AGAMA

Banyakkan Bersujud Kerana Ada Kebaikan Besar di Dunia dan Akhirat

Dari Ma’daan Bin Abi Thalhah Al Ya’mary, katanya, “Aku pernah bertemu dengan Tsaubaan, maulaa (hamba) Rasulullah SAW lalu aku bertanya (kepadanya) ceritakanlah kepadaku suatu amalan yang dengan sebabnya aku dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Atau suatu amalan yang paling disukai oleh Allah. Lalu dia (Tsaubaan) diam. 

Kemudian aku bertanya lagi. Dia juga diam. Kemudian aku bertanya kali yang ketiga, maka dia berkata, “Aku pernah bertanya tentang perkara itu kepada Rasulullah SAW lalu sabda baginda, “Hendaklah engkau memperbanyak sujud kepada Allah kerana sesungguhnya engkau tidaklah sujud kepada Allah dengan satu sujud kecuali Allah akan tinggikan engkau dengan satu darjat dan hapuskan daripadamu satu kesalahan.””

(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Mukadimah

Tidak diragukan lagi bahawa cara yang paling tepat lagi berkesan untuk bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) adalah dengan cara memperbanyakkan sujud, memperpanjangkannya, memperbanyakkan doa di dalamnya, sambil menangis dengan penuh rasa takut (Al-Khauf) dan harap (Al-Raja’), bertasbih dan bertahmid. Dengan cara demikian maka akan erat dan kukuhlah hubungan antara manusia dengan Tuhannya.

Hubungan tersebut akan membuahkan kesan positif kepada diri orang yang sujud itu sejak di dunia ini lagi. Kesan positif tersebut akan terserlah pada akhlak dan budi pekertinya, pada pandangan hidupnya, pada sikapnya ketika menghadapi cubaan. Hubungannya yang kukuh dengan Allah itu menjadikan dirinya berbeza dengan manusia lain. Dia bagaikan Al-Quran yang bergerak di tengah-tengah orang ramai. Dia seperti orang yang baru datang dari alam akhirat untuk menceritakan kepada orang ramai apa yang telah disaksikannya di alam sana.

Yang dimaksudkan dengan sujud di sini ialah Solat. Solat adalah ibadah yang paling utama. Dan sujud pula adalah amalan dalam solat yang paling istimewa. Tidak ada tempat dan ketika yang paling hampir antara manusia dengan Allah kecuali dalam sujud.

Kesan Bersujud

Kesan-kesan positif atau fadilat sujud yang akan dirasakan oleh orang yang banyak sujud sungguh banyak, di antaranya ialah;

1. Tanda Sujud Pada Wajah

Allah SWT berfirman, “Muhammad itu utusan Allah dan orang yang bersama dengannya adalah keras (tegas) terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari kesan-kesan sujud.” (al-Fath: 29)

Kesan-kesan sujud pada muka mereka mengandungi banyak makna, antaranya pada air muka mereka kelihatan keimanan dan kesucian hati mereka khusyuk dan tawaduk. Usman Bin ‘Affan r.a berkata, “Tidak seorang pun yang menyimpan sesuatu dalam hatinya melainkan Allah tampakkan apa yang tersimpan itu melalui wajahnya dan pertuturan lidahnya.”

Orang yang beriman, jika niatnya ikhlas kerana Allah nescaya akan Allah memperbaiki penampilan zahirnya pada orang ramai. Ini sesuai dengan kata kata Umar Bin Khattab r.a : “Siapa yang baik batinnya (sariiratuh) nescaya Allah akan baikkan pula zahirnya (‘alaaniyatuh).”

Jadi maksud kesan sujud pada ayat di atas bukanlah sebagaimana yang difahamkan oleh sesetengah orang yang jahil iaitu tanda hitam yang wujud pada kening atau di atas antara dua mata. Sehingga ada di antara mereka yang dengan sengaja menghitamkan bahagian tersebut dengan besi panas. Itu adalah fahaman yang keliru terhadap ayat al-Quran.

2. Meninggikan Darjat dan Menghapuskan Kesalahan

Tempat dan ketika yang paling hampir antara manusia dengan Allah adalah ketika sujud. Jika semakin kerap sujud dilakukan maka akan semakin hampir manusia itu dengan Allah. Dan siapa yang paling hampir dengan Allah maka itu adalah penyebab yang paling besar baginya untuk mendapat ketinggian darjat dan penghapusan dosa.

Siapa yang merendahkan dirinya kepada Allah maka Allah akan tinggikan darjatnya di sisiNya. Dan tidak ada tempat dan ketika yang paling tepat untuk menyatakan kerendahan diri kita kepada Allah (tawaduk) melainkan di dalam sujud. Ini sebagaimana yang terkandung di dalam hadis Tsaubaan di atas.

3. Menghapuskan Duka

Perasaan sugul atau dukacita biasanya kerana ditimpa oleh musibah (bala). Dan bala yang menimpa ada dua jenis; adakalanya Allah menimpakan bala ke atas seseorang kerana dosanya, dan adakalanya bala yang menimpa seseorang bukan kerana dosa yang dilakukannya tetapi semata-mata Allah ingin menguji sampai di mana kekuatan iman dan kesabarannya.

Perasaan sedih dan duka dalam menjalankan tugas dakwah adalah di antara jenis dukacita yang sangat berat melebihi daripada kesedihan yang disebabkan oleh makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Lebih-lebih lagi jika kebenaran yang disampaikan itu tidak diterima oleh masyarakat, malahan dituduh pula dengan bermacam tuduhan yang menyayat hati.

