Pada 17 Ogos 2022 genaplah 10 tahun usia Minggu Fesyen Kuala Lumpur. Persatuan Pereka Rasmi Malaysia atau MODA turut serta menyerikan acara sambutan ulang tahun di pentas KLFW ’22 yang berlangsung seminggu di Kuala Lumpur minggu lalu.Signifikan usia KLFW, pentas malam tersebut menyaksikan 10 pereka MODA mempersembahkan hasil karya istimewa masing-masing dengan tema MODA X KLFW 2022.
Menurut wakil MODA, mereka amat gembira kerana dapat sama-sama meraikan ulang tahun KLFW yang mencecah satu dekad dan berterima kasih kepada Pengasasnya Andrew Tan, kerana menjemput 10 pereka MODA untuk mempertontonkan hasil karya mereka.
Jemputan tersebut adalah tanda prihatin dan optimis Andrew terhadap senario dunia fesyen tempatan lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik. Lebih dua tahun industri ‘tidur’dan berada dalam keadaan suram, maka tibalah masanya untuk industri fesyen bangkit dan kembali pada momentumnya.
Sepuluh pereka adalah Ashley Wong, Melvin Shah daripada Atelier Prive Melson, Keith Kee, Key Ng, Jimmy Wong, Shawn Lee daripada MMclot, Shahrir Nurdin, MMG – Master Mind Group, Peter Lum dan Tangoo. Tiada tema khas, masing-masing dengan ilham sendiri.
Rekaan pakaian lelaki MMG (atas). Dari kiri (bawah) Keith Kee, Shahrir Nurdin dan Ashley Wong.
“Sekian lama alam fesyen Malaysia lembab dan tiada banyak aktiviti, usaha KLFW dan kecekalan Andrew membawa arena fesyen tempatan ke satu arah yang lebih terjamin amat kami hargai. Secara langsung KLFW memberi peluang dan ruang untuk pereka dan orang industri kembali aktif,” jelas Peter.
Bagi Andrew Tan yang masih berada dalam radar walaupun keadaan ekonomi yang merosot dan kesan pandemik yang menyuramkan industri, kehadiran KLFW 2022 adalah pernyataan tegar bahawa beliau untuk terus memperjuangkan masa depan industri dan mahu melihat pereka kembali beraksi di pentas-pentas peragaan. Ini satu usaha penting bagi memastikan industri terus berkembang maju.8