Wirda Adnan dan Mahani Awang – they were the-no-nonsense editors. Majalah kelolaan dua nama ini pernah cukup glamor. Setiap ruang iklan dalam majalah mereka menjadi rebutan jenama besar, yang menghiasi muka depannya pula dari kalangan yang berprofil tinggi atau kalau selebriti bukan sembarangan dapat peluang, wajahnya mestilah yang eksklusif, punya aura.
Saya teringat, zaman itu industri fesyen happening sekali; bermacam acara hightea, fashion show dan majlisnya pula penuh seri dihadiri orang kenamaan dan royalty. Manakala butik designer tempatan seperti Michael Ong, Albert King, Bernard Chandran, Tom Abang Saufi, Melinda Looi, Radzuan Radwill dan Rizalman antara lain menerima tempahan bertalu-talu daripada klien yang kebanyakan kawan dan kenalan si editor yang tidak ketinggalan mahu datang pasang badan.
Itu baru saya sebutkan sedikit. Belum lagi tentang photographer, penulis, jurusolek antara lain yang barangkali tanpa dua nama besar ini, masih ambil job wedding di kampung hulu, jurusolek masih lagi dianggap sebagai mak andam dan writer tidak mungkin dapat merasa tempias glamor dunia fesyen.
Wirda Adnan dan Mahani Awang – saya cukup mengenali keduanya. Kak Wirda kerana saya bekerja di bawahnya daripada WW (Wanita Wawasan) lagi manakala dengan Kak Mahani sesekali kami berjumpa di merata function atau di restorannya Tupai-Tupai. Wirda dan Mahani sama-sama bermula sebagai penulis dan seterusnya naik pangkat senior dan kemudian menjadi editor. Pernah bekerja di bawah majalah yang sama iaitu Wanita, juga pernah menjadi rivalry; seorang sebagai editor majalah Wanita dan lagi seorang mengemudi GLAM dan EH!
Hari ini, nama keduanya masih hangat, masih dikenali. Setiap kali muncul di khalayak tetap mendapat perhatian serta cukup glamor sehingga kita mahu melihat dan melihatnya. Walaupun ada designer yang khabarnya mengelak dua nama ini dalam senarai jemputan ke pertunjukan fesyennya. Kot pada dia nama Wirda dan Mahani sudah tidak relevan lagi, sedangkan dulu, tanpa jasa dua wanita ini yang memberi ruang sebesarnya untuk si designer menayangkan koleksi baru dalam majalah mereka, tak ke mana kerjaya dia. Malah saya berani bercakap, kalaupun bukan kerana banyak sangat support dia, (dan designer yang lain juga) dalam majalah-majalah yang mereka kendalikan, (you all pun tahu majalah mana I maksudkan) kan, tak ke mana kamu semua.
Barangkali kerana sekarang zaman Instagram, jadi designer yang satu ini khasnya lebih tertarik menjemput influencer. Walhal entah apa story yang adik-adik influencer itu boleh beri sebagai pulangan selain gambar ootd? Cukup bernilaikah value yang diberikan? Atau adakah mereka dapat bawa klien baru? Nah, I don’t think so, really.
Bercakap tentang Wirda Adnan, jodoh kami bermula di Wanita Wawasan dan hingga kini masih kuat dengan MajalahWM.com. Hampir lima tahun kami mengusahakan. Asalnya kami bawa nama WWorld dan kemudian majalah di-revamp kerana ketika itu kami berkolaborasi dengan team dari Los Angeles yang antara lain mereka mencadangkan ia ditukar kepada MajalahWM. Hari ini, kami masih di sini. Tidaklah jadi sebesar majalah di syarikat penerbitan lain tetapi tidak juga kalah kalau dibandingkan dengan mereka. Cuma MajalahWM tiada syarikat besar yang menaungi, jadi segalanya menggunakan duit sendiri (dari poket bos) dan dapat juga survive. Sukar, memang, namun puas hati kerana masih ada jenama yang sudi mengiklankan produk mereka dan tidak putus menerima tawaran advertorial.
Pun begitu, puas hati saja tidak cukup kerana Dawna Markova menyebut, “The realization that you cannot be good at everything makes this possible; you will come to realize how much you truly need others to extend your reach.” Jadi kami usahakan juga mencari rakan kongsi dan setelah agak lama mencari, satu hari kak Wirda beritahu, “We gonna have Mahani on board…” Syukur Alhamdulillah.
