DONEDONE, SEEN & HEARDSEEN & HEARD

Cebisan Rasa 2021: Segan Jadi Melayu, Malu Ngaku Rakyat Malaysia

Memulakan warkah Done, Seen & Heard yang menemui anda bagi bulan pertama 2021, saya ingin rakamkan cebisan rasa yang benar-benar memberi kesan mendalam pada diri. Banyak kisah dan pengalaman pahit yang kita lihat dan baca, yang kita lalui dan alami sepanjang 2020 hinggalah menjelangnya 2021, kita hampir tidak dapat mengungkap satu kenangan indah pun sepanjang setahun itu. MasyaAllah! Begitupun kita diuji, kita tetap berdoa dan tidak lupa mensyukuri setiap yang Allah kurniakan kerana kita tahu bersyukur itu adalah harapan yang membawa kita melangkah seterusnya.

Apapun tak perlulah kita cerita hal-hal atau sentuh topik universal seperti konspirasi vaksin, The New World Order atau the coming of The Third World War, untuk mencetuskan intellectual discourse. Rasanya kita dah muak dengan tajuk-tajuk sebegitu. We are so done with all that! We can’t stomach it. Muak!

Tidak usahlah pergi jauh, jom kita bicara hal yang dekat dengan kita, yang berlaku di sekitar kita. Begitu banyak pos yang diterima melalui pelbagai aplikasi telefon bimbit, hasil nukilan Dato’ A Kadir Jasin paling menyentuh. Terharu, sedih, marah pun ada membacanya. Buat mereka yang belum lagi membacanya, dirakamkan semula untuk renungan bersama:

“Cakap pasal Islam, halal dan haram sampai bergegar bumi. Tapi banyak hipokrasi daripada ikrar dan janji.
Bumi luas dan subur tapi nak hasilkan makanan sendiri pun malas dan berdolak-dalik. Akibatnya, dasar kecukupan makanan dan “food security” hanya omong-omongan. Terpaksa bergantung kepada import dari negara-negara bukan Islam untuk tampung keperluan. Negara-negara kafir hasilkan makanan, negara-negara Islam import. Sampai makanan halal pun bergantung kepada negara-negara kafir. Buat undang-undang halal tapi benda haram diimport sebagai halal untuk makanan orang Islam kerana rasuah, salah guna kuasa dan makan gaji buta. Tengok carta Al Jazeera di bawah ini. Yang hasilkan makanan halal adalah Brazil, Australia, India dan sebagainya. Yang import adalah Arab Saudi, Malaysia, UAE, Indonesia dan yang lain. Berhentilah lacurkan cogan kata “demi agama, bangsa dan negara”. Sudah jadi kata-kata basi, berongga, tanpa isi.
Wallahuaklam. Terima kasih.”
Tepatlah pandangan dan luahan beliau itu. Sesungguhnya pahit untuk ditelan namun itulah hakikaktnya. Sedih mengenangkan kerajaan Melayu Islam yang rata-ratanya di sokong oleh penjawat awam yang kita juga tahu adalah mereka yang beragama Islam malah penguatkuasanya hampir sepenuhnya dianggotai oleh orang Islam.

Malangnya orang Melayu Islam inilah yang terlibat aktif dalam pelbagai amalan rasuah. Bayangkan 40 tahun rakyat makan daging yang tidak pasti halal haramnya. Jika dikaji dalam-dalam, tidak mungkin boleh berlaku. Tapi itulah yang telah terjadi.

Sama-samalah kita ambil iktibar dan jangan sampai kata orang tua-tua, alah bisa tegal biasa, kalau sudah selalu sangat, bimbang nanti tabiat itu menjadi sebati dalam darah dan satu kebiasaan. Menyebut hal itu dan berleluasanya rasuah dalam kalangan pemimpin negara dan petugas awam membuat ramai benar-benar terkilan dan kecewa, hinggakan kerap sangat kedengaran di warung kopi, perjumpaan keluarga mahupun di masjid orang menyebut, “Malu jadi Melayu, malu nak ngaku rakyat Malaysia.”

