Anda sudah masuk dalam fasa kedua wanita. Ya anda bakal menjadi ibu. Tiada yang amat menyeronokkan seorang wanita setelah mengetahui dia berbadan dua. Andai satu dunia boleh diberitahu, anda mahu mengkhabarkannya. Sebagai wanita anda berasa lengkap, kerana tidak semua wanita dihadiahkanNya kesempurnaan ini.
Apa yang akan terjadi sewaktu kehamilan? Di bawah ini diterangkan bulan ke bulan yang bakal dialami oleh bakal ibu.
Bulan Pertama
Tidak banyak perubahan yang berlaku pada bakal ibu kecuali tidak datang bulan. Sehingga ramai yang berasa amat seronok terutama di bulan Ramadan, anda dapat berpuasa sepanjang bulan dan dapat beramal ibadat tanpa sekatan. Selain lima waktu sehari semalam, alangkah seronok dapat berjemaah mengerjakan solat sunat terawih dan juga solat sunat lain sepanjang malam.
Pun begitu ada juga di kalangan wanita mengandung pada bulan pertama ini sudah mula berasa badan mudah letih dan sensitif kepada bau-bauan. Nafsu makan juga agak tinggi dan ada juga yang akan suka pada benda yang pelik. Ada juga yang sudah mula rasa loya-loya dan muntah juga akan rasa kelainan pada fizikal dan emosi.
Bulan Kedua
Masuk bulan kedua, anda akan rasa denyutan jantung akan lebih cepat daripada biasa. Ini kerana organ jantung si bakal ibu terpaksa mengepam lebih banyak darah. Dan dalam tempoh ini juga otak dan kemaluan janin akan mulai terbentuk.
Payudara juga akan rasa mengembang sedikit. Perut berasa kembung dan ada juga sensitif malah ada yang akan rasa pening-pening. Di dalam beberapa keadaan ada yang sampai pitam. Petua orang tua kalau berlaku pitam dan pening-pening ini, mereka suruh si bakal ibu minum air didih nasi yang pekat digaul dengan garam dan diminum ketika suam.
Di penghujung bulan anda akan rasa kerap buang air kecil, dan susah hendak buang air besar.
Pada minggu ke-7,pergerakan janin sudah mulai dikenal pasti dan ibu disarankan mengambil makanan berdaging atau banyak makan kekacang seperti soya, sayuran protein seperti brokoli.
Bulan Ketiga
Uri mula terbentuk dan tisu tulang mula timbul. Janin akan membesar sekitar 3 1/2 – 4 inci. Sifat janin akan bertambah dengan pembentukan mata dan kelopak mata. Jantina bayi juga sudah dapat dikenal pasti dan bila usia cukup tiga bulan, anda akan dapat rasa penimbulan ketulan janin terutama pada waktu pagi.
Anda perlu banyak berehat serta lebihkan berzikir dan berdoa bagi menjauhi sebarang masalah seperti keguguran. Biasanya anda akan sangat lemah pada kandungan di tahap ini. Selain si ibu, bapa bayi perlu amalkan sikap yang baik,dan jauhi membunuh binatang kerana takut terkenan. Untuk jauhkan keguguran, bakal ibu ini digalakkan membaca “Ya Malika lmulk”-wahai Yang Empunya Pemerintahan sebanyak 212x selepas solat fardhu dari bulan ketiga hingga keenam. Ia juga untuk kecerdasan dan kesihatan bayi dalam kandungan.
Bulan Ke Empat
Rasa loya akan berkurang, ibu hamil mula mempunyai nafsu makan dan payudara semakin membesar. Puting buah dada akan berubah warna, kelopak buah dada menjadi bertambah gelap. Perut pula semakin membesar dan timbul satu jalur di bahagian tengah perut bermula dari bahagian hulu hati terus ke bahagian tulang yang terletak betul-betul di bawah ari-ari. Mengikut ilmu pembidanan Melayu, jaluran itu boleh jadi petanda cara kelahiran bayi nanti.