Saya mengenali Mahani Awang daripada Kak Wirda sendiri. Seorang yang saya cukup senangi personalitinya, stail dan melihat Mercedez hitamnya buat saya mengurut dada. “Kak Mahani kalau nak jual nanti bagitahu i ye?” Berangan! Kalaupun dia nak jual belum tentu saya mampu. Namun saya kagum dengan projek-projek kendalian syarikatnya. Anugerah Tribute to Women Malaysia Awards (TTWMA) antaranya diadakan cukup gah di dewan mewah JW Marriott, memberi pengiktirafan kepada wanita yang memberikan impak dalam dunia perniagaan. Meminjam kata Kak Wirda, “Mahani dulu assistant editor masa di Wanita tapi dia selalu keluar buat sales.” Ya, tak ramai orang majalah yang mahir dalam dua bidang sepertinya, hebat dalam editorial juga master dalam sales dan perhubungan awam. Ini sebenarnya yang membuatkan MajalahWM teruja menerima Kak Mahani kerana beliau ada sesuatu yang kami ‘kureng’.
Kolaborasi ini bukan biasa-biasa sebalik pernah terjadi di majalah Wanita. Waktu itu majalah tersebut mengecapi klimaks dengan iklan lebih 100 muka surat. Dan hari ini, ia terjadi lagi, dengan harapan mengulang kejayaan yang sama. Kami sudah aturkan satu demi satu rancangan dan mahu mengajak anda turut sama menyertai, sebagai penaja atau jika mahu membeli iklan dan advertorial, kami tawarkan pelbagai pakej istimewa. Dengan lebih tiga juta pembaca, tentunya berbaloi pelaburan anda. Dan jikalau mahu bersama mengadakan acara, Wirda dan Mahani punya kepakarannya. Sebut saja apa jenis acara, sama ada trade exhibition atau gala dinner berhiaskan jambangan-jambangan indah, di lokasi yang mewah – everything you need – kami bisa bekerjasama.
MajalahWM kini di tangan dua legenda dalam industri penerbitan majalah dan fesyen. Bukan 10 atau 20 tahun dalam bidang ini sebaliknya lebih 40 tahun dan hingga kini nama mereka masih glamor lagi. Mengingatkan saya akan kolaborasi Joan Crawford dan Bette Davis dalam filem Whatever Happened to Baby Jane (cerita sebalik tabir), ketika Crawford mempelawa Davis menjadi co-star untuk filem ini, bagi meyakinkan Davis yang cocky, sebutnya, “Together, they wouldn’t dare to say no…” Mereka berdua juga legenda dan begitu juga Madhuri Dixit dan Aishwarya Rai dalam Devdas, boom meletup filem itu. And this gives me goosebumps!
Cukup, saya persilakan Wirda Adnan dan Mahani Awang pula bercerita tentang sesama mereka. Akhir kata, “Great minds don’t think alike…but they can learn to think together!”
TULIS WIRDA TENTANG MAHANI AWANG
Lapan puluhan. Mencari model untuk sesuatu projek tidak mudah. Saya teringat mengejar seorang gadis tinggi lampai lagi cantik. Menghulurkan kad, “Hi my name is Wirda Adnan, from Jelita magazine. This is my card, would you like to be a model for our magazine?” Ini salah satu contoh dan antara yang pernah saya ingat mendekati seorang gadis balasan (zaman 80-an) dan dia ialah Christine Danker. Begitulah bermulanya sejarah Christine menjadi model. Dan begitulah kami di majalah, kadang-kadang terpaksa keluar mencari model untuk projek fesyen misalnya. Okay itu sekadar kenangan sepintas lalu.
Projek saya dan seorang rakan sekerja adalah untuk rencana lasak, memanjat gunung. “Siapa model kita?” tanya teman. “Good question?” “Husna you perasan tak ada seorang staff NST, body solid, bila pakai kebaya mata-mata meleret kepadanya. Pakai skirt dan jeans so sexy… pergilah approach dia.”
Yang cantik body solid, sexy yang saya maksudkan itu ialah Mahani Awang. Waktu itu Mahani di bahagian Pengedaran. Saya diberitahu kemudiannya, dia mempunyai ramai secret admirer. Tanyalah abang-abang di NST rata-rata mereka gelar Mahani, ‘the sexy lady’. Melihat gambarnya editor bersetuju untuk hiasan majalah dan minta diatur pertemuan dengannya yang akhirnya Mahani diserap sebagai penulis di Jelita.
