Yang Perlu Anda Ketahui Mengenai Aurat Wanita

Aurat wanita yang disepakati oleh ulamak adalah seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan tapak tangan. Hanya sebilangan (minoriti) ulamak sahaja yang menetapkan bahawa muka dan tapak tangan wanita adalah aurat yang wajib untuk ditutup di hadapan ajnabi (lelaki asing – bukan mahram, atau dalam erti kata lain lelaki yang halal untuk dikahwini).

“Apakah hukum memakai niqab?”

Hanya sebilangan minoriti ulamak sahaja mewajibkan wanita memakai niqab bersandarkan kepada dalil “Wanita adalah aurat”

Ia tidak berlaku secara mutlak. Kerana tidak mungkin seseorang boleh menampakkan aurat di dalam solat. Bagi mereka yang berpendapat bahawa wajah wanita itu aurat adalah minoriti ulamak. Sedangkan yang berpendapat bahawa wajah bukan aurat adalah majoriti ulama (jumhur).

Hadis yang berbunyi.

“Wanita adalah aurat, jika dia keluar maka syaitan memperindahkannya.”

Hadis ini tidak boleh diertikan secara mutlak. Ini kerana ada kaedah yang berbunyi:

“Dalil umum yang mengandungi banyak cabang hukum, di mana cabang-cabang hukum itu tidak boleh diamalkan berdasarkan dalil umum tersebut, maka kita tidak boleh berhujah dengan dalil umum tersebut untuk menentukan cabang-cabang hukum tadi.”

Misalnya, orang yang menganggap bahawa bid’ah-bid’ah itu baik adalah berdasarkan dalil yang sifatnya umum. Contohnya di negeri-negeri Islam seperti Mesir, Syria, Jordan dan lain-lain, ramai yang membaca selawat ketika memulai azan. Mereka melakukan ini berdasarkan dalil yang sangat umum iaitu firman Allah.

“Wahai orang yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkan lah salam penghormatan kepadanya.” [Al-Ahzaab : 56]

Dan dalil-dalil lain yang menjelaskan keutamaan selawat kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang merupakan dalil-dalil umum (yang tidak boleh dijadikan hujah dalam azan yang menggunakan selawat, kerana ia memerlukan dalil khusus, wallahu a’lam.)

Mewajibkan wanita menutup wajah berdasarkan hadis: “Wanita adalah aurat”, adalah sama dengan keadaan di atas. Ini kerana wanita (sahabiyah) ketika melaksana kan solat mereka umumnya membuka wajah. Demikian pula ketika mereka pulang dari masjid, sebahagian mereka menutupi wajah, dan sebahagian yang lain masih membuka wajah.

Oleh yang demikian hadis di atas (wanita adalah aurat), tidak termasuk wajah dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan praktik orang-orang salaf (para sahabat).

“Adakah para wanita (sahabiyah) memakai niqab?

Hadis Ibnu Abbas menjelaskan bahawa wajah dan kedua tapak tangan bukan termasuk aurat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Mushannaf.

Pendapat ini bukanlah hal yang baru. Para ulama daripada kalangan Salafussoleh dan para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain mengatakan bahawa wajah bukan termasuk aurat tetapi menutupnya lebih utama.

Sebahagian dari mereka berdalil tentang wajibnya menutup wajah bagi wanita dengan kaedah.

“Mencegah kerosakan didahulukan daripada mengambil kemanfaatan.”

Memang kaedah ini bukan bid’ah tetapi sesuatu yang berdasarkan syariat. Sedangkan orang yang pertama menerima syariat adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kemudian orang yang menerima syariat ini daripada beliau adalah para sahabat. Para sahabat tentu sudah memahami kaedah ini, walaupun mereka belum menyusunnya dengan tingkatan ilmu usul feqh seperti di atas.

Di dalam kitab Hijaab Al-Mar’aatul Muslimah yang dikarang oleh Syeikh Nasiruddin Albani mengenai kisah seorang wanita Khats’amiyyah yang dipandang oleh Fadhl bin ‘Abbas ketika Fadhl sedang dibonceng oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, wanita itu pun melihat Fadhl. Dia adalah seorang yang tampan dan wanita itu pun seorang yang cantik. Kecantikan wanita ini tidak mungkin boleh diketahui jika wanita itu menutup wajahnya dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallamketika itu memalingkan wajah Fadhl ke arah lain. Yang demikian ini menunjukkan bahawa wanita tadi membuka wajahnya.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa wanita tadi di dalam keadaan berihram, boleh baginya membuka wajah sedangkan tidak ada tanda-tanda sedikitpun bahawa wanita tadi sedang berihram. Syeikh telah mentarjih (menguatkan) dalam kitab tersebut bahawa wanita itu berada dalam keadaan setelah melempar jamrah, iaitu setelah tahallul awal.

“Dan seandainya wanita tadi memang benar sedang berihram, mengapa Rasulullah tidak menerapkan kaedah di atas, iaitu kaedah mencegah kerosakan?!”

Syeikh berpandangan seorang lelaki terhadap wajah wanita tidak ada bezanya dengan pandangan seorang wanita terhadap wajah lelaki dari segi syariat dan dari segi tabiat manusia.

Oleh sebab itu Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman.

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman. “Hendaklah mereka menahan pandangannya.” [An-Nuur : 30]

Maksudnya daripada (memandang) wanita.

Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman.

“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman. “Hendaklah mereka menahan pandangannya.” [An-Nuur : 31]

Maksudnya iaitu jangan memandang seorang lelaki.

