GAYA HIDUP

10 Carta Kuih Tradisi Paling Digemari Rakyat Malaysia Ketika Berbuka Puasa

Setiap kali Ramadan menjengah, selain kesibukan kita menggandakan sebanyak-banyak amalan dan ibadah wajib dan sunat, para ibu juga antara yang paling ‘huru-hara’ saat menjelang waktu berbuka puasa. Menyediakan hamparan juadah menjelang waktu berbuka adalah terapi paling dirindui.

Maka, ketika ini mulalah muncul pelbagai jenis menu yang jarang didapati pada hari biasa tetapi hadir di meja pada bulan Ramadan. Kuih-muih atau pencuci mulut tradisi antara yang makanan yang mesti ada menghiasi meja santapan. Bukan sekadar pelengkap, tetapi juga aroma manisan tradisional yang memenuhi ruang dapur dan bazar menjadi tarikan. Daripada kuih berlapis santan hingga bebola gula Melaka yang meletup di mulut, inilah antara 10 kuih-muih yang sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia saat berbuka.

1. Kuih Tepung Pelita

Manisan dua lapis ini ibarat simbol kelembutan Ramadan — lapisan pandan yang harum dipadankan dengan santan berlemak, memberi keseimbangan rasa manis dan lemak yang sempurna.

2. Kuih Seri Muka

Pulut kukus di dasar dan kastard pandan di atasnya mencipta tekstur kontras yang memikat. Klasik, elegan dan sentiasa relevan di meja berbuka.

3. Kuih Onde-Onde

Bebola kecil bersalut kelapa ini menyimpan kejutan manis di dalamnya — cairan gula Melaka yang ‘meletup’ saat digigit.

4. Karipap

Berintikan kentang berempah, ayam atau sardin, karipap yang berkulit rangup sentiasa menjadi pilihan utama sebelum menikmati hidangan berat.

5. Kuih Akok

Berasal dari Pantai Timur, teksturnya lembut dan sedikit kenyal dengan aroma santan dan telur yang kaya.

6. Kuih Ketayap

Lempeng pandan berinti kelapa manis ini bukan sekadar kuih, tetapi nostalgia zaman kanak-kanak di dapur ibu.

7. Kuih Lopes

Pulut yang disalut kelapa dan dinikmati bersama sirap gula Melaka pekat — sederhana namun cukup memuaskan.

8. Kuih Talam

Pelbagai variasi warna dan rasa menjadikan kuih talam antara yang paling versatil dan digemari seperti talam pandan, gula melaka, keladi, keledek, durian, ubi kayu dan sebagainya.

9. Kuih Badak Berendam

Bebola pulut berinti kelapa yang ‘berendam’ dalam kuah santan lemak manis — lembut, berkrim dan penuh cita rasa tradisi.

10. Kuih Popia Basah

Pilihan bukan manisan yang tetap menjadi rebutan, sarat dengan inti sayuran dan sos manis pedas.

Related posts

Dari Los Angeles, Milani Membawa Kegilaan Warna Alat Solek ke Malaysia

admin

KHASIAT BUNGA TELANG

adminwm

9 Sebab Mengapa Rasa Sakit di Vagina Ketika Melakukan Hubungan Intim

admin

Leave a Comment