PERSONALITI

10 Soalan Cinta

Umar Uzair 

“Saya anak sulung yang tidak gemar meluahkan keluhan dan menunjukkan kelemahan. Seorang seniman kecil yang sering menangis dan terlebih utama seorang lelaki yang tidak pintar beromantis tetapi menyampaikan rasa kerinduan dan kecintaan melalui kata-kata yang indah.” 

(Penyanyi, penyair dan penulis dalam bidang puisi dan sastera. Telah berkecimpung lebih 10 tahun dalam bidang seni dengan karya dalam novel, cerpen, kumpulan puisi dan eceran. Melahirkan dua buah album lagu-lagu kepuisian dan membawakan seni puisi ke banyak panggung seluruh dunia termasuk Cosmos Moskow, Dewan Filharmonik Kyrgyzstan, Taman Ismail Marzuki Jakarta, Esplanade Singapura dan Istana Budaya serta penerima watikah sebagai Penyair Muda ASEAN 2015 di Jogjakarta, Indonesia). 

1. Apa itu cinta pada anda? 

Cinta dan kasih sayang saling berkait dan mesti menyatu. Namun bagi saya sayang akan hadir terlebih dahulu melalui perasaan ingin tahu dan ambil berat tentang seseorang yang ingin dikenali dan cinta datang kemudian dengan semangat dan perasaan yang berkobar-kobar bila memikirkan tentangnya. Seperkara yang saya pasti ialah kita tidak akan jemu menyatakan rasa cinta kepadanya walaupun setiap hari dan setiap waktu dan setia di sisinya.  

2. Anda kata anda mencintai seseorang di mana kebahagiaannya amat penting bagi anda, sanggupkah  anda sacrifices for your relationship? 

Bukanlah pula seperti kata ‘lautan api pun sanggup ku renangi’ tetapi pengorbanan memang satu dari ribuan cabang menunjukkan rasa cinta, semestinya saya sanggup berkorban masa, harta bahkan nyawa untuk orang yang dicintai. Cara dan bagaimana pengorbanan itu dinyatakan mungkin berbeza dan mengikut keadaan. Kadang-kadang rasa tersepit antara kerja dan keluarga dengan cinta, di situlah hemah diperlukan. Perbincangan, tolak ansur dan persefahaman antara sebuah pengorbanan dalam perhubungan. 

3. Momen yang paling indah dalam hidup anda berdua? 

Berkongsi susah dan senang, saling menerima keburukan dan kekurangan adalah saat-saat yang terindah kerana di situ kita dapat menilik sejauh mana perhubungan akan bertahan.  

4. What is your biggest fear about a relationship? 

Saya sering berfikir tentang kehilangan seseorang yang dicintai dalam bentuk kematian. Saya tidak risau jika terputus hubungan kerana jarak yang jauh, salah faham atau rasa terkongkong kerana ini semua mampu diatasi dan diperbaiki tetapi jika kita terpisah kerana kematian, saya tidak mampu menerimanya dan amat takut berhadapan dengan situasi begini dalam perhubungan. Setiap kali berfikir tentang hal ini, saya akan selalu cuba berubah menjadi yang lebih baik.

5. Apa yang membuat sesesorang itu hilang rasa cinta (falling out of love)? 

Secara klisenya mungkin kerana sudah tidak sefahaman, tidak berminat dengan perkara yang dibuat bersama atau bosan dengan kehidupan yang serupa. Mungkin juga bila pasangan sudah tidak boleh menerima kesalahan demi kesalahan daripada pasangannya yang tidak mampu dimaafkan. Lebih jauh, mungkin kerana orang ketiga.  

6. Apa yang anda fahami tentang perkataan menipu pasangan? 

Penipuan timbul apabila kita berasa sangsi dalam perhubungan. Kesangsian itu bukanlah bermakna kita betul atau salah tetapi sebaliknya sebagai satu dugaan adakah kita ingin meneruskan sesuatu perhubungan atau ingin mematikannya. Jika kita memilih untuk membunuh perhubungan maka penipuan akan berterusan tetapi jika kita memilih untuk meneruskan, sebaliknya penipuan yang perlu diakhirkan. 

7. Apa yang anda rasa membuat sesuatu perhubungan itu segar (healthy)

Saya yakin dengan kerap mengucapkan rasa cinta dan sering bertanyakan keadaan pasangan tanpa menunggu waktu tertentu adalah salah satu usaha untuk sentiasa berada dalam perhubungan yang baik. Segar juga tidak semestinya berpendapat yang sama. Mungkin ramai yang beranggapan pasangan perlu berkongsi minat dan hobi yang sama. Bagi saya apabila kedua-duanya ada minat dan hobi yang berbeza, kita dapat saling mencuba hal yang asing seterusnya mengenali pasangan agar perhubungan sentiasa rasa ‘baharu’. 

8. Pada pendapat anda adakah soal kewangan patut dikongsi bersama atau berasingan? 

Oleh kerana kewangan kebiasaannya dianggap sebagai penanda aras kepercayaan dalam perhubungan, kadang-kadang ia berlaku secara tidak dirancang dan selagi pasangan terbuka dengan hal ini, saya fikir tiada masalah asalkan kepercayaan itu tidak digugah dengan penipuan dan pencurian. Berkongsi soal kewangan juga boleh menjadi sesuatu yang positif supaya kita dapat menerima kekurangan pasangan dan berkongsi masalahnya agar tidak terbeban bersendirian, begitu juga sebaliknya.  

9. Apakah anda rasa seseorang itu boleh berubah bila dia mencintai seseorang? 

Bagi saya bercinta juga bermaksud suatu perubahan. Sama ada ke arah yang baik atau memudaratkan, itu soal yang berbeza tetapi melalui percintaan kita akan sentiasa berubah untuk beradaptasi dengan sikap dan kehidupan pasangan untuk menemui titik persefahaman. Jika tidak ada persefahaman, mengapa berubah dan untuk apa bercinta? 

10. What‘s the best relationship advice that you can give to someone AND best relationship advice that  someone has ever given you? 

Jangan gentar menghabiskan masa dengan orang yang salah kerana ia adalah cara untuk kita bertemu dengan orang yang tepat dan tiada nasihat yang lebih baik daripada pepatah, ‘janganlah bakar tak berapi,  kalau bercinta, cintailah sepenuh hati.’

Related posts

Kisah Cinta Melissa Sargeant & John Perter Artley

admin

Datin Che Puan Norjuma – Tanya Apa Saja

admin

Apa Itu Cinta?

admin

Leave a Comment