Kenduri ‘The New Normal’

“Apa? 60 orang? Are you out of your mind? Macam mana dia orang nak makan nanti? Muat ke?” tiba-tiba terpacul soalan-soalan itu dari mulut Amir, my life partner. Soalannya yang betubi-tubi itu membuat saya dan pembantu, Yati tergamam dan hilang akal seketika untuk menjawab.
“Oh! Hendon dah tempah kerusi meja untuk 50 jemputan… ahli keluarga boleh makan jelah di dalam… okaylah tu.” Selamba saya menjawab tentang pesanan yang kakak saya telah buat untuk kerusi, meja dan Yati mengiakan. “You ni tak baca surat khabar ke? Dah macam orang duduk dalam hutan. I thought you are always concern about the pandemic cases and the current SOPs. You dah kenapa?”

Panas muka saya bagai ditampar dengan soalan-soalan sebegitu. Tapi saya hanya mampu mengawal diri dan cuba tenangkan dia. Atau tenangkan diri sendiri? Allahuakbar! Bagaimana saya terlepas pandang hal-hal sebegitu?

Marah, geram, panik pun ada dibuatnya. Kami berdua yang sedang sibuk mengira berapa ekor ayam, berapa kilo daging dan berapa kilo basmathi yang patut kami masak untuk majlis kenduri arwah Kak Non dan keluarga tiba-tiba tersentap dan hanya mampu berpandangan. Betul juga, tak terfikir pula hal tu sebab kebelakangan ini saya hadir di beberapa majlis kenduri saudara dan kenalan, tetamu yang hadir lebih 40 orang rasanya. Mungkin kerana itu membuat saya, bukan tidak kisah tapi terlepas pandang yang kita masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kalau polis datang serbu rumah ni?” sambungnya lagi dan saya terus menggamam. Yati yang pada mulanya bagaikan tidak kisah, tiba-tiba mengerling pada saya. Nyata dia juga cuak. Apa lagi yang boleh saya katakan. Memang saya dah terlepas pandang!
“Kalau guests kena saman RM1,000 seorang you nak bayar ke? Hari tu masa plan you kata dalam 20 orang. Ahli keluarga saja. Ni dah naik sampai 50 orang. Apa plan B you sekarang? Hah! Ada plan B ke?” Saya ternganga. Blah! blah! Blah! Memang teruklah saya kena smash. Pendekkan cerita, memang saya dan buat silap dan mesti cari jalan penyelesaian. Tidak perlu fikir panjang, saya terus hubungi Kak Hendon. Mungkin dia ada cadangan bagus.

Beberapa kali panggilan tidak dijawabnya. Baru teringat, dah masuk waktu isyak, ke masjidlah dia. Hati semakin bimbang. Tinggalkan pesanan SOS sajalah jawabya. “I felt so sad, silly and getting the vibes of suspense thinking of the worst to come!Soalnya macam mana nak beritahu para jemputan yang saya terpaksa batalkan kehadiran mereka?

Panggilan hayat yang dinantikan akhirnya muncul. Kak Hendon nasihati saya supaya jangan panik. Huh! Jangan panik? Apa pun, Alhamudulillah. Saya dah terdesak dan tak sabar nak mendengar solusi dan cadangan hebatnya yang akan menyelamatkan saya.

“Boleh saja minta izin di balai polis berdekatan. Kawan i kata boleh cuba,” katanya. What? Rasa nak terpengsan, nak terduduk, semua ada. Memang tak masuk di akal cadangan itu. Worse come to worst, she will have to cancel her jemputan jemaah surau dan saya juga akan menghubungi beberapa saudara mara jauh memberitahu hal pembatalan. The issue here is what do I say?