Bermulalah episod persahabatan kami. Di mana ada Wirda di situ ada Mahani. Bukan sekali dua malah beribu kali orang memberitahu wajah kami seiras dan sering keliru mengingatkan saya ini Mahani dan begitulah sebaliknya. Ada yang bertanya sama ada kami adik beradik. Ada berkata kami kembar. Jawapan saya, pada yang keliru mudah, “Hendak kenal senang aje, kulit Wirda gelap dan Mahani cerah.” Pernah sekali di front desk sebuah hotel, “Bukankah semalam Puan di sini juga?” “Tidak…” “Ya, semalam saya yang attend kepada Puan?” Beria si pegawai di situ memberitahu. Bila saya check memang betul Mahani ada datang ke hotel itu untuk menghadiri sebuah majlis. Tetapi apabila anak saya sendiri mengingatkan gambar Mahani itu adalah saya, saya rasa betullah juga ada angle-angelnya kami nampak seiras.
Mengenali Mahani (saya panggil dia Anis. Kata Mahani hanya orang yang close sahaja dengannya memanggil dia Anis) hampir 40 tahun, jujur saya katakan kami tidak pernah bertekak, atau bertengkar, belum sekali bermasam muka. Dari Jelita membawa kami ke majalah Wanita, saya Pengarang dan Mahani Penolong Pengarang. Hubungan kami kian erat sehinggalah saya berhenti dari situ dan bekerja di syarikat lain. Walau tidak sepejabat kami sering mengatur pertemuan untuk sesi lepak dan sudah tentu kami berjumpa di majlis-majlis fesyen, keraian, pelancaran produk dan sebagainya. Menariknya kami selalu mencari ruang untuk pergi sekali dan duduk semeja, sebab banyak yang mahu diceritakan.
MENGENAI PERSAHABATAN
Bagi saya jangan sesekali kita ‘menceroboh’ kebebasannya dan jangan take things for granted. Untuk kekal dalam persahabatan kena hormat satu sama lain. Jangan masuk campur dalam urusan kekeluargan mereka, elak bertanya perkara-perkara yang sensitif misalnya tentang hubungannya suami isteri, tentang adik beradiknya jikalau kita tahu mereka tidak sebulu atau hendak berkisah mengenai harta bendanya kerana itu bukan hak kita untuk mengetahuinya. Andai teman bercerita kita hanya mendengar sahaja, bukan menjaja ceritanya di tempat lain. Teman yang baik yang menjaga aib sahabatnya bukan membuka aib mereka.
Kerana kami saling menjaga keharmonian dalam persabahatan dan tidak bercerita banyak ehwal peribadi, hubungan persahabatan kekal inshaAllah. Banyak hal lain yang mahu diceritakan, hal pekerjaan pun jika duduk 24 pun tidak habis bercerita. But that doesn’t mean kita tidak langsung mahu tahu tentang adik beradik dan anak menantunya. Bertanya khabar lah hal mereka supaya saling mendoakan kesejahteraan. Dan kalau kawan bercerita perkara yang mengganggu fikirannya, peranan kawan adalah untuk mententeramkan dia, membantu dia mengatasi tetapi bukan sekali-kali menokok tambah dan mengada adakan cerita.
Mahani bagi saya seorang yang jujur, baik hati dan seorang yang tidak suka membuang masa arguing perkara yang tidak bermanfaat. Duduk lama-lama berbual kosong pun kami cuba elakkan, kerana masa amat mencemburi kami. Di waktu begini mahu menggunakan lebih waktu untuk berada di majlis-majlis ilmu bagi menambah pengetahuan dan membanyakkan ibadat di samping menghabiskan banyak masa dengan keluarga.
KELUARGA
Bagi Mahani keluarga adalah segala-galanya. Datang daripada keluarga besar (sembilan beradik) Mahani sudah biasa dengan riuh rendah seisi keluarga. Kawan baiknya adalah adik beradiknya sendiri. (kak Non, kak Hendon, kak Nora (arwah), kak Hanim (arwah), Shikin, Epon (Mariam, yang bongsu), nama yang sentiasa di bibirnya dan bila saya baik dengan Anis, mereka juga jadi baik dengan saya, macam kakak-kakak dan adik saya sendiri. They talk and laugh a lot, sharing almost everything… dan kerana arwah bapa mereka bekerja dengan askar British (walaupun sebagai kerani) tetapi memberatkan disiplin. “Itulah yang menjadikan kami sentiasa grounded,” cerita Mahani.
