GAYA HIDUP

FATWA SYEIKH TERKENAL DUNIA TENTANG MUZIK

Fatwa Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi

Menurut Syeikh al-Qaradhawi, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama.

Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.

Beliau turut meletakkan beberapa peringatan dan garis panduan bagi sesiapa yang mendengar nyanyian dan mempraktikkannya:

  • Sesiapa yang berniat mendorong diri untuk melakukan maksiat melalui nyanyian, maka dia seorang fasik. Jika bertujuan merehatkan jiwa, membantu untuk taat kepada Allah SWT dan menyegarkan diri, maka ia dikira perbuatan yang baik. Jika tidak berniat samada baik atau buruk, maka ia dikira perbuatan al-lahwu / al-bathil (sia-sia) yang tidak berpahala mahupun dosa.
  • Lirik mestilah tidak mengandungi unsur menyalahi akidah, hukum-hakam dan kewajipan Islam
  • Gaya penyampaian penyanyi mestilah menjaga batas-batas syarak.
  • Agama Islam menolak sebarang unsur keterlaluan dalam setiap perkara, meskipun dalam isu ibadah. Keterlaluan dalam perkara harus akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan kewajipan.
  • Setiap pendengar mestilah menilai dan menentukan sendiri nyanyian yang boleh didengar. Mereka lebih mengetahui bentuk-bentuk nyanyian yang mampu merangsang nalurinya, menggodanya kepada fitnah dan melupakan unsur rohani dalam dirinya. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hal. 430-436)
Sheikh Ali Jum’ah (mantan Mufti Mesir)

Syeikh Ali Jum’ah menegaskan bahawa hukum berkenaan muzik dan nyanyian ini bukannya isu yang melibatkan asas aqidah atau perkara yang dimaklumi dari agama secara dharuriy, dan ia sekadar khilaf fiqh. Maka tidak boleh sama sekali kita menghukum orang lain sebagai fasiq hanya kerana berbeza pandangan dalam isu ini.

Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan nyanyian, sama ada disertai alat muzik ataupun tidak, dengan syarat ia tidak mengandungi unsur-unsur kemaksiatan dan perkara yang menyanggahi syarak. Bahkan hukumnya boleh menjadi sunat jika melibatkan puji-pujian kepada Allah SWT dan Nabi-Nya, lagu-lagu yang menaikkan semangat dan kecintaan kepada negara. Namun begitu, sikap berlebih-lebihan padanya akan membawa kepada makruh, bahkan boleh juga membawa kepada hukum haram. (Rujuk Al-Qaul al-Mubin fi Ahkam al-Dunya wa al-Din, hal. 228 dan 233)

Fatwa Ulama al-Lajnah al-Da’imah

Muzik adalah haram berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, bahkan muzik juga tidak dibenarkan dalam bentuk nasyid untuk tujuan dakwah. Mereka memilih pandangan Ibn Mas’ud yang mentafsirkan frasa ‘lahwa al-hadith’ dalam ayat 6 Surah Luqman sebagai muzik (al-ghina’). Muzik merupakan perosak hati, jalan ke arah keburukan dan boleh melalaikan kita daripada perkara-perkara kebaikan. (Rujuk Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 26/222-225)

Syeikh Mahmud Syaltut

Syariat tidak diturunkan untuk menyekat fitrah manusia yang sukakan keindahan dan kecantikan, tapi Syariat datang untuk mengawal dan mengawasinya agar tidak terjerumus ke dalam perkara-perkara yang jelek dan memudaratkan. Tambah beliau lagi, alat muzik dan nyanyian tidak diharamkan kerana zatnya sebagai alat muzik, tapi hanya jika ada unsur maksiat yang dikaitkan dengannya, atau jika ia membawa kepada gejala-gejala yang tidak bermoral. Jika muzik itu bebas daripada sebarang unsur maksiat, maka adalah diharuskan untuk mendengarnya, mempelajarinya dan menyertai acara-acara muzik. (Rujuk Fatawa Mahmud Syaltut, hal. 385)

Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Judai’

Syeikh al-Judai’- seorang ulama hadith dari Iraq- ada mengemukakan kajian beliau tentang muzik dan nyanyian. Menurut beliau, antara kaedah usul yang wajib diambil kira dalam meneliti isu ini ialah muzik dan nyanyian merupakan isu adat manusiawi, dan bukannya isu ta’abbudi, dan asal bagi perkara-perkara adat ialah harus. Ia juga merupakan salah satu jenis perhiasan dan kecantikan yang asalnya dihalalkan oleh Allah SWT menerusi firmanNya:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”.

Surah al-A’raf (32)

Beliau juga sewaktu menyimpulkan kajian menyatakan bahawa asal bagi kedua-duanya ialah al-lahwu, dan ia diharuskan untuk tujuan mencapai maslahah yang mu’tabarah, seperti menzahirkan kegembiraan yang syar’ie, mengelakkan rasa jemu dan keletihan. Ia juga mestilah tidak menyebabkan perkara-perkara wajib dan sunat terabai, atau menyebabkan berlakunya perkata-perkara haram. Jika ini terjadi, hukumnya bertukar daripada harus kepada haram atau makruh. (Rujuk Al-Musiqi wa al-Ghina’ fi Mizan al-Islam, hal. 600)

Related posts

SAMBUT TAHUN BARU CINA DENGAN KOLEKSI TERBARU DISNEY X HABIB: PUTERI MULAN

admin

Hati Tertinggal di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City

Afiza Kamarulzaman

Kanser, KanWork & Aktiviti Melalui CERITA KAMI

admin

Leave a Comment