Kebaya pakaian tradisional yang berasal dari Jawa, Indonesia. Kebaya Jawa dikenali sejak abad ke 3 Masihi di Jawa Tengah dan baju kebaya berevolusi corak dan warna sampai pada abad ke tujuh Masihi. Sebutan ‘Kebaya’ berasal daripada ‘Abaya’ yang ertinya jubah atau pakaian.
Kebaya dikenakan oleh wanita di Asia Tenggara, terutama di negara Brunei, Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand. Malah diperagakan di selatan Filipina dan Kemboja. Ia diperbuat daripada kain kasa yang dipasangkan dengan sarung, batik, atau pakaian tradisional yang lain seperti songket dengan motif warna-warni.
Kebaya memiliki karakteristik terbuka di bahagian depan dan dibuat secara tradisional. Berlengan panjang, kebaya juga kerap dikenakan dalam upacara adat di Indonesia khasnya.
Jenis Kebaya di Malaysia
Sekalipun dikatakan kebaya berasal dari Jawa, Indonesia, barangkali ilham daripada keindahan kebaya itu maka hadirlah kebaya-kebaya mengikut negeri masing-masing, menarik bukan?
KEBAYA NYONYA/PERANAKAN MELAKA
Bagi pendatang Cina yang berkahwin/berkawan dengan orang Melayu mereka mengenakan kebaya Nyonya atau disebut juga kebaya Peranakan. Kebaya buatan tangan ini memerlukan kepakaran menyulam corak-corak yang seakan renda-renda yang halus. Hiasan utama kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga dijahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak dijahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leber, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagain depan baju yang dikenali sebagai lapik. Corak pada Kebaya Nyonya berbeza dengan kebaya-kebaya lain kerana mempunyai motif tersendiri seperti bunga dan haiwan dalam pelbagai warna.
KEBAYA SELANGOR
Kebaya Selangor atau disebut ‘The Malay Dress’ dipercayai gabungan daripada Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, Kedah, Perak, Selangor dan Bugis. Kebaya Selangor mempunyai ciri yang longgar dan labuh, iaitu melepasi lutut, berpesak empat di hadapan, berkekek dipakai secara selisih, dilipat sedikit di bahagian leher, dan hujung lengan lurus.
Kebaya Selangor dipadankan dengan kain songket, tenun bugis, atau kain batik mengikut kegemaran atau status si pemakai. Ramai wanita memilih kain kapas sementara untuk majlis-majlis keraian khas di Istana mahupun kala menjadi tetamu di luar negara dan bagi kerabat diraja, kebaya dipadankan dengan kain Tenun Bugis. Bagi pengantin perempuan pula pada majlis Raja Sehari, mereka memilih kebaya diperbuat daripada kain songket.
Kebaya Selangor yang Dipakai oleh Pengantin
Satu lagi kebaya yang amat popular di Selangor malah menjadi kesukaan ramai ialah Kebaya Labuh atau juga dikenali sebagai Kebarung. Ia adalah gabungan daripada nama baju kebaya dan baju kurung. Kebarung ini dipercayai berasal dari Selangor. Pada 90-an ia menjadi kegilaan wanita Malaysia amnya. Kebaya ini dipadankan dengan kain batik dan mempunyai potongan yang sedikit longgar berbanding kebaya biasa.
KEBAYA SETENGAH TIANG NEGERI SEMBILAN
Kebaya ini menjadi busana tradisional bagi Negeri Sembilan. Baju ini dinamakan sebagai Kebaya Setengah Tiang kerana bajunya labuh sedikit berbanding kebaya pendek, tetapi pendek sedikit berbanding kebaya panjang. Baju Kebaya Setengah Tiang ini dipadankan dengan kain batik sarung dan pernah menjadi amat popular pada awal 50-an untuk digayakan dalam majlis keraian.
Selain digayakan sewaktu bertandang ke majlis kenduri kahwin, busana tradisional ini juga dipakai sewaktu berada di rumah, malah ada juga yang menggunakannya ketika bersawah.
