COVER STORY

NADIA ALI CHANNAN THE ALGORITHM OF BEAUTY-Apabila Kecantikan Ditafsir Semula Oleh Teknologi

Photo by AI

Pagi yang tenang, Nadia Ali Channan berdiri di hadapan cermin tinggi di kondominium mewahnya yang menghadap KLCC. Cahaya lembut menyentuh wajahnya, memperlihatkan kulit yang halus, garis wajah yang seimbang, dan postur tubuh yang anggun.

Tidak ramai yang tahu bahawa perjalanan untuk sampai ke titik ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Nadia tidak dilahirkan dalam keluarga berada. Dia membesar dalam kehidupan yang serba kekurangan, di sebuah rumah teres kecil setingkat di Segambut Dalam yang sentiasa dipenuhi dengan usaha dan harapan, tetapi jarang sekali dengan kemewahan.

Sejak kecil, Nadia sudah memahami satu perkara tentang dunia — manusia sering dinilai melalui apa yang dapat dilihat.

Entah mengapa dia dihantar bersekolah Bukit Damansara dan kemudian di Hartamas, mungkin menggunakan alamat majikan bapanya yang tinggal di kawasan elit tersebut. Di sekolah, dia bukanlah pelajar yang menjadi perhatian malah dipinggirkan, yalah siapa senang berkawan dengan anak pemandu sedangkan hampir keseluruhan pelajar di situ orang berada. Melihat dirinya sahaja ramai dapat meneka. “Daddy you kerja apa ya,” pintas seorang pelajar. “Kadang aku tengok kamu naik motor Honda buruk, tapi kadang turun dari kereta mewah (yalah dalam perjalanan ayahnya ke rumah bos, naik Motor dan tengah hari kadang dijemput naik Mercedes.) Mesti anak driver.” Nadia sekadar diam, no explanation dan dia tidak perlu pun rasa marah atau kecil hati. Hakikatnya dia anak Pak Ali, driver DS Rahman. 

Dia tahu dia dipinggir kerana dia miskin. Pergi sekolah bawa bekal sama, nasi dengan telur goreng.  Pandai dalam kelas pun tiada erti pada rakan-rakanya. Hebat di trek pun pada mereka, “ala orang makan nasi hari-hari mestinya kuat lari.”  Sementelah pula kulitnya gelap, dan tinggi, ada yang memanggilnya lidi. 

Nadia, ada hari-hari dia pulang ke rumah dengan hati yang berat, tertanya-tanya mengapa kecantikan dan wang seolah-olah menjadi mata wang yang menentukan nilai seseorang. Namun di sebalik segala rasa itu, Nadia memiliki sesuatu yang jauh lebih kuat daripada penilaian orang lain.

Tekad.

Dia belajar dengan tekun.

Dia bekerja keras.

Dan sedikit demi sedikit, kehidupannya mula berubah.

Bertahun-tahun kemudian, wanita yang pernah dipinggirkan itu berjaya membina empayarnya sendiri. Perniagaan yang bermula kecil kini berkembang menjadi sebuah jenama yang berjaya.

Kejayaan kewangan datang bersama kerja keras yang tidak pernah berhenti.

Tetapi jauh di sudut hatinya, ada satu keinginan yang telah lama terpendam. Nadia ingin melihat sesuatu yang berbeza di dalam cermin.

Bukan lagi wajah gadis yang pernah dipinggirkan dahulu, tetapi wajah yang mencerminkan kecantikan yang selama ini dipuja dunia — kulit yang lembut dan berseri, bentuk tubuh yang seimbang, dan postur yang lebih tinggi, lima kaki enam inci, seperti model yang sering menghiasi halaman majalah dalam persalinan berjenama.

Photo by AI

Hari ini, dalam dunia kecantikan moden, impian seperti itu bukan lagi sesuatu yang mustahil.

Teknologi estetik berkembang dengan pesat. Rawatan kulit berasaskan sains, prosedur pembentukan wajah, dan analisis kecantikan berasaskan data membuka kemungkinan yang dahulu hanya wujud dalam imaginasi.

Kecantikan kini bukan sekadar soal genetik. “Ia boleh direka. Ia boleh dibentuk,” katanya menghadap cermin. “Malah, dalam era kecerdasan buatan, kecantikan juga boleh dianalisis melalui algoritma,” sambungnya.

Dan di sinilah kisah Nadia Ali Channan bertemu dengan persoalan yang lebih besar tentang dunia moden.

Apabila teknologi memberi manusia kuasa untuk mengubah hampir setiap aspek penampilannya — apakah yang sebenarnya sedang kita kejar?

Adakah kita sedang mencipta versi terbaik diri sendiri?

Atau sekadar mengejar definisi kecantikan yang perlahan-lahan dibentuk oleh mesin dan data?

Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, kecantikan mungkin boleh diukur melalui simetri wajah, tekstur kulit dan struktur tulang.

Namun perjalanan Nadia Ali mengingatkan kita tentang sesuatu yang lebih mendalam. Bahawa sebelum kecantikan itu muncul di wajah, ia sering bermula daripada kekuatan seorang wanita untuk bangkit daripada kehidupan yang pernah memandangnya sebelah mata.

“Life is about choices. Choose to rise, choose to be beautiful in your own way, and choose to value family and yourself.”

Suatu ketika dahulu, Nadia Ali dipinggirkan kerana penampilannya. Hari ini, dunia yang sama mula melihatnya dengan cara yang berbeza.”

Nadia Ali Bercerita

Kami duduk di kafe mewah tapi sunyi, ditemani cahaya petang yang lembut menyinari wajahnya. Nadia tersenyum, senyuman yang kini bukan sahaja cantik, tetapi penuh keyakinan.

Photo by AI

“Kadang-kadang orang tanya saya, kenapa perlu ubah diri?” katanya, sambil memegang cawan kopi. Jawapannya mudah… “Sebab saya nak rasa saya punya kuasa untuk pilih siapa saya. Dulu saya tak ada pilihan. Sekarang, saya ada.”

Dia mengakui, perjalanan itu tidak mudah. Daripada rasa diri dipinggirkan, dia bangkit bekerja keras membina empayar sendiri, semuanya memerlukan disiplin, kesabaran, dan sedikit keberanian untuk keluar dari zon selesa.

“Saya belajar satu perkara penting… kecantikan sebenar bukan hanya tentang kulit yang licin atau tubuh yang menarik. Ia tentang bagaimana kita berdiri untuk diri sendiri, tentang perjalanan yang membentuk kita.”

Nadia tersenyum lagi, kali ini dengan sedikit sinar nakal. “Tapi jujur, saya juga akui… ada sesuatu yang menggembirakan bila teknologi boleh bantu kita tampil lebih yakin. Ia macam bonus daripada kerja keras yang saya dah buat.”

Kami ketawa perlahan, kerana itu adalah kejujuran yang sederhana, tapi kuat. Dia tidak menafikan keinginan untuk penampilan yang diidam, tetapi juga sedar bahawa nilai dirinya tidak ditentukan oleh algoritma, mesin, atau penilaian orang lain.

“Apa yang paling penting… jangan biar dunia tentukan siapa anda. Gunakan teknologi, gunakan peluang… tapi jangan lupa siapa diri anda yang sebenar,” bisiknya.

Dalam nada santai itu, Nadia Ali bukan sahaja bercakap tentang kecantikan luar, tetapi juga kecantikan hati, kekuatan, dan perjalanan yang menjadikan dia wanita hari ini.

Nadia Dulu

Nadia Ali tidak pernah melupakan hari-hari di mana dia hanyalah seorang gadis biasa dalam keluarga sederhana. Rumah mereka kecil ditambah sikit-sikit oleh ayahnya bila dapat bonus. Kehidupan serba tidak cukupan, adik-adik yang perlukan susu dan teringin makan ayam McDonald. Sekali sekala bila ayahnya pulang membawa big mac McDonald bukan dibelah dua tapi kadang empat kadang enam, KFC seketul ayam dibelah dua, tapi rasa sos itu pun sudah sedap untuknya. Teringat baju Raya dia dan adik yang datang tidak tahu dari arah mana, dan kasut Bata lama yang sudah pastinya dipakai oleh entah siapa, tetapi cukup mereka gembira di pagi Raya. Dengan lemang yang dibakar sendiri dan dodol yang dikakau adik beradik, yang penting dia juga rasa makan lemang, ketupat dan rendang ayam yang dipelihara belakang rumah. Dan paling terkesan dengan duit ampau dua tiga ringgit yang diterimanya daripada ijiran-jiran, dia dapat membeli bedak Nyonya alais bedak Cina juga celak Rani Kohl. Dan gincu Arab hadiah jiran yang baru pulang dari Makkah.

Photo by AI

Di sekolah, malah guru-gurunya sendiri tidak pernah memberikan dia perhatian. Sekalipun mendapat markah tertinggi, sekalipun dia pelari pecut dan selalu menjadi juara. Kulitnya yang gelap, tinggi kurus menjadi gurauan tentang penampilannya, dan tanpa sedar, ia meninggalkan kesan mendalam.

Dia tersenyum apabila mengingati satu rahsia kecil dari zaman itu. “Saya dulu pakai bedak Cina, kak. Beli di kedai runcit belakang rumah. Pakai sikit-sikit takut habis, tetapi cukup buat muka saya nampak putih. Masa itu saya fikir, kalau putih itu cantik, saya mahu jadi cantik juga.”

