AGAMA

Bersyukurkah Kita?

ALHAMDULILLAH adalah ungkapan ringkas sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan.

Sifat syukur berada pada tahap tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur di atas semua anugerah diterima di dunia ini. Allah mengingatkan kita dalam firmanNya:

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur” [al-Mulk 23]

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebutkan: Sedikit sekali ketiga-tiga nikmat ini iaitu penglihatan, pendengaran dan hati digunakan untuk melaksanakan ketaatan, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah SWT sebagai tanda bersyukur.

Dalam Hilyatul Auliya’ menyebutkan:

كل نعمة لا تقرب من الله عز وجل، فهي بلية.

“Setiap nikmat yang tidak digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT itu hanyalah musibah”

Justeru menjadi kewajipan bagi setiap hamba Allah untuk bersyukur atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan sama ada nikmat pendengaran, penglihatan dan hati agar sentiasa taat dan menjauhi dosa serta maksiat.

Perlu diingat semua anggota ini iaitu pendengaran, penglihatan serta hati akan ditanya di hadapan Allah kelak. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya” [al-Israk 36]

Ingatlah bahawa tujuan Allah SWT mengurniakan kita dua telinga agar dapat kita gunakan untuk mendengarkan ajaran-ajaran agamaNya yang disampaikan oleh Rasul dan pewarisnya. Tujuan Allah mengurniakan dua biji mata kepada kita adalah agar dapat digunakan untuk melihat, memandang dan memerhatikan segala kejadian yang ada di dunia ini, juga untuk meneliti tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT di alam semesta ini.

Tujuan Allah memberi manusia hati, akal dan fikiran adalah untuk memikirkan, merenung, mempertimbang dan membezakan mana yang baik serta bermanfaat bagi mereka dan mana yang buruk yang akan membuat dirinya celaka.

لِلَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَالَّذِينَ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَهُ لَوْ أَنَّ لَهُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا وَمِثْلَهُ مَعَهُ لَافْتَدَوْا بِهِ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ سُوءُ الْحِسَابِ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

“Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik-baiknya; dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah neraka jahanam; dan amatlah buruknya tempat tinggal itu” [ar-Ra’d 18]

Marilah kita memanfaatkan segala nikmat yang dikurniakan Allah ini khususnya mata, telinga, hati serta yang lain-lain untuk beribadah kepadaNya dan jangan sesekali digunakan untuk menderhakaiNya.

Firman Allah SWT
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah ar-Rahman, ayat 13).

Ayat ini jelas menuntut semua hamba-Nya untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Janganlah apabila nikmat itu ditarik balik baru kita mencari di mana kesyukuran dalam diri.

Pepatah Melayu mengatakan ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Ulamak berpesan: “Jalan yang lurus ialah syukur kerana syukur adalah maqam yang tinggi.”

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button