BMW Malaysia Merungkai Dimensi Ketangkasan Baharu Menerusi BMW X3 sDrive20i.

BMW Malaysia merungkaikan BMW X3 sDrive20i – ahli baharu dalam portfolio Sports Activity Vehicle (SAV) premium bersaiz sederhana milik pengeluar kenderaan premium ini di pasaran Malaysia yang dipasang secara domestik.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Sejak BMW X3 diperkenalkan pada 2011, ia menjadi model yang menerajui pasaran tempatan dari segi jumlah penyerahan. Sedasawarsa sudah berlalu, dan kami berbesar hati untuk memastikan SAV berprestasi tinggi ini terus dibekalkan dalam pelbagai spesifikasi dan varian buat para pelanggan kami di Malaysia – dirumus untuk memenuhi pelbagai citarasa pengguna.”

“Pada 2020 sahaja, BMW X3 menyaksikan lebih 900 unit kenderaan berjaya diserahkan meskipun industri automotif sedang mengalami kemelesetan ketika itu. Kejayaan ini memperkukuhkan kedudukan BMW sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka, hadir dengan salah sebuah portfolio yang terbesar mencakupi kenderaan SAV yang dipasang di dalam negara. Kami juga berbangga untuk memperkenalkan BMW X3 sDrive20i yang baharu pada hari ini. Di samping BMW 330Li M Sport, kedua-duanya mempamerkan hasil kejuruteraan yang luar biasa untuk dijadikan penanda aras dinamisme berprestasi tinggi dalam segmennya,” tambah Hoelzl.

Varian ‘entry-level’ BMW X3 yang terbaharu bakal menawarkan kuasa pilihan dan kebebasan dalam tangan para pemilik di Malaysia untuk membawa pulang BMW X3 yang menepati citarasa mereka, kini turut lengkap dengan aplikasi My BMW App yang baharu untuk menaik taraf interaksi digital antara pemandu dan kenderaan. BMW X3 sDrive20i menjadi simbol keterujaan yang dapat dirasai oleh pengguna yang menaiki kenderaan ini.

Bersedia untuk Mengembara – BMW X3 sDrive20i Baharu.

BMW X3 sDrive20i mampu menyempurnakan segala bentuk pengembaraan dengan bahasa reka bentuk sporty serba baharu yang bersifat individualistik lagi lasak dengan sentuhan yang menawan.

SAV baharu yang dipasang di dalam negara ini hadir dengan gril ‘kidney’ radiator dan pakej xLine, digandingkan dengan lampu hadapan LED berserta Extended Contents yang meliputi lampu membelok. Set roda aloi ringan 19 inci dalam penggayaan Y-Spoke 694 dengan tayar ‘runflat’ juga menghiasi BMW X3 sDrive20i baharu. Perincian tubuh jentera ini diserlahkan dalam material aluminium, selain turut menampilkan BMW Individual Exterior Line dan rel bumbung menggunakan Aluminium Satinated.

BMW X3 sDrive20i diberi nafas oleh enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kuasa kuda pada paras 5,000 – 6,500 rpm, serta puncak tork berjumlah 300 Nm pada paras 1,350 – 4,000 rpm. SAV baharu ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 km/j. Emisi karbon dihadkan pada paras lebih rendah dengan kadar 163 g/km, begitu juga dengan penggunaan bahan api yang lebih rendah, iaitu 7.1 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. Transmisi disediakan dalam bentuk 8-Speed Automatic Steptronic dengan Automatic Hold Function.

Di dalam, BMW X3 sDrive20i dilengkapi dengan kemasan trim interior dalam rona hitam berglos tinggi serta kemasan trim bersorotan dalam Pearl Chrome, turut hadir dengan cermin interior dan eksterior yang membawakan fungsi anti silau automatik.

Aspek keselesaan dalam SAV baharu ini dinaik taraf melalui kerusi sport bagi pemandu dan penumpang hadapan, termasuk hamparan lantai velor, pencahayaan ambien, serta sistem penyaman udara automatik tiga zon. Pemandu juga dapat menikmati kemudahan untuk melaras kerusi secara elektrik yang turut hadir dengan fungsi memori, manakala sistem HiFi dengan 12 pembesar suara menawarkan hiburan tanpa henti ketika memandu.

Dari segi bantuan digital, BMW X3 sDrive20i didatangkan dengan Bantuan Memandu serta Bantuan Parkir. Pengalaman navigasi dan maklumat hibur bertaraf premium pula ditawarkan melalui paparan kawalan 10.25 inci dengan fungsi sentuh, dipadankan dengan Panel Instrumen bermaterialkan Sensatec dan komponen kawalan dengan Galvanic Embellishers. Ciri-ciri kefungsian ini juga ditawarkan bersama BMW Live Cockpit Plus serta BMW Intelligent Personal Assistant.

Panggilan Kecemasan Pintar, dan fungsi panggilan yang serba mudah dengan sambungan telefon pintar turut menawarkan keselamatan dan kesenangan kepada pemilik BMW X3 sDrive20i baharu. Sementara itu, Comfort Access System memperkayakan lagi aspek kemudahan yang disediakan bagi BMW X3 sDrive20i, di samping Pakej Kompartmen Muatan yang melengkapi SAV baharu ini dengan kapasiti muatan mencecah 550 liter.

Para pemilik kini dapat menikmati interaksi digital dengan BMW X3 sDrive20i yang bertaraf lebih tinggi melalui aplikasi My BMW App yang baharu, ia menawarkan akses mudah ke atas pelbagai perkhidmatan berjarak jauh, navigasi, dan fungsi e-mobiliti. Aplikasi ini akan menggantikan BMW Connected menjelang Julai 2021, dan kini boleh dimuat turun di telefon pintar Android dan iOS.

Penawaran warna bagi jentera BMW X3 sDrive20i baharu merangkumi Alpine White, Glacier Silver, Black Sapphire, dan Phytonic Blue. Kesemua tawaran warna eksterior dipadankan dengan upholsteri Leather Vernasa berwarna hitam berserta dengan sulaman hitam.