Siapakah Zulaikha?
Maulana Abdullah Yusuf Ali di dalam Terjemahan al Quran memetik tulisan karya sastra Zulaikha dan Yusuf oleh Jami r.h ( 817 H – 898 H ):
Zulaikha seorang puteri raja sebuah kerajaan di Barat (Maghrib) negeri Mesir. Beliau seorang puteri yang cantik menarik. Beliau bermimpi bertemu seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dengan peribadi yang amanah dan mulia. Zulaikha pun jatuh hati padanya. Kemudian bermimpi lagi bertemu dengannya tetapi tidak tahu namanya. Kali berikutnya Zulaikha bermimpi lagi, lelaki tersebut memperkenalkannya sebagai Wazir kerajaan Mesir.
Kecintaan dan kasih sayang Zulaikha kepada pemuda tersebut terus berputik menjadi rindu dan rawan sehingga beliau menolak semua pinangan putera raja yang lain. Setelah bapanya mengetahui isi hati puterinya, bapanya pun mengatur risikan ke negeri Mesir sehingga menghasilkan majlis pernikahan dengan Wazir negeri Mesir.
Memandang wajah Wazir tersebut atau al Aziz bagi kali pertama, hancur luluh dan
kecewalah hati Zulaikha. Hatinya hampa dan amat terkejut, bukan wajah tersebut yang beliau temui di dalam mimpi dahulu. Bagaimanapun ada suara ghaib berbisik padanya: “Benar, ini bukan pujaan hati kamu. Tetapi hasrat kamu kepada kekasih kamu yang sebenarnya akan tercapai melaluinya. Janganlah kamu takut kepadanya. Mutiara kehormatan engkau sebagai perawan selamat bersama-sama dengannya”.
Perlu diingat sejarah Mesir menyebut, Wazir diraja Mesir tersebut adalah seorang kasi, yang dikehendaki berkhidmat sepenuh masa kepada baginda raja. Oleh yang demikian Zulaikha terus bertekad untuk terus taat kepada suaminya kerana dia percaya dia selamat bersamanya.
Demikian masa berlalu, sehingga suatu hari al-Aziz membawa pulang Yusuf a.s. yang dibelinya di pasar. Zulaikha terkejut besar, itulah Yusuf a.s yang dikenalinya di dalam mimpi. Tampan, segak, menarik dan menawan.
Betullah sabda nabi yang diriwayatkan oleh Hammad dari Tsabit bin Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
Yusuf dan ibunya telah diberi oleh Allah separuh kecantikan dunia. Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf a.s. Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf. Bila Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat daripada peristiwa itu Nabi Yusuf dipenjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.
Namun kejadian itu tidak berakhir begitu saja. Apa yang jelas, cerita itu akhirnya tersebar. Wanita-wanita yang tinggal di istana itu mula menjadikannya sebagai bahan cerita. ”Dan wanita-wanita di kota berkata: ”Isteri Al-Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata.” (Yusuf: 30)
Wanita-wanita itu mencerca Zulaikha sebagai sesat. Sedangkan mereka tidak pernah melihat bagaimana tampannya wajah Yusuf a.s. Mereka tidak mengetahui kehebatan daya tarikannya.
Zulaikha merancang untuk mengenakan mereka yang mencercanya. Dia mengatur jamuan besar di istana dan mengundang wanita-wanita untuk hadir ke majlis itu. Mereka datang beramai-ramai dan jamuan itu berlangsung dengan cukup meriah. Zulaikha memanfaatkan majlis itu sebagai kesempatan untuk menunjukkan seorang pemuda yang paling tampan dan mengkagumkan.
”Maka tatkala wanita itu (Zulaikha) mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing sebilah pisau (untuk memotong buah) kemudian dia berkata (kepada Yusuf): ”Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka.” Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada keelokan rupanya, dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: ”Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia.”
Zulaikha lalu berkata: ”Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana tertarik kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia termasuk golongan orang-orang yang hina.”
Yusuf berkata: ”Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk memenuhi keinginan mereka dan tentulah aku termasuk orang yang bodoh.” Maka Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Yusuf: 31-34)
Para tetamu wanita itu tercengang ketika menyaksikan wajah bercahaya yang menampakkan ketampanan luar biasa. Wanita-wanita itu pun terpaku dan mereka terus memotong buah yang ada di tangan mereka dengan pisau. Semua pandangan tertuju hanya kepada Yusuf a.s dan tidak melihat buah yang ada di tangan. Akhirnya, wanita-wanita itu memotong jari tangan sendiri namun mereka tidak merasa kesakitan. Sungguh kehadiran Yusuf di tempat itu sangat mengkagumkan sehingga tidak merasa sakit meskipun keluar darah daripada luka jejari tangan mereka.
Kisah Zulaikha dan Yusuf dirakamkan di dalam Al Quran bermula surah Yusuf ayat 21 sehinggalah Yusuf a.s dipenjarakan pada ayat 36 surah yang sama, kerana fitnah kononnya Yusuf a.s mengoda Zulaikha , isteri al-Aziz.
Bagaimanapun pada ayat 51 surah yang sama Allah berfirman, maksudnya: Isteri Al Aziz pun berkata: Sekarang ternyatalah kebenaran, akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan sesungguhnya adalah dia daripada orang yang benar. (Yusuf 51)
Selepas ayat tersebut Al Quran tidak menceritakan kesudahan hubungan Zulaikha dengan Yusuf a.s.
Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf. Hartanya habis dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan daripada Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat kepada Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf, yang berhajat kepadanya. Terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan sembahyangnya.
Ada juga yang menceritakan selepas peristiwa itu, Zulaikha bertaubat kepada Allah s.w.t. Ketika Nabi Yusuf diutus menjadi Rasul dan menjadi penguasa menggantikan al-Aziz, baginda bertemu dengan Zulaikha yang ketika itu sudah tua. Akhirnya Allah SWT menjadikan Zulaikha muda remaja dan dikahwinkan dengan Nabi Yusuf.
Bagaimanapun Ibn Katsir di dalam Tafsir Surah Yusuf memetik: Muhammad bin Ishak berkata bahawa kedudukan yang diberikan kepada Yusuf a.s oleh raja Mesir adalah kedudukan yang dahulunya dimiliki oleh suami Zulaikha yang telah dipecat. Juga disebut-sebut bahawa Yusuf telah beristerikan Zulaikha sesudah suaminya meninggal dunia, dan diceritakan bahawa pada suatu ketika berkatalah Yusuf kepada Zulaikha setelah ia menjadi isterinya, “Tidakkah keadaan dan hubungan kita sekarang ini lebih baik daripada apa yang pernah engkau inginkan?”
Zulaikha menjawab, “Janganlah engkau menyalahkan aku, hai kekasihku, aku sebagai wanita yang cantik, muda belia bersuamikan seorang pemuda yang berketerampilan dingin, menemuimu sebagai pemuda yang tampan, gagah perkasa bertubuh indah, apakah salah bila aku jatuh cinta kepadamu dan lupa akan kedudukanku sebagai wanita yang bersuami?”
Dikisahkan bahawa Yusuf waktu berkahwin dengan Zulaikha, ia menemuinya masih gadis (perawan) dan daripada perkahwinan itu memperoleh dua putera, Ifraitsim bin Yusuf dan Misya bin Yusuf.
Begitulah betapa cinta yang dulunya datang daripada nafsu dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.
Rujukan :
Maulana Abdullah Yusuf Ali – Terjemahan al Quran Karim
Tafsir Ibnu Katsier – Surah Yusuf