Banyakkan Amalan di Bulan Ramadan

Pada 13 April bermulalah Ramadan tahun 2021. Bulan Ramadan bulan terbaik kita melipat gandakan amalan. 

Firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 21 yang maksudnya; Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-RasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

Ramadan juga untuk kita mengejar sebanyak-banyaknya pahala. Lalu apakah amalan yang membolehkan kita dikurniaNya pahala berlipat-lipat ganda berbanding 11 bulan yang lain.

Tadarus dan Mengkhatamkan Alquran Amalan Ramadan

Amalan bulan Ramadan yang dapat dilakukan selain puasa adalah dengan membaca dan mengkhatamkan Alquran. Lebihkan dalam membaca Alquran terutama anda yang jarang membaca Alquran di bulan lainnya. Allah janjikan pahala yang besar pada umatnya. Bacalah dengan makraj yang betul, ambil masa membaca dan jangan terburu-buru sehingga tunggang terbalik makrajnya. InshaAllah kalau berterusan, menggunakan waktu setiap selepas solat wajib misalnya. Alangkah beruntungnya jika dapat paling kurang khatam quran sekali di bulan Ramadan. Al-Quran diberikan kepada Malaikat Jibril sebagai pembawa wahyu maka Malaikat Jibril menjadi sebaik-baik malaikat (ketua bagi para malaikat). Al Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad dan baginda menjadi sebaik-baik rasul.

Al Quran diturunkan kepada umat Nabi Muhammad dan umatnya menjadi sebaik-baik umat. Al Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan Ramadan adalah sebaik-baik bulan. Al Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan malam Lailatul Qadar adalah sebaik-baik malam. Bayangkan jika Al Quran itu kita baca dan amalkan maka kita akan jadi manusia yang baik.

Bulan yang dapat menjaga hawa nafsu

Seseorang yang ingin menahan hawa nafsunya di luar bulan Ramadan memerlukan mujahadah yang tinggi tetapi dengan adanya bulan Ramadan seseorang itu dapat menahan nafsunya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diredai Allah. Pada bulan Ramadan syaitan dibelenggu bagi memudahkan manusia berperang melawan hawa nafsu mereka. Ini kerana syaitan bersarang dan berjalan di dalam badan manusia melalui saluran darah untuk menghasut manusia supaya melakukan kejahatan.

Bulan yang dapat menajamkan fikiran

Manusia yang terlalu banyak makan akan menjadi malas untuk berfikir ataupun melakukan kerja. Ini dapat dibuktikan dengan sejarah Rasulullah yang mana pembukaan kota Mekah pada Bulan Ramadan dan berlaku juga peperangan tersebut dalam Bulan Ramadan. Lukman Al-Hakim telah berpesan kepada anaknya dengan katanya: Jika perut penuh, maka ia akan menjadikan pemikiran tidak berfungsi dan akan terbantut hikmah serta anggota badan tidak akan mengerjakan ibadah.

Solat Terawih

Hanya di bulan Ramadan sahaja adanya solat terawih. Ia solat sunat yang dituntut kita lakukan pada bulan Ramadan. Terawih menurut kata asalnya ialah duduk untuk istirehat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Ia boleh dilakukan lapan rakaat atau 20 rakaat bergantung pada kemampuan dan keikhlasan seseorang.

Bersedekah Sepanjang Bulan Ramadan 

Di bulan Ramadan inilah mukmin yang berpuasa berlumba-lumba menambah amalan baik. Tidak hanya itu, umat Islam digalakkan bersedekah lebih banyak pada bulan ini. Hadis Sedekah

‏إن الله تعالى جواد يحب الجود ويحب معالي الأخلاق ويكره سفسافها

“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR. Al Baihaqi, di shahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’, 1744)

Daripada hadis ini, Allah membenci perbuatan yang berakhlak buruk dan sangat menyukai sifat dermawan yang ada dalam manusia. Rasulullah S.A.W telah bersabda;

‏اليد العليا خير من اليد السفلى واليد العليا هي المنفقة واليد السفلى هي السائلة

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR. Bukhari no.1429, Muslim no.1033)

Malah dua sifat; alim dan juud (dermawan) hanya akan dicapai oleh hamba Allah yang mempunyai sifat dermawan jika didukung dengan tafaqquh fiddin, mengilmu agama dengan baik.

Sementara itu, Rasulullah S.A.W juga telah bersabda:

إنَّما الدنيا لأربعة نفر: عبد رزقه الله مالاً وعلماً فهو يتقي فيه ربه ويصل فيه رحمه، ويعلم لله فيه حقاً فهذا بأفضل المنازل

“Dunia itu untuk empat jenis hamba: Yang pertama, hamba yang diberikan rezeki oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Ia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan ia gunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyedari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (HR. Tirmidzi, no.2325)

Memberi Makan Orang Yang Berpuasa

Dalam bulan Ramadhan,  antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. Riwayat Al-Tirmizi (807)

Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).

Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala. Surah Al-An’aam (160)

Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan kadar manakah yang dikira sebagai memberi makan berbuka kepada golongan yang berpuasa ? Adakah pahala memberi makan itu terhasil dengan memberi sekalipun sebiji kurma atau sebekas air atau memberi makanan-makanan yang menghasilkan kekenyangan kepada golongan yang berbuka puasa ?

Kata Imam Ibn Muflih ketika mensyarahkan hadis kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa di atas: ‘’Yang zahir dari pendapat para ulama adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadis) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka.’’

Oleh yang demikian seseorang itu sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadis.

Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.

Mendengar Kuliah

Masjid dan surau-surau masih banyak yang tutup semenjak wabak Covid-19 menular dan  agak mustahil untuk kita ke masjid dan surau bagi mendengar kuliah. Tetapi pada zaman teknologi yang serba canggih ini kuliah-kuliah semuanya di hujung jari. Kita hanya memilih ustaz-ustaz yang berkenan di hati untuk mendengar pengajaran mereka. Ia juga menjadikan Bulan Ramadan sebagai bulan kita menambah ilmu pengetahuan.

Berdoa Untuk Keampunan

Setiap hari tanpa kita sedari kita pasti akan berbuat dosa. Dan doa di bulan Ramadan terdapat banyak hikmahnya.  Berdoa untuk meminta keampunan Allah. Tatkala Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga dan menutup serapat-rapatnya pintu neraka serta dibuka pintu kerahmatan maka pada waktu inilah kita memohon keampunan Allah dengan kita berdoa: Wahai Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau menyukai untuk memberikan keampunan, maka ampunilah daku Ya Allah.