sebagai mekanisme untuk mendengar tanpa menghakimi, cuba memahami keadaan emosi orang lain dan hadir dengan sokongan yang tepat pada saat yang mereka perlukan. Dengan cara ini, pengaruh saya datang daripada rasa hormat dan kepercayaan, bukan daripada dominasi kedudukan.
Ketika WLF menjalankan program mentoring dan pembangunan kepimpinan, bagaimana Datuk memilih mentor dan mentee agar hubungan itu benar-benar transformasi, bukan sekadar formaliti?
Di bawah Leadership Accelerated Mentoring Program (LAMP), kami di WLF percaya bahawa mentoring mestilah bersifat transformasi, bukan sekadar formaliti. Program ini bukan hanya empat hari pembelajaran kepimpinan di Asia School of Business tetapi ia adalah sebuah perjalanan pembinaan diri dan profesional. Dalam memilih mentor, saya bersama Datuk Dr. Hafsah dan Datuk Hazimah menekankan nilai yang sama; mentor mesti berprinsip untuk memperkasakan orang lain, mempunyai integriti, pengalaman yang luas, kejujuran, kebijaksanaan dan keupayaan menyampaikan ilmu dengan baik.
Apabila proses pemilihan ini dijalankan dengan teliti, padanan antara mentor dan mentee berlaku secara lebih semula jadi. Hasilnya sangat mengagumkan, hampir 70 hingga 80 peratus mentee benar-benar menunjukkan perubahan besar dalam diri mereka. Ada yang lebih yakin, ada yang dinaikkan pangkat, malah ada yang berjaya ke jawatan C-Suite, CEO dan Dekan. Bukti paling nyata ialah apabila beberapa syarikat besar sanggup menempah tempat dalam program ini dua tahun lebih awal. Itu menunjukkan bahawa LAMP bukan sekadar program biasa; ia benar-benar memberi kesan transformatif.
Dalam kerjaya korporat Datuk, mungkin pernah memimpin pasukan yang ragu atau tidak bersedia terhadap perubahan. Bagaimana Datuk membina kepercayaan dan membawa pasukan bersama dalam perubahan?
Saya pernah melalui situasi di mana pasukan saya berasa ragu-ragu terhadap sesuatu perubahan baharu. Di HLIB, setiap kali saya ingin memperkenalkan projek atau inisiatif baharu, saya akan memastikan komunikasi sentiasa jelas dan telus. Perbincangan inklusif menjadi keutamaan kerana saya percaya setiap suara dalam pasukan perlu didengari. Saya berusaha memahami kerisauan mereka, mendengar bantahan dengan sabar dan pada masa yang sama mendapatkan sokongan awal agar mereka merasa terlibat sejak permulaan.
Saya juga menjaga kestabilan emosi dalam berinteraksi dengan mereka kerana perubahan boleh menimbulkan ketakutan. Dengan menjelaskan manfaat perubahan itu untuk semua pihak, saya berjaya meyakinkan pasukan. Pendekatan ini saya bawa bersama ke WLF kerana saya percaya kepimpinan bukan tentang mengheret orang lain tetapi tentang berjalan bersama-sama mereka.
WLF menegaskan “kepimpinan inklusif” sebagai salah satu pilar. Bagaimana Datuk memastikan suara wanita dari latar belakang kurang bernasib baik turut didengari dan diberi peluang di program WLF?
Di WLF, kami sangat menekankan kepemimpinan inklusif. Antara inisiatif yang dekat di hati saya ialah Elevate Your Leadership+ (EYL), sebuah program yang memberi ruang kepada wanita yang tidak pernah diberi peluang untuk mengikuti latihan kepimpinan. Program ini direka khas untuk mereka yang baru dilantik sebagai ketua unit atau ketua jabatan, agar mereka dapat memahami asas nilai kepimpinan sebelum melangkah lebih jauh.
Kami bekerjasama rapat dengan Yayasan Peneraju dalam usaha meluaskan peluang kepada wanita daripada latar belakang berbeza. Bagi saya, pemilihan bukan sekadar berdasarkan latar belakang sosial tetapi lebih kepada keinginan mereka untuk berubah, dedikasi, disiplin dan kesungguhan untuk membina diri. Lebih membanggakan lagi, WLF turut memberi peluang kepada mentee untuk tampil di pentas forum dan persidangan antarabangsa, berdiri sebaris dengan pemimpin dunia. Bagi saya, inklusiviti bukan hanya soal gender atau etnik tetapi juga soal memberi ruang dan keselamatan psikologi agar suara setiap orang dapat didengari.
Apabila seorang pemimpin berdepan dengan kritikan pedas atau tentangan, bagaimana Datuk menyaring antara nasihat berguna dan komen merosakkan, serta tetap tegas dengan visi?
