AGAMA

Apakah Maksud dan Kelebihan Hari Tarwiyah

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, sahabat serta orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita masih berada pada 10 hari terawal bulan Zulhijah dan umum mengetahui akan kelebihan 10 hari terawal ini, yang mana ia merupakan di antara hari yang paling disukai serta dicintai oleh Allah bagi orang yang melakukan amal soleh kepadanya.

Ini merujuk kepada sebuah hadis yang sahih:

Daripada Ibn Abbas r.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya, “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah berbanding 10 hari ini (awal Zulhijah).”

Mereka berkata, “Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah?”

Baginda SAW menjawab, “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.”

[Riwayat Abu Daud (2082)]

[Sanad hadis ini adalah sahih mengikut penilaian Sheikh Syu’aib al-Arna’outh]

Tambahan pula, hari ini merupakan hari yang kelapan di dalam bulan tersebut dan ia juga di namakan sebagai hari Tarwiyah.

Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan hari Tarwiyah serta kelebihan yang ada padanya.

Makna Tarwiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya mempunyai dua sbb penamaan hari tersebut dengan hari Tarwiyah.

Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam.

Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah.

Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah.

Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).

Selain itu, dinamakan juga dengan ‘Tarwiyah’ adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim a.s. telah bermimpi buat kali yang pertama daripada Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Seharian Baginda a.s. berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah SWT atau daripada syaitan.

Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah diantara sebab hari ke 8 Zulhijah di namakan dengan hari Tarwiyyah.

[Lihat: al-Mughni, 3/249]

Untuk itu, hari Tarwiyah ini mempunyai dua maksud menurut Imam Ibn Qudamah iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim a.s. mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Mimpi tersebut telah membuatkan Nabi Ibrahim a.s. tertanya-tanya pada dirinya.

Ada pun berkaitan kelebihan hari ini, di sana terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa selama setahun. Manakala berpuasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.

Dikatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,

صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ

Maksudnya, “Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus [2/248].

Para ulama berbeza pandangan dalam menilai hadis ini.

Sebahagian mereka menilai status hadis ini adalah dhaif sebagaimana yang dinilai oleh Imam al-Suyuthi dan juga Imam al-Busiri.

Tambahan pula, terdapat perawi di dalam sanad hadis ini dianggap sebagai pendusta.

Sementara itu juga, terdapat perawi yang dinilai sebagai majhul (tidak di kenali).

Ini kerana, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadis ini sebagai palsu dan begitu juga Imam al-Syaukani serta Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani.

Oleh itu, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadis ini tidak sahih kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dinilai sebagai pendusta serta terdapat juga perawi yang majhul.

Walaupun begitu, sebahagian ulama yang menilai hadis ini sebagai dhaif telah menjadikannya (hadis ini) sebagai dalil terhadap kelebihan berpuasa pada hari Tarwiyah.

Ini kerana, sebahagian ulama membenarkan seseorang untuk beramal dengan hadis yang dhaif (lemah) di dalam bab fadhail al-A’mal selagi mana ia tidak berkaitan dengan permasalahan akidah atau hukum.

Justeru, tidak terdapat hadis yang sahih menceritakan amalan tertentu yang boleh dilakukan pada hari Tarwiyah melainkan ia termasuk di dalam umum hadis yang menceritakan akan kelebihan melakukan amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zulhijah dan ia juga termasuk di dalam kelebihan beramal pada bulan-bulan haram.

Berpuasa atau ibadat yang lain merupakan salah satu daripada bentuk amal soleh maka ia termasuk di dalam umum hadis.

Penutup

Kesimpulannya, hari Tarwiyah merupakan hari yang kelapan dalam bulan Zulhijah dan tidak ada dinyatakan kelebihan yang khusus atau amalan yang khusus untuk dilakukan pada hari tersebut berdasarkan kepada hadis yang sahih.

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amal soleh yang kita lakukan pada hari yang dicintai oleh Allah SWT ini.

Related posts

Hukum Menolak Kebenaran dan Mengikuti Hawa Nafsu Yang Jahat

admin

Hukum Isteri Menuntut Sesuatu Yang Di Luar Kemampuan Suami

adminwm

9 Amalan & Ibadah Utama Bulan Ramadan Yang Sangat Ditekankan

admin

Leave a Comment