Ketika saya masih termangu-mangu memikirkan cara, Amir terus mendesak agar saya hubungi semua yang termasuk dalam senarai perlu dibatalkan. Dah pernah kahwinkan anak, tapi buat kenduri kahwin pun tidak sekecoh ini. Saya faham rasionalnya tapi memandangkan saya hanya ada 24 jam untuk bertindak, saya semakin cemas.

Pendekkan cerita saya, saya kuatkan diri dan mula menghubungi mereka yang tersenarai. Allahukabar! Alhamdulillah! Tidak sukar langsung untuk menjelaskan masalah saya, semua mereka yang saya hubungi menyokong keputusan dan tindakan saya malah ramai yang berasa lega sebab memang awalnya takut nak hadir majlis dalam keadaan wabak yang semakin meningkat, tapi berat hati masing-masing untuk menolak jemputan saya. Lega!

Cuma yang ingin saya kongsikan, kalau dulu selain Tok Imam, menu dan peralatan majlis seperti sejadah, telekung, surah Yasin dan air mineral menjadi keutamaan kala membuat persiapan majlis tahlil, sekarang ni perkakas SOP boleh buat satu rumah jadi kecoh; sanitizer, alat penyukat suhu badan dan topeng pelindung muka mesti ada (kalau-kalau ada yang terlupa membawanya) dan paling sukar, siapa yang bertanggungjawab memastikan SOP, khususnya penjarakan sosial dipatuhi?

The moral of the story, sekiranya anda bercadang mengadakan kenduri tahu apa jua majlis dan terpaksa menjemput lebih 20 orang berikut beberapa perkara harus anda ambil kira:

1. Jumlah jemputan dan isi rumah – Mesti pastikan jumlah jemputan dan berapa orang yang akan berada di dalam rumah. Contohnya jika di dalam rumah anda sekeluarga sudah pun ada lima orang ini bererti anda hanya boleh menjemput 15 orang sahaja pada satu masa.

2. SOP – Topeng, sanitizer dan penjarakan sosial.

3. Menu dan hidangan – Hidangan makanan dalam bentuk bufet atau layan diri tidak dibenarkan dalam pelaksanaan majlis sosial antaranya membabitkan majlis rapat umum termasuk, perkahwinan, kenduri dan pertunangan. Jadi sebaiknya dibungkus siap-siap.

– Pastikan mengawal keadaan dan perilaku tetamu. Peraturan itu termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan majlis sosial yang diluluskan dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 22 Jun lalu.

– Menurut kenyataan daripada Kementerian Perpaduan Negara, SOP ini juga terpakai untuk penganjuran kenduri atau majlis perkahwinan atau lain-lain majlis sosial di rumah ibadat bukan Islam.

– Tetamu adalah dilarang berkumpul atau berhimpun di luar ruang majlis sebelum atau selepas selesai majlis,

Gangguan Bekalan Air Selangor, Bagai Air Dicincang Tak Kan Putus

Tatkala dibelenggu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Mac 2020 di Selangor, rakyat negeri ini turut diuji dengan masalah gangguan air pada pertengahan tahun hingga ke penghujungnya. Ingatkan isu bekalan air di Selangor turut berakhir apabila 2020 melabuhkan tirainya, rupa-rupanya tidak.

Terbaru, membuka tirai lebaran 2021, beberapa kawasan di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang turut mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai 12 Januari hingga 14 Januari. Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan itu berlaku susulan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di beberapa kawasan.

Berikutan itu, sebanyak 22 kawasan di Wilayah Shah Alam, empat di Klang dan 10 kawasan di Petaling mengalami gangguan ekoran kerja-kerja berkenaan. Bekalan air pulih sepenuhnya seperti dijanjikan pada 9 pagi, 14 Januari 2021, namun keluhan rakyat terus kedengaran; kerana bekalan terputus sehari sebelum dijadual. Ini membuat ramai yang terkesan dan berada dalam keadaan tidak bersedia. Malah beberapa kali notis tidak mengikut jangka waktu yang diberikan.

