Mengintai Rumah Hobbit di Kota Bandung

Please select a featured image for your post

Kota Kembang atau Kota Bandung memang cukup popular di kalangan rakyat Malaysia. Kota yang terletak kira-kira 140 kilometer sebelah tenggara Jakarta ini merupakan kota ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya.

Biarpun Bandung lebih dikenali sebagai destinasi membeli-belah, tetapi sebenarnya masih banyak lagi tempat-tempat menarik yang cukup berbaloi untuk dilawati. Lebih-lebih lagi jika anda merancang percutian keluarga.

Salah satu daripadanya ialah Farmhouse Susu Lembang yang terletak kira-kira setengah jam waktu perjalanan menaiki kereta.

Peminat filem ‘The Lord Of The Ring’ dan ‘The Hobbit’, pasti menguntum senyum saat terlihat rumah Hobbit yang comel. Biarpun tidak ada perkampungan Hobbit di sini, tetapi memadailah dapat bergambar di hadapan rumah comel seperti yang dimiliki oleh Frodo dan Bilbo Baggins.

Walaupun tidak sehebat yang ada di New Zealand, tetapi berbaloi untuk tujuan bergambar.

Farmhouse Susu Lembang ini mula dibuka kepada penghujung pada 2015 dan ia menampilkan sebuah perkampungan bernuansa Eropah, sesuai dengan cuaca di sini yang redup dan dingin. Sama ada anda berkunjung bersama keluarga, teman-teman atau hanya bersama insan tersayang, Farmhouse Susu Lembang menjanjikan pengalaman mengasyikkan.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan apabila berada di sini ialah ia mempunyai banyak spot menarik untuk bergambar. Toleh ke kanan cantik, toleh ke kiri pun menarik, jadi memang banyak masa diperlukan untuk mengelilingi perkampungan yang terdiri daripada beberapa bahagian ini seperti restoran dan kafe, petting zoo, galeri, taman, dan juga kebun buah-buahan.

Salah satu keunikkan tempat ini berbanding destinasi percutian yang seakan-akan sama dengannya ialah ia menawarkan khidmat sewaan baju ala gadis Eropah. Dengan harga Rp50,000 pengunjung  boleh mengayakan pakaian ini sehingga dua jam. Jadilah bolehlah bergambar sakan dengan berimaginasi anda sedang berada di benua Eropah. Pasti ada yang cemburu melihat foto-foto percutian itu nanti.

Selain itu, anda juga boleh juga menyewa pakaian Koboi dan juga Red Indian pada harga yang sama. Seronok juga dapat mengabadikan kenangan ketika bercuti di sini. Sekurang-kurangnya ada kenangan yang boleh dibawa pulang .

Harga sewaan baju Red Indian ini cuma Rp50,000 untuk tempoh 2 jam

Tiket masuk ke Farmhouse Susu Lembang ini berharga Rp 20.000 untuk setiap orang. Caj parkir untuk kereta Rp10,000, manakala motosikal pula berharga Rp5.000.  Tiket-tiket yang sudah dibeli ini boleh ditukar dengan sebatang sosej ataupun secawan susu segar berperisa Mocha, Strawberi Vanilla, atau Pisang.

Bagi yang berminat untuk berkunjung ke sini, Farmhouse Susu Lembang dibuka pada pada setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam pada hari-hari bekerja. Sementara pada hujung minggu ia dibuka pada jam 9.00 pagi hingga jam 11 malam. Satu tip berguna, cuba elakkan ke sini pada hujung minggu kerana pada waktu-waktu itu ia sesak dengan pengunjung. Jadi, anda mungkin akan berasa kurang selesa lebih-lebih lagi apabila mahu bergambar, ada sahaja menganggu!

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON