Uncategorized

Mengapa Perlu Makan Nanas?

Mengapakah nanas sangat popular? Selain rasanya yang manis, sebenarnya, nanas mempunyai banyak khasiat yang mungkin ramai di antara kita masih tidak tahu tentangnya.

Berikut adalah fakta-fakta menarik mengenai nanas:

Asal Usul Nanas

Orang Eropah menemui nanas di kepulauan Caribbean pada 1493. Mereka berusaha menanamnya namun gagal kerana cuaca yang tidak sesuai. Lalu, nanas diperkenalkan kepada orang Asia, Afrika, dan penduduk Selatan Pasifik.

Kerana ia sukar didapati selain memerlukan hampir tiga tahun untuk matang, nanas dianggap makanan mewah suatu masa dulu. Malah, ia turut menjadi simbol ketinggian darjat dan kelas sosial.

Pelukis Hendrik Danckerts pernah menghasilkan lukisan berkaitan nanas pada 1675. Dalam lukisan tersebut, ditunjukkan Charles II menerima nanas pertama yang ditanam di England daripada pekebun istana.

Pelbagai Produk

Selain boleh dimakan begitu sahaja, nanas juga dijadikan pelbagai produk termasuk jus, cuka, alkohol dan makanan haiwan.

Ciri-Ciri Nanas

Daun nanas yang boleh mencapai ketinggian 1.5 meter sebenarnya turut dijadikan tekstil. Seratnya digunakan sebagai satu bahan dalam menghasilkan kertas dinding serta barang keperluan rumah yang lain.

Di Malaysia, terdapat universiti tempatan seperti UTHM yang mencipta mesin bagi mendapatkan serat nanas.

Kaya Vitamin C

Kandungan Vitamin C dalam nanas adalah separuh daripada keperluan harian vitamin C. Ia menentang kerosakan sel. Justeru, ia bagus dalam melawan masalah seperti sakit jantung dan sakit sendi.

Sebagai Pertahanan Antioksidan

Nanas mengandungi khasiat yang penting untuk pertahanan antioksidan.

Baik Untuk Tulang

Ia juga baik bagi membentuk tulang yang kuat. Nanas dikatakan dapat mengelakkan osteoporosis. Ia juga melawan penuaan dan penyakit dengan melindungi sel-sel tubuh.

Perkembangan tulang dalam tubuh orang muda dan menguatkan tulang orang tua dapat dikesan melalui pemakanan nanas.

Untuk Penghasilan Tenaga

Kandungan thiamin di dalam nanas juga tinggi. Thiamin merupakan vitamin B yang menghasilkan tenaga.

Mengurangkan Risiko Sakit Mata

Nanas bagus untuk mengurangkan risiko penyakit mata seperti katarak yang biasanya terjadi ketika usia meningkat. Ia diperolehi daripada kandungan vitamin C di dalamnya dan juga antioksidannya.

Hasil kajian menunjukkan pengambilan vitamin C penting untuk mengelakkan katarak.

Untuk Usus Yang Sihat

Serat di dalam nanas memastikan usus sentiasa sihat.

Ezim Bromelain

Selain itu ia juga mengandungi bromelain iaitu sejenis enzim yang memecahkan protein dan membantu pencernaan. Bromelain juga berfungsi mengurangkan masalah keradangan dan risiko tumbesaran tumor serta risiko penggumpalan darah.

Bromelain merupakan bahan di dalam nanas yang paling banyak dikaji. Ini kerana ia hanya ditemui di dalam nanas. Kandungan bromelain dalam nanas menyebabkan jus nanas digunakan untuk melembutkan daging dalam masakan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Saarland, bromelain dalam nanas membantu menyembuhkan luka. Losen yang dibuat berasaskan bromelain menunjukkan ia turut membantu dalam penyembuhan kulit terbakar pada manusia.

Baik Untuk Batuk

Jika batuk berkahak dan berhingus, dicadangkan untuk anda makan nanas.

Untuk Kesuburan

Kandungan vitamin dan mineralnya dikatakan bagus untuk kesuburan lelaki dan wanita.

Sumber karbohidrat

Nanas adalah sumber karbohidrat yang diperolehi daripada gula seperti fruktosa, sukrosa, dan glukosa di dalamnya.

Satu cawan potongan nanas mengandungi 82 kalori. Nanas juga bebas lemak dan bebas kolesterol selain rendah kandungan sodium. Kandungan gula di dalamnya ialah 16g secawan.

Khasiat nanas dalam tin adalah kurang berbanding nanas segar. Oleh itu, untuk mendapatkan khasiat sebenar, nanas segar adalah lebih baik.

Minum jus nanas yang dikisar sendiri lebih baik daripada membeli jus yang dijual di kedai dan pasaraya. Ini kerana dikhuatiri kandungan gula dan air yang dicampurkan ke dalamnya menghilangkan nilai khasiat sebenar nanas.

Keburukan Nanas

Apa jua yang kita makan dan lakukan perlu dilakukan secara bersederhana. Walaupun nanas mempunyai banyak khasiat terutamanya vitamin C, tetapi jika dimakan secara berlebihan akan mendatangkan kesan negatif kepada tubuh.

Ini termasuklah cirit-birit, rasa loya, sakit pada abdomen dan pedih hulu hati.Kandungan bromelain di dalam nanas pula boleh menyebabkan ruam, muntah, cirit- birit dan pendarahan haid berlebihan. Ini berlaku jika makan nanas secara berlebihan juga.

Sekiranya anda sedang memakan ubat atau dalam rawatan, seeloknya dapatkan nasihat daripada doktor anda jika mahu makan nanas.

Cara Memilih Nanas

Pilih nanas yang masak iaitu yang berwarna kuning terang. Elakkan juga membeli nanas yang sudah layu kerana terlalu masak. Ia dapat dilihat pada keadaan kulitnya yang berkedut, merekah dan daunnya yang layu.

Lebih bagus jika membeli nanas pada hari anda mahu memakannya. Nanas boleh disimpan di dalam peti sejuk sama ada sebelum atau selepas memotongnya. Namun  pastikan anda memakannya dalam tempoh tiga sehingga lima hari.

Bungkus nanas dalam plastik sebelum memasukkannya ke dalam peti sejuk. Bagi nanas yang dipotong pula, simpan ia dalam bekas kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi memanjangkan tempoh kesegarannya.

Berdasarkan semua maklumat di atas, agak rugi jika nanas tiada dalam diet kita. Ia boleh jadi kudapan semasa berehat sambil menonton televisyen atau dimasak bersama bahan lain dalam masakan.

Jadikan ia sebagai salad sewaktu makan tengah hari atau jus yang menyegarkan tubuh dan menghilangkan keletihan. Kreatifkan diri dengan menggabungkan nanas dengan buah-buahan lain seperti mangga.

 

 

Rujukan Utusan Melayu
Pineapple: Health Benefits, Risks & Nutrition Facts
19 Science-Backed Health Benefits of Pineapple

Related posts

Bagaimana Meningkatkan Gejolak Nafsu?

admin

Pendapatan Ratusan Juta Sepanjang 2018… God Bless Kim Kardashian!

admin

8 Petanda Kanser Payudara Yang Mungkin Anda Terlepas Pandang

admin

Leave a Comment