Begitupun ramai faham bahawa tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan sistem agihan, namun rata-rata marah dan kecewa kerana berasakan pihak berkuasa tidak ambil peduli akan masalah yang mereka hadapi. Kekecewaan rakyat Selangor semakin menebal hingga pelbagai gurauan dimuatnaik ke dalam IG, FB, Twittter dan Whatsapp masing-masing yang mengutuk dan memerli.

Gangguan bekalan air: 1.2 juta akaun pengguna Kuala Lumpur, Selangor terjejas
Ini Senarai Kawasan Gangguan Bekalan Air Pada 24 November 2020 - Oh! Media

Sebagai pengguna dan tinggal di Kelana Jaya, Petaling Jaya Selangor, hampir setiap kali gangguan kami di kawasan SS1, SS3 dan seksyen yang berdekatan turut mengalami masalah. Punyai ibu mentua yang tinggal bersama berusia 85 tahun dan tiga cucu yang berada di rumah saya setiap hari, masalah air amat membeban dan menyeksakan. Jika untuk beberapa jam atau setengah hari bolehlah bertahan tetapi jika melebihi dua hari, bagaimana?

Sebelum itu telah berlaku gangguan, dan kami sesama jiran tetangga dan ahli keluarga saling bergurau “Tak mengapalah, sabar je. Ini ‘finale’ sebagai penutup tirai 2020” dengan harapan 2021 membuka lebaran baru dengan bekalan air yang konsisten.

Apa yang kami fahami kemudiannya, bekalan air di 59 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kejadian paip pecah berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga hingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip di kawasan pembinaan Worldwide Seksyen U11, Shah Alam.

Lebih seribu kawasan di Selangor berdepan dengan gangguan air tersebut disebabkan pencemaran sumber air mentah yang telah dikesan di Sungai Selangor. Menurut kenyataan dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), tugas di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu melibatkan 1,196,457 akaun yang merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. Maka, pemulihan kawasan tersebut tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah diumumkan pada 18 Oktober 2020. Pendek kan cerita bermula Julai diikuti September, Oktober dan November, hampir setiap bulan, tidak kiralah apa jua sebabnya, ada saja berlaku gangguan bekalan.

Ada Bantuan Tapi Tidak Mencukupi

Terima kasih atas bekalan air bantuan. Kami amat menghargainya. Namun begitupun Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis, namun tidak mencukupi untuk konsumsi semua yang terkesan.

Di SS1, SS3, SS4, SS5, SS6 dan kawasan sekitar contohnya, lori bekalan hanya tiba di beberapa kawasan tertentu, apabila kami bertanya, pemandu lori dan pembantu yang ada ditempat tersebut menyuruh kami membuat aduan pada nombor yang tertera di lori tersebut. Dengan penuh harapan kami membuat panggilan, tapi hampa. Beberapa kali, panggilan tidak pun berjawab.

Pada insiden gangguan beberapa bulan sebelumnya, Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Elina Baseri menyatakan antara kawasan yang terlibat adalah Bandar Bestari dan Glenmarie Cove di Wilayah Klang/Shah Alam, manakala di Wilayah Kuala Langat ialah Jalan Sijang Kilang di Sungai Gong dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air yang turut memberi kesan kepada 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Profile photo of Elina Baseri
Malaysiakini
Gangguan Bekalan Air Selangor Syabas (Jadual 2020)
Kiri Atas: Elina Baseri, para petugas memeriksa air sungai yang tercemar dan penduduk mendapakan bantuan bekalan air yang datang ke kawasan mereka.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (Luas) pula, pihaknya sudah melakukan siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan beberapa agensi lain berikutan penutupan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) kerana pencemaran.

Ujian bau juga turut dilaksanakan di premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai. Luas turut menjelaskan bahawa Sungai Gong merupakan anak sungai kepada Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor, di mana LRA Rantau Panjang terletak 17km ke hilir.