Bedak itu bukan sahaja mengubah warna kulitnya sekejap, tetapi juga memberinya keyakinan untuk keluar daripada bayangan sendiri. Namun, Nadia tahu, itu hanyalah permulaan.

“Dulu saya cuba ikut apa orang kata cantik. Tapi lama-kelamaan saya sedar, cantik sebenar bukan sekadar warna kulit atau rupa luaran. Ia tentang siapa kita dan bagaimana kita berdiri dalam hidup ini.”

Tahun-tahun berlalu, dan Nadia Ali kini berdiri di dunia yang berbeza. Kerja kerasnya membina empayar sendiri tidak hanya memberinya kebebasan kewangan, tetapi juga kuasa untuk memilih siapa dirinya hari ini.

Dia tidak malu berkongsi asal-usulnya — tentang rumah teres setingkat dengan perabot lama pemberian bos ayahnya. Kalau dulu tidur atas toto tetapi satu hari sang ayah pulang dengan lori membawa katil dan tilam, malam itulah sewaktu di tingkatan satu, dia tidur nyenyak merasa kesedapan tidur atas tilam, walau buruk tetapi masih empuk. Kata ayahnya bos tempat dia kerja suruh dia pergi buang, sebaliknya dibawa ke rumah bersama katil dan sofa. Dan almari kecil untuk dia dan adik-adiknya menyimpan baju dan meletakkan barang berharganya, bedak Nyonya. 

“Saya rasa bangga dengan semua itu,” katanya dengan tenang. “Ia mengajar saya tentang nilai usaha, tentang kekuatan diri, dan tentang realiti bahawa cantik itu bukan sesuatu yang diberikan. Ia sesuatu yang kita cipta.”

Dengan empayarnya, Nadia kini mempunyai akses kepada segala yang dulu hanya dia impikan — daripada rawatan kecantikan berteknologi tinggi hingga perkhidmatan eksklusif untuk diri sendiri.

Dia memilih untuk mengubah wajahnya, kulitnya, postur tubuhnya, semuanya sesuai dengan impian dan idea tentang kecantikan yang dia idam. “I did this to feel confident in myself.”

“Tapi bukan hanya untuk orang lain lihat. Saya lakukan ini kerana saya mahu rasa yakin dengan diri sendiri. Untuk kali pertama cermin memantulkan wajah yang saya suka dan rasa saya punya kuasa penuh ke atas diri saya,” Nadia tersenyum. “Saya mahu mereka tahu, tiada apa yang mustahil kalau kita berani bermimpi dan bekerja keras,” katanya lagi.

“Walaupun dulu dipinggirkan dan dihina, saya tidak menyimpan dendam. Saya mencari kembali mereka yang pernah mengata dan mencemek, si Lidi anak Pak Ali. Saya percaya, orang yang pernah menghina, sebahagian daripada diri ini menjadi kuat kerana mereka,” kata Nadia.

“Cantik itu bukan hanya tentang wajah atau tubuh, tetapi tentang keberanian untuk bangkit dan menghargai diri sendiri. Dan saya sedar, Beauty is not just the face or body, it’s the courage to rise and value yourself.”

Nadia membina empayar, menjaga keluarga, memastikan adik-adiknya berjaya, dan tetap merendah diri. Dia tidak menoleh ke belakang dengan dendam, tetapi dengan pengertian dan kasih sayang.

“Saya mahu dunia tahu… cantik itu bukan sekadar untuk dilihat orang lain. Cantik itu tentang keberanian, kekuatan, dan bagaimana kita memilih untuk hidup,” kata Nadia, senyumannya memancarkan keyakinan yang sebenar.

 “Life is about choices. Choose to rise, choose to be beautiful in your own way, and choose to value family and yourself.”

Dan di sinilah, dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, perjalanan Nadia Ali menjadi inspirasi: cantik bukan sekadar fizikal, tetapi perjalanan hidup, kekuatan diri, dan keberanian untuk menjadi wanita sebenar. Teknologi estetik moden membolehkan manusia menganalisis dan menyesuaikan penampilan. Bagi Nadia, AI adalah alat, bukan penentu. Simetri wajah, tekstur kulit, dan algoritma hanyalah panduan; nilai sebenar datang daripada keyakinan, usaha, dan pengalaman hidup.

“Technology helps me express the best version of myself, but it doesn’t define who I am.”

Related posts

SUARA HATI SEORANG UMAR UZAIR

Wirda Adnan

Lilyana Abdul Latif, CEO MyNEF.. Trend Industri Terkini & Tips Menjadi Entrepreneur Berjaya

admin

AKHIRNYA SEMUA BUKA PEKUNG

Mahani Awang

Leave a Comment