Firman Allah SWT:
وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: Dan di antara mereka (yang munafik itu) adaorang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata, “Bahawa Baginda (Nabi Muhammad SAW) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarinya).” Katakanlah, “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu.” Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu SAW, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Taubah, 9:61)
Imam Abu Ja’far al-Tabari berkata, “Bagi orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka, “Bahawa baginda (Nabi Muhammad SAW) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarinya)” dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai baginda dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan dari Allah di dalam neraka jahanam.”
Syeikh al-Maraghi berkata dalam tafsirnya, “Menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.
(Surah al-Ahzab, 33:57)
Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsir, “Allah menjauhkan mereka daripada rahmatNya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”
Syeikh al-Maraghi berkata, “Terdapat sesetengah manusia menyakiti rasulNya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila dan banyak lagi kata-kata yang menyakiti baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia menyakiti Allah SWT; dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmatNya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknati ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya.”
Dalil al-Hadis:
Dari Ibn Abbas RA, dia menceritakan:
أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ
Maksudnya, “Seorang lelaki buta berjumpa Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi; Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakannya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda, “Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya)” Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal.” Nabi SAW bersabda, “Ketahuilah bahawa darah wanita adalah sia-sia (halal).”
Riwayat Abu Daud (4361), Kitab al-Hudud, Bab Hukum Orang Yang Mencela Rasulullah SAW. Hadis ini adalah Sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah.
Terdapat sebuah atsar dari Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz, “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau, “Salam sejahtera ke atasmu, demi Allah yang diriku berada di tanganNya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) maka engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang itu mencela Rasulullah SAW.”
Hukum Menghina Rasulullah SAW
Tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Antaranya:
Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.
Al-Auza`ie dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. Lihat Tabsirah al-Hukkaam (2/212) oleh Syeikh Ibn Farhun.
Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana nabi atau menjatuhkan darjat dan martabat seperti menuduh kejelikan pada tubuh badannya sebagai pincang, limpuh atau kurang ilmunya serta jahil. Lihat al-Fiqh `ala Madzahib al-Arba`ah (5/372) oleh Syeikh Abdurrahman al-Jaziri.
Imam Ibn Mundzir telah menukilkan bahawa secara sepakat ulama barang siapa yang mencela Nabi Muhammad SAW secara nyata maka wajib dibunuh.
Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata, “Barang siapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh baginda secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” Lihat kitab Fath al-Baari (12/348) oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Aku mendengar Abu Abdillah berkata, “Barang siapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.” Lihat al-Sarim al-Maslul `ala Syatim al-Rasul (1/9)
Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut, “Siapa yang mencerca Nabi SAW tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.”
Al-Qadhi Abu Ya`la pula berkata, “Barang siapa yang mencerca Allah (SWT) dan Rasulullah SAW dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.”
Al-Khattabi berkata, “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi SAW.”
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW termasuk nabi-nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah SAW kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.
Imam Ibn Katsir berkata, (ayat ini bererti) “Lakukan lah (wahai Muhammad SAW) apa yang diperintahkan kepada kamu dan jangan takut selain Allah, kerana sesungguhnya Allah yang menjaga kamu dan memelihara kamu daripada gangguan mereka sebagaimana Dia melindungi kamu daripada golongan yang mencerca dan menghina.”
Syeikh Al-Maraghi berkata, “(Yakni) sesungguhnya Kami akan memelihara kamu daripada sebarang kejahatan orang yang mempersendakan kamu dan al-Quran yang dilakukan oleh sekelompok orang musyrik yang mempunyai kekuatan dan seringkali menyakiti serta berbuat jahat kepada Rasulullah SAW tatkala mereka melihat baginda melewati mereka. Allah SWT telah memusnahkan dan membinasakan mereka serta melenyapkan segala tipu daya mereka.”
Kenyataan menghina Nabi SAW mendapat reaksi daripada ramai ulama termasuk Syeikh Abu Ishaq al-Huwaini. Semoga Allah SWT tambahkan lagi cinta dan kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW. Mari bersama-sama kita pelajari sirah Baginda SAW, ikuti perintah dan suruhannya, meninggalkan larangan dan tegahannya, serta sentiasa berselawat kepada baginda SAW. Semoga kita diterima menjadikan umatnya yang mendapat syafaat baginda di hari akhirat kelak. Amin.