Pada insiden gangguan yang terkini, walaupun maklumat perkembangan kerja-kerja pembaikan paip pecah itu dimaklumkan daripada semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor dalam Facebook, Twitter dan Instagram, serta aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com, namun sedihnya, mengikut notis yang diterima lebih 10 hari sebelumnya telah memaklumkan gangguan berjadual pada 12 Januari 2021 tapi pada jam 5.00 petang 11 Januari bekalan air sudahpun terputus.

Pengguna bukan tidak faham dan tidak prihatin akan usaha pihak berkuasa dan yang bertanggungajawab malah berterima kasih di atas usaha mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik tetapi cuma mengharapkan notis yang diberikan bertepatan. Apa gunanya notis awal tetapi waktu bekalan diputuskan tidak mengikut jadual.

Amatlah diharapkan pihak yang berwajib mengambil tindakan dan usaha membuat kaji selidik terperinci dalam usaha mengendalikan apa juga kerja-kerja membaik pulih seperti membaiki paip pecah, menukar paip lama, mahupun apa jua masalah yang timbul dengan menggunakan sistem dan kaedah yang benar-benar berkesan, cepat dan lestari.

Yang pasti, gangguan bekalan air tidak patut berlaku terlalu kerap, dalam keadaan teknologi yang serba canggih, dan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang sedang membangun, sukar menerima kenyataan bekalan air yang tidak konsisten. Selain isu paip pecah, mengganti paip lama, pencemaran sumber air seperti sungai menjadi sebab berlakunya gangguan, ada juga kedengaran terdapatnya unsur-unsur sabotaj, jika benar ia perlulah diberi perhatian serius dan siasatan terperinci perlu dibuat kerana ia melibatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Dan itu juga dapat membersihkan nama baik Air Selangor mahupun Luas selain juga mengelakkan kerugian wang ringgit yang disalurkan.

Ustaz Ebit… Lagi…

Ini juga cerita air tapi lain halnya. Sambil sibuk membeli air mineral untuk bekalan minum dan memasak, pening memikirkan di mana nak cari bekalan air mandi dan membersih baju serta pinggan mangkuk yang mula bersusun di sinki. Mujurlah anak-anak telah siap membeli pinggan dan cawan pakai buang. Jadi tidaklah bermasalah sangat. Cuma untuk mencuci peralatan seperti periuk belanga yang digunakan untuk memasak, itu pun alah kadar setakat menggoreng telur atau memasak hidangan ringkas.

Mungkin rezeki kami, dalam perjalanan pulang lewat petang daripada membeli makanan, kami terserempak dengan lori yang membawa bekalan air di kawasan berdekatan. Saya pun terus pecut macam pemandu F1 untuk segera pulang dan mengumpul botol dan baldi untuk mengisi air, dan bergegas semula ke lokasi lori tadi. Agak stres dan penat juga terkejar-kejar macam itu. Bukan apa, takut lori sudah beredar, atau lebih teruk kalau bekalan dah kehabisan. Alhamdulillah. Lega, dapat juga sedikit bekalan untuk kegunaan 36 jam lagi.

Sedang berehat setelah penat menguruskan hal bekalan air, signal mesej telefon berbunyi. Sebaik habis membaca dan menonton video yang dihantar, saya menceritakan ‘drama’ kami mengambil bantuan bekalan air. Apapun bangga sangat tonton video tersebut; hal Ustaz dermawan Ebit Liew yang baru saja memuat naik di Facebooknya tentang pembelian dua tangki air yang diagihkannya bagi pengguna di kawasan Gombak dan Batu Caves.