Kritikan dan tentangan adalah lumrah dalam kepimpinan. Namun, saya memilih untuk kembali kepada asas: nilai, matlamat, moral dan etika. Selagi semua itu selari dengan prinsip organisasi dan diri, maka saya tetap teguh pada visi. Kepimpinan tidak boleh sekadar mengejar populariti; ia adalah tentang membuat keputusan yang betul walaupun ia tidak disukai ramai. Seorang pemimpin mesti memahami tanggungjawab dan akauntabiliti. Apabila kita sedar bahawa setiap keputusan memberi kesan kepada mereka yang kita pimpin, kita lebih mudah membuat keputusan yang tegas dan tidak goyah hanya kerana suara-suara negatif.
Ada masa seorang pemimpin merasa kesepian. Bagaimana Datuk menjaga sokongan emosi sendiri dan adakah WLF ada sistem sokongan dalaman untuk ahli kepimpinan?
Secara peribadi, saya seorang yang positif. Saya mengenali diri saya dengan baik; kekuatan, kelemahan, malah emosi dalaman dan luaran saya. Saya tidak pernah meletakkan identiti atau keyakinan diri kepada penilaian orang lain. Itu membuatkan saya selesa berdiri sendiri tanpa rasa perlu mendapatkan pengiktirafan untuk merasa lengkap.
Saya mengawal emosi dengan baik, menikmati kebebasan yang sihat dalam hubungan dan mensyukuri ikatan kekeluargaan serta persahabatan yang erat. Inilah benteng utama saya daripada rasa kesepian.
Di WLF, walaupun kami tidak mempunyai sistem rasmi untuk menangani isu kesunyian, kami mengamalkan budaya terbuka. Ahli pasukan boleh datang terus kepada saya atau rakan pengasas lain untuk berkongsi keresahan mereka. Saya percaya telinga yang sudi mendengar sudah cukup untuk meringankan beban hati seseorang.
Untuk wanita yang berada di tahap pertengahan organisasi dan merasa terhenti, apakah strategi paling konkrit yang Datuk sarankan agar mereka dipandang layak untuk melangkah ke tahap kepimpinan?
Wanita yang berada di pertengahan kerjaya sering kali berasa tersekat. Namun, jalan keluar sentiasa ada. Pertama sekali, mereka perlu membina keyakinan diri dan melihat diri sebagai pemimpin, bukan sekadar pengurus. Dari situ, lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran melalui program latihan, persidangan atau pembacaan yang berterusan.
Selain itu, mereka perlu berani mencari mentor, mendapatkan bimbingan dan membina rangkaian untuk meningkatkan visibiliti dalam organisasi. Saya juga percaya pada kejujuran diri; memahami kekuatan dan kelemahan sendiri supaya dapat menambah baik aspek yang masih kurang.
Strategi ini, apabila dilaksanakan secara konsisten, akan membuatkan mereka lebih mudah dilihat sebagai calon semula jadi untuk melangkah ke tahap kepimpinan seterusnya.
Kepimpinan bukan hanya tentang memimpin orang, tetapi juga diri sendiri. Bagaimana Datuk membina disiplin diri dalam aspek mental, rohani, dan fizikal supaya kekal konsisten?
Bagi saya, disiplin diri datang daripada keseimbangan rohani, mental dan fizikal. Dari segi rohani, saya menjaga hati daripada perasaan dengki dan iri hati. Hati yang bersih membuatkan kita lebih tenang dan tidak mudah stres. Solat pula menjadi waktu saya mencari ketenangan batin, menghubungkan diri dengan Allah dan memperbaiki kecerdasan emosi.
Dari segi mental, saya menerima hakikat bahawa manusia tidak sempurna. Apabila berjaya, saya memilih untuk tidak sombong. Apabila gagal, saya melihatnya sebagai peluang untuk berusaha lebih keras. Pemikiran positif sangat penting kerana pemikiran negatif boleh melemahkan semangat dan menjejaskan kesihatan emosi.
Dari segi fizikal, saya sentiasa mencari masa untuk bergerak; sama ada dengan berjalan, zumba, berkebun atau aktiviti lain yang menyenangkan. Senaman membantu meningkatkan serotonin dan endorfin yang menjadikan emosi lebih stabil. Bila tubuh sihat, minda tenang, keputusan yang dibuat juga lebih objektif dan berkesan.


Bila program kepimpinan atau mentoring WLF gagal mencapai sasaran, bagaimana Datuk menganalisis dan memperbaiki? Adakah mungkin ada projek “restart” atau pivot?
Saya percaya setiap program perlu sentiasa dinilai dan diperbaharui. Contohnya, Leadership Accelerated Mentoring (LAMP) telah melalui beberapa fasa penambahbaikan. Pasukan WLF sangat komited dalam memantau, menilai dan menyokong peserta. Walaupun ada yang tercicir, kami tetap membuka ruang untuk mereka kembali jika benar-benar komited.
Graduan LAMP pula tidak ditinggalkan begitu sahaja. Mereka masih dijemput menghadiri program awam WLF dan terus berhubung dengan mentor serta komuniti. Bagi saya, mentoring bukanlah satu titik tamat. Ia sebuah perjalanan pembelajaran berterusan. Jika ada yang tidak mencapai sasaran, itu bukan kegagalan mutlak, sebaliknya peluang untuk pivot dan muncul lebih kuat.