Jaluran yang lurus tidak putus menandakan proses kelahiran yang bakal dihadapi adalah mudah sementara jaluran yang tidak lurus menandakan kesukaran.
Biasanya jaluran itu akan hilang sesudah 100 hari bersalin. Itu pun kalau ibu bijak menjaga diri sewaktu pantang. Pada waktu ini anda akan rasa pergerakan dalam kandungan.
Bulan Kelima
Bayi sudah mencapai saiz 18.5cm dan beratnya 500gram. Anda biasanya akan mengalami sembelit dan akan mudah dapat buasir dan juga masalah lelehan pada faraj. Kadangkala lelehan turut menimbulkan bau yang tidak menyenangkan serta berasa gatal. Yang demikian dinasihatkan untuk lebih prihatin terhadap pemakanan. Jauhi makanan berjeruk dan yang kuat bau seperti belacan, ikan kering, pekasam dan segala makanan laut kecuali ikan.
Bulan Keenam
Anda sudah masuk minggu ke 24. Bayi mempunyai sifat yang lebih sempurna. Rambut, kening dan bulu mata mulai lebat, kulitnya halus dan bahagian tulang juga mengeras. Ukuran panjang ialah 25cm.
Pergerakan bayi lebih cerdas dan kadang-kadang boleh dilihat pada perut ibu.
ibu akan lebih kerap buang air kecil, lenguh-lenguh dan bisa-bisa di bahagian kaki, belakang pinggang dan sentiasa akan lapar.
Bulan Ketujuh
Minggu ke 28. Bayi membesar sekitar 27.5cm dan bayi sudah cukup sifat dan jika dilahirkan waktu ini, insha-Allah selamat. Si ibu pula akan mengalami selera makan yang tinggi dan mengalami masalah kenaikan berat badan. Dan ketika ini, si ibu akan kerap mengalami kejang otot atau sesetengah orang panggil ‘tarik mengkarung’. Kadang-kadang berasa badan terlalu berat hingga tercungap-cungap kerana pendek nafas. ibu hamil juga akan kerap buang kecil dan mula tidak selesa untuk tidur waktu malam. Anda dinasihatkan untuk mengelakkan minuman sejuk atau makanan sejuk dan perbanyakkan amal zikir seperti ‘Ya Zaljalaa Liwailikram’ untuk menetapkan dan menstabilkan posisi bayi hingga cukup bulan
Bulan Kelapan
Masuk minggu ke-32, bayi makin cepat membesar dan beratnya meningkat 2.5kg-3kg dan panjangnya anggaran 30cm. Dan tulang bayi mula mengeras, bayi juga sudah pandai tersedu dan menangis dan mulai tunjuk respon pada sebarang suara dan bunyi-bunyian dan juga cahaya.
Kelahiran pada waktu ini ada berisiko kerana bayi mengalami proses penyusunan semula sifat bayi iaitu mengemaskini sifat bayi sebelum ke alam dunia, jadi perbanyakkan amal surah Anbiya ayat 87 “La Llaa Ha Illa Anta Subha Naka Inni Kuntuu Mina Dzolimi.’ – tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang yang zalim. Dan seterusnya amal ayat Siti Maryam bagi memudahkan bersalin.
“Hanna Waladat Maryama Wamaryamu Waladat ‘Isa Ukhruj Ayyuhal Maulud’ – Hanna melahirkan Maryam, Maryam melahirkan Isa, keluarlah hai anak yang dilahirkan dan jika terjadi kandungan terlebih masa sakit berpanjangan“Allahum Ma Yassir Wala Tu’assir Rabbi Tammin Bilkhoir”- Wahai Tuhan, mudahkanlah dan janganlah Engkau payahkan, wahai Tuhanku, sempurnakanlah dengan kebaikan.
Bulan Kesembilan
Sudah tiba masa untuk bersalin. Bayi biasanya sudah mengambil kedudukan dekat pintu rahim. Dianjurkan anda terus mengamalkan doa-doa yang di atas hingga tiba masa melahirkan.
Dipetik daripada tulisan Noraida Omar.