Mempunyai empat anak, dua lelaki, dua perempuan dan tiga cucu (Shasha dua, Nisha seorang) suasana riuh rendah kekal di rumahnya. “Kalau boleh biarlah mereka tinggal sampai bila-bila di rumah kami,” cerita Mahani. “Sebenarnya selepas Shasha kahwin dia pindah, begitu juga Nisha tetapi mereka balik semula ke rumah ini. Boring kata mereka, I dan Amir lagilah seronok bila anak-anak pilih untuk tinggal sebumbung.”
ANTARA MEMORI TERINDAH BERSAMA MAHANI
Dulu masa sama-sama bujang sering juga melancong bersama tetapi bila masing-masing sudah berkeluarga untuk mencari waktu melancong bersama itu agak sukar. Tetapi saya teringat kami ke China, lawatan yang mengambil waktu lebih dua minggu. Di waktu kita jauh dengan keluarga dan hanya berdua di bilik dan di sana ke sini bersama, di waktu itu kita memahami dan mengenali seorang itu lagi mendalam. We had so much fun dan mahu mencari lagi masa luang untuk bersama lagi
TENTANG MINAT
Mahani memang minat menulis. Selepas mengenalinya barulah saya rajin mencari rencananya di Berita Harian. “My dad was a clerk in British army and he became a translator in British Highcom. He writes and did some writing in the newspaper in the early and mid 80s,” ceritanya. (Tahulah saya dari mana darah yang mengalir itu).
Mahani pada saya amat artistik. Mahani pandai menyanyi, menari dan melukis sementara saya ketiga-tiganya tidak ada langsung seni itu, Saya kalau menyanyi sengau, menari keras, melukis langsung tidak pandai. Mahani suka baking tetapi saya tidak… Saya suka masak lauk pauk sedangkan Mahani suka masak manisan. Saya pula tidak berapa suka manisan.
MENGENAI FESYEN
Saya perasan ada persamaan tentang citarasa kami dalam berpakaian. Kadang-kadang tanpa disangka kami memilih pakaian sama, biarpun dibeli di waktu berlainan. Malah dulu-dulu, kami sering meminati benda yang sama dan pulang membeli benda yang sama juga. Pada kami it’s okay untuk membeli baju yang sama, dan belum tentu dipakai hari sama atau majlis sama. Dan mengapa tidak pun kalau pakai serupa. Saiz pula tiada banyak beza, tetapi kami tiada habit pinjam meminjam… walaupun kami kata nanti kita pinjam lah.
KERJA
Bersama lama di dua organisasi dan terbabit dalam bidang sama, terfikir juga saya untuk berkerjasama semula setelah masing-masing membawa haluan sendiri. Setelah Mahani meninggalkan bidang kewartawanan dan menjadi Pengarah Eksekutif syarikatnya sendiri yang lebih kepada event management, dan saya kekal tidak berganjak dalam pembikinanan majalah, terpanggil satu hari untuk berkelobrasi. Mengapa tidak…
Mahani cukup senang dengan nama MajalahWM itu sendiri.. W is Wirda dan M ialah Mahani. Together We’re Stronger, ya berdua kita jadi lebih kuat, itulah yang kami harapkan. “I can do things you cannot. You can do things i cannot; together we can do great things.” Mother Teresa.
Dengan pengalaman kami yang cukup lama dalam dunia majalah kami berharap dapat mengukuhkan lagi beradaan kami di sini, dan mengharapkan kelesuan ekonomi tidak mengganggu kami untuk berkarya serta meneruskan perjuangan yang belum tamat ini. Kami mahu masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu masih terus membaca. Di dalam sebuah majalah ada segalanya; daripada fesyen ke kecantikan, kesihatan, kisah hidup, bisnes, melancong, agama, hiburan dan banyak lagi… ya lebih 10 dalam satu dan sekali klik anda boleh lihat semuanya.
Saya percaya, “Alone we can do so little; together we can do much.” Helen Keller.
TULIS MAHANI TENTANG WIRDA
Sewaktu bekerja di Berita Harian (Bahagian Pengedaran) saya selalu terlihat kelibat seorang gadis genit berambut panjang lurus macam saya, tetapi dia genit berkulit sawo matang with sharp features; hidung mancung, galak lirik matanya dan dia memang menarik tumpuan saya. Walaupun tidak tinggi lampai macam model tetapi bentuk badannya proportionate. Itu yang membuat dia nampak cantik bila memakai apa saja. Rupa-rupanya itulah Wirda Andan penulis majalah Jelita. (Majalah Jelita di bawah Berita Publishing pengurusan NST sama dengan Berita Berita Harian.)
