DYMM Tengku Permaisuri Selangor Mencemar Duli Berangkat Ke Majlis Amal KanWork 

Baru-baru ini DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli dan berangkat ke Majlis Santapan Petang 2019 Persatuan Kanser NetWork Selangor yang mana baginda juga turut melancarkan dua buku bertajuk Panduan Untuk Penjaga Pesakit Kanser dan Memahami Kanser. Kedua-dua buku tersebut adalah bertujuan menjadi panduan dan maklumat terkini serta lengkap untuk para pesakit kanser termasuk kepada mereka yang terbabit.

Majlis yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu penghidap kanser, keluarga dan penjaga pesakit. Sebagai Penaung Diraja Kanwork, baginda juga turut berkenan melancarkan Wakaf Persatuan Kanser NetWork Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) yang berlandaskan konsep wakaf menerusi sumbangan dana bagi membantu pelbagai program yang bakal dianjurkan dan membabitkan pesakit kanser.

Keberangkatan baginda telah disambut Naib Canselor UPM merangkap Penasihat KanWork, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris dan Pengerusi KanWork, Dr. Mazanah Muhamad. Turut mengiringi baginda, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor yang juga isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad.

Menurut Dr Mazanah, KanWork adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang giat memberi sokongan daripada segi emosi dan kerohanian kepada pesakit, selain meningkatkan kesedaran memerangi penyakit itu, manakala majlis KanWork Charity Hi Tea itu pula bertujuan mengumpul dana bagi membantu penghidap kanser, keluarga dan penjaga pesakit itu selain untuk membiayai pelbagai program yang terancang daripada masa ke semasa.

“KanWork telah ditubuhkan 14 tahun lalu dengan hasrat untuk memberi maklumat, kesedaran dan sokongan kepada pesakit kanser melalui aktiviti yang dijalankan, antaranya melakukan lawatan ke hospital dan rumah selain menawarkan talian Helpline 1-8000-22-8672,” jelasnya.

Bagaimanapun, pihaknya menghadapi pelbagai cabaran untuk menjalankan aktiviti yang dirancang berikutan dana yang terhad dan majlis petang tersebut katanya diharapkan menjadi pembuka mata pada masyarakat khusus pihak yang berkaitan serta korporat untuk tampil dan menyumbang. 

Beliau amat mengharapkan lebih ramai yang akan mengetahui tentang kewujudan KanWork selepas ini dan turut sama prihatin terhadap keperluan memberi fokus kepada para pesakit kanser dan usaha memotivasikan bukan sahaja pesakit tersebut, juga mereka yang memberi rawatan termasuk ahli keluarga mereka, serta kesedaran di kalangan masyarakat. 

Pihaknya yang juga melaksanakan pelbagai program pendidikan dan meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan awal kanser amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang menyumbang dan menaja demi kejayaan majlis itu.

“Sebagai contoh, KanWork Charity Hi-Tea ini kami anjurkan dengan kerjasama UPM, War on Cancer dan Persatuan Alumni UPM dan berharap dapat mengumpul sebanyak mungkin dana bagi membantu pesakit dan ‘survivor’ serta individu terkesan oleh kanser.

“Alhamdulillah, melalui majlis ini kita berjaya mengumpul dana sejumlah RM49,001 dari pelbagai agensi antaranya Usaha Jana Sdn Bhd, Pharmaniaga Berhad, College of Physician, Academy of Medicine of Malaysia, Zharish Resources, International Women Heritage Vision  Malaysia (WARISTA) dan Aeon Co (M) Bhd.

Pada petang tersebut, Baginda Permaisuri Selangor juga turut berkenan menerima replika cek bernilai RM49,001 yang disumbangkan daripada pelbagai pihak dan kemudian berangkat melawat ke ruang pameran yang disediakan sempena majlis tersebut. 

Pada hari itu juga KanWork berjaya mengumpulkan kira-kira 700 orang yang hadir daripada pelbagai organisasi, institusi dan tidak kurang juga penghidap kanser untuk sama-sama menggemblingkan tenaga dan usaha bagi menjayakan majlis dan kutipan dana itu.