Kedua ayat di atas mengandungi hukum yang sama. Ayat pertama memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah wanita dan ayat kedua memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah lelaki.

Sebagaimana kita tahu pada ayat kedua tidak memerintahkan seorang lelaki untuk menutup (wajahnya). Demikian pula ayat pertama tidak memerintahkan seorang wanita untuk menutup wajah.

Kedua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ada sesuatu yang biasa terbuka dan boleh dilihat iaitu wajah. Maka Allah, yang Maha Mengetahui dan pembuat syariat dan Yang Maha Bijaksana memerintahkan kepada kedua manusia (lelaki dan perempuan) untuk menundukkan pandangan masing-masing.

Secara Umumnya:

Syeikh di dalam kitabnya mengatakan beliau tidak pasti di kalangan sahabat ada yang mewajibkan wanita memakai niqab. Tetapi lebih utama dan lebih mulia bagi wanita untuk menutup wajah. Ada pun mewajibkan sesuatu wajib berdasarkan hukum yang jelas di dalam syariat. Tidak boleh mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan Allah.

Oleh kerana itu Syeikh telah membuat satu bab khusus di dalam kitab Hijabul Mar’aatul Muslimah, untuk membantah orang yang menganggap bahawa menutup wajah wanita adalah bid’ah. Beliau telah jelaskan bahawa hal ini (menutup wajah) adalah lebih utama bagi wanita.

Pada pendapat Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:

“Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat.”

Menutup Muka Kerana Timbulnya Fitnah

Para ulama empat mazhab bersepakat bahawa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.

Imam Kauthari r.a. berkata:

“Pendapat ulamak yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah.”

Soalan: Yang Mana Diutamakan?

“Saya nak pakai niqab tapi ibu bapa tidak benarkan. Apakah saya boleh memakai niqab tanpa pengetahuan ibu bapa saya?”

Sekali lagi dijelaskan bahawa memakai niqab bukanlah wajib tetapi lebih baik (mulia) untuk wanita, manakala mentaati kedua ibu bapa adalah wajib bagi seorang anak perempuan sebelum berkahwin. Maka, menurut kehendak ibu bapa untuk tidak berniqab adalah lebih baik kepada wanita yang belum berkahwin ini adalah kerana kita perlu mendahulukan perkara yang wajib berbanding yang sunat. Sekiranya tiada keperluan untuk keluar dari tempat tinggal, maka tidak perlu untuk keluar di khalayak ramai. Ini adalah lebih baik dan selamat untuk wanita.

Berniqab, Bagaimana Bila Keadaan Tidak Membenarkan?

“Saya memakai niqab tetapi tidak semua tempat membolehkan saya memakainya. Contohnya di tempat kerja atau sekolah, sama sekali tidak membenarkan saya memakai niqab. Saya teringin untuk istiqamah berniqab tetapi keadaan tidak membenarkan saya melakukan demikian.”

Secara umumnya tidak timbul isu ‘istiqamah atau tidak’ dalam memakai niqab kerana permasalahan mengenai sesuatu hukum boleh berubah mengikut keadaan kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Satu situasi, seorang muslimah boleh berubah menjadi wajib memakai niqab sekiranya memiliki rupa paras yang menarik perhatian lelaki dan boleh jadi situasi yang lain seorang wanita hanya sunat memakai niqab untuk mengikuti sunnah para isteri Rasulullah.

Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf di kalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat di kalangan ulama’.

Menurut Pengarang Rencena ini, seorang kakak yang sangat dihormati dalam pendapatnya menerangkan bahawa niqab bukan sekadar menghijab wajah dari pandangan lelaki tetapi niqab juga adalah sebagai benteng untuk menjauhkan diri daripada maksiat. Apabila menutup mulut ia adalah satu nasihat kepada diri sendiri untuk menghindari mengumpat, mencela dan menggunakan perkataan yang tidak sopan. Seorang muslimat lainnya menjadikan niqab sebagai satu motivasi untuk sentiasa menjaga solat, tidak melewat-lewatkan solat lantaran imej muslimah yang dibawanya telah merubah peribadinya ke arah yang lebih baik. MasyaAllah 🙂

“Bagaimana kamu makan di khalayak ramai?”

Terpulang kepada jenis niqab yang dipakai. Ada muslimah yang berniqab sentiasa membawa niqab simpanan di dalam tas tangan, sekiranya makan makanan yang berkuah (seperti laksa, tomyam dsb) dan niqabnya kotor maka mudah untuk menukar niqab. Ada yang selesa makan di tempat yang tersorok dari pandangan umum, maka mudah untuknya membuka niqab di hadapan keluarga semasa makan di luar.

Niqab juga berbeza, ada yang memakai niqab butang atau jarum peniti di luar tudung maka apabila makan mudah untuk membuka niqab di tempat tersorok. Ada muslimah yang memakai niqab bergetah, maka hanya turunkan niqab di bawah dagu untuk makan di tempat tersorok. Sebahagian lagi memakai niqab hitam (seperti arab) yang diikat di belakang kepala, maka, mereka akan menyelaknya dari bawah niqab dan makan seperti biasa 🙂

Sangat terharu dengan kata-kata seorang kakak.

“Alangkah indahnya andai daulah islamiyyah tertegak, tidaklah orang yang berniqab kelihatan pelik.”

Indahnya umat Islam itu bukan kerana dia adalah seorang Muslim tetapi yang mengindahkan ummt Islam adalah pelaksanaan syariat Islam di dalam kehidupannya.

Wallahua’lam.

 

Sumber: http://niqobgirl.blogspot.my

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON