Jeremy Scott merupakan pengarah kreatif untuk dua rumah fesyen, satu di bawah namanya sendiri dan lagi satu sudah bertahun-tahun dalam industri, Moschino. Untuk kedua-dua jenama ini kita melihat tidak terkira sisi kreatifnya mempersembahkan koleksi berkonsep Barbie, Spongebob, Coca-Cola membawa kepada My Little Pony dan McDonald’s antara lain. Ini belum termasuk menghasilkan pakaian daripada sampah. Dia mampu menterjemahkan sesuatu yang asli menjadi koleksi yang dipuja dan dipuji warga seindustri.
Walau bagaimanapun ibarat menonton drama tv, seronok ketika klimaks kemudian terhenti dek siaran iklan – aduh sakitnya hati. Begitulah yang terjadi pada Scott. Selepas mementaskan koleksi Moschino Spring Summer 2019, muncul Edda Gimnes pereka fesyen muda berpangkalan di London yang menutup habis kegembiraan Scott yang lena disimbahi puji-pujian, dengan tuduhan meniru.
Gimnes melalui Instagram milikinya menuduh Moschino (Scott terutamanya) mengambil ‘inspirasi’ daripada koleksi musim bunga 2016 dah 2017 miliknya, untuk koleksi musim bunga 2019 jenama Itali itu. Beg, topi dan pakaian yang dipentaskan langsung tidak ubah seperti yang pernah dipentaskan Gimnes sebelum ini. Dan ianya langsung tidak nampak seperti satu kebetulan. Gimnes turut memberitahu dia sebenarnya pernah bertemu dengan seseorang dari Moschino sekitar November tahun lalu di New York dan menunjukkan karyanya kepada orang tersebut termasuk lakaran dan idea.
“Melihat pertunjukan Moschino membuatkan saya begitu sedih dan terluka, melihat seseorang tanpa disangkal menggunakan idea SS16 dan SS17 saya sebagai inspirasi tanpa memberikan saya sebarang kredit,” Gimnes menulis di IG. “Mereka mungkin menganggap tiada siapa akan perasan hal (menciplak) ini rentetan saya seorang pereka muda. Tetapi saya akan pastikan hal ini disedari.” Gimnes turut memuat naik koleksinya dan Moschino dalam gambar sebelah-menyebelah.
Gimnes mungkin lebih kecil berbanding Moschino, tetapi dia bukanlah langsung tidak dikenali. Bekas graduan The London College of Fashion ini telah disenaraikan antara pereka yang patut dilihat oleh beberapa syarikat penerbitan seperti The New York Times, Vogue British dan WWD; memenangi anugerah pereka baru oleh International Fur Federation dan SAGA dan memiliki pereka fesyen ulung Alber Elbaz sebagai mentor. Koleksinya pernah disarung Gigi Hadid dan Lady Gaga, kedua-dua selebriti ini juga pernah memakai koleksi Scott. Identiti koleksinya setakat ini menampilkan ilustrasi tangan, warna-warna yang bright dan butiran trompe l’oeil.
Ini bukanlah kali pertama Scott dituduh meniru; artis grafik Jimbo Philips menyaman Scott kerana menggunakan cetakan yang dihasilkannya dalam koleksi musim Luruh 2013, manakala artis graffiti Joseph Tierney menyaman Moschino kerana menggunakan lukisan muralnya dalam koleksi Luruh 2016 tanpa mendapat kebenaran.
Moschino dan Jeremy Scott memberi reaksi balas akan tuduhan Gimnes. Scott berkongsi rujukan untuk koleksi yang baru dipentaskan itu dalam akaun Instagram peribadi miliknya melalui IG Stories, termasuk beberapa lakaran daripada arkib Moschino dan lakaran oleh pengasas jenaam berkenaan Franco Moschino yang sememangnya mempunyai persamaan dengan koleksi Spring 2019. Menurut wakil jenama, Scott dan pasukan reka bentuk Moschino tidak pernah melihat reka bentuk atau lakaran rekaan Gimnes. Jenama itu mengeluarkan kenyataan rasmi berikut:
“Trompe-l’œil telah lama menjadi motif yang tertanam dalam DNA Moschino. Jenama eponymous Jeremy Scott juga telah lama memiliki lakaran dan idea ini. Dia berterusan memberi penghormatan kepada Franco Moschino dan mendapat inspirasi mencipta koleksi yang ‘tidak lengkap’ daripada gabungan proses penghasilan pakaian seperti lakaran rekaan dan reka bentuk kepada jahitan hingga memakaikannya di badan model. Koleksi ini adalah surat cinta Jeremy kepada dunia fesyen dan ia harapan besar jenama ini untuk memberi inspirasi kepada generasi muda kreatif untuk mewarnai dunia kita dengan impian mereka.”