Majalah Jelita ketika itu memang top dan satu-satunya majalah berciri wanita moden. Hati saya terus terpaut. Beberapa ketika saya sering dipanggil untuk jadi model malah Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Ayob pernah meminta Ketua Visualiser Arts Dept, Latifah Ghaffar untuk saya ditest shot sebagai cover majalah Jelita. Namun panggilan telefon paling membuat saya amat gembira dan telah merubah masa depan saya ialah daripada Pengarang Majalah Jelita, Puan Zaharah Nawawi. Masih saya ingat pendek saja perbualan kami, “Ini Mahani ke? Kalau free waktu rehat petang nanti boleh naik ke Berita Publishing di tingkat empat, saya nak bincang sikit hal kerja.” Selainnya tinggal sejarah dan bermulalah detik-detik saya menjadi cadet reporter yang mana bermulanya episod perkenalan dan bibit-bibit persahabatan saya dengan Wirda Adnan.
MIRIP TAK SERUPA
“Hi! Wirda nice to see you and thanks for coming,” saya secara spontan menoleh ke belakang, manalah tahu kalau-kalau Wirda Adnan muncul di belakang saya. Rupa-rupanya Christian Leong daripada Kosmetik Clinique itu sedang bertanya soalan tersebut pada saya. Of course we both had a good laugh after that. Itu antara reaksi yang selalu saya terima daripada klien majalah bila hadir majlis mereka. Malah orang ramai juga sering tersilap identiti di antara kami berdua. Jika nak dikira bukan puluhan atau ratusan kali kami diletakkan dalam situasi sebegitu. Selalu saya tanya pada diri di manakah miripnya wajah kami? Apapun biarlah persoalan itu anda yang jadi juruhakimnya.
MENGENAI PERSAHABATAN
Saya yakin sebuah persahabatan pasti utuh bila ia dipaksikan dengan kepercayaan. Trust is the key to all beautiful relationships in this world. Tidak kiralah sekadar kawan, pasangan suami isteri atau keluarga. Dalam hal ini saya suka mengambil Hillary Rodham Clinton sebagai ikon yang menjuarai relationship episode dalam hidupnya. Dalam bukunya Memoirs, banyak bibit-bibit yang beliau rakamkan bukan sahaja menterjemahkan kepentingan trust terhadap pasangan hidup, keluarga, juga di kalangan kenalan kerja malah saya tabik bagaimana beliau menangani setiap hubungannya yang kompleks. Paling membuat saya kagum ialah bagaimana beliau mengendalikan kes hubungan sulit suami belia dengan Monica Lewinsky. Hillary tidak langsung melatah malah terus dikagumi hingga berjaya membina kekuatan team politiknya sendiri. Beliau membuat saya faham bahawa dalam sesuatu perhubungan perlu ada pengorbanan dan beliau banyak berkorban perihal itu.
Mungkin kerana sifat kami yang tidak gemarkan hal temeh-remeh dan terlalu sibuk dengan kerja agaknya membuat kami serasi sebagai sahabat. Bila break atau ada tugasan malam untuk kami hadiri saya akan hinggap di rumah bujang Wirda yang ketika itu di Jalan Tempinis, Bangsar. Pendek cerita keraplah saya menyinggah ke rumah Wirda sebelum balik ke rumah. Daripada dulu hingga kini persahabatan ini kekal baik, sememang tidak pernah bertengkar mahu pun bergaduh. Semoga Allah terus memberikan rahmat persahabatan yang kami nikmati.
Saya suka perkataan “menceroboh’ yang Wirda gunakan dalam coretannya. Sedihnya kini, orang bagaikan tiada lagi tamadun. Lebih tinggi teknologi lebih celupar jari mereka berkongsi aib rakan-rakan dalam FB, IG dan Twitter masing-masing. Jadi, apakah patut seseorang itu dianggap kawan baik apabila dia sanggup menjaja cerita kawannya yang bakal ke mahkamah menuntut cerai dalam group chat yang ada lebih 30 orang ahlinya? Sedang si pemilik badan sekadar berkongsi rahsia dan belum pun membuat keputusan muktamad. Bukan sahaja suami, ibu bapa dan ahli keluarga sendiri pun tidak tahu menahu akan hal tu. MashaAllah kesian hamba Allah tu, ingatkan nak luahkan perasaan dan mencari tempat dapatkan nasihat, tiba-tiba jadi porak peranda suami isteri. Rumah tangga yang cuma retak-retak halus dan boleh ditampal kini terus hancur berkecai… berderai.