Walau bagaimanapun, penggunaan Kebaya Setengah Tiang yang dipakai ketika bersawah adalah berbeza apabila dipakai di majlis keraian. Misalnya, kain kapas berbunga biasanya dibawa ke bendang. Manakala, fabrik seperti broked, kain kasa, tenunan songket benang emas dan perak akan digayakan untuk menghadiri majlis keraian.
KEBAYA JOHOR RIAU /KEBAYA PANJANG JOHOR
Jenis Kebaya tradisional mengikut negeri Johor pula ialah Kebaya Johor-Riau juga dikenali sebagai Baju Belah Kebaya Panjang kerana mempunyai potongan labuh sehingga ke buku lali. Kebaya ini berbelah, berkekek dan mempunyai pesak pada bahagian hadapan. Bagi menutup belahan pada bahagian dada, kancing atau kerongsang tiga akan dipadankan.
KEBAYA KOTA BHARU KELANTAN
kebaya Kota Baru
Kebaya ini dikatakan mirip dengan baju kebaya di Pulau Jawa yang dipanggil sebagai Baju Kutu Baru. Hal ini kerana Kebaya Kota Bharu mempunyai rekaan baju yang pendek di tengah tetapi panjang di bahagian belakang. Busana tradisional ini dinamakan sebagai Kebaya Kota Bharu kerana secara tradisinya dipakai oleh wanita-wanita Kota Bharu, Kelantan. Kebaya Kota Bharu ini juga mempunyai kancing di bahagian depan dada yang menunjukkan perbezaannya dengan kebaya-kebaya negeri lain.
KEBAYA PENDEK PAHANG
Jenis kebaya tradisional mengikut negeri Pahang ialah Kebaya Pendek Pahang. Kebaya ini mempunyai potongan besar dan pesak di bahagian hadapan. Baju ini juga direka dengan kekek di bahagian ketiak. Kebiasaannya busana ini akan digayakan dengan selendang yang disandang pada bahu kanan serta tiga kerongsang dipakai di bahagian hadapan. Ada juga yang memilih kebaya ini berlengan pendek.
Kebaya Lengan Pendek Pahang
Kebaya Pulau Pinang
Bagi yang berasal dari Pulau Pinang kebaya direka dengan potongan yang labuh yang biasanya diperbuat daripada kain sari. Menamakan Kebaya Pulau Pinang ia digunakan oleh Jawi Peranakan seperti kaum India Muslim, iaitu kaum Mami dan Mamak. Kaum Mami lebih gemar menggayakan kain lace yang dihiasi dengan sulaman labuci. Manakala, kaum Mamak lebih gemar menggunakan kain sari untuk dijadikan kebaya.
KEBAYA PERLIS
kebaya Perlis
Jenis kebaya tradisional mengikut negeri Perlis pula ialah Kebaya Perlis. Busana tradisional ini mempunyai reka bentuk yang sama seperti baju kebaya yang lain jika dilihat pada bahagian hadapan. Tetapi jika dilihat pada bahagian belakang, busana ini mempunyai kekek persis baju kurung dan tidak bertulang di atas bahu.
Terdapat dua cara pemakaian Kebaya Perlis, iaitu mempunyai lipatan hadapan dan akan diletakkan kerongsang di atas bahagian lipatan. Kedua, bahagian hadapan tidak ada lipatan tetapi ditindankan terus lipatan dan diletakkan kerongsang yang menyerong di atasnya.
Jenis material yang digunakan untuk menghasilkan Kebaya Perlis ini adalah daripada material kain kapas dan kasa rubia. Hal ini kerana, material ini apabila disarungkan pada tubuh si pemakai akan terletak elok sahaja. Hal inilah yang akan membuatkan si pemakai kelihatan lebih cantik dan selesa.
Sumber: Wikipedia, Bernama Gambar Internet