MasyaAllah! Ustaz Ebit lagi! Mana pergi wakil rakyat semua? Lalu buat saya bergurau dengan anak, “Apa kata kita telefon saja Ustaz Ebit. Mana tahu dia bawa lori datang kat sini. Belum tamat ayat Shasha ketawa sinis dan menjawab, “Mummy pengsanlah dia kalau nak bantu satu Malaysia.”
Berbalik pada keprihatinan Ustaz Ebit itu, saya cukup kagum dengan beliau, dan yakin apa yang dilakukannya itu memang ikhlas seperti yang selalu disebutnya, “Saya lakukan semua itu demi Allah.” Moga Allah terima segala amal baik Ustaz Ebit itu dan berikan beliau ganjaran setimpalnya. Yang pasti beliau seorang yang prihatin dan terpilih.

Yang manisnya dan buat rasa terharu, Ebit dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya itu, berkongsi cerita bagaimana sayu hatinya melihat masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor khususnya.
“Sayu hati rasa. Selangor tiada air. Saya beli air dua lori besar untuk diagihkan. Daripada 10 malam kami keluar rumah uruskan sampai subuh dan sekarang masih belum selesai mengagihkan air di kawasan pinggiran Batu Caves,” tulis Ebit di akaun Instagram beliau yang mempunyai 3.8 juta pengikut itu.

Kata Ebit lagi, masalah keputusan bekalan air bukan mudah untuk diharungi apa lagi bagi golongan yang tidak berupaya atau mereka yang kudratnya tidak mengizinkan.

“Bila saya tengok rumah saya tiada air, saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang di luar sana? Ya Allah. Sekali tengok orang beratur. Paling sayu pak cik mak cik tua-tua nak air. Ada yang saya minta pembantu saya bantu angkatkan.”

Beliau melihat ada kanak-kanak kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum keluarga agaknya. Begitupun beliau turut terharu melihat ada anak-anak muda yang turut membantu mereka yang tua. Malah katanya pengerusi flat dan ahli jawatan kuasa setempat semuanya turut membantu bersama ahli jawatan kuasa surau. Itu yang membuatnya lagi terharu.

“Ya Allah. Bantulah semua negeri-negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua,” ujar Ebit lagi dalam hantarannya. Dalam pada itu beliau juga sempat berpesan agar orang ramai mendoakan usahanya dipermudahkan memandang kan bekalan air juga harus disalurkan ke premis-premis lain yang turut memerlukan seperti pusat dialisis dan klinik.

Mendoakan lebih ramai individu seperti Ustaz Ebit muncul dalam masyarakat kita. Cuma saya sedih lagi kesal dengan setengah sikap orang kita, (siapa kamu, kamu tahu sendiri) kerana usaha baik Ebit disalah ertikan, malah dipelecehkan dan dilemparkan kata nista terhadapnya. Mengapa marah kepada insan yang tulus membantu? Mengapa sakit hati melihat dia berbakti? Konon Ebit nak cari publisiti dan sebagainya, dan dikatakan Ustaz Ebit mengganggu gugat usaha usaha pihak berwajib untuk menjalankan tugas. Tolonglah janganlah hendak bermain politik di sini, diketika orang tengah lapar dan dahaga, dan badan berbau busuk kerana tidak mandi berhari hari.

Teringat cerita adik teman, tinggal bersamanya si ayah mentua yang tenat bersama tiga anak perempuannya yang masih kecil. Suami bekerja di luar kawasan. Air tidak ada sudah beberapa hari, kalau pun ada tangki-tangki yang menghantar air, tempat singgahannya agak jauh. Berapa kali dia patut berulang alik ke situ? Berapa banyak yang boleh diisi dalam kereta Kancilnya? Tiba-tiba diberitahu Ustaz Ebit ada menghantar air di kawasan yang tidak beberapa jauh dari rumahnya. Tidakkah itu rahmat dan rezeki yang paling besar kepada keluarga itu pada hari itu?

Pesan saya kepada Ustaz Ebit, jangan peduli pada manusia yang hasad dan dengki, anda teruskan usaha berbakti. Allah bersamamu Ebit, pasti Allah menambah lagi rezeki untuk dibahagi-bahagikan. Wallahualam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button