Mesti diingatkan, dalam persahabatan perlu ada toleransi dan rasa hormat. Jangan lupa akan adanya batas-batas yang menjadi garis panduan pemisah yang harus, wajib dan sunat dilakukan. Sepanjang mengenali Wirda, bagi saya dia adalah seorang teman sejati dan mempunyai peribadi yang saya suka. Frankly, she is honest dan suka berterus terang. Walaupun adakalanya mungkin kelat untuk ditelan tetapi dimamah waktu, kita akan faham mengapa dia menolak akan sesuatu itu. Yang pasti kalau dia tidak berkenan, akan terserlah di wajah dan tindak tanduknya. She just can’t hide.
ANTARA MEMORI TERINDAH BERSAMA WIRDA
Sepanjang persahabatan ini, banyak juga saat-saat indah bersama, antara yang paling saya ingat ialah ketika kami ditugaskan membuat liputan di China hampir tiga minggu pada 1994 dan kala tugasan tersebutlah Wirda keguguran.
China waktu itu bukan seperti yang kita lihat sekarang. Keadaannya sangat daif dan mundur. Kebetulan waktu itu negera tersebut bakal menyambut perayaan Tahun Baru Cina untuk beberapa hari saja lagi dan tugasan kami sudah tamat jadi kami perlu menaiki keretapi dari Beijing ke Guangzou sebelum terbang ke Kuala Lumpur. Tidak pernah saya lihat lautan manusia meremut hingga lebih kurang setengah kilometer. Masalahnya kami perlu harungi puluhan ribu manusia yang berebut untuk menaiki keretapi yang sama. Saya dan Wirda hanya mampu berpandangan dan tak terucap kata-kata.
Saya dapat melihat betapa takutnya Wirda waktu itu dan saya juga punya perasaan yang sama. Waktu itu terbayang wajah tersayang yang kami tinggalkan di tanah air. Apakah kami mampu rentasi lautan manusia itu bersama? Bagaimana jika satu dari kami tersepit di kalangan ribuan manusia yang sedang mengganas dan berasak-asak itu? Memang berbulanlah kami akan terkandas di situ. Subhanallah. Hanya Allah saja yang dapat membantu.
Sesungguhnya kita tidak dapat bayangkan situasi sebenar sehinggalah kita benar-benar berdepan dengannya. Ada ketika membuat saya benar-benar bimbang, apakah kami mampu melalui cabaran tersebut. Kami berpegang tangan seerat-eratnya sepanjang hampir 20 minit merentasi lautan manusia itu. Apapun terjadi kami tidak akan melepaskan genggaman tangan kami. Alhamdulllah. Akhirnya dengan bantuan polis tempatan yang dihantarkan khas untuk melindungi kami, walaupun berasak-asak dan bagai nak putus tangan dan jari kami.
Di dalam keretapi saya melihat Wirda menangis. Rupanya dia berasa sesuatu, katanya dalam air mata berlinangan, “I rasa I keguguran Anis.” Dia diawal kandungan dan betul pun sebaik sampai Malaysia, terus ke hospital dan disahkan kandungannya gugur. Saya malah Wirda sendiri merasakan kalau tidak keguguran anak yang dikandungnya mungkin anak perempuan, kerana saya lihat dia minat sangat dia membelek baju-baju ‘baby girl’ kala bershopping di Beijing.
TENTANG MINAT
Mengenali Wirda, saya kagum dengan bakat penulisannya yang bersahaja dan membuai khayalan kala membaca hasil karyanya. Ahli keluarga seperti bapa saudaranya, Subky Latif dan abangnya Abdul Rahman Adnan yang satu ketika dulu adalah Leader Writer di NST. Saya diberitahu ramai lagi ahli keluarganya sebagai penulis. Bakat yang diwarisi daripada datuknya seorang penulis kitab.
Masa duduk bujang dulu Wirda suka juga memasak. Ketika bulan puasalah Wirda mempamerkan kehebatan masakannya. Dia akan menjemput kawan-kawannya berbuka puasa di rumahnya. Yang pasti mesti ada Laksa Penang dan Ikan Goreng Tiga Rasa.
