Kecantikan sinonim dengan sifat kewanitaan. Allah menganugerahkan wanita dengan kecantikan yang tidak ada tolok bandingannya. Sama ada yang dilahirkan secara cantik semula jadi ataupun sebaliknya. Definisi kecantikan itu sendiri adalah subjektif. Sesungguhnya setiap kejadian adalah ketentuan Allah SWT.
Dalam bab kecantikan seorang wanita, telah disebutkan dalam surah An Nur ayat 31.
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Berdasarkan ayat di atas “janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka” termasuklah kecantikan wanita itu sendiri. Bersolek atau memperlihatkan perhiasan berlebihan di dalam Islam itu disebut tabarruj.
Menurut Ibn Manzhur dalam kitab Lisanul Arab, Tabarruj menurut bahasa adalah wanita yang mempamerkan keindahan dan perhiasan kepada lelaki. Manakala, menurut Imam Abu ‘Ala Al Maududi, asal kalimah Tabaruj ialah “برج” yang bermaksud menara. Sesuatu yang jelas kelihatan disebabkan keadaan tinggi binaannya.
Di sini dapat kita fahami, makna tabarruj ini kepada tiga:
- Wanita mempamerkan keindahan rupa paras dan keelokan tubuh badannya.
- Wanita mempamerkan kepada lelaki pakaian dan perhiasannya
- Wanita yang menunjuk-nunjuk cara lenggang-lenggok cara berjalan
Tabarrajatil mar’ah ertinya wanita yang menampakkan kecantikan leher dan wajahnya. Ada juga pendapat yang mengatakan maksudnya juga wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya dan kecantikannya kepada lelaki dengan maksud untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.
Bersolek dan berhias yang tidak sampai ke peringkat tabarruj yang dilarang boleh dikategorikan sebagai adat kebiasaan seorang wanita. Ini berdasakan pada kaedah Fiqhiah: “Sesungguhnya hukum asal kepada setiap perkara adalah harus.”
Dalam perkara adat, hukum asalnya adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengikatnya kepada hukum tertentu atau mengatakan ia adalah haram.
Adat kebiasaan bagi masyarakat di Malaysia, pengantin akan berhias untuk menampakkan keterampilan diri pada hari perkahwinannya. Sekiranya perhiasan yang digunakan oleh pengantin itu daripada bahan yang halal dan perhiasan yang sederhana, dan tidak membawa kepada pembaziran serta tidak sampai ke tahap tabarruj yang dilarang, maka ianya dibenarkan.