Air diperlukan dalam badan sebagai pelarut makanan, garam mineral serta vitamin dan juga diperlukan untuk mengawal suhu badan bagi melancarkan peredaran darah.
Air penting untuk meningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak. Minum air kosong pada masa tertentu akan membantu meningkatkan kadar metabolisma badan.
Jom kita lihat informasi yang disediakan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perbezaan air mineral semua jadi (AMS) dan air minuman berbungkus (AMB) atau drinking water.
Air Mineral Semulajadi
Punca: Kandungan air bawah tanah melalui mata air, telaga, gerekan dan lain-lain jalan keluar. Punca air perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penambahan Mineral: Tidak boleh diperkaya/ diperkuat atau ditambah dengan vitamin atau mineral.
Penambahan Karbon Dioksida: Dibenarkan
Air Minuman Berbungkus
Punca: Semua punca air yang selamat seperti dari sistem bekalan air awam atau air paip, air permukaan (sungai, kolam, tasik) dan air tanah (telaga tiub, mata air). Punca air perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penambahan Mineral: Boleh mengandungi tambahan garam klorida, bikarbonat dan sulfat bagi kalsium, magnesium, kalium dan sodium serta karbon dioksida.
Penambahan Karbon Dioksida: Dibenarkan
Pasti ada yang tidak tahu perbezaan antara air mineral semulajadi (air mineral) dan air minuman berbungkus (drinking water). Perbezaan paling mudah boleh dilihat pada warna penutup botol. AMS boleh menggunakan sebarang warna kecuali putih. Manakala AMB hanya boleh menggunakan warna putih. Selain itu perbezaan juga boleh dilihat pada label produk.