MENGENAI FESYEN
Citarasa fesyen Wirda memang terserlah sejak dulu-dulu lagi. Ramai senang akan gayanya. Selain memakai slack style 80-an Wirda sering memakai skirt dan gemar fesyen skirt kembang beropol. Waktu itu memanglah trendy. Kami tak pakai Chanel atau Gucci kerana tidak mampu lagi pun bukan anak tycoon yang melawa duit emak ayah. Namun kalau ke majlis khasnya, orang pandang atas bawah. It’s just a matter of how you put it together sampai ramai di kalangan kawan-kawan kami menjadikan kami tempat rujukan. “Tanyalah Wirda dan Mahani jika hendakkan nasihat fesyen,” itulah perkataan kawan-kawan. Lagipun bukan macam sekarang, hendak tahu tentang apa sahaja, hanya klik..
Untuk bergaya macam orang kaya kami kena tunggu waktu sale di butik-butik jenama. Dapatlah good discount dan merasa barangan berjenama yang kami sukai. Yang pasti we don’t wear fake! Kami punya prinsip yang sama, terhadap barangan palsu. Mungkin sering diasak dengan pengetahuan dan fahaman tentang etika industri fesyen dan pembuatan label jenama high fashion membuat kami tidak sanggup jadi ‘pengkhianat fesyen’.
Saya perasan ada persamaan tentang citarasa kami dalam berpakaian. Kadang-kadang bila membeli-belah apa yang saya pegang itu juga yang dia nampak dan sebaliknya. Akhirnya memang banyaklah pakaian kami sama, cuma berlainan warna. Sebut tentang warna, rona biru kegemaran Wirda dan memang dia nampak cantik dengan rona-rona tersebut khususnya biru firuz.
SOAL CINTA
Bicara perihal cinta teringat saya kata-kata Dato Prof. Dr Ghazali Mat Nor, abang ipar Wirda atau biasa kami panggil Charlie, “I seronok tengok Wirda bercinta. Wirda ni kalau dia in love, dia excited, tak boleh sorok-sorok.” Macam saya katakan tadilah, perasaan Wirda sukar dibendung bila dia marah, suka juga kala dia bercinta. He he! Sebenarnya Wirda juga banyak peminat di kalangan kaki tangan tempat kami bekerja. Tetapi Wirda bukan jenis suka melayan. Dia akan hanya respon kalau ada chemistry.
Apapun kami berdua punya prinsip yang sama tentang cinta. Bila bercinta kami setia dan main kayu tidak pernah ada dalam kamus hidup kami. Cinta Wirda dan Hisham, suaminya hingga kini juga satu cita agung. Dunia tahu, dan seperti kisah-kisah cinta yang difilemkan antara dua darjat atau keturunan, bukan mudah bagi orang bangsa Pakistan melepaskan anak lelaki tunggal mereka berkahwin dengan bangsa asing.
Atas dasar cinta agung akhirnya mereka disatukan jua, hinggalah mereka dikurniakan dua putera iaitu Ihtisham dan Imtiaz. Dua-dua hero Wirda memang handsomelah, kalau nak kira Shah Rukh Khan tu orang kata boleh pi main jauh-jauhlah. Sejak lahir hidung masing-masing memang terpatuk-tepatuk.
Nak dijadikan cerita, ketika Wirda hamilkan Tisham saya juga hamil. Jarak Nizam dan Tisham cuma minggu. Saya masih ingat Wirda datang melawat saya dengan perutnya yang sarat. Comel ingatkan momen itu. Kini mereka dah besar panjang dan Tisham sudah pun berumah tangga dan menghadiahkan Wirda gelaran ‘opah’ kepada Mohamed Sheraaz Hisham bin Mohamed Ihtisham Hisham.
TENTANG KELUARGA
Kalau saya sembilan beradik, Wirda pula 10 beradik, tiga lelaki dan tujuh perempuan. Rupanya datang daripada keluarga besar ini banyak kebaikannya. Seperti kami adik beradik, Wirda juga begitu, sejak kecil ceritanya mereka diajar untuk berkongsi, ya berkongsi apa sahaja waima baju dan kasut, kalau sama saiz. Seperti dia yang kenal adik beradik saya, begitu juga saya. Abang Rahman, kak Piah, kak Yah, Saadah, Nora, Tipah yang tinggal di KL sesekali berjumpa juga di majlis keraian keluarganya. Saya juga sempat ke kampungnya menjengok ibunya yang sakit ketika itu. Saya juga melihat kesedihan seisi keluarga bilamana emak Wirda menghembus nafas terakhirnya di rumah adiknya di Emerald Height Bukit Jalil. Datang daripada keluarga orang alim, abangnya sendiri yang mengimamkan jenazah. Al fatihah untuk ibu Wirda yang meninggal dunia lebih setahun yang lalu. Saya tahu emaknya lama sakit dan satu masa dulu Wirda bila hujung minggu dia sekeluarga akan balik kampung menjengok ibunya yang sedang sakit. Kini Wirda melayan ibu mentuanya yang juga tidak sihat. Anak yang soleh tahu tanggungjawab, bila ada yang lebih penting, soal kerja letak ke tepi, keluarga paling utama.