Baginda Rasulullah SAW jika beliau dukacita mengenang keranah kaumnya yang menolak kebenaran yang baginda bawa. Baginda segera melakukan solat. Baginda SAW mendapat ketenangan dalam sujudnya, segala perasaan duka hilang serta-merta kerana ketika itu baginda SAW berada sangat hampir dengan kekasihNya, Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa ke atas sesuatu. 

Allah SWT berfirman, “Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang yang bersujud (solat).” (al-Hijr: 97-98)

4. Sabar

Sabar adalah di antara faktor yang cukup menentukan untuk kejayaan suatu dakwah. Tanpa sifat sabar segala-galanya tidak akan sempurna, lebih-lebih lagi dalam kita menjalankan tugas dakwah. Sabar adalah kesan dan hasil nyata daripada yang dinyatakan oleh Allah dalam ayat berikut, iaitu tasbih dan sujud, “Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka. Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang. Dan pada sebahagian daripada malam, maka sujudlah kepadaNya dengan bertasbih kepadaNya pada sebahagian yang panjang di malam hari.” (al-Insan: 24-26)

Siapa yang boleh sabar dalam beribadah maka sabar terhadap perkara lain adalah lebih mudah baginya. Tetapi sebaliknya siapa yang tidak boleh bersikap sabar ketika beribadah, seperti malas beribadah atau tidak tertib ketika solat, tidak thuma’ninah ketika rukuk, sujud dan lain-lain, maka terhadap perkara lain akan lebih susah untuk sabar. Oleh itu Allah menyuruh kita agar memperbanyak sujud dan tasbih sebagai latihan (tamriin) supaya kita mampu menghadapi apa saja halangan atau rintangan dalam menjalankan tugas-tugas yang lain.

5. Syaitan Menangis

Rasulullah SAW bersabda, “Jika anak cucu Adam membaca (ayat) sejadah, lalu ia sujud (sujud tilawah) maka syaitan akan menjauhkan dirinya sambil menangis dan ia berkata, “Sungguh celakalah aku, anak cucu Adam disuruh sujud lalu mereka sujud maka syurgalah baginya. Dan aku disuruh sujud tetapi aku enggan maka nerakalah untukku.” ( HR Muslim )

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa sujud adalah di antara senjata yang sangat ampuh dan berkesan untuk melemahkan tipu daya syaitan. Oleh itu umat Islam sangat digalakkan supaya memperbanyakkan dan memperpanjangkan sujudnya. Rahsianya ialah kerana ketika sujud kita sangat hampir dengan Allah. Dan syaitan tidak akan berani mendekati kita jika kita hampir denganNya.

6. Tanda Sujud di Padang Mahsyar

Rasulullah SAW bersabda, “Tidak seorang pun daripada umatku pada hari kiamat kecuali aku dapat mengenalinya.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana tuan akan mengenali mereka yang

berada di tengah-tengah umat yang sangat banyak?” Jawab Nabi SAW, “Bagaimana pendapatmu jika di tengah-tengah gerombolan kuda yang banyak terdapat kuda yang bertanda pada dahinya? Bukankah engkau dapat mengenalinya?” Kata baginda SAW lagi, “Sudah tentu! Umatku pada hari itu ada tanda sujud dan kesan-kesan wuduk.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad).

Daripada hadis di atas dapat diambil kesimpulan bahawa sungguh beruntung orang yang ketika di dunia banyak sujud (solat), mereka dengan mudah dapat dikenali oleh Rasulullah SAW dan selanjutnya mendapat pembelaan beliau. Dan sungguh malang nasib orang yang malas dan suka meninggalkan solat.

7. Masuk Syurga

Daripada Abi Salamah, katanya, “Telah menceritakan kepadaku Rabi’ah Bin Ka’ab Al Aslamy, katanya, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah SAW dan aku pun menyediakan air untuk wuduknya dan keperluannya yang lain. Lalu baginda berkata kepadaku, “Mintalah (apa hajatmu kepadaku)!” Maka aku pun meminta. Aku minta kepada tuan agar aku menjadi teman tuan di dalam syurga. Baginda bertanya, “Ada hajat yang lain lagi?” Lalu aku menjawab, Hanya itu (Ya Rasulullah). Baginda lalu bersabda, “Bantulah aku untuk dirimu dengan memperbanyak sujud.”

(HR Imam Muslim)””

Hadis di atas menggambarkan betapa tingginya iman sahabat Nabi SAW. Walaupun tawaran daripada Rasulullah SAW tanpa batasan, namun keyakinan yang mendalam akan hakikat hari akhirat telah melampaui segala-galanya. Sahabat hanya meminta kepada beliau agar menjadi temannya di dalam syurga. Tetapi kerana syurga firdaus itu adalah khas untuk para nabi dan syuhadaa’, darjat yang sangat tinggi lagi mulia itu tidak mungkin dapat dicapai kecuali dengan kerja-kerja agung maka Rasulullah SAW pun menjelaskan kepada sahabat berkenaan bahawa amalan yang boleh membawa ke syurga dan selanjutnya boleh menjadi teman Rasulullah SAW adalah dengan memperbanyak sujud.

Kesimpulan
  1. Sungguh besar fadhilat dan kelebihan sujud kepada Allah. Ia terdapat dalam ibadah yang paling utama yakni solat, dan ia adalah tempat dan ketika yang paling hampir antara Allah dengan hambaNya.
  2. Manusia yang enggan sujud kepada Allah digolongkan makhluk sombong. Pada mereka terdapat sifat iblis yang terkutuk. Sujud adalah cara yang paling tepat dan berkesan untuk mengalahkan godaan dan gangguan syaitan.
[thb_gap height=”40″]

Related posts

CINTA RASULULLAH

admin

Hukum Perempuan Berzina & Lelaki Yang Berzina

admin

NISFU SYAABAN MALAM MALAM DIAMPUN DOSA PENDUDUK BUMI

admin

Leave a Comment