Seorang penyair Amerika, Phoebe Cary pernah mencoretkan, “…true love is never blind, but rather brings an added light.” andai benar kenyataan tersebut maka bertuahlah si empunya badan. Peluang bersama-sama merai serta menyaksi ketulenan cinta yang dizahirkan penuh makna, sesungguhnya suatu pengalaman yang begitu menyeronokkan bagai ditempias renjisan magis.
Menzahirkan cinta yang terjalin sejak di bangku sekolah lagi, Zakiy Rahim Hisham dan Azureen Azizi memilih K’Seena House di Kuang Selangor sebagai tapak majlis pernikahan dan resepsi mereka. Seperti yang dijelaskan ibu pengantin lelaki Natrah Bujang Macpherson, hampir semua persiapan dirancang oleh menantunya Reen dan besan beliau Siti Rohayah Abd Aziz juga Zakiy sendiri.
“How blessed to have such lovely children and very considerate. Selepas dua majlis kahwin abang dan kakaknya, untuk majlis perkawinannya Zakiy beritahu, dia mahu saya relaks, hadirkan diri dan tak perlu buat apa-apa. So that’s what I did and I was so pleased to see what they have come out with.”
Bagi Zakiy dan Reen, mereka berdua sehati perihal memilih tema dan konsep majlis perkahwinan mereka sejak awal lagi. Garden wedding sering kali terimbas setiap kali mereka memperkatakan perihal majlis perkahwinan yang mereka impi-impikan dan keputusan mereka itu tidak pernah berubah. Pernyataan tersebut menzahirkan permulaan persefahaman dan ikatan perkongsian hidup yang mereka berdua bakal lalui bersama hingga ke akhir hayat. Pendeknya apa yang Zakiy cadang Reen setuju dan sebaliknya.
Pakaian, Deko dan Hidangan
Mereka sedar mengadakan majlis taman bukan sesuatu yang mudah, jika tidak diperhalusi setiap perincian, ia bukan sahaja boleh mencemarkan tema dan konsep malah akan menggagalkan segalanya sama sekali.
Begitupun mereka berdua tidak begitu bimbang akan hal tersebut kerana ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan ramai yang bersedia untuk membantu.
Amat mereka bimbangkan dan menjadi kunci kejayaan majlis yang mereka rancang ialah cuaca. Seandainya cuaca indah akan terlaksanalah impian mereka dan keadaan boleh menjadi sebaliknya jika keadaan tidak berpihak pada mereka.
Alhamdulillah, seolah-olah merestui cinta mereka, sejak awal pagi hingga menjelangnya acara ijab kabul dan membawa ke majlis resepsi, cuaca hari tersebut begitu sempurna dengan sinaran mentari berterusan hingga ke petang.
Bagi upacara akad mereka berdua memilih songket keemasan bagi membangkitkan tradisi Melayu lama yang dipilih oleh Natrah sendiri sementara gaya barat santai untuk majlis resepsi. Untuk hiasan dan gubahan dulang hantaran mereka sepakat memilih tema romantis dengan suntikan rona pastel pada setiap sudut persembahan dan deko pula berkonsepkan citarasa moden, sementara untuk hidangan mereka memilih lauk pauk kampung yang begitu enak dan nostalgia, lengkap dengan daging salai masak gulai lemak dan ayam goreng berempah.
Bagi Zakiy dan Reen walaupun majlis mereka bukanlah segah yang mereka impikan namun itu sudah mencukupi untuk membuat mereka bahagia dan gembira kerana rata-rata hadirin memuji pilihan dan citarasa mereka berdua. Indahnya, acap kali salah seorang cetuskan sesuatu idea, mereka capai kata sepakat dan percaya dengan pilihan juga tindakan masing-masing walaupun awalnya tidak dirancang. Apapun bagi mereka peluang merancang majlis tersebut telah sedikit sebanyak mengajar mereka tentang kenyataan hidup berkongsi. Apalagi bila mereka duduk sendiri dan mempunyai keluarga. Tentulah mereka nanti perlu membuat keputusan yang dipersetujui bersama dalam banyak segi. Paling penting, bagaimana membuat keputusan bijak, membiasakan diri merancang tanpa menyentuh perasaan masing-masing malah berkompromi dalam hal perbelanjaan.
Sejujurnya itulah mercu tanda cinta mereka dan benar kenyataan Zakiy dan Reen itu seperti mana yang pernah dipenakan oleh seorang penulis hebat Perancis, Anatole France, “To accomplish great things, we must not only act, but also dream; not only plan, but also believe.”