Kami saling pentingkan hubungan keluarga dan meletakkan keluarga di carta teratas fokus kehidupan kami. Our husbands are good buddies too dan saya pasti mereka juga amalkan prinsip yang sama. Kami saling kenal ahli keluarga masing-masing but we are not nosy. Kalau ada yang kami nak ceritakan ia sekadar setakat itu dan kami tak akan bertanya lagi kerana kami faham, that’s all for that!
KERJA
Lama kami tinggalkan dua gergasi media iaitu NST dan Utusan Melayu tetapi masih ramai yang menyangkakan kami masih di situ. Saya berhenti beralih kepada bidang pengurusan majlis sementara Wirda kekal di majalah sebagai Ketua Pengarang Majalah. Pada hemat saya satu jawatan tinggi di dalam sesebuah penerbitan.
Daripada berkerja dengan syarikat orang, Wirda mengorak langkah bersama teman karibnya Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan menerbitkan majalah sendiri Wanita Wawasan (WW) dan kemudian berseorangan menerbitkan majalah online sendiri. Mengikuti perkembangan dirinya dan majalahnya saya kagum kerana Wirda satu-satu anak Melayu yang mendapat jemputan ke pertunjukan minggu fesyen di kota-kota terkenal dunia; New York, London, Paris dan Milan khasnya untuk jenama terkenal antarabangsa seperti Chanel, Louis Vuitton, Dior, Celine, Ferragamo, Hermes dan Burberry antaranya. Pernah duduk sebaris dengan editor hebat dunia seperti Anna Wintour dan bergambar dengan mendiang Karl Lagerfeld, John Galliano dan Marc Jacobs. Menemuramah selebriti A list seperti Salma Hayek, Nicole Kidman dan pernah nampak Rihanna, mendiang penyanyi Prince di pertunjukan fesyen Chanel di Paris. Ceritanya ramailah juga yang dia pernah temui seperti Jessica Alba di Rom sewaktu pelancaran Bulgari, Johnny Depp di Geneva dan makan malam bersama Donatella Versace di Forbidden City, Beijing China. Ini antara cerita yang saya ingat.
Dan kira-kira serata dunia sudah Wirda sampai kerana kerja. Yang menariknya setaraf jemputan daripada jenama hebat dunia, layanannya juga sehebat itu seperti tinggal di hotel enam bintang serta makan restoran-restoran mewah dunia. Ceritanya pernah dibawa melihat kota Paris dan Hong Kong pada sebelah malam dengan Helikopter khas. Tidak lupa katanya merasa berparti di mana bintang-bintang A list pun turut hadir. Semua pengalaman ini cukup terkesan buatnya dan akan diingati sampai bila-bila.
Tetapi itulah kami orang majalah, suka tangkap gambar orang, gambar sendiri dengan tokoh-tokoh dunia tidak disimpan. Bila sudah semua selesai baru teringat nak bergambar. Apa pun syabas kepada kawan saya yang satu ini. Semuanya dia sudah merasa, kini dia mahu menumpukan lebih banyak masa mencari ilmu akhirat.
MajalahWM.com kini antara majalah online paling ramai diperkatakan. Apalah angka tiga juta untuk viewer sedangkan artis-artis Malaysia berjuta pengikutnya. Tetapi perlu diingat untuk majalah gaya hidup jumlah itu besar.
MashaAllah cantiknya nama majalah ini, W stands for Wirda dan M tu saya. How nice if we can do something together… again like the old days. Tanpa saya sedari rupa-rupanya Wirda juga menyimpan hasrat yang sama. I just love the tag; Together We’re Stronger. Yalah Wirda, mana tahu berdua kita jadi lebih kuat, itulah yang kami harapkan. Dalam keadaan ekonomi yang lembab dan saya juga sedang mencari fresh air untuk keluar daripada kemelut ini, saya amat mengharapkan agar kolaborasi kami menjadi satu lagi bibit indah yang terpahat dalam kehidupan kami. Seperti kata Wirda, “I can do things you cannot. You can do things I cannot; together maybe we can become something great. Itulah ceritanya dan hadirlah saya dalam lipatan sejarah MajalahWM.