Untuk wanita yang tidak percaya diri bahawa mereka boleh menjadi pemimpin kerana kekangan hidup, bagaimana Datuk membantu mereka bermula dari titik kecil?
Saya selalu mengingatkan mereka untuk fokus pada hal-hal positif. Raikan kemenangan kecil, walaupun sekadar penghargaan kecil dalam komuniti. Setiap pengiktirafan itu mampu membina keyakinan. Jangan terlalu terkesan dengan komen negatif yang tidak membina. Ambil kritikan yang berfakta untuk memperbaiki diri tetapi abaikan yang hanya bertujuan menjatuhkan.
Saya juga menasihati mereka untuk menyenaraikan semua kejayaan yang pernah dicapai, tidak kira besar atau kecil. Dari situ, mulakan dengan projek komuniti berskala kecil. Projek sebegini membolehkan mereka melihat sendiri impak positif yang boleh dihasilkan.
Selain itu, saya berkongsi pengalaman peribadi saya sendiri, termasuk cabaran yang pernah saya hadapi, agar mereka tahu bahawa setiap orang mempunyai jalan penyelesaiannya sendiri. Saya galakkan mereka untuk terus menimba ilmu, mencari mentor, berkawan dengan orang yang positif dan yang paling penting, jangan pernah berhenti berusaha, berdoa dan bertawakal.
Apabila peserta WLF berasa “tersangkut”, kecewa atau letih, apakah dialog dalaman yang Datuk berikan supaya mereka tidak putus asa?
Saya selalu mengatakan bahawa berasa “tersangkut” bukanlah tanda kelemahan atau kegagalan. Ia sekadar tanda masa atau keadaan belum sesuai. Saya mengingatkan mereka untuk tidak menyalahkan diri, sebaliknya bermuhasabah. Ambil langkah kecil; kembali kepada rutin harian, cuba belajar sesuatu yang baharu, berbincang dengan mentor atau berkongsi dengan pasukan.
Saya percaya setiap kesukaran hanyalah satu bab dalam perjalanan dan setiap bab akan berubah apabila kita membuat keputusan untuk mengubahnya. Kejayaan yang berterusan datang daripada keseimbangan minda, rohani, fizikal, emosi dan kesihatan. Yang penting, jangan berhenti melangkah walau perlahan sekalipun.
Dalam sejarah WLF, pernahkah Datuk berdepan konflik visi antara pengasas? Bagaimana Datuk menjaga persefahaman?
Perbezaan pendapat itu lumrah apabila tiga personaliti kuat berkumpul. Setiap individu dibentuk oleh pengalaman, budaya dan cara hidup yang berbeza. Namun, kami sentiasa memilih untuk mendengar dengan teliti, menilai setiap cadangan dan akhirnya membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk WLF, bukan untuk individu.
Perbincangan profesional dan matang menjadi asas, bukan emosi. Apabila ada kekangan, kami kembali kepada visi dan misi yayasan, berkongsi kepakaran, pengalaman dan kebijaksanaan untuk melatih dan memperkasakan pemimpin masa depan. Dengan berpaksikan nilai dan matlamat yang sama, kami sentiasa mampu mencapai kata sepakat demi kelangsungan WLF.
Jika generasi baru wanita ingin memulakan “klub kepimpinan kecil” di komuniti mereka, apakah struktur mini yang Datuk sarankan supaya ia efektif?
Langkah pertama ialah memahami nilai, tujuan dan matlamat penubuhan kelab itu. Kemudian, bentuk struktur yang jelas. Wujudkan jawatankuasa teras dengan pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari dan pengarah program. Tambahkan jawatankuasa kecil untuk bidang tertentu seperti latihan, keahlian, penajaan, inovasi dan khidmat masyarakat.
Sekiranya mampu, lantik juga penasihat atau penaung daripada kalangan mentor atau tokoh profesional bagi menaikkan kredibiliti. Sediakan polisi dan peraturan yang kukuh, dokumen rasmi seperti piagam pertubuhan dan mekanisme kelestarian supaya kelab itu tidak hanya bergantung pada satu generasi. Dengan struktur ini, kelab kecil boleh memberi impak besar dalam komuniti.
Akhir kata, jika Datuk boleh mencoret satu wasiat kepada wanita yang membaca ini, apakah kata-kata paling menggugah untuk mereka keluar daripada rasa lemah dan ragu?
Bagi saya, asas kepimpinan bermula dengan kesedaran diri. Kenali nilai dan tujuan hidup, fahami kekuatan dan kelemahan diri dan pimpinlah dengan ketulusan niat. Jangan biarkan nilai diri anda diukur oleh pangkat, darjat atau pengiktirafan orang lain. Nilai diri sebenar datang daripada kekuatan dalaman yang anda bawa dengan penuh keyakinan setiap hari.
Saya ingin setiap wanita percaya bahawa kehadiran mereka di dunia ini adalah rahmat dan barakah daripada Allah SWT. Apabila kita memimpin diri dengan ikhlas, kita akan mampu menginspirasi orang lain, meninggalkan legasi kepimpinan dan membuka jalan untuk generasi baharu wanita yang lebih berani dan berwawasan.
