Hampir ke penghujung Mac dan cerita fesyen masih belum tamat. Kami di MajalahWM.com masih menerima jemputan demi jemputan ke acara fesyen dan beberapa hari lalu, berita tentang our beloved Michael Ong yang baru saja mementaskan koleksi spring summer di Plaza Indonesia Fashion Week.
Ya di Kuala Lumpur nama Michael Ong sepertikan sepi. Bukan sudah mengundur diri tetapi kerana terlalu sibuk melayan geng-geng mak Datin, Puan Sri dan royalty(ies) yang masih mahukan khidmatnya. Teringat beberapa bulan lalu saya naik letih, asyik tertangguh-tangguh ke butik Michael di KL Plaza kerana dia tersangat busy, back to back meeting dengan klien.
Berbalik kepada cerita Michael di Indonesia, ini kerjasama kedua bersama jenama yang terkenal di sana, Alleira Batik. Tahun sebelumnya mereka mengeluarkan koleksi kasual yang glamor untuk lelaki dan wanita. Kali ini tumpuan terarah pada wanita yang nine-to-five di pejabat kerana mereka ini pun mahu bercantik-cantik juga. Dan pakaian tersebut boleh diubah gaya kerana sebaik tamat waktu kerja, wanita ini tadi mahu ke Hotel W menghadiri cocktail party. Untuk itu Michael mencipta pakaian yang multifunction. Seingat saya gaya ini popular sekitar penghujung 90-an hingga awal millennium dan kini Michael menghangatkan kembali trend ini.
Koleksi diberi nama ‘Two in One’ dan antara yang dipentaskan seperti dress, skirt, jaket dan blaus. Yang dimaksudkan dengan dua dalam satu kerana dalam satu outfit ada helaian berbeza seperti kimono merah jambu yang mana di dalamnya ada dress berwarna kelabu. Selain itu ia juga bermaksud boleh diubah suai seperti skirt pendek yang boleh dipanjangkan, jaket labuh bisa dipendekkan dan blaus boleh ditukar menjadi skirt – bermacam gaya boleh dikenakan, terpulang pada masa dan acaranya saja. Koleksi ini juga dicipta longgar, jadi walau tidak selampai Nasha dan Azura tetap boleh menyarungnya.
Untuk warna, mereka memilih nuansa bawah laut seperti merah jambu, kuning, turquoise, hijau, dan biru serta hitam bagi menyampaikan kepelbagaiaan misteri kecantikan hidupan bawah laut. Dan coraknya jika dilihat dari dekat kita boleh nampak motif seperti kerang dan daun merambat, selain ada juga corak batik klasik seperti kawung dan parang.
Ya, pakaian office kembali menghairahkan – and in a big-big way. Ada yang sesuai untuk wanita yang miliki strong character – kerana bukan sembarangan dapat menyarung print yang menyerlah. Bagi saya, eh cantik juga, seksi tidak semestinya mendedahkan paha atau menampakkan coli.
Koleksi Alleira Batik X Michael Ong sesuai untuk wanita yang hectic jadualnya tetapi mahu menjalani dengan relaks – bayangkan meredah traffic jam dari office untuk balik ke rumah menukar pakaian dan kemudian bersesak sekali lagi semata-mata memastikan baju yang dipakai sesuai acara. Bukan itu saja, kerana kadang-kadang tak ada mood untuk pergi kerja, apatah lagi selepas dua hari cuti, jadi kita mencari bermacam alasan untuk mengambil MC, kerana itu perlunya miliki pakaian yang cantik-cantik supaya dapat melawan Monday blues.
Ringkasnya, kita harus meraikan hidup. Dalam kepenatan bekerja kita cuba hiburkan hati, kerana duit pun tidak boleh dibawa sampai mati. Maka, sesekali itu puaskan diri, dalam mencari rezeki jangan abai diri, pakailah secantik yang boleh.
Akhir kata, ketika menulis artikel ini ingatan saya melayang jauh… rindu sangat melihat gaun malam rekaan Michael Ong yang mewah dan penuh drama membaluti tubuh langsing Ziana, Ning dan Erra. Oh zaman itu… diva-diva kita sungguh glamor sekali.